Beberapa tahun lepas, kita dikejutkan dengan penyebaran gambar 'berani' pelajar yang dulunya negara kita banggakan, Safiyah. Tidak cukup dengan itu, pengakuannya yang begitu 'seronok' dengan pekerjaannya sebagai pelacur kelas atasan, bagai merobek-robek hati. Sungguh mengecewakan.
Baru-baru ini, kita dikejutkan pula dengan penyebaran, berita terkini lagi sensasi, seorang lagi pelajar cemerlang 'buatan Malaysia', pelajar terbaik SPM seluruh negara pada waktunya itu, tahun 2004. Kononnya sekarang Nur Amalina telah jauh berubah, terlalu sosial dan kebaratan. Heboh di laman blog, facebook dan twitter memperkatakan tentang beliau.
Maaf saya tidak tahu cerita yang terperinci kerana tidak terlalu ambil tahu, cuma pesan saya, cukup-cukuplah menyebarkan aib orang. Mungkin benar, niat kita baik untuk saling mengingatkan. Tapi hakikatnya pula bagaimana? Banyak mana orang menerimanya secara positif, mengutip ibrah di sebalik kejadian, menjadikannya sempadan agar dapat menjaga diri dan keluarga supaya tidak mengikut jejak negatif?
Atau semuanya memberi tindak balas yang serupa. Pertama. Baca tajuk. Terkejut! Kemudian membaca isi kandungan, tengok gambar yang dikepilkan. Di dalam hati beristghfar. Sikit-sikit menyumpah. 'sia-sia je pandai!'. Dan seterusnya lagi, copy cerita dan sebarkan pula kepada teman2 yang lain.
Begitulah seterusnya lanjutan cerita. Ulangan yang entah di mana penghujungnya. Jadi, mana kebaikannya? Atau, kebaikannya apa?
Saya bukanlah ustazah. Bukan juga banyak ilmu. Tapi, suka saya ingatkan.. Allah telah banyak berbuat baik kepada kita, maka, kenapa tidak kita pula berbuat baik sesama manusia. Henti-hentikanlah menyebarkan keburukan orang lain.
Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang juga telah banyak menutup aib kita, siapalah kita untuk membuka aib orang? Apakah selama kita hidup, kita tidak pernah berbuat salah? Tapi Allah pemberi rahmat telah menutup aib kita, agar kita bisa keluar rumah mencari rezeki, menuntut ilmu mahupun berukhwah sesama manusia.
Dan ingat juga, kita tidak tahu apa yang menanti pada esok hari. Mungkin kita lebih teruk dari Nur Amalina. Hanya Allah yang tahu, oleh itu, berwaspadalah kita dalam setiap perbuatan. Jika kita tidak suka diaibkan oleh orang lain, jadi ingat, orang lain juga mungkin tidak suka diri mereka diaibkan.
Niat saya bukanlah ingin membela Nur Amalina. Mana yang salah, tetap salah pada pandangan saya. Kesalahan dia, biarlah dia dengan Allah. Bukankah Allah maha adil juga maha mengetahui. Apa yang penting, kita jaga diri kita dan keluarga kita agar tidak terjerumus dalam perkara maksiat yang boleh mengundang kemurkaan Allah. Kerana yang ditanya oleh Allah kelak pada hari pembalasan adalah amalan kita, bukan amalan orang lain.
'Untuk kamu amalan kamu, untuk mereka amalan mereka.'
Prihatin dan cakna masalah ummah adalah suatu tindakan yang terpuji. Ayuh kita muhasabah diri, apa yang telah kita lakukan demi ummah? Adakah manfaat atau mudarat? Apakah memadai dengan 'forward' emel? Kalau isinya bagus, teruskan. Kalau isinya 'syubhah'. Eloklah fikir panjang dulu. Ayuh. Berfikir dalam setiap tindakan. Moga Allah memberkati setiap usaha.
Sebelum berundur. Mohon ampun maaf atas segala salah dan silap. Mari kita sama-sama doakan kebaikan dan keselamatan buat Nur Amalina, diri kita sendiri, serta seluruh umat Islam. Dunia dan akhirat.
Terima kasih Allah, atas segalanya.
Wassalam.
No comments:
Post a Comment