+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Friday, March 26, 2010

Secubit Garam

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulilllah, Selasa lepas saya berkesempatan makan tengah hari bersama-sama rakan-rakan sekerja. Makan di kedai makan yang berhampiran dengan opis, makan masing-masing, bayar sendiri-sendiri. ^_^

Sambil-sambil makan kami bersembang, pelbagai isu antaranya mengenai kewangan, cara menguruskan wang, masalah anak-anak, orang gaji, kenaikan gaji dan sebagainya. Sekali-sekala berbeza pendapat namun itu lumrah yang sudahnya diakhiri dengan gelak tawa. Ketika bersembang, saya tertarik dengan kata-kata Kak Hamidah, perumpamaan yang beliau berikan sangat mencuri perhatian saya.


"Bandingkan secubit garam yang dimasukkan ke dalam cawan dengan secubit garam yang dimasukkan ke dalam sebatang sungai"

Secubit garam.

Garam seperti yang kita tahu, fitrahnya larut dalam air dan rasanya masin. Jika dibandingkan air garam di dalam cawan dengan air garam di dalam sungai, tentu sekali air di dalam cawan jauh lebih masin sedangkan secubit garam yang dimasukkan ke dalam sungai, lansung tidak memberi sebarang kesan. Setuju atau tidak?

Logiknya begitulah kerana ketumpatan dan kepekatan garam berkadar lansung dengan jisim garam tersebut dan berkadar songsang dengan isipadu air. Makin banyak air maka makin kurang ketumpatan dan kepekatan garam justeru makin kurang tahap kemasinannya. Sahih!

Garam vs Masalah

Aplikasikan secubit garam dengan kehidupan seharian kita. Andaikan garam itu adalah masalah yang sedang kita hadapi.

Setiap orang pasti mempunyai masalah masing-masing. Besar atau kecil sesuatu masalah itu bergantung kepada bagaimana kita menguruskan dan menyelesaikan masalah tersebut. Bergantung terhadap cara penerimaan kita, bagaimana kita berhadapan dengannya. 


Andaikan. Masalah ibarat secubit garam. Jika kita menganggapnya suatu masalah yang besar, maka besarlah ia, namun sebaliknya sekiranya kita menganggapnya suatu masalah kecil yang ada jalan keluarnya, insyaAllah, dengan izin Allah maka kecil jugalah masalah itu. Ia tetap masih lagi kekal sebagai secubit garam.

Secubit garam yang dimasukkan ke dalam air sungai tidak mampu memberi apa-apa kesan kepada sungai tersebut. Sesuatu masalah sekiranya diterima secara positif, optimis, berlapang dada dan berfikiran luas, insyaAllah tidak mampu memudaratkan tuan empunya diri. Ia sekadar datang dan kemudian berlalu dibawa waktu ibarat arus sungai yang mengalir menghanyutkan secubit garam itu.

Namun sebaliknya, sekiranya masalah yang serupa, sekiranya kita terima dengan dada yang sempit, terima dengan jiwa yang tertekan, hati yang tidak tenang, berfikiran negatif dan pesimis maka tidak mustahil, secubit garam itu mampu membinasakan keseluruhan air di dalam cawan. Masin! 

Benar. Masalah itu mempunyai kemampuan untuk memusnahkan hidup seseorang yang lemah dan tidak mempunyai daya tahan yang kuat untuk melawan segala ujian dan cabaran yang menimpa dalam kehidupannya. Tewaslah dan kecundanglah. Hanya kerana secebis masalah yang mendatang, yang tidak dapat ditangani dengan baik. Pelbagai impak negatif yang menanti di hadapan. Naauzubillah. Moga kita dijauhi.

Syukurlah kita sebagai ummat Islam, yang percaya kepada Allah dan hari kiamat. Percaya kepada Qada' dan Qadar Ilahi. InsyaAllah, walau apa jua ujian dan dugaan yang menimpa, selagi kita berpegang teguh kepada ajaran Islam, dengan izin Allah, semuanya akan dapat ditangani dengan baik. Sentiasa berbaik sangka kepada Allah. Tiada penyakit (masalah) yang tiada penawar melainkan tua dan mati. Dan ingat, setiap apa jua yang kita lakukan, tidak kira baik atau buruk, semuanya ada balasan dari Allah. Walaupun sebesar zarah.

Mungkin ditakdirkan di dunia ini bukanlah tempat untuk kita menuai bahagia mengutip senyuman dan gelak tawa, tapi ingat, mati itu pasti, hari akhirat itu benar, syurga itu benar. Apalah sangat sakitnya di dunia ini, hidup cuma sementara namun yang abadi adalah akhirat sana.

Mungkin di dunia ini kita tidak kaya dengan harta atau wang ringgit, tidak punya kereta besar atau rumah besar, tapi ingat, pada pandangan Allah bukan harta kekayaan yang menjadi ukuran. Di sisi Dia, hanya Iman dan Takwa yang membeza-bezakan kita semua. Pilihlah. Mana mahu mu?

Terserah kepada kita untuk memilih, samada mahu memasukkan secubit garam ke dalam cawan atau ke dalam sungai kerana salah satu nikmat Allah yang Allah anugerahkan kepada kita, yang tiada pada makhluk ciptaannya yang lain adalah kita diberi kebebasan untuk memilih. Kanan atau kiri, baik atau buruk, kita berhak memilih tidak seperti pokok yang berterusan menghasilkan oksigen atau sungai yang berterusan mengalir. 

Apa gunanya anugerah yang diberikan andai kita tidak memanfaatkannya sebaik yang mungkin? Fikir-fikirkanlah. Antara syurga dan neraka sesungguhnya perbezaannya benar-benar terang dan jelas.

Ampun maaf saya pinta andai ada salah dan silap. Mohon ingatkan saya andai saya terlupa. Mohon doa daripada semua sahabat agar kita semua capai bahagia, bukan sahaja untuk di dunia, malahan untuk di akhirat sana.

Dengan lafaz mulia, Assalamualaikum wbt.. Saya berhenti dulu di sini.

Wassalam.





Thursday, March 25, 2010

Bila Diri Disayangi

Bismillahirrahmanirrahim..

Segala puji bagi Allah, Tuhan pencipta seluruh Alam. Alhamdulillah. Selawat dan salam buat junjungan Nabi Muhammad Saw, moga kita semua diberkati dan dirahmati Allah.

Allah yang Maha Pengasih, Allah yang Maha Penyayang. Kerana limpah kasih-Nya kepada hamba ciptaan-Nya, maka di dunia ini Dia tidak ciptakan kita keseorangan. Kita punya teman-teman, sahabat dan saudara mara. Kita pelbagai kaum dan bangsa, juga ada jantan betina. Bukan untuk saja-saja, tapi agar kita dapat bergaul, saling mengenal dan saling melengkapi. Allahu Allah. Betapa Engkau Maha Bijaksana.

Allah juga tidak biarkan kita terkontang kanting sendirian tanpa hala tuju. Kerana limpah rahmat dan kasih-Nya, maka Dia memilih beberapa insan terpilih sebagai nabi dan rasul, untuk menyampaikan wahyunya. Kita bertuah sebagai ummat Muhammad saw, kerana kasih dan sayangnya kepada ummatnya, maka alhamdulillah, kita hari ini tidak hidup dalam kegelapan. Kita dikurniakan cahaya iman dan islam kerana jasa-jasanya yang tidak terhingga. Maha suci Allah. Tidak cukup dengan itu, mukjizat al-Quran sesuai menjadi pedoman kita semua hingga ke akhir zaman. Baginda Nabi saw merindui kita sebelum kita wujud, bimbangkan kita, kasih dan sayangkan kita hingga ke hujung nyawanya menyebut ummati.. ummati.. ummati..

Betapa Allah dan rasul-Nya mengasihi dan menyayangi kita, kita pula bagaimana?


Kita juga tidak lahir dari sebatang buluh, kita tidak lahir dari seketul batu atau sekuntum bunga. Kita dilahirkan dari perut seorang wanita yang mulia, yang penuh kasih dan sayang. Sembilan bulan kita bersatu dengan jasadnya, tidur dalam keadaan yang paling lena. Bermimpi yang indah-indah. Dia yang paling dekat. Dialah yang sentiasa melindungi kita dengan izin Allah. Bukan sedikit kasihnya untuk kita. Dialah ibu yang melahirkan kita, membesarkan kita dan menyayangi kita sepenuh hatinya. Maha Suci Allah yang Maha Mencipta.

Dalam situasi yang agak sulit kebelakangan ini, sesungguhnya saya benar-benar bersyukur kerana saya dilahirkan dalam Islam. Kerana saya seorang Islam, saya yakin dan percaya, Allah sentiasa ada bersama saya. Saya yakin pada ketentuan Qada' dan Qadar Ilahi. Saya yakin dan percaya segala janji-janji Allah yang tercatit dalam Kitab Suci Al-Quran. Alhamdulillah, saya masih kuat kerana saya rasa saya disayangi Allah.

Tidak lupa juga ibu saya yang sedang meniti usia. Dari dulu hingga kini, sentiasa ada bersama saya. Sentiasa memberi kata-kata dorongan dan semangat untuk saya meneruskan kehidupan. Tidak pernah puas dan jemu untuk terus mendoakan saya dan anak-anaknya yang lain. Tempat saya berkongsi masalah. Yang pernah menangis kerana saya kemudian seikhlas hati memaafkan saya. Terima kasih Allah, terima kasih ibu, kerana sentiasa di sisi dan menyayangi diri ini.

Buat kakak dan adik-adik. Kita membesar sama-sama. Pernah susah bersama-sama. Pernah ketawa dan menangis bersama. Mandi sungai dan tali air, tangkap ikan di sawah. Panjat pokok rambutan dan manggis. Sesat di hutan bersama-sama. Walaupun kenangan zaman kecil kita tidak seindah sahabat-sahabat yang lain, namun itulah yang paling berharga buat diri ini. Mengajar kita erti kehidupan. Bukan semuanya manis. Ada pahit dan masinnya. Terima kasih kerana tidak henti menasihati, dan bimbangkan diri ini. Daku juga menyayangi kalian, di dunia ini kalianlah kakak dan adik-adikku.

Alya dan Ashraf, pengarang jantung, buah hati Mak Ngah. Bagai mimpi, kalian kini membesar di depan mata. Dari sebesar tapak tangan, kini hampir sama tinggi dengan Mak Ngah. Kadang-kadang buat perangai namun selalunya kalian membahagiakan. Walau bertemu setiap minggu tetap saling merindui. Seronok melayan keletah kalian. Dipeluk dan dimanja. Benar-benar diri ini rasa disayangi.

Juga kepada semua sahabat yang sentiasa ada saat susah dan senang. Yang rasa sakit bila diri ini sakit, yang mengerti dan memahami. Yang cuba membantu selagi terdaya. Sahabat yang sentiasa memberi dorongan dan kata-kata semangat. Sudi mendengar dan membaca segala permasalahan diri yang timbul.

Sahabat yang menghiburkan hati ini dan menenangkan jiwa ini. Walaupun ada yang tidak pernah bertemu tapi tetap terasa dekat. Terima kasih duhai sahabat, moga tautan ukhwah yang terbina dirahmati Allah. Terima kasih kerana mengizinkan diri ini merasai indahnya nikmat disayangi saudara seagama. Alhamdulillah.

Sebelum berundur, lagu ini untuk semua yang menyayangi diri ini..

Bila Diri Di Sayangi

Terdengar bisikan mesra
Kalimah keramat bermentara
Bermulanya siang berakhir malam ku
Tak akan ku jemu menyebut nama-Mu

Tiada batasan waktu
Tiada tempat mu tertentu
Di gunung di lembah, di darat, di air
Siapa pun hamba, keikhlasan doa, keagungan
Kasih merubah takdir

Bila ku sedari diri disayangi
Langkah kaki ini semakin berani
Bila terkeliru ku ucap nama-Mu, terasa diriku
Kembali dipandu

Engkau yang pertama, tiada akhirnya
Aku dalam kegelapan engkaulah cahaya
Izinkahlah aku menumpang di sini
Di bawah naungan kasih dan sayang-Mu
Ku berserah diri

Wassalam


Tuesday, March 23, 2010

Bebaskanlah Dirimu

Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaikum wbt..

Kesinambungan dari entri sebelum ini, Izinkan Aku Menangis, masih berbicara soal mencari kekuatan dalam diri. InsyaAllah. Moga diberi keizinan oleh-Nya.

Banyak orang makin dekat dengan Allah bila diuji dengan kesusahan dan banyak orang juga yang makin jauh dengan ALlah bila diuji dengan kesenangan. Kita bagaimana? Selama kita hidup di muka bumi ini, menggunakan segala anugerah Allah secara percuma, adakah kita benar-benar sedar, segalanya cuma pinjaman, semuanya milik Allah. Dia berhak memberi dan mengambilnya semula, bila-bila masa yang Dia kehendaki. Allahu Allah..

Muhasabah diri saya sendiri, kadang-kadang lemah bila diuji, sedangkan ujian itu tersangatlah kecil jika hendak dibandingkan dengan ujian para nabi, ah, terlalu jauh... tidak layak untuk dijadikan perbandingan.. Jauh sekali.

Benar, saya cuma manusia biasa. Kita hanyalah manusia biasa namun kita dicipta sebaik-baik manusia seperti yang tercatit dalam Surah At-Tin. Yang membezakan kita adalah keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah swt. Jika kita leka dan lalai, tidak melaksanakan suruhan Allah dan melakukan apa yang dilarang-Nya, ternyata, kita jauh lebih hina dari binatang. Naauzubillah..

Saya bagaimana? Kita bagaimana. Kasih sayang Allah kepada kita terlalu luas, nikmat dan anugerah yang Allah berikan kepada kita juga sangat banyak tidak terhitung. Allah berbuat baik kepada kita tapi adakah kita benar-benar bersyukur? Bila diuji sedikit mula merungut mengeluh. Merintih merayu menangis meratap. Apalah sangat kesusahan itu jika dibandingkan dengan kesenangan yang telah Allah kurniakan kepada kita selama ini tapi mengapa kita masih tidak bersyukur?? Nikmat Tuhan yang mana lagi yang ingin kita dustai?

Ada masanya kita leka dan lalai, lupa untuk menyebut nama Allah, lupa untuk merindui dan mencintai Allah. Tapi Allah tidak pernah melupakan kita.. Dia hadiahkan kita dengan ujian dan dugaan, agar hati kita tersentuh, agar jiwa kita terusik dan seterusnya kembali dekat dengan-Nya.. Makin merindui dan mencintai-Nya. Makin dekat dengan Dia.

Tiada bumi yang tidak pernah ditimpa hujan. Tiada pipi yang tidak pernah dibasahi dengan airmata, tiada manusia yang tidak pernah diuji. Bersabarlah wahai diri dalam menempuh segala ujian dan cubaan dari-Nya. Tabahlah wahai jiwa milik insan bernama Hasniza. Teruskan melangkah kehadapan, jangan ragu, jangan mengalah. Kamu sudah menangis dan kamu tahu, airmata tidak mungkin mampu mengubah apa-apa. Usaplah airmatamu, jangan menangis lagi, kamu hanya membinasakan dirimu sendiri dengan menjadikan dirimu kian lemah. Bangkitlah.

Gari itu mengikat tanganmu, rantai itu membelenggu kakimu, musnahkan ia! Bebaskanlah dirimu, usah terkurung dalam penjara dunia ciptaanmu semata.

Duhai Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.. hanya pada-Mu kami berserah diri dan meminta pertolongan Ya Allah, tunjukkanlah kami jalan yang lurus.. Ampunkanlah dosa-dosa kami, masukkanlah kami ke syurga bersama iman. Amin ya rabbal alamin..

Sunday, March 21, 2010

Izinkan Aku Menangis

Bismillah...

Re-publish, istimewa buat teman yang sedang berduka..

---------------------------------------------------

"Senyumlah!" Dia menegurku. Rupaku masih kelat. Mendung tanpa riak manis terukir di wajah. Muram. Tiada seri. Tidak bermaya. Terasa sungguh berat benar untuk aku menghadiahkan dia sekuntum senyuman.

" Senyumlah, sudah beberapa hari aku melihat rupa mu suram, tidak manis! Seolah-olah kau bukan lagi kau yang pernah aku kenal..Hey, mana hilangnya kau yang ceria dan optimis? Come on girl! " Dia masih tidak jemu menarik perhatianku. Tidak serik. Tidak mudah mengalah. Seperti selalu. Aku menolehkan wajahku padanya. Dia tersengih membalas renunganku. Dalam keterpaksaan aku cuba mengukir senyuman untuk dia. Tawar. Aku tahu dia tahu.

"Kau ni kenapa, ada masalah ke?" Dia bertanya kepadaku setelah melihat aku kembali membisu. Hanyut dalam khayalan. Diam tanpa kata, tanpa senyuman. Sungguh aku berbeza dari kebiasaan, mana mungkin dia tidak berasa aneh, dia memang wajar merasa pelik melihat keletahku kebelakangan ini. Dia memang prihatin terhadapku, dia benar-benar mengambil berat terhadap kebajikan ku. Dia memang benar-benar memahami aku. Dari dulu, kini dan selamanya. Aku tahu, dia pasti mengerti gejolak perasaan yang sedang melanda perasaanku kini. Kerana aku adalah dia.

"Aku tahu, kau tengah bersedih sekarang nie..aku faham, aku pun sedih juga..tapi janganlah diikutkan sangat perasaan tu.. " Dia masih lagi berkata-kata, namun kini rentak suaranya bertukar nada. Sayu pula jadinya. Mungkin benar-benar memahami kesedihan yang sedang melanda jiwaku atau barangkali sedih kerana aku seolah-olah tidak mempedulikan kehadirannya. Wajahnya juga kini murung sama seperti aku. Aku simpati namun aku tidak mampu berkata apa. Kali ini aku gagal memujuk diri, mana mungkin aku dapat memujuknya. Aku kini tewas dalam mainan perasaanku sendiri, mana mungkin aku mampu menghiburkan dia agar kembali senyum seperti selalu. Aku mengalah untuk hari ini.

Kami sama-sama diam membisu. Sunyi. Sepi.

"Awak, kite sedih.." Akhirnya aku memberanikan diri bersuara. Aku memalingkan wajahku mengadap ke arahnya. Dia membalas renunganku. Wajahnya juga tidak lagi ceria.

"Awak.. Kite dah tak tahu nak buat apa lagi, kite benar-benar sedih, kite kecewa, kite sudah tidak mampu berdiri lagi, kita penat, kite sudah kalah.." Aku menyambung kata. Kolam mataku mula bergenang... ah, beginilah selalunya aku bila bersembang soal perasaan. Ish! Aku mengutuk diri sendiri.

Dia menatap wajahku tenang. Sabar menanti aku menyambung kata-kata. Mulanya aku keberatan meluahkan, namun bebanan ini terlalu berat untuk aku menanggungnya sendirian. Akhirnya, dalam linangan airmata, aku meluahkan segala apa yang sedang membebankan fikiranku. Di hujung kata, aku menangis teresak-esak.

"Kadang-kadang, kite rasa dunia ini tidak adil terhadap kite.." aku masih menyambung kata. Cepat-cepat dia menutup mulutku.

"Shh.. jangan cakap begitu, tak baik! Istighfar, ingat Allah selalu.." Suaranya tegas, melarang.

"Kalau kau fikir kau malang, cuba kau fikirkan juga anak-anak yang dilahirkan ke dunia, tanpa dosa tanpa mengerti apa-apa, terbuang di jalanan tanpa ihsan, mereka jauh lebih malang.. bukan kau seorang yang menangis, semua orang juga pernah menangis. Sabarlah.." Dia memujuk. Namun jiwaku masih luka berdarah. Masih luka dan hancur remuk. Masih terasa peritnya. Pedihnya.

"Kite sudah lama bersabar, kite sudah penat bersabar, kite sudah bosan bersabar.. kite tidak tahu kite harus bersabar sampai bila. Kite tidak tahu kita masih boleh bersabar sampai mana! Kite takut suatu hari nanti bila kita juga akan musnah bila sabar itu tidak dapat dipertahankan lagi, kite takut...." Aku masih lagi meluahkan sisa-sisa perasaan yang masih berbaki. Air mata yang mengalir di pipi aku seka perlahan. Tidak mahu berhenti. Mengalir lagi dan lagi.

"Selagi kau hidup di dunia ini.. Selagi kau masih bernafas, selagi darahmu masih mengalir.. sabarlah.. Bukan sikit ganjaran Allah buat hamba-Nya yang bersabar.. Moga kau peroleh ganjaran dari Dia yang Esa, apa kau tidak mahu pahala?" Dia menguji aku. Aku menggelengkan kepala. Aku juga inginkan pahala itu. Tapi bagaimana? Aku sudah terlalu lemah, kian lemah. Lututku sudah longlai tidak berdaya untuk berdiri, apatah lagi untuk melangkah. Ah..

"Jika begitu, aku tidak mahu hidup lagi.. " Aku kembali bersuara, airmataku kini kembali mengalir laju. Deras. Dia memandang ke arahku, membulatkan matanya. Dia mengumpul kata untuk memujuk aku namun aku kini sudah hanyut dalam sendu airmata. Katalah apa kau mahu kata.. Kau selalu melihat aku ketawa, kali ini, cuma kali ini, izinkan aku menangis...

------------------------------------

Moral of the story, kadang-kadang kita perlu juga menangis... Jika tidak, untuk apa airmata diciptakan?

Wallahua'alam.

Thursday, March 18, 2010

Jalan Pintas Ke Syurga!

Allah berfirman dalam Surah Ar-Rad, ayat 21-24;

"Dan orang-orang yang sabar kerana mengharapkan keredaan Tuhan mereka semata-mata, dan mendirikan sembahyang, serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka; dan mereka pula menolak kejahatan dengan cara yang baik; mereka itu semuanya adalah disediakan baginya balasan yang sebaik-baiknya pada hari akhirat; -

Iaitu Syurga yang kekal yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka; sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu; -

(Memberi hormat dengan berkata): "Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu. "

-----------------------------------------------------

Siapa yang tidak mahukan syurga? Mudah saja caranya, kan?

Jom!

1- Sabar
2- Harapkan redha Allah semata-mata
3- Dirikan solat
4- Menderma
5- Tolak kejahatan dengan kebaikan

Ayuh! Jangan lepaskan peluang yang tidak ternilai ini..

Mari mengejar syurga! (",)

Wednesday, March 17, 2010

Forum Team : Kita NADI iLuvislam.com

[Entri kali ini, istimewa buat sahabat forum team]

Bismillahirrahmanir rahim..

Assalamualaikum wbt..

Apa khabar semuanya, khabar apa hari ini? Semoga hari ini lebih baik dari hari semalam, mudah-mudahan amal ibadat kita juga kian bertambah berkadar lansung dengan bertambahnya usia kita di muka bumi ini, amin...

Sekadar 'singgah' bertanya khabar, lama juga saya 'menyepikan' diri di ruangan YG Mod. Apatah lagi kotak YM setiap moderator untuk bertanya khabar... Maaf beribu-ribu maaf dipinta. Saya menyusun sepuluh jari, mohon ampun dan maaf atas segala kekurangan dan keterlekaan diri ini. Hingga mungkin ada di kalangan sahabat moderator umum rasa terabai, tidak dipedulikan atau dilupakan. Na na na~ Sorry yer.. ;)

Jujurnya, kalian sentiasa dekat dihati, cumanya, kekangan-kekangan tertentu seperti keterbatasan kemudahan internet dan 'mencari ruang untuk diri sendiri' sedikit sebanyak menjadi penghalang. Mana yang buruk saya akui silap saya sendiri dengan izin Allah jua adanya. Sama-sama kita bermohon kepada Ilahi, agar kelemahan ini dapat diatasi dan tidak memudaratkan kita semua di masa hadapan, insyaAllah.

Perkara kedua, saya ingin mengucapkan tahniah, dan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua moderator yang selama ini bersusah payah, meluang masa, mengerah keringat, mencetus idea, bersengkang mata demi memastikan forum berjalan lancar. Alhamdulillah. Terima kasih. Jasa kalian semua sangatlah besar dan penuh makna. Sehinggakan secara peribadinya, saya sendiri sukar untuk mencari di mana kesilapan moderator sekarang ini.

Sejujurnya saya kagum dan bangga dengan sikap dan sifat positif yang ditonjolkan dan dipamerkan oleh setiap moderator. Paling membanggakan adalah sikap kerja berpasukan dan saling bantu membantu kalian semua, tidak kira apa jua permasalahan yang timbul. Subhanallah. Kalian semuanya ibarat satu jasad, peka dan prihatin antara satu sama lain, cubit paha kanan, bahu kiri terasa. Eheh~
Semoga tautan hati yang terbina ini berterusan dan dapat diperkukuhkan lagi.. Amin ya rabb..

Sebelum mengundur diri, suka saya ingatkan sahabat yang dirahmati Allah...bahawasanya iLuvislam kian mara ke hadapan. Mungkin ada di antara kita terdetik sejenak di fikiran, "forum kian diabaikan, team event lagi berjasa, ruangan artikel lagi diminati."

Sorry.. itu tak benar, buktinya Presiden iLuvislam sendiri ada turun padang untuk menjawab persoalan user di forum baru-baru ini.. (Terima kasih bos!)

I would like to say, no matter what will happen, we must set in our mind, we are the best and still the best among the rest. Kita team yang terbaik!

Biarlah apa yang jadi di luar sana.. Moga kecintaan kita terhadap forum tidak pernah pudar. Tidak goyah. Moga keikhlasan kita untuk terus berbakti kepada ummah melalui forum tetap kembang mekar berseri-seri tidak pernah layu.

Mereka punyai cara mereka tersendiri dan kita juga ada cara kita yang tersendiri. Semuanya punyai niat dan visi yang sama cuma mungkin caranya agak berbeza. Keep on moving, we are on the right track, insyaAllah, sentiasa bermohon drp Allah... tunjukilah KAMI jalan yang lurus ya rabb..

Believe it or not, belive it.. Kita (forum team) adalah nadi kepada iluvislam.com. Believe it!

Mungkin benar, kita bukan urat leher yang boleh menyebabkan kematian serta merta kpd iluvislam.com andai terputus, tapi jika nadi itu terputus, perlahan-lahan iluvislam.com akan mati juga (Dengan izin Allah).

Jangan biarkan iluvislam.com 'mati' kerana kita. Teruskan bersemangat dalam menuai amal di iluvislam.com. Bangkitkan passionate dan momentum dalam diri masing2 untuk terus memberi kepada ummah melalui iluvislam.

Malaikat kanan dan kiri tidak pernah berehat walau sesaat, setiap detik amalan kita dicatat dan dihimpunkan untuk ditimbang diakhirat kelak. Ini rukun iman yang wajib kita percayai..

Mungkin kita miskin wang, kita tidak kaya dengan harta, tapi ingat hadis nabi..

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Setiap makruf itu sedekah, dan orang yang menunjukkan kepada kebaikan seperti orang yang melakukannya, dan Allah mengasihi orang yang membantu orang yang benar-benar memerlukan pertolongan. " (riwayat al-Bukhari)

Jadi, kita masih boleh bersedekah tenaga, ilmu atau buah fikiran. Bukan semua orang yang berilmu itu kaya tetapi mereka boleh sedekahkan ilmu untuk kebaikan orang lain.

Jangan pula kita lupa bahawa sedekah itu antara pahala yang mampu sampai kepada kita selepas kita mati kelak.

Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Apabila mati seseorang anak adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara: Iaitu sedekah yang berterusan pahalanya, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakan untuknya." (riwayat Bukhari dan Muslim)

Ayuh sahabat forum! Selagi termampu, kumpullah sebanyak mungkin amal ibadat dan kebaikan. Berhenti memberi alasan, berusahalah mencari penyelesaian.

Moga kita terus bersatu hati, mengembling tenaga, meluang masa bersama forum team, demi ganjaran syurga yang kita idam-idamkan.

Ya Allah ya Tuhan kami, satukanlah hati2 kami yang berhimpun demi menegakkan agama-Mu.

Amin ya rabb..


Tuesday, March 16, 2010

Gay/Lesbian : Maaf Saya Tak Faham

Bismillahirrahmanirrahim..

Saya doakan agar kita semua selamat sejahtera di bawah naungan kasih dan limpah rahmat Ilahi, Amin..

Merujuk kepada tajuk entri kali ini, cetusan idea dari perbincangan yang terdapat di ruangan forum iluvislam.com. Bukan perkara baru, bukan masalah baru, malahan dari dulu hingga kini, masalah ini seakan-akan tidak kunjung padam dan kian berlarutan. Allahu Allah, bagaimanakah penyelesaian yang terbaik? Kami mohon petunjuk dari-Mu ya Allah.

Mudah bagi mereka yang berkata-kata. "Abaikan sahaja perasaan itu." Mudah bagi mereka yang tidak melalui permasalahan itu untuk berkata, " Itu cuma bisikan syaitan dan nafsu jahat, jangan dilayan." Sungguh mudah mereka berkata, "Puasa boleh mengawal nafsu.." Allahu Allah, kami tidak berada di tempat yang sama, sungguh, kami sebenarnya mana mungkin dapat memahami permasalahan mereka sepenuhnya.. Hanya mereka yang memikul bebanan itu, yang tahu betapa beratnya dugaan itu.. Kami mohon ya Allah, Kau bantulah mereka melawan gelora nafsu mereka ya Rabb..

Saya kira, mereka yang berkongsi masalah nafsu songsang mereka di iluvislam adalah antara insan yang agak bertuah, jika mahu dibandingkan dengan insan senasib mereka di luar sana, yang berterusan melakukan kesalahan tanpa sedikit rasa kekesalan.. Setidaknya mereka di iluvislam tahu mana dosa mana pahala, setidaknya mereka memberi peluang untuk dibantu dan sama-sama mencari penyelesaian. Moga Allah membantu mereka kembali ke jalan yang lurus..

Satu sudut lain pula, sebagai salah seorang 'tukang jaga forum', saya juga mengambil kira pendapat sesetengah user yang tidak gemar masalah sedemikian terus dibincangkan dan dipaparkan berterusan. Saya tidak memandang ringan dan cuba untuk memikirkannya secara serius, alangkah bagusnya Allah, sekiranya saya perolehi petunjuk dan jawapan yang jelas, terang dan nyata. Saya faham dan mengerti apa yang mereka bimbangkan, saya juga begitu namun sebelah bahu lagi berat untuk mengatakan tidak.. Tidak kepada jangan meneruskan perbincangan mengenainya.

Ini kerana pada pandangan saya, saya dan mereka, tidak berada dalam situasi yang sama, tidak berada dalam kasut mereka yang mengalami masalah itu, jadinya kami bukanlah orang yang tepat untuk membantu.. Oleh itu, mungkin untuk seketika waktu, eloklah sekiranya kami berikan peluang kepada mereka yang senasib untuk sama-sama membantu di kalangan mereka, memberi kekuatan dan saling mengingatkan, kerana saya positif, mereka lebih memahami.

Mungkin, untuk sementara waktu, ini keputusan yang terbaik, biarkan dahulu mereka mencari penyelesaian.. Esok atau lusa, bergantung kepada situasi, mungkin tindakan lain pula yang patut kami laksanakan.. Allah ya Allah.. Semoga Kau merahmati dan memberkati, tunjukilah kami jalan yang lurus..

Ayuh, doakan kesejahteraan dan keselamatan, buat mereka, dan kita juga.

Wassalam.

Siapa Manusia Terbaik?

Bismillahirrahmanirrahim..

Firman Allah dalam surah At-Tin, ayat 4 -6

"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)."

"Kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah, "

"Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus. "

Justeru itu, kita mahu yang mana?

Betapa Allah memberi pilihan di tangan kita, setelah Dia menciptakan kita dalam bentuk yang sebaik-baiknya, seandainya kita menyalahgunakan anugerah Allah, kita akan ditempatkan ke tempat yang paling rendah, namun seandainya kita memilih untuk beriman dan melakukan amalan soleh, maka kitalah sebaik-baik manusia.

Persoalannya, kita yang mana satu?

Allahu Allah, ampunkanlah segala dosa-dosa kesalahan kami. Amin ya rabb..

Wallahua'alam.

Monday, March 15, 2010

Teruknya Result SPM!! La Tahzan, Allah Kan Ada

Bismillahirrahmanirrahim..

Selawat dan salam buat Nabi Junjungan, Muhammad saw. Apa khabar anda semuanya? Khabar apa hari ini? Moga-moga, kehidupan hari ini lebih baik dari hari semalam, insyaAllah.

Alhamdulillah, minggu lepas, adik-adik kita yang menduduki peperiksaan SPM 2009 selamat mendapat keputusan mereka. Alhamdulillah, syukur dan tahniah kepada mereka yang berjaya dengan cemerlang dan mencapai target. Alhamdulillah. Terimbas kenangan kira-kira 10 tahun yang lepas, di mana saya juga pernah muda, pernah menduduki peperiksaan SPM dan pernah melalui pengalaman indah-saat menatap kertas putih tersenarai semua keputusan peperiksaan saya. Puji dan syukur kepada Allah, saya juga mendapat semua A dalam semua subjek yang diambil. Alhamdulillah. Berkat doa ibu dan ayah serta guru-guru.

Bukan mahu mendabik dada, dan bukan juga mahu membuka pekong di dada, suka saya kongsikan kisah saya di sini, agar dapat menjadi pengajaran dan iktibar kepada adik-adik sekalian. Semoga, segala kesilapan yang pernah saya lakukan sebelum ini, tidak diulangi oleh adik-adik yang dirahmati Allah.

Di kampung, saya agak terkenal dan menjadi buah mulut orang kampung kerana kejayaan saya dalam setiap peperiksaan yang saya ambil. Mulanya dari peperiksaan UPSR, saya cuma tidak mendapat A untuk satu subjek, ketika peperiksaan PMR saya mendapat semua A dalam 8 subjek yang saya ambil dan begitu juga dalam peperiksaan SPM, saya mendapat semua A dalam kesemua 10 subjek yang saya ambil.

Waktu itu saya percaya, apa yang saya usahakan, itulah yang saya dapat. Saya berjaya kerana kerajinan saya, kerana kesungguhan dan usaha keras saya. Dan waktu itu saya lupa, semuanya terjadi hanya dengan izin ALlah. Astagfirullahalazim.

Kejayaan bukanlah sesuatu yang boleh diwarisi. Hari ini kita cemerlang, esok belum tentu. Hari ini kita berada di atas, esok mungkin tempat kita di bawah. Semuanya berlaku dengan kekuasaan Allah. Kejayaan juga bukanlah sesuatu yang mudah untuk diperolehi, perlukan pengorbanan dan tuntutan usaha yang berpanjangan. Sekali leka, terbabas dan mungkin binasa. Itu jugalah yang terjadi kepada diri saya. Leka dan alpa, dari seorang pelajar yang sentiasa mengumpul A, akhirnya saya kenal juga erti gagal. Indah cuma sementara. Bahagia cuma seketika.

Jadi, pesan saya kepada mereka yang berjaya, teruskan usaha dan ulangilah kejayaan itu tanpa jemu. Jangan leka, jangan alpa, jangan berehat walau seketika kerana ketahuilah, mati itulah sebaik-baik tempat untuk kita beristirehat. Jangan berhenti berlari. Kejarlah impian biarpun setinggi langit.

Hidup ini cuma sekali, peluang yang hadir mungkin sekali. Hargai apa yang anda miliki hari ini dan manfaatkan sebaik yang mungkin. Jangan mengalah, jangan beralah. Jangan mengaku kalah, sebelum berusaha hingga ke titisan keringat terakhir.

Bagi adik-adik yang tidak mendapat apa yang diimpikan, sabarlah dengan ketentuan Ilahi. Allah tidak ciptakan sesuatu untuk sia-sia, pasti ada hikmah yang tersembunyi. SPM bukanlah berakhirnya sesuatu kehidupan, cuma sekadar tiket untuk menempah tempat di universiti.

Andaikan tiket itu sekarang tidak menjadi milikmu, ikhtiarkan cara lain tapi ingat, jangan mengalah. Jangan berputus asa, teruskan perjuangan, cita-cita yang ada masih berpotensi untuk direalisasikan. Jika tiket kapal terbang tidak menjadi milikmu, usahakan cara lain pula. Tak mengapa sekiranya terpaksa berbasikal atau menaiki keretapi yang panjang sekalipun. Asalkan terus berusaha dan mencari penyelesaian. InsyaAllah kejayaan juga akan menjadi milikmu kelak.

Allah juga berfirman, mintalah pertolongan dari-Nya dengan jalan mengerjakan solat dan bersabar. Oleh itu, teruskan berdoa dan berusaha dengan penuh kesabaran. Mudah-mudahan Allah memakbulkan doa-doa kita semua.

"Perkara yang paling mudah untuk dilakukan adalah mengalah"

Justeru, pilihan di tangan kita, ingatlah, bukan senang mahu senang, bukan susah mahu susah.. Tunjukilah kami jalan yang benar, berikanlah kami kekuatan..

Amin ya rabb..

Sunday, March 14, 2010

Seindah Rama-Rama


Rama-rama..
Puisi ini buat kamu dan juga aku.

Rama-rama..
Mereka lihat kau ciptaan Ilahi yang indah,
Mereka cemburu liuk lentokmu menari di udara,
Mereka kagum dengan baktimu demi kesinambungan pepohon,
Mereka gembira melihat kau menari dari bunga ke bunga.

Namun..

Apakah mereka tahu resah gelisahmu?
Perit sukar yang telah kamu tempuhi?
Rintangan mendatang..
Seringkali tidak terjangka...

Ulat hodoh kini rama-rama indah.
Bukan suatu yang mudah.
Semuanya kerana Allah.

Aku ingin..

Seindah rama-rama.
Biar mereka melihat aku indah.
Biar mereka melihat aku bahagia.
Ku tanggung sendiri perit dan resah.

Seindah rama-rama..
Menari di taman bunga...
Bahagia..
Seperti rama-rama...


Thursday, March 11, 2010

Buatmu Muslimah

Bismillahirrahmanirrahim..

Semoga semuanya sihat walafiat, sejahtera dan selamat sentiasa di bawah naungan kasih limpah rahmat Ilahi, insyaAllah..

Saban hari, ramai sahabat menamatkan zaman bujang mereka, alhamdulillah, saya tumpang gembira, tak kurang juga, sudah ramai yang melangkah selangkah lagi ke hadapan. Memikul amanah bergelar ibu dan bapa. Alhamdulillah. Maha suci Allah. Semoga menjadi ibu dan ayah yang soleh dan solehah, memimpin tangan anak-anak ke syurga. Amin..

InsyaAllah juga, penghujung bulan Mei ini, teman serumah saya, Farhana akan mengikut jejak langkah sahabat-sahabat yang lain. Beliau bakal mendirikan rumah tangga dengan lelaki idamannya (insyaAllah soleh) ketika cuti sekolah kelak. Begitu juga teman serumah yang kini bertukar kerja ke Kelantan, Azuanaira, juga akan bergelar isteri insyaAllah awal bulan June kelak.

Sama-sama kita tadahkan tangan, memohon dari Ilahi agar segalanya dipermudahkan, insyaAllah.

Kepada mereka yang masih tercari-cari dan mencari-cari, banyakkan bersabar.. InsyaAllah, jodoh kita telah tertulis, cuma mungkin sekarang bukan masanya yang sesuai untuk kita dipertemukan. Bukan cepat atau lambat menjadi ukuran, tetapi sejauh mana persediaan kita menghadapinya bila tiba saat itu, itulah yang paling utama.

Mungkin sekarang si dia sedang persiapkan dirinya untuk menjadi suami dan ayah yang soleh maka justeru itu, elok kita ambil kesempatan untuk persiapkan diri kita juga, untuk menjadi isteri dan ibu yang solehah.

Ada yang sanggup menolak lamaran yang datang, dengan alasan dia tidak cukup baik untuk kita waima ada juga yang menolak kerana beranggapan, kita tidak cukup baik untuk dia. Adakah ini suatu tindakan yang wajar?

Lelaki yang baik untuk wanita yang baik. Selain mencari yang baik, adalah lebih elok sekiranya kita menjadi yang baik terlebih dahulu. Dakwat setitik tidak mungkin mengubah air selautan tetapi ia sudah memadai untuk menukar warna secawan air. Dimana, usaha yang kecil, tindakan kita sendiri, mungkin tidak mampu mengubah orang lain, tapi sebenarnya sudah mencukupi untuk merubah masa depan kita sendiri, dengan izin Allah, insyaAllah.

Ramai yang murung dan stress memikirkan soal jodoh. Ada rasa cemburu melihat sahabat-sahabat lain semuanya berpasangan, burung-burung juga terbang berdua. Ada yang risau memikirkan masa depan, andai selamanya sendirian, siapa yang akan menemani diri kita saat-saat menghabiskan sisa-sisa kehidupan di hari tua kelak. Siapa yang akan menghiburkan hati, menemani saat susah dan senang, siapa yang sudi berdiri di sebelah kita, memimpin tangan kita, mengharungi gelora dan taufan kehidupan yang selalunya sukar diramal?

Dalam apa jua keadaan, ingatlah, Allah sentiasa ada bersama kita.

Biar susah, biar senang, Allah sentiasa ada. Andai hati terasa hiba dan duka, luahkanlah kepada-Nya, Dia maha mendengar. Yakinlah dengan kekuasaan Allah, jangan berhenti berdoa dan memohon kepada-Nya. Perbanyakkan amal ibadat dan mengingati Allah..

Hasbunallahuwani'malwakil.. Cukuplah Allah sebagai pembantuku...

Wednesday, March 10, 2010

Dosa Tidak Terampun

Asap bas memenuhi ruang, entah gas beracun apa yang berjaya masuk ke rongga tekakku juga aku tidak pasti. Kasihan juga mengenangkan nasib paru-paru aku yang telah dinodai, tapi aku juga tiada pilihan. Mahu lari ke mana? Mahu menyorok di mana? Karang leka sekejap tak pasal-pasal aku terlepas bas terakhir pada petang itu.

Pekan ini kecil saja. Penghuninya juga tidak seramai bandar-bandar besar, jauh sekali bezanya dengan bandaraya Kuala Lumpur. Aku memerhati sekelilingku. Melepaskan rindu barangkali. Pekan ini tempat aku membesar. Sudah bertahun aku tidak menjejak kaki ke pekan ini, dek tuntutan ilmu yang memaksa aku keluar dari kepompongku. Oh, benar kata emak aku, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Jadi eloklah kita ke negeri orang, mengutip emas di sana dan membawanya pulang ke negeri kita. Moga aku jadi manusia yang bermanfaat.

Sudah 45 minit aku duduk di situ menanti dan terus menanti kelibat bas mini bernombor 70. Masih tidak menampakkan bayangnya. Sekali sekala aku mendengus kecil, menatap jam di pergelangan tangan kiriku. Puas duduk aku berdiri, puas berdiri aku tergaru-garu meniru gaya sang monyet, menghiburkan hatiku sendiri gamaknya, aha~

"Nak, pakcik jual ubat," tiba-tiba seorang pakcik tua menegur aku dari belakang. Aku tersenyum lega, setidaknya aku ada teman untuk bersembang, berborak, berbicara atau apa sahaja asalkan aku tidak bosan.

"Pakcik jual ubat apa?" aku bertanya buat-buat berminat, apa-apalah asalkan bibir aku tidak beku kerana tidak bercakap sepatah apa sejak lebih 7 jam yang lalu.

"Macam-macam ada, ubat kurap pun ada," pakcik itu menjawab, sambil tangannya membuka beg yang disandangnya. Dalam hati aku terdetik, kantoilah, pakcik itu terlihat gelagat aku tergaru-garu sebentar tadi.

"Takpelah pakcik, saya tak nak ubat, terima kasih ya.." aku cuba menolak lembut, dah memang niat aku tak nak beli, karang penat je pakcik tu bazirkan liur dia memujuk, sia-sia saja.

Diam seketika. Pakcik itu kemudiannya duduk di bangku sebelah aku. Dalam hati aku lega, ada harapan boleh ajak sembang. Hehe..

"Pakcik nak pegi mana?" Aku mulakan bicara setelah kami menyepi beberapa ketika. Sedih juga aku lihat dia, dah tua begitu, patutnya duduk di rumah berehat bersama anak cucu habiskan sisa-sisa kehidupan, tak perlu lagi keluar mencari rezeki. Peluh menitik membasahi dahinya, lagi la buat aku simpati.

"Balik rumah.." jawab dia ringkas. Panas juga hati aku, tapi aku sabarkan diri, mana boleh memaksa orang. Tambah lagi orang tua.

"Rumah pakcik kat mana?" dengan suara lemak merdu aku bertanya lagi. Sungguh aku terasa ingin tahu.

"Oh.. Kampung Deli," untung dia jawab menepati soalan. Niat di hati mahu bertanya soalan selanjutnya, tapi aku batalkan seketika setelah melihat rupa sedih pakcik di sebelahku itu. Dia memandang kehadapan, terlalu jauh kehadapan ibarat menembusi sepuluh dimensi lagaknya.
Matanya berkaca. Aku mula berasa lemah. Bukan apa, sejantan-jantan aku pun, perasaan belas dan simpati juga menebal dalam jiwa aku. Well... Aku juga manusia. Ada perasaan.

"Kau masih ada ayah? Bungkusan tu untuk ayah kau?" sebelum sempat aku bertanya, pakcik tua itu mendahului carta sambil menunjukkan bungkusan hadiah disebelah kanan aku.

"Ada, alhamdulillah, aah, kain pelekat untuk ayah." aku menjawab penuh kesyukuran.

"Beruntung ayah kau ada anak macam kau.." ujar pakcik tua itu sayu, lemah bunyinya.. Dia tunduk merenung tanah yang dipijaknya.

"Ermm.. pakcik tiada anak?" aku beranikan diri bertanya setelah kami sepi beberapa ketika.

"Ada.. tapi derang benci aku, derang buang aku! tak mengaku aku ayah mereka.." jawab pakcik itu dengan nada yang bercampur baur. Ada sedih, ada kesal, ada marah. Entahlah, tak reti pula aku mentafsirkannya.

"Sabarlah pakcik.. dugaan untuk pakcik.. mungkin sekarang mereka begitu, insyaAllah suatu hari nanti bila mereka sedar kesilapan mereka, mereka akan kembali pada pakcik.. banyakkan berdoa ya pakcik.." aku cuba memujuk, skrip sebegitu selalu aku lihat di kebanyakan drama melayu semenjak aku kanak-kanak, tak susah melakonkannya semula.

Tidak semena-mena lelaki tua berambut putih berbaju lusuh itu menangis teresak-esak. Aku menjadi cuak, melihat kanan dan kiri, takut kalau-kalau ada orang lalu lalang yang salah sangka melihat drama sebabak itu.

"Tak mungkin mereka kembali pada aku, mereka benci aku.." dalam sendu pakcik itu bersuara.

"Aku banyak dosa. Tuhan mahu hukum aku..." sambung dia lagi. Aku terkedu, tidak terkata apa sekadar mengusap bahunya perlahan-lahan dengan harapan agar dia lebih tenang.

Belum sempat dia menyambung kata-katanya, kelibat bas mini nombor 71 menghampiri, cepat-cepat aku berdiri lalu menahannya. Bas itu berhenti. Aku persilakan pakcik tua itu naik dahulu kemudian aku mengikut dari belakang. Sepanjang perjalanan, aku diam. Mindaku bergerak. Banyak persoalan bermain di kepala aku. Bagaimana tergamaknya anak-anak memperlakukan ayah sendiri sebegitu. Ayah yang membesarkan, ayah yang bertangungjawab membawanya ke muka bumi Tuhan yang indah ini. Sungguh. Tak terjangkau dek akalku.

Sampai ke destinasi yang ingin di tuju. Aku menekan loceng bas. Serta merta pemandu bas menekan brek. Setelah bas berhenti, aku menyusun langkah turun dari bas. Tersentak, pakcik tua tadi juga turun bersama.

Kami berjalan seiring, tidak jauh dari tempat kami berdiri, kelihatan sekumpulan kanak-kanak sedang bermain sesama mereka. Sebaik sahaja terlihat kami, mereka berhenti bergurau, berseloka, mereka diam seketika kemudian berbisik antara satu sama lain.

"Perogol! Perogol!" berulang kali mereka menjerit ke arah kami, aku bingung tidak mengerti apa-apa. Memandang ke arah lelaki tua yang berdiri sebelahku. Dia membisu, cuba menyembunyikan wajahnya.

" Abang Idham! Jangan dekat dengan lelaki keji itu. Dia jahat!" suara kecil memanggil namaku, aku memandang tepat ke arah empunya suara.

"Kenapa? Tak baik panggil orang begitu... dah.. dah.. mari balik rumah," aku baru perasan kelibat adik bongsuku dalam kumpulan kanak-kanak itu. Aku memimpin tangan adikku lalu kami beriringan berjalan pulang ke rumah.

"Abang tak kenal dia ke?" adik aku bertanya. Aku geleng kepala.

"Dia jahat bang, baru keluar penjara. Dia rogol semua anak dia... Semua orang tahu.." celoteh adikku.

Astagfirullah.. aku bagaikan tersentak. Bumi bagaikan berputar laju. Ya ALlah, betapa nazaknya masyarakat sekitarku ini Ya Tuhan.. Dalam hati aku merintih...


Tuesday, March 9, 2010

Anugerah Allah Tidak Terhitung

Dimulai dengan nama ALlah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..

Selawat dan salam buat nabi junjungan, apa khabar sahabat sekalian? Semoga sentiasa sihat sejahtera, selamat dan semangat di bawah naungan kasih limpah rahmat Ilahi.. Senyum-senyum sokmo deh.. ^_^

Kali ini saya ingin berkongsi dengan sahabat blogger yang saya kasihi.. Alhamdulillah.. Syukur ke hadrat Ilahi, Dia yang menciptakan, Dia yang maha berkuasa, menentukan segalanya..

Syukur ke hadrat Ilahi. Hari ini saya mendapat dua berita gembira. Alhamdulillah.. Dalam kesempitan, bingung memikirkan masa depan, Allah tidak biarkan saya sendirian. Dia tahu sejauh mana saya mampu bertahan, Dia tahu kekuatan saya sebesar mana, sungguh, saya rasa benar-benar disayangi-Nya. Betapa Allah Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui..

Tika lutut ini terasa lemah, hampir mengalah dengan dugaan mendatang, Allah datangkan saya mereka yang sudi memimpin tangan, memberi kekuatan kepada saya.. Mereka tidak jemu memberi sokongan, menjafdi kekuatan buat diri ini. Sungguh, saya tidak rasa saya keseorangan di dunia ini. Mereka sentiasa ada, membisikkan kata-kata semangat, memberi idea dan pandangan, alhamdulillah.

Hidup kian bererti bila ketentuan Allah mengubah segalanya. Tanpa kita rancang, tanpa kita duga, pertolongan Allah datang tanpa kita sangka-sangka. Tanpa diminta, syukur kerana ada yang sudi hulurkan tangan, sama-sama merancang untuk kehidupan akan datang. Terima kasih Allah atas segala-galanya.

Berita kedua adalah, alhamdulillah, saya dah bertemu dengan pihak yang sanggup terbitkan buku saya yang akan datang. Allah ya rabb. Syukur pada-Mu Tuhan.. Sungguh banyak kebaikan-Mu terhadapku.. Sungguh banyak pemberian-Mu kepada ku.. Terima kasih Allah.. Alhamdulillah..

Kepada semua, maaf saya asik meminta-minta dari kalian, minta doa dari sahabat semua. Doakan agar semuanya lancar ya.. Saya perlukan doa dan restu sahabat yang dikasihi Allah. Kalian juga besar nilainya buat diri saya..

Dan kepada sahabat yang dikasihi, jangan berhenti berharap, jangan pernah penat berdoa dan memohon kepada ALLAH. Dia sentiasa ada bersama kita, mendengar rintihan kita. InsyaAllah, sampai masanya walaupun kita tidak tahu bila, Dia akan makbulkan jua doa-doa kita itu, insyaAllah.

Sentiasalah berbaik sangka kepada Allah, optimis dan positif.. Andai hari ini kita jatuh, tidak bermakna selama-lamanya tempat kita di bawah.

Usaha. Bangkit. Mohon bantuan dari Allah. Firman Allah..

"Mohonlah pertolongan dari Aku dengan jalan mengerjakan solat, dan bersabar.."

Moga Allah permudahkan segala urusan, amin ya rabb..

Friday, March 5, 2010

Tolong Beri Saya Ilham

Bismillahirrahmanirrahim...

Dimulai dengan nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.. Selamat hari Jumaat, moga peroleh keberkatan. ^_^

InsyaAllah, dalam perancangan saya, saya bercadang untuk hasilkan sebuah buku, mungkin juga kompilasi entri terbaik dari blog semut2comel, dengan penambahbaikkan serta dicambahkan lagi idea-idea di dalamnya agar lebih detail, lebih teratur, lebih menyentuh hati dan lebih bermanfaat, insyaAllah.

Buku tersebut pastinya istimewa, ideanya saja dari entri blog ini, tapi isi dalamnya insyaALLAH jauh lebih mantap. InsyaAllah, saya akan cuba usahakannya.

Namun begitu, saya mohon pandangan sahabat sekalian untuk memberi sedikit sebanyak idea, contohnya dengan menyatakan kepada saya, entri yang benar-benar berkesan, bermakna dan memberikan motivasi kepada kalian.

Contohnya, saya suka entri "Seteguh dahan kelapa" dan "Pelangi terindah". Anda bagaimana?

Rangka buku tersebut sudah ada dalam minda saya, bagaimana buku tersebut? Tunggu.... Dan jangan lupa doakan untuk saya ya.. Saya mohon..

Saya susun sepuluh jari mohon maaf andai ada salah dan silap, terlebih terkurang, terlajak tersasul sepanjang saya menulis di semut2comel. Jutaan terima kasih, penghargaan yang tidak terhingga kepada anda semua yang setia menyokong saya. JZKK.

Nantikan kelahiran 'baby' pertama saya (buku), insyaAllah tajuknya "Mencari Sebuah Destinasi"

Salam takzim.

Thursday, March 4, 2010

Tears in Water



~In this life~

~ There's no one life perfect~

~Everyone has a lack of something~

~Everyone's life has been designed with imperfections~

~You may not want it but it will follow you~

~I used to hate my imperfection~

~But now i have learn to accept it with my open arms~

~Because now~

~I do understand~

~The flaw in life is like spike on our backs~

~Reminding us to be humble and to emphasize with others~

~If there is no depression~

~We cannot emphatise and console those who are less fortunate..~

~I also believe~

~That life cannot be too perfect~

~Having a crack~

~To let happiness flow to others is a beautiful thing~

~You don't have to have everything~

~If you have everything~

~What's left for the others?~

~Also~

~Recognize that life has flaws~

~I will not compare myself with others~

~Instead cherish what i already have~

~So don't envying others~

~What you have~

~Although not lovable~

~Is very much part of your life~


~Accept~


~And appreciate it!!~

~And your life will be much happier~

~If you are a clam~

~Do you want to bear all the pains~

~To produce a pearl~

~Or you do not want the pearl~

~And choose to live comfortably?~


~If you are a mouse~


~You suddenly find yourself captured in a rat trap~

~In front of you is a piece of delicious cake~

~Do you eat the cake?~

~Early piggy banks are made of clay~

~Once it is filled~

~It has to be broken~

~If there is such a piggy bank~

~No money has been put into it~

~Until today and it has become a very priceless antique~

~Which piggy bank do you want to be?~

~Everytime you think of it..~

~Note down your answers..~

~Until a day..~

~When your answers does not change..~

~Then you are mature..~

~Go and find..~

~Someone who understand you..~

~And also hope~

~ You are that someone~

~Who understands him/her..~

~The intelligent~

~Like to guess people's heart..~

~Although every time they get it right..~

~They will lose their own~

~The innocent and naive~

~Love to give their heart~

~Although they get laughed at every time~

~But they would have won other people's hearts~

~The fish said~

"I can see my tears because i am in the water.."

~The water said~

"I can feel your tears, because you are in my heart"


.:: ShAriNg iS cArInG, cArInG iS LoViNg.. ::.

.:: DeAr aLL... i LoVe YoU ::.



Re-Post :

Tears In The Water

Lessons from the 'Missing Piece'

Posted by AsNiza at 6/19/2009 06:12:00 PM






Wednesday, March 3, 2010

Biarlah Kerana Allah


Dimulai dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..

Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat). Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.

Muhasabah buat diri ini dan teguran untuk sahabat/adik-adik yang saya cintai.. Pentingnya niat dalam kehidupan seharian kita. Betapa pentingnya niat dalam apa jua yang kita lakukan kerana sesungguhnya, Allah itu Maha Mengetahui segala apa yang kita lakukan atau apa yang ada di dada (hati) kita.

Tak mungkin dan mustahil kita dapat menipu Allah, kekuasaan Allah meliputi langit dan bumi, segalanya terjadi dengan izin-Nya, begitu juga dengan apa yang akan kita lakukan atau apa jua yang telah kita lakukan, semuanya hanya dengan izin Allah.

Jagalah hati, lakukanlah kebaikan dan ikhlaskan niat, hanya kerana Allah, hanya kerana mengharapkan ganjaran pahala dari Allah, hanya kerana kita yakin dan percaya kepada rukun iman ke-dua, malaikat sentiasa mencatat amalan kita dan rukun iman ke-lima yakni wujudnya hari kiamat dan kita akan dibangkitkan semula, segala amalan kita, baik atau buruk akan dihitung dan di beri ganjaran yang setimpal dengannya. Mudah-mudahan, baiklah amalan kita, baiklah niat kita dan baiklah ganjaran buat kita. Amin..

Kenapa kita dicipta? Untuk apa? Kenapa kita berada di dunia ini? Kenapa kita di sini? Adakah kita pernah meminta agar kita dilahirkan ke dunia ini? Adakah kita milik kita sepenuhnya? Kita milik siapa? Jasad kita milik siapa? Roh kita milik siapa? Siapa yang berhak? Siapa yang berkuasa untuk segalanya? Siapakah kita sebenarnya? Ke manakah arah tuju kita? Apa matlamat kita? Syurga atau neraka??

Astaghfirullahalazim.. Dalam apa jua yang kita lakukan, lakukanlah kerana Allah. Kerana sesungguhnya Allah Maha Melihat dan Dia Maha Adil. Setiap apa yang kita lakukan, samada baik atau buruk, pasti mendapat ganjaran.

Hebatnya sepotong niat. Ada manusia yang berbuat kebaikan, namun segalanya sia-sia kerana niat yang tidak baik, tidak ikhlas. Berbuat baik untuk mendapat pujian, berbuat baik untuk mendapat nama, berbuat baik untuk menambahkan populariti, berbuat baik untuk di pandang tinggi, berbuat baik agar di pandang mulia, berbuat baik untuk mendapat ganjaran duniawi, astagfirullahalazim, naauzubillahiminzalik..

Saya suka pepatah ini.. Keikhlasan ibarat semut hitam di atas batu hitam di malam yang gelap, sukar untuk dilihat tapi ternyata dia wujud. Biarlah mata manusia tidak dapat melihatnya namun Allah tidak pernah sesaat terlepas daripada melihatnya.

Ayuh, kita 'sibukkan' malaikat di bahu kanan kita, mencatat amalan kebaikan kita. Perbanyakkan amalan, lakukanlah kebaikan dan yang paling penting, ikhlaskan niat, hanya kerana Allah Ta'ala.

Semoga syurga menjadi matlamat dan impian kita semua. Semoga kita sentiasa di jalan yang lurus dan tidak tergelincir walau seinci atau sesaatpun. Cintailah Allah, cintailah kitab Allah, contohilah keperibadian Rasul tercinta Muhammad SAW.. Maha Suci Allah, segala pujian hanya bagi Allah.

Wassalam

Tuesday, March 2, 2010

Kepada-Nya Kita Kembali

Bismillahirrahmanirrahim..

Pejam celik, kita sekarang sudah masuk bulan Mac, Alhamdulillah masih lagi diberi keizinan oleh-Nya untuk terus bernafas di muka bumi Allah yang indah ini, Maha Suci Allah.

Tanah yang kita pijak, langit yang kita junjung, air yang kita minum, udara yang kita sedut, makanan yang kita makan, semuanya anugerah dan pinjaman dari-Nya. Dia memberi kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan berhak mengambilnya bila-bila masa sahaja, sesuai dengan kekuasaan-Nya.

Baru-baru ini, kita gempar dengan kejadian gempa bumi yang melanda Chile. Sebelum itu, Kepulauan Haiti juga hampir musnah, lumpuh keseluruhannya bila turut dilanda gempa bumi. Maha Suci Allah yang Maha Berkuasa. Kun Fayakun, sekelip mata saja semuanya dimusnahkan.

Peringatan daripada Allah buat kita semua..

Allah yang menciptakan angin. Dengan kelajuan tertentu, membawa zarah-zarah air, menolak awan dari tempat basah ke tempat yang kering. Di situ, awan tumpahkan airnya. Membasahi bumi yang kontang. Memberi rahmat kepada seluruh hidupan. Namun, seandainya kelajuan angin dilajukan lebih sedikit dari biasa, ia akan menjadi taufan yang boleh menerbangkan bumbung-bumbung rumah, pokok-pokok.

Tidak cukupkah peringatan Allah kepada kita?

Malangnya, ramai manusia yang tidak menyedari kekuasaan Allah, tidak bersyukur, alpa dan leka. Lalu Allah datangkan lagi angin yang lebih laju, maka seluruh bumi akan menjadi musnah, dan bila tiba saat ini, semuanya sudah terlambat, tiada gunanya lagi penyesalan..

Allah telah banyak berbuat baik kepada kita.. Tapi kenapa kita masih tidak mahu bersyukur?

Allah ciptakan segalanya di muka bumi ini untuk kita manfaatkan, tapi kita sering mensia-siakan, malahan makan dan minum segala anugerah Allah dengan angkuh dan bongkak. Kononnya rezeki itu hasil titik peluh kita, kononnya makanan itu hasil kerja kuat kita. Astagfirullahalazim.. Kenapa manusia mudah benar lupa diri?

Kita selalu lupakan Allah bila kita berjaya. Kita bangga dengan harta kekayaan kita, dengan keputusan peperiksaan yang cemerlang, dengan suami/isteri yang kacak/lawa. Bangga dengan rumah yang besar, kereta besar, anak-anak yang comel. Kita bongkak, seronok bila dipuji. Kononnya kitalah yang terbaik. Kita lupa Allah yang Maha Pencipta. Kita lupa di dunia ini kita cuma hamba..

Natijahnya..

Bila semua pinjaman itu diambil semula oleh Allah, kita mula menyalahkan takdir. Mula memusuhi Allah. Hilang arah, hilang pedoman. Kerana kita benar-benar lupa, segalanya cuma pinjaman. Kita lupa pada takdir dan suratan Ilahi, pada qada' dan qadar. Kita lupa, selain kita, ada Dia yang Maha Berkuasa menentukan segalanya.

Tertarik dengan kisah Ummu Sulaim.. Contoh isteri teladan..

Ditakdirkan Allah, anaknya meninggal dunia ketika suaminya tiada di rumah, dengan tabah dan tenang, beliau menguruskan jenazah anaknya, dimandikan, dikafankan dan diletakkan di tempat tidur seolah-olah dia sedang tidur, tiada apa-apa yang berlaku.

Sebaik sahaja suaminya pulang.. Ummu Sulaim melayani suaminya sebaik mungkin, di jamu makan dan dibiarkan suaminya tenang dahulu. Setelah yakin dengan keadaan suaminya, barulah dia memaklumkan kepada suaminya, bahawa anak mereka telah kembali ke rahmatullah..

Mulanya suaminya sedih dan marah..Namun Ummu Sulaim berkata..

"Adakah wajar kita marah apabila orang yang pinjamkan barang kepada kita mahu mengambil semula barangnya itu?"

Suaminya menjawab, "Tidak wajar".

Lalu Ummu Sulaim berkata.. "Innalillahiwainna ilaihirajiun"

Kemudian suaminya turut melafazkan Innalillahiwainnailaihirajiun.. Redha dengan ketentuan Ilahi.

Begitu mulianya sikap mereka. Tenang dan sabar ketika menghadapi musibah yang mendatang. Redha dengan apa jua takdir Ilahi.

Kita pula bagaimana?

Muhasabah diri, terlalu banyak kelemahan diri ini. Astagfirullahalazim.