Aku berlindung dengan nama Allah dari syaitan yang direjam. Dengan nama Allah, yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..
Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah yang maha mulia. Yang mengajar manusia dengan pena. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. [Surah : Al-alaq ayat 1 hingga 5]
Sungguh, ini suatu peringatan keras dari Allah Tuhan manusia buat diri ini dan seluruh insan agar membaca dan menjadikannya sebagai suatu amalan. Membaca tentunya banyak kebaikan, dan yang paling utama, membaca dapat menambahkan ilmu pengetahuan. Dalam Islam, beza orang berilmu dengan orang tidak berilmu sangat besar. Malah, Allah mengangkat beberapa darjat orang yang berilmu.
Dengan membaca juga, dapat mengubah dan memantapkan lagi cara pemikiran seseorang. Ilmu yang dicedok dari segenap bidang akan menjadikan seorang pembaca bertambah luas pemikirannya, menghasilkan idea-idea yang bernas lagi mantap dan tidak sempit pemahamannya, tidak jumud ataupun terlalu rigid dengan hanya satu-satunya fahaman.
Selain itu, orang yang banyak membaca juga akan lebih mudah untuk mendekati masyarakat kerana luasnya pengetahuan, memudahkan pergaulan kerana boleh berbincang dalam banyak bidang. Tidak tertumpu pada satu topik semata-mata dan mudah mengembangkan perbincangan berdasarkan apa yang dibaca. Tidak bercakap perkara yang sia-sia dan tìada bermanfaat. Sambil-sambil 'sembang kosong' juga boleh menyebarkan ilmu. Itulah untungnya menjadi orang yang berilmu. Bermanfaat kepada orang lain.
Itu sedikit sebanyak manfaat daripada membaca. Harus diingatkan, dalam apa jua yang dilakukan, termasuklah membaca, pertama, perlu diniat kerana Allah. Kedua, adab-adab dalam menuntut ilmu juga patut dijaga. Ketiga, pilih bahan bacaan dengan baik. Keempat, jangan ambil remeh tentang sumber rujukan bahan bacaan. Kelima, jangan terlalu taksub dengan satu-satu sumber, rajinlah melakukan kajian lanjutan. Keenam, jangan tolak sepenuhnya idea penulis yang bercanggah dengan kita. Ketujuh, berkongsi perkara yang baik dengan orang lain. Aplikasikan dan manfaatkan ilmu.
Sebenarnya ada banyak lagi saranan. Tapi, memandangkan saya suka angka tujuh, saya berhenti dulu hingga sampai di sini. Mohon maaf atas kekurangan, terutamanya petikan hadis dan al-quran kerana saya menulis entri ini hanya melakui telefon bimbit. Mohon maafkan saya. Hingga bertemu lagi. Was salam.
No comments:
Post a Comment