Duhai anak, dengarkan pesan ibu ini dan simpanlah kemas dalam ingatanmu. Hari ini kita masih saling bertatapan, bertegur sapa berbalas senyuman, esok belum tentu. Andai takdir kita tertulis bahawa kamu yang akan pergi dulu, ibu akan meredhai pemergianmu. Kerana ibu percaya dan yakin, kamu anugerah terindah pinjaman Allah buat ibu sebagai ujian di muka bumi ini. Ibu maafkan segala dosa kesalahanmu sejak kamu dilahirkan, hingga ke nafas terakhirmu agar tenang kamu bertemu yang Esa. Ibu akan hadiahkan doa berpanjangan agar bahagialah kamu di alam sana.
Tapi. Andai ibu yang pergi dulu. Janganlah menangis berpanjangan. Redhalah pemergian ibumu. Dengarkanlah pesanan ibumu ini baik-baik..
Anak. Dunia ini hanyalah sementara. Biarpun indah tiada taranya bagi kamu, ingatlah bahawa ia tidak akan berkekalan. Suatu saat nanti pasti sirna jua. Oleh itu, janganlah kamu leka dan hanyut dalam keindahan yang sementara ini, sehingga kamu lupa pada kehidupan sebenar yang kekal abadi. Yakni kehidupan yang pasti benar dan dijanjikan tiba oleh Sang Pencipta. Kehidupan di mana kamu akan mengutip hasil atas segala yang kamu usahakan ketika hidupmu di dunia. Maka anak, dengarlah. Jangan kamu sia-siakan kehidupan yang sementara ini dengan perkara yang tiada bermanfaat, apatah lagi memudaratkan! Jangan kerana keindahan yang sementara, kamu tutup pintu kebahagiaan yang kekal abadi. Yakni syurga yang kita impikan.
Anak. Andai di dunia ini kamu sengsara. Ingatlah jua bahawa hidup ini cuma sementara. Kesengsaraanmu pasti akan berakhir jua bila tiba masanya. Dan anak, ketahuilah. Biarpun keperitan yang kamu tanggung sungguh sakit tidak terperi, ketahuilah bahwa azab Allah dan panas api neraka ternyata jauh lebih menyeksakan. Maka anak, andai sengsaramu ketika di dunia adalah kerana mendapat redha Allah, atau demi melindungimu dari api neraka, maka terimalah keperitan itu dengan hati yang sabar dan penuh keredhaan. Sengsara kamu pasti akan dibalas seadilnya oleh Allah yang Maha Pengasih.
Anak. Tersenyumlah biarpun hatimu sedang menangis. Allah Maha Tahu atas segalanya. Fahamilah bahawa dunia ini bukan tempat untuk kamu memiliki segala apa yang kamu ingini. Syukurlah dengan apa yang kamu ada dan redhalah atas apa yang hilang dari genggamanmu. Terimalah segala kekurangan. Di dunia ini, tiada apa yang kita punya, semuanya Allah yang punya maka janganlah melampaui batasan dan insaflah dirimu cuma seorang hamba.
Anak. Andai kini kamu sedang tertawa bahagia. Berhentilah sesaat untuk merenung ke dalam diri, telah banyak Allah berbuat baik padamu, apakah layak kamu memungkiri nikmatNya? Apakah syukurmu mengatasi pemberianNya? Apakah amalanmu menjamin tempat untukmu di syurga pantas melayakkan kamu terus ketawa di syurga? Ibu bukan apa. Ibu bimbang, ketawamu yang banyak mengundang airmata di dunia sana. Awaslah duhai anak. Berpada-padalah dalam menikmati keindahan duniawi.
Anak. Mungkin, cukup dulu hingga di sini ibu berbicara. Andai diizinkan Allah, dan kita punya kesempatan di lain waktu, akan ibu titipkan lagi mutiara kata buatmu duhai anak yang dicintai. Sebelum berundur, jagalah dirimu baik-baik. Awaslah dalam setiap perbuatanmu. Kamu mungkin tidak nampak Allah, tapi yakinlah, Dia sentiasa melihatmu, dan ada bersamamu. Ibu cinta padamu kerana ibulah yang melahirkanmu. Tapi. Dia mencintaimu lebih banyak daripada cinta ibu padamu. Kerana Dialah yang menciptakan kamu dan ibumu ini.
Moga kita bertemu nanti di syurga.
No comments:
Post a Comment