+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Wednesday, January 11, 2012

Iblis Lagi Hebat!

"Hari tu kan, malam masa kita pergi hantar laptop yang ibu beli tu, ayah Ashraf berhenti kereta kat RNR, Mak Ngah ngan ibu nampak ada dua buaian kat playground bergerak sendiri.. Ashraf dah tidur masa tu.." Saya memulakan bicara, menceritakan kejadian luar biasa yang terjadi di depan mata saya sendiri.

Pagi itu, saya, emak dan Ashraf berjogging di Denai Alam. Kononnya, malam sebelumnya kami makan buffet steamboat - terlebih makan, jadi, perlulah kiranya kami mengambil kesempatan untuk membakar lebihan lemak pada pagi itu. Penat berlari, kami berjalan. Sambil berjalan, saya bersembang dengan Ashraf. Memanfaatkan masa bersama seoptimum yang mungkin.


"Ya ke? Ke ada budak baru lepas main kat situ, pastu dia lari pergi kat mak ayah dia.." Ashraf cuba membuat andaian. Iyalah, saya pun sebelum ini selalu juga membuat cerita 'suspen' di mana penamatnya sekadar cerita lawak. Padanlah dia meragui cerita saya. Atau mungkin juga dia sendiri tidak percaya, ada buaian bergerak dengan sendiri.

"Takkanlah.. Dah tengah malam, tak ramai orang kat situ. Pastukan, dua-dua buaian tu bergerak sama jer, lama pun tak tukar jadi perlahan.." Saya menjelaskan lebih terperinci. Ashraf mula memimpin tangan saya. Menggenggam tangan saya erat.

"Oh.. Hantu ke. Kalau baca Quran ke, doa ke, hantu mesti takut kan?" Ashraf menyambung. Genggaman tangannya kian erat.

"Erm, tak jugak. Hantu tu iblis. Iblis dah lama hidup, pernah hidup kat syurga, hidup lagi lama daripada kita, lagi pandai daripada manusia. Iblis tak takut apa-apa, Iblis tak takut kat kita, kecuali Allah. Kalau kita baca Quran, tapi kita sendiri tak yakin dengan kekuasaan Allah, Iblis tak takutlah. Tapi kalau kita baca, kita yakin pada Allah, kekuasaan Allah, barulah Iblis takut.." Saya cuba menjelaskan. Ashraf tekun mendengar.

"Dalam Al-Quran ada cerita, Iblis ni sebenarnya tinggal kat syurga, dengan malaikat. Suatu hari, Allah ciptakan Nabi Adam daripada tanah, pastu Allah perintahkan semua Iblis dan Malaikat sujud kepada Adam. Semua sujudla. Tapi Iblis ni degil, dia tak nak sujud sebab dia kata, dia lebih mulia daripada manusia kerana manusia dibuat daripada tanah sedangkan Iblis dibuat daripada api.. Pastu Allah pun marah la. Allah nak masukkan Iblis ke dalam neraka, tapi, Iblis minta tangguh daripada Allah. Iblis minta supaya Allah panjangkan umur dia sampai kiamat, supaya dia boleh goda dan hasut manusia. Siapa yang ikut cakap Iblis akan masuk neraka sekali dengan Iblislah..:"

"Kalau Ashraf nak tahu, Iblis ni lagi hebat daripada manusia tau. Dia hidup dah lama sangat. Dia dah jumpa ramai manusia, dah hasut ramai manusia. Dah terror dah. Dia nampak kita, kita tak nampak dia. Dia ada je ni kat mana-mana, kat depan kita ni, kat tepi kita ni.." Sambung saya sambil tunjuk depan kiri dan kanan.

"Tu sebab bila kita buat jahat, sebenarnya Iblis la tu yang suruh kita buat. Kalu kita buat jahat jugak, nanti bila mati, kita pun samalah ikut Iblis masuk neraka. Kalau taknak masuk neraka, kita kenalah lawan, janganlah buat jahat.." Saya cuba membuat kesimpulan, agar Ashraf faham dengan lebih jelas dan mengutip ibrah daripada perbualan kami pagi itu.

"Iblis pernah tau bisik-bisik kat Adik suruh Adik buat jahat, pastu adik buat macam ni!" Kata Ashraf sambil menyiku angin dengan tangan kirinya.

"Oh. Ya ke? Baguslah Ashraf tak ikut cakap Iblis. Dia suruh Ashraf buat apa?" Saya cuba mengorek rahsia.

"Iblis tu kata.. Kau buat la jahat kat nenek kau" Ujar Ashraf lagi.

Saya tersenyum. Pantas saya menoleh ke arah emak saya yang sedang berjalan jauh di belakang.  Mengerti, selama ini Ashraf selalu berkasar dengan neneknya itu. Sempat saya berdoa agar Ashraf tidak lagi bersikap kasar terhadap sesiapapun jua. Dan jadi anak yang soleh.

Allah swt berfirman,

"Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu, dan takutilah akan hari (akhirat) yang padanya seseorang ibu atau bapa tidak dapat melepaskan anaknya dari azab dosanya, dan seorang anak pula tidak dapat melepaskan ibu atau bapanya dari azab dosa masing-masing sedikit pun. Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar, maka janganlah kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia, dan jangan pula kamu diperdayakan oleh bisikan dan ajakan Syaitan yang menyebabkan kamu berani melanggar perintah Allah. "
(Luqman 31:33)

No comments: