+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Thursday, March 11, 2010

Buatmu Muslimah

Bismillahirrahmanirrahim..

Semoga semuanya sihat walafiat, sejahtera dan selamat sentiasa di bawah naungan kasih limpah rahmat Ilahi, insyaAllah..

Saban hari, ramai sahabat menamatkan zaman bujang mereka, alhamdulillah, saya tumpang gembira, tak kurang juga, sudah ramai yang melangkah selangkah lagi ke hadapan. Memikul amanah bergelar ibu dan bapa. Alhamdulillah. Maha suci Allah. Semoga menjadi ibu dan ayah yang soleh dan solehah, memimpin tangan anak-anak ke syurga. Amin..

InsyaAllah juga, penghujung bulan Mei ini, teman serumah saya, Farhana akan mengikut jejak langkah sahabat-sahabat yang lain. Beliau bakal mendirikan rumah tangga dengan lelaki idamannya (insyaAllah soleh) ketika cuti sekolah kelak. Begitu juga teman serumah yang kini bertukar kerja ke Kelantan, Azuanaira, juga akan bergelar isteri insyaAllah awal bulan June kelak.

Sama-sama kita tadahkan tangan, memohon dari Ilahi agar segalanya dipermudahkan, insyaAllah.

Kepada mereka yang masih tercari-cari dan mencari-cari, banyakkan bersabar.. InsyaAllah, jodoh kita telah tertulis, cuma mungkin sekarang bukan masanya yang sesuai untuk kita dipertemukan. Bukan cepat atau lambat menjadi ukuran, tetapi sejauh mana persediaan kita menghadapinya bila tiba saat itu, itulah yang paling utama.

Mungkin sekarang si dia sedang persiapkan dirinya untuk menjadi suami dan ayah yang soleh maka justeru itu, elok kita ambil kesempatan untuk persiapkan diri kita juga, untuk menjadi isteri dan ibu yang solehah.

Ada yang sanggup menolak lamaran yang datang, dengan alasan dia tidak cukup baik untuk kita waima ada juga yang menolak kerana beranggapan, kita tidak cukup baik untuk dia. Adakah ini suatu tindakan yang wajar?

Lelaki yang baik untuk wanita yang baik. Selain mencari yang baik, adalah lebih elok sekiranya kita menjadi yang baik terlebih dahulu. Dakwat setitik tidak mungkin mengubah air selautan tetapi ia sudah memadai untuk menukar warna secawan air. Dimana, usaha yang kecil, tindakan kita sendiri, mungkin tidak mampu mengubah orang lain, tapi sebenarnya sudah mencukupi untuk merubah masa depan kita sendiri, dengan izin Allah, insyaAllah.

Ramai yang murung dan stress memikirkan soal jodoh. Ada rasa cemburu melihat sahabat-sahabat lain semuanya berpasangan, burung-burung juga terbang berdua. Ada yang risau memikirkan masa depan, andai selamanya sendirian, siapa yang akan menemani diri kita saat-saat menghabiskan sisa-sisa kehidupan di hari tua kelak. Siapa yang akan menghiburkan hati, menemani saat susah dan senang, siapa yang sudi berdiri di sebelah kita, memimpin tangan kita, mengharungi gelora dan taufan kehidupan yang selalunya sukar diramal?

Dalam apa jua keadaan, ingatlah, Allah sentiasa ada bersama kita.

Biar susah, biar senang, Allah sentiasa ada. Andai hati terasa hiba dan duka, luahkanlah kepada-Nya, Dia maha mendengar. Yakinlah dengan kekuasaan Allah, jangan berhenti berdoa dan memohon kepada-Nya. Perbanyakkan amal ibadat dan mengingati Allah..

Hasbunallahuwani'malwakil.. Cukuplah Allah sebagai pembantuku...

2 comments:

Anonymous said...

lala terasa

relax said...

Lelaki yang baik untuk wanita yang baik. Selain mencari yang baik, adalah lebih elok sekiranya kita menjadi yang baik terlebih dahulu. Dakwat setitik tidak mungkin mengubah air selautan tetapi ia sudah memadai untuk menukar warna secawan air. Dimana, usaha yang kecil, tindakan kita sendiri, mungkin tidak mampu mengubah orang lain, tapi sebenarnya sudah mencukupi untuk merubah masa depan kita sendiri, dengan izin Allah, insyaAllah.


saya suka lah ayat ni akak.
cemburu tengok kawan2 post gamabr anak mereka..hurmm kadang2 macam nk ckp jgn la post gambar anak tuh.