+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Sunday, January 30, 2011

Hujan dan Airmata

Mungkin benar kata orang, cuaca mampu mempengaruhi mood seseorang makhluk bergelar manusia. Dikatakan juga, rakyat Malaysia mudah naik marah, terutamanya ketika sedang memandu di atas jalan raya, kerana dipengaruhi faktor suhu dan cuaca yang panas di negara ini. Sejauh mana kebenarannya, hanya Allah yang tahu. Saya kata.

Wallahua'alam.


Kebelakangan ini, cuaca di tempat saya tinggal lembap, mendung dan hampir setiap hari hujan turun mencurah dari langit. Hari ini hujan turun tidak mahu berhenti, sejak dari malam tadi. Alam menjadi basah. Suhu menjadi sejuk, matahari sembunyi malu. Suram.

Hujan membawa erti yang tersendiri buat diri ini. Saya sendiri tidak tahu bagaimana boleh saya ukirkan perasaan yang sedang berlagu di dalam dada. Tidak tahu mengapa juga, hujan bagi saya, sinonim dengan perasaan hiba, sedih, sayu. Hujan bagaikan bisa mendengar suara hati ini, menggaul seribu satu perasaan, membangkitkan sejuta rasa yang mengurung rasa gembira, membuah rasa hiba, lalu mencurahkan airmata yang kian berat tak mampu ditanggung olehnya lagi.


Mengalirlah lagi.
Luahkan deritamu.
Curahkan segala sengsara.
Biar pergi segala derita.
Moga datang sejuta bahagia.


Keringlah sudah airmata.
Cukuplah hujan mencurah rasa.
Kan ku buang segala duka.
Agar bahagia bisa bertakhta.


Benarlah, saya mungkin tidak sebahagia mereka. Apa yang mereka miliki tidak mungkin menjadi milik saya. Mimpi saya juga mungkin tidak seindah mimpi mereka, apatah lagi kenyataan hidup yang sedang saya lalui, ternyata jauh sekali bezanya saya dengan mereka. Namun itu bukan menjadi alasan untuk saya terus menangisi nasib diri. Bukan menjadi penyebab untuk saya tidak boleh tersenyum riang. Saya bersyukur seadanya dengan segala anugerah dan pemberian Tuhan buat diri ini. Saya bersyukur kerana Dia sentiasa ada untuk saya. Selangkah saya mendekati-Nya, beribu langkah Dia menghampiri, Alhamdulillah.

Dalam mengejar cinta manusia, saya pernah terluka. Dalam mengejar harta, saya pernah kecewa. Dalam mengejar bahagia di dunia, saya sering berendam airmata. Saya meminta rama-rama yang indah dari Ilahi, tapi Dia berikan saya seekor ulat bulu yang hodoh. Saya pernah jatuh terduduk menangisi nasib diri.

Saya pernah bertanya kepada Tuhan. Kenapa nasib saya begitu malang? Kenapa saya tidak bahagia seperti orang lain? Kenapa saya jadi begini? Kenapa terlalu banyak derita yang tercatit dalam diari hidup saya? Kenapa hidup saya sentiasa penuh dengan duka dan airmata? Kenapa begini jalan hidup saya? Kenapa? Tidakkah Tuhan menyayangi saya??

Rupa-rupanya. Ulat yang hodoh itu bukan selamanya hodoh. Pahit akan manis jua akhirnya. Pelangi terlukis di langit setelah hujan petir berlalu. Benarlah Firman Allah, sesudah kesulitan ada kemudahan. Akhirnya, barulah saya tahu dan yakin, tiada apa yang diciptakan-Nya sia-sia. Segalanya pasti ada hikmah yang tersembunyi disebaliknya, cuma bergantung kepada diri ini untuk bagaimana menilainya.

Saya hari ini adalah kerana apa yang telah saya lalui pada hari-hari semalam. Jika bukan kerana apa yang telah saya tempuhi, saya mungkin bukanlah saya seperti hari ini. Pengalaman yang mendewasakan saya. Biarpun sudah banyak harga yang telah dibayar demi erti sebuah kedewasaan, saya akur dan terimanya sebagai suratan hidup saya, yang tak perlu saya sesali. Segalanya adalah takdir Ilahi. Terjadi dengan keizinan-Nya semata-mata.

Tiada guna saya tangisi. Semuanya anugerah dari Ilahi. Mungkin waktu itu ianya perit untuk saya hadapi, tapi esok bagaimana, hanya Allah yang Maha Tahu. Dan Alhamdulillah, saya masih lagi yakin dan percaya pada janji-janji Allah. Setiap kebaikan pasti dibalas dengan lebih banyak kebaikan dari-Nya. InsyaAllah, saya akan terus bertahan, berbuat lebih banyak kebaikan. Mudah-mudahan, kebaikan itu mampu menghapus kejahatan yang pernah saya lakukan sebelum ini. Moga-moga, kebaikan itu bisa menempah suatu tempat di syurga buat saya kelak. Amin ya rabb.

Moga diri ini mencontohi Asiah, menolak istana di dunia demi mengejar istana di akhirat.

Moga diri ini mencontohi Khadijah, mencintai dan dicintai manusia yang dicintai Allah.

Moga diri ini mencontohi Maryam, menjaga kesucian hingga ke negeri abadi.

Moga diri ini mencontohi Fatimah, sentiasa cukup dengan apa yang dimiliki.



Allahu Allah.
Hari ini mendung.
Hujan turun mencurah.
Hati berlagu hiba.
Langit suram lagi kelam.
Mentari sembunyi entah di mana.


Allahu Allah.
Aturan-Mu terindah.
Hujan bukan selamanya.
Cerah pasti datang.
Suria akan menyinar.
Menyapu segala duka.
Mengusir segala derita.
Mencipta sejuta bahagia.


Saat itu pasti tiba.
Aku kan terus mencari.
Hingga pasti.

2 comments:

lipan lapa said...

salam.. saya dah lama ikut blog awak ni.. setiap kali lepas baca setiap entry awk, saya sering tertanya2 apa yg awk cari sebenarnyer,, boleh kongsi2 tak?

AsNiza said...

salam wbt..

terima kasih banyak, saya hargai..

menjawab soalan saudara/i.. rasanya entri 'hujan dan airmata' ni dah cukup utk dijadikan jawapan.. hehe..

apapun, secara mudahnya, yg saya cari2 adalah kebahagiaan, dunia dan akhirat, mohon doanya ya..

tQ =)