+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Monday, March 15, 2010

Teruknya Result SPM!! La Tahzan, Allah Kan Ada

Bismillahirrahmanirrahim..

Selawat dan salam buat Nabi Junjungan, Muhammad saw. Apa khabar anda semuanya? Khabar apa hari ini? Moga-moga, kehidupan hari ini lebih baik dari hari semalam, insyaAllah.

Alhamdulillah, minggu lepas, adik-adik kita yang menduduki peperiksaan SPM 2009 selamat mendapat keputusan mereka. Alhamdulillah, syukur dan tahniah kepada mereka yang berjaya dengan cemerlang dan mencapai target. Alhamdulillah. Terimbas kenangan kira-kira 10 tahun yang lepas, di mana saya juga pernah muda, pernah menduduki peperiksaan SPM dan pernah melalui pengalaman indah-saat menatap kertas putih tersenarai semua keputusan peperiksaan saya. Puji dan syukur kepada Allah, saya juga mendapat semua A dalam semua subjek yang diambil. Alhamdulillah. Berkat doa ibu dan ayah serta guru-guru.

Bukan mahu mendabik dada, dan bukan juga mahu membuka pekong di dada, suka saya kongsikan kisah saya di sini, agar dapat menjadi pengajaran dan iktibar kepada adik-adik sekalian. Semoga, segala kesilapan yang pernah saya lakukan sebelum ini, tidak diulangi oleh adik-adik yang dirahmati Allah.

Di kampung, saya agak terkenal dan menjadi buah mulut orang kampung kerana kejayaan saya dalam setiap peperiksaan yang saya ambil. Mulanya dari peperiksaan UPSR, saya cuma tidak mendapat A untuk satu subjek, ketika peperiksaan PMR saya mendapat semua A dalam 8 subjek yang saya ambil dan begitu juga dalam peperiksaan SPM, saya mendapat semua A dalam kesemua 10 subjek yang saya ambil.

Waktu itu saya percaya, apa yang saya usahakan, itulah yang saya dapat. Saya berjaya kerana kerajinan saya, kerana kesungguhan dan usaha keras saya. Dan waktu itu saya lupa, semuanya terjadi hanya dengan izin ALlah. Astagfirullahalazim.

Kejayaan bukanlah sesuatu yang boleh diwarisi. Hari ini kita cemerlang, esok belum tentu. Hari ini kita berada di atas, esok mungkin tempat kita di bawah. Semuanya berlaku dengan kekuasaan Allah. Kejayaan juga bukanlah sesuatu yang mudah untuk diperolehi, perlukan pengorbanan dan tuntutan usaha yang berpanjangan. Sekali leka, terbabas dan mungkin binasa. Itu jugalah yang terjadi kepada diri saya. Leka dan alpa, dari seorang pelajar yang sentiasa mengumpul A, akhirnya saya kenal juga erti gagal. Indah cuma sementara. Bahagia cuma seketika.

Jadi, pesan saya kepada mereka yang berjaya, teruskan usaha dan ulangilah kejayaan itu tanpa jemu. Jangan leka, jangan alpa, jangan berehat walau seketika kerana ketahuilah, mati itulah sebaik-baik tempat untuk kita beristirehat. Jangan berhenti berlari. Kejarlah impian biarpun setinggi langit.

Hidup ini cuma sekali, peluang yang hadir mungkin sekali. Hargai apa yang anda miliki hari ini dan manfaatkan sebaik yang mungkin. Jangan mengalah, jangan beralah. Jangan mengaku kalah, sebelum berusaha hingga ke titisan keringat terakhir.

Bagi adik-adik yang tidak mendapat apa yang diimpikan, sabarlah dengan ketentuan Ilahi. Allah tidak ciptakan sesuatu untuk sia-sia, pasti ada hikmah yang tersembunyi. SPM bukanlah berakhirnya sesuatu kehidupan, cuma sekadar tiket untuk menempah tempat di universiti.

Andaikan tiket itu sekarang tidak menjadi milikmu, ikhtiarkan cara lain tapi ingat, jangan mengalah. Jangan berputus asa, teruskan perjuangan, cita-cita yang ada masih berpotensi untuk direalisasikan. Jika tiket kapal terbang tidak menjadi milikmu, usahakan cara lain pula. Tak mengapa sekiranya terpaksa berbasikal atau menaiki keretapi yang panjang sekalipun. Asalkan terus berusaha dan mencari penyelesaian. InsyaAllah kejayaan juga akan menjadi milikmu kelak.

Allah juga berfirman, mintalah pertolongan dari-Nya dengan jalan mengerjakan solat dan bersabar. Oleh itu, teruskan berdoa dan berusaha dengan penuh kesabaran. Mudah-mudahan Allah memakbulkan doa-doa kita semua.

"Perkara yang paling mudah untuk dilakukan adalah mengalah"

Justeru, pilihan di tangan kita, ingatlah, bukan senang mahu senang, bukan susah mahu susah.. Tunjukilah kami jalan yang benar, berikanlah kami kekuatan..

Amin ya rabb..

No comments: