+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Tuesday, November 13, 2012

Jangan Sekat Teknologi Internet

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamualaikum wbt..



Alhamdulillah, hari ini cuti sempena perayaan Deepavali. Dah lama Mak Ngah tak merasa nikmat - bersenang-lenang depan laptop - macam ini. Alhamdulillah, Allah izinkan. Hari ini, dari pagi hingga ke saat ini, Mak Ngah masih lagi mengadap laptop sendirian tanpa gangguan, hehe.

Baik. Kali ini, Mak Ngah nak bebel-bebel sikit, pasal teknologi internet. Al-maklumlah, sekarang ini, semua lapisan masyarakat tidak kira orang dewasa mahupun kanak-kanak, semuanya sudah terdedah bahkan terjebak dengannya. Amni, anak saudara saya yang baru berusia 2 tahun, sangat aktif menggunakan you tube. Dah tahu nak browse dan pilih video-video yang digemarinya. Manakala Ashraf pula, baru berusia 8 tahun, sejak tahun lepas sudah tahu menggunakan internet untuk bermain 'game', menonton you tube. Dan kakak mereka pula, Alya, kini 11 tahun juga selalu menggunakan internet untuk Facebook. Aduhai..

Bahaya nih, jikalau tidak dipantau, mungkin lebih banyak mudarat daripada manfaat.

Internet ini, ibarat pisau. Jika digunakan untuk kebaikan, insyaAllah, kebaikan yang akan kita perolehi. Namun sebaliknya, jika ia digunakan untuk keburukan, insyaAllah juga, keburukanlah yang akan diperolehi. Oleh itu, selain akal yang waras, tahu membezakan baik dan buruk, iman juga penting untuk mengawal aktiviti-aktiviti kita dengan menggunakan internet. Rasa takwa itu perlu, yang menghadirkan rasa takut kepada Allah untuk melakukan kejahatan. 

Maka, sebab itu jugalah, peranan ibu bapa sangat penting untuk mengawal aktiviti anak-anak kerana mereka golongan yang belum matang, masih lagi tidak mampu membezakan kebaikan dengan keburukan dengan sewajarnya. Apatah lagi, sekarang ini musim cuti sekolah, masa anak-anak banyak di rumah - menggunakan internet, maka, ibubapa perlulah lebih berhati-hati dan prihatin.

Hargailah masa ketika bersama anak-anak dengan sebaik yang mungkin. Jangan disia-siakan. Manfaatkan masa bersama dengan berkualiti. Beri didikan dan kefahaman agama yang kukuh kepada anak-anak. Mereka ibarat kain putih, terserahlah kepada ibu bapa untuk mencorakkannya. Anak-anak bukan saja anugerah Allah kepada kita untuk kebahagiaan dunia, tapi, anak soleh tentu sekali 'bermanfaat' kepada kedua ibu-bapanya selepas kematian. 

Maka, suka Mak Ngah pesankan, jaga anak-anak kita baik-baik, ya? Mereka amanah daripada Allah swt. Jangan sampai internet merosakkan mereka. Benar, zaman kita dengan zaman anak-anak tidak sama. Permainan kita dengan permainan anak-anak berbeza. Namun, seiring dengan peredaran zaman juga, ibubapa haruslah memainkan peranan yang bijak. Ibu bapa juga perlukan ilmu yang lebih banyak. Lebih peka dan sensitif serta bijak dalam membuat apa jua keputusan. Demi kebaikan anak-anak.

Hebatnya internet. Dunia yang bulat ini dirasakan sangat sempit sekali. Manakan tidak. Setiap maklumat boleh disebarkan dalam masa sekelip mata melaluinya. Contohnya, hujan baru turun di  Kota Suci Mekah, beberapa minit kemudiannya, masyarakat di Malaysia yang jauhnya beribu batu sudah tahu tentangnya. Walaupun kita tidak berada di sana, namun, dengan kemajuan internet, maklumat itu cepat sampai kepada kita. Seolah-olah, kita benar-benar berada di sana.

Internet ini juga dengan mudahnya juga menjadi agen penyebar fitnah. Berita cepat tersebar ke serata dunia, sedangkan kesahihannya belum lagi terbukti. Lansung terlupa akan firman Allah swt; 

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. " (Al-Hujuraat 49:6)


Internet juga menjadi tempat para manusia mengadu-domba, meluah perasaan, membuka aib masing-masing, mendedahkan dosa dan maksiat. Tentu sekali, Facebook menjadi laman yang paling besar peranannya. Antara tanggungjawab seorang isteri adalah menjaga rahsia suami - namun, dengan adanya facebook, setiap apa jua pergolakan yang terjadi dalam rumah tangga, semuanya di dedahkan di Facebook. Maka terbukalah aib mereka suami isteri. Tiada lagi rahsia. Maka berdosalah sang isteri. Ada pula bergambar berpelukan dengan bukan mahram - lalu meletakkannya dan menyebarkannya di facebook, bagai mempromosi maksiat. Maka, bertambah lagi dosa anak cucu adam. Dengan mudahnya. Naauzubillah.

Sebenarnya. Internet ini, banyak kebaikannya jika kita tahu menggunakannya.

Contohnya, di laman youtube ada banyak ceramah-ceramah yang dikongsikan. Tiada lagi alasan untuk tidak mencari ilmu. Jika kita malas membaca, ia bukan lagi alasan untuk kita tidak menambah ilmu pengetahuan. Jika kita tidak punyai banyak masa untuk menghadiri majlis-majlis ilmu di luar sana, manfaatkan kemudahan yang ada untuk menonton video-video yang bermanfaat. Moga ilmu yang diberkati Allah bertambah. InsyaAllah. 

Selain itu, banyak juga bahan bacaan lain yang berilmiah dan sesuai dijadikan sumber rujukan. Jika mahu berjimat, tidak mahu beli buku atau susah untuk mendapat bahan bacaan, dengan adanya internet, segala macam maklumat boleh diperolehi dalam sekelip mata sahaja. Pilih dan tapislah bahan bacaan kita dengan berhemah, ya.. :)

Dunia bertambah kecil, kan?

Kawan kita di benua Eropah, boleh berkongsi apa jua file, gambar, ataupun video, ataupun bahan bacaan, ataupun cerita dengan kita yang berada di Malaysia ini bila-bila masa sahaja. Kita mudah untuk berkongsi sebarang ilmu. Saling mengingatkan antara satu sama lain. Seolah-olah kita bersentuhan bahu. Dekat jaraknya. Maha suci Allah yang menciptakan manusia yang berakal.

Okey, Mak Ngah dah lapar...

Sebelum berundur, suka Mak Ngah berpesan.. Seiring dengan peredaran masa, kita tidak boleh lari daripada apa jua 'arus' yang melanda zaman. Kalau dahulu orang berperang menggunakan keris - bolehlah kita juga berperang menggunakan keris. Dan apabila orang berperang menggunakan senapang, jangan pula kita terus masih lagi dengan keris. Kita akan terbunuh dengan mudah. Begitu juga sekarang ini, orang mula 'berperang' menggunakan internet - kita juga tidak boleh ketinggalan jauh ke belakang. Jika di internet, ada banyak kemudharatan, keburukan dan kemungkaran, menjadi tanggungjawab kita untuk 'meneutralkannya'. Memberi lebih banyak alternatif  lain yang. Menyediakan lebih banyak pilihan yang bermanfaat kepada pengguna internet. Bukan dengan mencantasnya.

Air sungai, akan terus mengalir. Jika disekat, ia akan berkumpul - daripada tenaga kinetik, ia bertukar menjadi tenaga keupayaan. Makin lama, makin besar tenaga itu - lalu - apabila ia telah sampai pada satu tahapnya, sekatan itu pasti tidak akan mampu bertahan lagi. Ia akan roboh, bencana akan terjadi. Membinasakan kawasan sekelilingnya.

Sebaik-baiknya, salurkanlah air sungai itu dengan sebaik-baiknya. Bina terusan, bina tali air. InsyaAllah, ia akan memberi banyak kebaikan bukan saja pada sungai itu, tapi juga pada tanah disekelilingnya.. Air sungai akan menyuburkan tanah dan sesuai untuk didiami pelbagai hidupan.

Wallahualam.


No comments: