+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Sunday, November 4, 2012

Usia 'Saya' Belum 5 Tahun

 
 My 'turning point'. (Correction - It was not May 2007, but May 2008)



Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamualaikum wbt..

Alhamdulillah, kita baru sahaja melewati 10 Zulhijjah, dan insyaAllah, jika panjang umur kita, tidak lama lagi kita akan menyambut Maal Hijrah. Sempena Hari Raya Aidil Adha yang juga dikenali sebagai hari raya haji atau hari raya korban, banyak ibrah dan peringatan yang dapat kita kutip darinya. Antaranya, kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail serta bonda Ismail yakni Hajar. Betapa cinta Ibrahim dan Ismail dan ketaatan mereka kepada Tuhan mengatasi segala cinta di dunia ini telah terbukti melalui peristiwa korban itu.

Seterusnya, kisah lain yang baik untuk kita jadikan iktibar dan pengjaran adalah kisah junjungan besar Nabi Muhammad saw. Betapa banyaknya pengorbanan yang telah baginda dan para sahabat telah lakukan demi menyebarkan syiar Islam ke seluruh alam. Elok juga kita hayati semula kisah di sebalik perjanjian Hudaibiah, yang awalnya seolah-olah menguntungkan pihak musyrikin - namun hakikatnya - kemenangan pada pihak muslimin pada kemudian hari jauh lebih besar. Bagaimana pula kisah Pembukaan Kota Mekah dan Haji Widak Rasulullah saw? Apakah yang telah disampaikan oleh baginda Rasul ketika khutbah terakhirnya? InsyaAllah, sempena bulan Zulhijjah ini, eloklah andai kita 'khatam' dan hayati kisah-kisah tersebut dengan jiwa yang penuh rasa cinta kepada Allah dan rasulNya.

Baik. Sempena bulan Muharam yang akan tiba.... Tentu sekali kita akan mengimbau kembali bagaimana kisah penghijrahan baginda Nabi dari Kota Mekah ke Kota Madinah. Mengapa mereka berhijrah dan apa hikmah di sebalik penghijrahan mereka? Berhijrahlah.

Saya juga, dalam proses berhijrah. Daripada 'saya yang dulu' kepada 'saya yang sekarang'. Bagai dilahirkan semula, alhamdulillah, usia 'saya' belum lagi 5 tahun.

Membuka pekong di dada. Sekali lagi. Maaf ya... Semoga mendapat kita sama-sama peroleh manfaat darinya, mana yang baik jadikan teladan, mana yang buruk jadikan sempadan, insyaAllah.

Melalui komen-komen orang. Sahabat-sahabat yang Allah kasihi. Saya percaya. Ramai 'sahabat alam maya' yang mengenali saya melalui forum - pernah menggalas amanah ketua moderator. Menggambarkan saya sebagai seorang yang tegas. Serba boleh dan berkeyakinan tinggi.


Ada yang kenal melalui artikel yg dipublish di iluvislam. Terutamanya melalui artikel "masalah remaja" dan "masalah orang perempuan" - mudah rasa tersentuh dan 'dekat' dengan saya.


Ada pula yang mengikuti blog saya... Kata mereka, saya baik, kuat, bermotivasi tinggi dan tabah.


Pendek kata. Banyak yang positif. Alhamdulillah. Bukan kerana saya hebat. Tapi. Terima kasih Allah kerana menutup aib saya.


Hakikatnya. Saya yang "kalian kenal" hanya mula wujud pada tahun 2008. Sebelumnya itu, saya adalah "saya yang lain". Terima kasih Allah kerana 'melahirkan' saya sekali lagi.
Bila Allah mengkehendaki, sekelip mata sahaja manusia boleh berubah.

Rakan-rakan yang mengenali saya ketika di MRSM & UTM mungkin lebih mengerti... Bagaimana "saya yang dulu." Saya ini punya jiwa yang lemah. Tidak kuat. Dibesarkan dalam keadaan yang tak 'ok' - saya sering 'mengumpul masalah'. Bila ada masalah datang walaupun kecil - ingatan saya mula mengimbas semua masalah yang pernah saya lalui sejak kecil. Semua masalah datang bertimpa-timpa menyerang jiwa dan emosi saya. Dada terasa sakit. Kepala juga.


Ketika di MRSM saya pernah -bikin kecoh satu asrama- menangis menjerit-jerit bagai terkena histeria. Kerana masalah kecil. Tapi jiwa saya sangat tertekan. Begitulah hasilnya. Lebih memudaratkan apabila di UTM. Saya boleh menangis berjam-jam non stop. Menangis sampai satu blok seram mendengar esakan tangisan. Pernah ada niat ingin bunuh diri. Astaghfirullah.


Begitulah. Bila jauh dari Allah. Apabila ditimpa susah, makin jauh. Menangis dan meratap 'for nothing'. Buang masa dan tenaga.Rasa sangat sengsara. Masalah sangat besar tak mampu nak tanggung SEORANG DIRI. Hidup ini menyusahkan. Penuh derita.

"Saya yang dulu" juga tidak pernah membaca tafsir Al-Quran. Kurang pengetahuan tentang ilmu agama. Soal aurat dipandang remeh. Solat sekadar ritual, tidak tahu kenapa perlu solat. Cuma solat kerana takut berdosa. Solat saya waktu itu tidak mampu mencegah saya daripada melakukan kemungkaran. Solat saya waktu itu tidak mampu membuatkan hati saya berasa tenang. Solat saya waktu itu tidak mampu melapangkan dada yang sempit. Ampunkan dosa-dosaku Ya Allah.
 
Hidup saya waktu itu tidak kenal erti bahagia. Saya sering dihantui masa silam, penuh dengan kekesalan. Kesedihan. Hidup di dunia bagaikan tiada erti. Masa depan dirasakan kelam. Tidak kuat rasanya menempuhi segalanya seorang diri.

Tak sedar... Walhal. Allah sentiasa ada. Lupa pada Dia. Tak yakin pada kekuasaanNya. Pada takdir. KetentuanNya. Tak rasa ada hubungan denganNya. Solat sekadar pergerakan jasad. Baca Quran sekadar ucapan pada lidah. Hidup di dunia bagai tiada tujuan. Tak yakin sungguh-sungguh bahawa mati itu pasti. Selepas mati ada hari akhirat yang abadi.

Begitulah. Bila iman di dada tiada.


Alhamdulillah. Walaupun sejahat mana pun saya. Walaupun telah banyak saya mengingkari suruhan dan laranganNya.. Dia masih sayangkan saya. Dia tidak matikan saya dalam keadaan 'jahiliah' itu. Terima kasih sangat-sangat-sangat.


Dia masih memberi saya peluang untuk hidup hingga ke saat ini. Agar saya dapat bertaubat. Mensuci dosa. Memohon ampun. Memperbetulkan kesilapan. Menambah bekalan ke syurga insyaAllah. Menjadi manusia yang lebih baik dengan izinNya. Allah baikkkkkkk sangatttttt....♥♥♥♥♥


Alhamdulillah. Saya telah banyak berubah. Hidup saya kini lebih tenang. Bukan kerana masalah saya telah berkurang, tapi kerana saya bertambah kuat apabila saya yakin dan percaya pada Allah. Hanya pada Dia tempat berserah diri dan memohon. Saya masih menangis.. Tapi tidak lagi meracau-racau kerana Allah ada dalam tangisan saya. Dalam matlamat saya yang utama. Lebih banyak menangis kerana menginsafi diri, memohon ampunan daripada Allah agar dapat melayakkan diri ke syurga.


Jika pun hidup saya susah. Saya percaya ia akan berakhir juga. Apalah sangat kesusahan di dunia ini jika dibandingkan dengan azab api neraka.. Daripada saya sibuk memikirkan masalah saya, lebihlah baik saya memikirkan cara bagaimana mahu menyelamatkan diri daripada api neraka. Daripada saya fikir apa akan jadi pada 10 tahun akan datang, lebih baik saya fikir apa yang akan terjadi pada saya setelah dibangkitkan pada hari kiamat..


Hijrah bukan mudah. Pasti banyak cubaannya. Haruslah kuat. Dan istiqamah. Berjuang melawan segala keburukan. Terutamanya nafsu jahat dalam diri.


Tidak boleh tidak. Sebagai cara untuk menambahkan keimanan dan keyakinan kepada Allah dan hari akhirat - bacalah quran beserta maknanya. Takpe slow asalkan melekat dalam dada dan konsisten dan khatam keseluruhannya. Benar. Banyak lagi cara lain tapi pastikan khatam terjemahan quran ini ' sebagai syarat wajib untuk berhijrah'.. Insyaallah dari situ boleh menambah keimanan kita kepada Rasulullah saw.


Moga2.. Allah memilih kita untuk menjadi penghuni syurga. Kerana. Di akhirat kelak. Hanya ada dua pilihan. Antara syurga atau neraka. Tiada yang lain.


Sahabat. Doakan agar saya "yang baru dilahirkan" - masih bayi - ini terus istiqamah. Dan dapat memperbaiki diri dari semasa ke semasa. Doakan saya..


Kalau kamu jahat, Khalid Al Walid juga jahat. Menjadi penyebab terbunuhnya ramai pejuang Islam dan juga penghulu para syuhada - Saidina Hamzah r.a.. Tapi lihatlah pula bagaimana kesudahan hidupnya?


Setelah memeluk agama Islam.. Setiap perang yang dia sertai berakhir dengan kemenangan di pihak muslimin. Hinggakan digelar sebagai Saifullah..


"Wahai manusia yang melampaui batas, janganlah kamu berputus asa dengan rahmat Allah."


"Tidakkah engkau mengetahui bahawa segala yang ada di langit dan di bumi tunduk sujud kepada Allah dan (di antaranya termasuklah) matahari dan bulan, dan bintang-bintang, dan gunung-ganang, dan pokok-pokok kayu, dan binatang-binatang, serta sebahagian besar dari manusia? Dan banyak pula (di antara manusia) yang berhak ditimpa azab (disebabkan kekufurannya dan maksiatnya); dan (ingatlah) sesiapa yang dihinakan oleh Allah maka ia tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memuliakannya. Sesungguhnya Allah tetap melakukan apa yang dirancangkanNya." (Al-Hajj 22:18)

 

1 comment: