+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Thursday, October 18, 2012

Kita Hidup Untuk Apa?


Kita hidup sampai bila? Apakah kita akan hidup selama-lamanya? Tidak! Ini kerana Allah telah berfirman, “Setiap yang hidup pasti akan merasai mati.”

Seterusnya, ke manakah destinasi kita yang selanjutnya selepas mati?

Apakah selepas kita mati, kita akan selamanya di dalam kubur? Di makan cacing menjadi tanah?


Atau sekadar berehat, tidur di dalam tanah yang sempit lagi gelap itu?

Tentunya tidak! Bila tiba masanya, kita akan dibangkitkan semula. Setiap amalan kita samada baik atau buruk, semuanya akan dihitung.



Sebagaimana firman Allah swt;

“Timbangan pada hari itu menjadi ukuran kebenaran. Maka barang siapa berat timbangan kebaikannya, mereka itulah orang yang beruntung.”

“Dan barang siapa ringan timbangan kebaikannya, maka mereka itulah orang yang telah merugikan dirinya sendiri, kerana mereka mengingkari ayat-ayat Kami. “ [Al-A’raf : 8-9]

Agak-agaknya, bagaimana timbangan kita? Timbangan kebaikan lebih berat atau sebaliknya? Apakah buku amalan kita diambil dari kanan atau dari kiri? Apakah ketika buku itu dibuka kita gembira dan senang atau menggigil ketakutan dan menyesal tak sudah?

Ketika hari pengadilan itu tiba. Semuanya akan dihitung, kita akan diadili seadil-adilnya.

Siapa yang akan menjawab segala pertanyaan dari Allah? Apakah mulut kita akan petah berbicara sebagaimana petahnya ketika kita masih hidup? Adakah tangan dan kaki akan membisu?

Tidak.

ALLAH berfirman di dalam al-Quran.

"Pada hari lidah mereka dan tangan mereka serta kaki mereka menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, tentang segala yang mereka lakukan." [Surah An-Nur : Ayat 24]

"Sehingga apabila mereka sampai ke neraka, pendengaran, penglihatan dan kulit mereka menjadi saksi terhadap mereka tentang apa yang mereka kerjakan".[Surah Fussilat : Ayat 20]

" Dan mereka berkata kepada kulit mereka: " Mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami?". Kulit menjawab: " Allah yang menjadikan segala sesuatu pandai berkata, telah menjadikan kami pandai (pula) berkata, dan Dia lah yang menciptakan kamu pada kali yang pertama dan hanya kepada Nya lah kamu dikembalikan". [Surah Fussilat : Ayat 21]

" Kamu se-kali2 tidak dapat bersembunyi dari persaksian pendengaran, penglihatan dan kulitmu terhadapmu bahkan kamu mengira bahwa Allah tidak mengetahui kebanyakan dari apa yang kamu kerjakan". [Surah Fussilat : Ayat 22]

Dan percayalah. Kata-kata Allah itu adalah benar dan pasti akan terjadi. Yakinlah. Kulit, penglihatan, pendengaran kita kelak akan menjadi saksi ketika kita diadili di hadapan Tuhan kelak.

Jom muhasabah. Apakah kita yakin?

Kulit, mata dan telinga kita akan memuji-muji kebaikan kita di hari pembalasan nanti? Apakah mereka akan membela kita? Menyelamatkan kita dari azab dan seksaan? Tanya diri kita sendiri. Tangan kita ini kita gunakan untuk apa? Kaki kita ini, kita langkah menuju ke tempat apa? Setiap inci kulit kita ini, apa yang telah kita lakukan padanya? Mata kita, telinga kita. Bagaimana pula?

Untuk kebaikan atau keburukan? Melakukan maksiat atau menunaikan ibadat?

Mungkinkah pendengaran kita akan berkata, “Pemilikku ini tidak pekak, tapi sengaja memekakkan telinganya. Mendengar tangisan dan rintihan saudara-saudaranya yang dizalimi namun berpeluk tubuh tidak berbuat apa!” 

Atau mungkin juga mata kita berkata, “Pemilikku ini tidak buta, tapi sengaja membutakan matanya. Melihat kemungkaran di sana sini namun tidak berusaha untuk mencegahnya!”

“Azablah dia atas apa yang telah dia lakukan!!Dia sombong! Dia angkuh! Dia tidak mensyukuri segala anugerah dan nikmat yang telah Kau berikan padanya!”

Mungkinkah begitu telinga dan mata kita akan bersuara?? Naauzubillah.

Mungkin ‘orang biasa’ cara pemikirannya mudah saja.

“Hidup. Membesar. Masuk sekolah. Masuk universiti. Berkerja. Bernikah. Mendapat anak. Mendapat cucu. Kemudian. Kiok! Mati!”

Tak jauh bezanya dengan lembu. Hanya tahu makan, mengawan, istinjak, tidur. Malah, lembu-lembu itu jauh lebih baik kerana tiada neraka untuk mereka. 

Kita??

Allah berfirman,

"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai"(Al-A'raaf 7:179)

“Harus belajar pandai-pandai supaya kelak mendapat kerja yang bagus-bagus,. Dapat gaji yang besar, kemudian hidup mewah. Makan sedap-sedap, rumah besar-besar.”

Mementingkan diri sendiri. Angkuh. Sombong. Bongkak.

“Harus memilih isteri/suami yang cantik/kacak, ada karier, penyayang, bertanggungjawab, tahu mengambil hati, mempunyai kewangan yang stabil agar rumah tangga bahagia dan terjamin. Anak cucu hidup senang . Harus mempunyai wang simpanan yang cukup supaya nanti kalau terjadi apa-apa kita tidak hidup merempat.”

Berfikiran lebih jauh, tapi belum memadai. Hidup bukan setakat itu. Dunia hanya sementara, akhirat itulah yang abadi.

“Harus menjaga diri agar disenangi orang, disayangi dan dikasihi sahabat dan saudara mara.”

Mengharapkan cinta manusia tapi lupa cinta Allah.

Dan lain-lain. Anda senaraikan. Apa yang ada di dalam minda dan hati kita saat ini? Ke mana ingin kita bawa hala tuju hidup dan mati kita??

Selepas mati, hanya dua sahaja destinasi terakhir kita. Tiada yang ke tiga. Pilihan cuma dua dan hanya salah satu darinya akan menjadi destinasi kita.

Antara syurga atau neraka. Tiada yang di tengah-tengah. Jadi, jika kita tidak ke syurga, maka ini bermakna nerakalah tempat kita. Tahukah kita bagaimana keadaan neraka dan penghuninya?? Sanggupkah kita ke sana??

Dan apakah hanya dengan menjadi ‘orang yang biasa-biasa’, kita yakin kita berjaya menempah tempat untuk kita disyurga?

Allah telah berfirman, bahawa setiap orang muslim adalah bersaudara. Apakah kita menunaikan hak saudara-saudara kita?

Nun di sana, umat Islam ditindas, dizalimi, dianiaya, diperlakukan seperti binatang. Dibunuh, ditembak, dipancung, dibom, dibakar, disepak terajang, dipijak dibelasah hingga mati. Dirogol dan dimalukan. Di aibkan. Air mata dan darah mengalir bagai sungai namun apa yang telah kita lakukan???

Allah juga telah berfirman, orang yang beruntung adalah orang yang mengajak orang lain melakukan kebaikan dan menjauhi kemungkaran. Lihatlah sekeliling kita, keluarga kita, diri kita. Layakkah kita dan mereka ke syurga??

Apakah kita adalah orang yang beruntung andai kita hanya tahu memikirkan tentang diri sendiri. Tentang diri kita, hidup kita dan masa depan kita sahaja? Kita Cuma tahu mementingkan diri kita sendiri.

Tidak mempedulikan masalah ummat. Tidak ambil kesah tentang barah dan penyakit roh dan zahir yang menular dalam masyarakat. Tidak berusaha dan tidak pula berjihad di jalan Allah. Aduh! Saya pula bagaimana?

Dari sahabat Tsauban r.a, berkata, Nabi bersabda; 

“Hampir sahaja bangsa-bangsa berkumpul menyerang kalian sebagaimana mereka berkumpul untuk menyantap makanan. Salah seorang sahabat bertanya “Apakah kerana jumlah kami sedikit saat itu?” 

Baginda menjawab” Tidak, bahkan pada saat itu jumlah kalian banyak, tapi kalian seperti buih-buih di lautan. Sungguh Allah benar-benar akan mencabut rasa takut pada hati musuh kalian dan sungguh, Allah benar-benar akan menghujamkan pada hati kalian rasa wahn.” 

Kemudian seseorang bertanya lagi, “ Apakah wahn itu?”.

Baginda menjawab, “Cinta kepada dunia dan takutkan mati.”

Hadith Riwayat Abu Daud.


“Allah, jauhilah kami dari penyakit wahn. Jangan Kau biarkan hati kami dipenuhi cinta duniawi dan lupa hari akhirat.”

“Kamu (umat Islam) adalah ummat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh berbuat yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah.” [al-Imran : 110]

“Mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, menyuruh berbuat yang makruf (kebaikan) dan mencegah dari yang mungkar dan bersegera melakukan kebajikan. Mereka termasuk orang-orang yang saleh.” [al-Imran : Ayat 114]

Moga kita menjadi orang yang luar biasa. Sedia berjihad menuju jalan Allah, menginfakkan harta kita demi ummah dan agama, mengajak dan menyeru masyarakat bersatu dan melakukan kebaikan. Dan moga-moga,kita tergolong dalam golongan yang terpilih untuk ke syurga Firdaus.

Amin ya rabb..

“WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN! JIKA KAMU MENOLONG (AGAMA) ALLAH, NESCAYA DIA AKAN MENOLONGMU DAN MENEGUHKAN KEDUDUKANMU. [ SURAH MUHAMMAD : AYAT 7 ]


[Note : Kali pertama pernah disiarkan di sini : Kita Hidup Untuk Apa? Semoga bermanfaat, insyaAllah.

No comments: