+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Sunday, November 18, 2012

Surat Umar Kepada Sungai Nil


Ketika zaman pemerintahan Khalifah Saidina Umar Al Khattab sebagai Khalifah yang Ke-dua selepas Abu Bakar As-Siddiq, Amru Al-As telah dilantik untuk mengetuai pasukan tentera Islam menakluk Mesir. Setelah berhasil menakluk Mesir, Amru al-As membangunkan sebuah kota di tepi Sungai Nil. Di situ juga didirikan sebuah masjid besar berhampiran dengan Kota Fusfat.


 
Ketika itu, para petani di Mesir biasa mengadakan upacara korban sebagai tanda kesyukuran kepada dewa Sungai Nil. Mereka memilih seorang gadis yang paling cantik untuk dijadikan korban. Amru al-As tidak senang hati dengan upacara korban itu lalu merujuk kepada Khalifah Umar Al-Khattab. Saidina Umar al-Khattab lalu mengeluarkan perintah supaya upacara itu dihentikan dan tidak boleh diadakan lagi.

 Pada tahun berikutnya, penduduk Sungai Nil tidak berani mengadakan upacara korban itu lagi kerana takut dihukum. Dengan takdir Allah, tahun itu juga kemarau panjang melanda Mesir, air Sungai Nil mulai surut. Tanah pertanian jadi kering kontang.

 
Penduduk Sungai Nil percaya, itu adalah akibat daripada kemarahan dewa Sungai Nil kerana mereka tidak mengadakan upacara korban pada tahun itu. Maka, mereka berhasrat untuk mengadakan semula upacara korban itu.

Amru al-As tetap juga tidak bersetuju upacara korban diadakan. Lalu dia mengutus surat kepada Khalifah Umar Al-Khattab bagi mengadukan masalah itu. Tidak lama kemudian, surat balasan daripada Khalifah Umar tiba..

Anehnya, surat itu bukan ditujukan kepada Amrul al-As, tapi surat itu ditujukan kepada Sungai Nil. Surat itu berbunyi..

"Daripada hamba Allah, Khalifah umat Islam. Umar bin Al-Khattab.

Surat ini ditujukan kepada Sungai Nil;

Sekiranya kamu mengalirkan air dengan kuasa kamu sendiri maka janganlah melimpahkan air. Tetapu sekiranya kamu melimpahkan air dengan izin Allah swt, Tuhan yang Maha Berkuasa, kami berdoa kepada-Nya supaya airmu melimpah sehingga lebih daripada cukup."

Amru al-As membacakan surat itu dihadapan orang ramai kemudian surat itu dilemparkan ke dalam sungai. Dengan izin Allah swt, awan mendung berarak di dada langit, kemudian hujan turun sepanjang hari sehingga air Sungai Nil melimpah semula. Sejak itu, air Sungai Nil tidak pernah kering lagi.

Allahuakbar!

-------------

Kisah ini dipetik dari buku Novel Sejarah Islam, Umar Al-Khattab Reformis Dunia Islam, karya Abdul Latip Talib.

No comments: