+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Monday, January 10, 2011

Tempat Jatuh Lagi Dikenang

Tiada siapa yang tahu, apa yang akan terjadi pada hari esok, kecuali Dia. Tidak kira samada kita telah membuat sebaik-baik perancangan ataupun telah berusaha sebaik yang mungkin. Namun seandainya takdir Allah menetapkan bahawa esok bukan milik kita, maka yang pasti terjadi tentunya esok bukanlah milik kita. Maha Suci Allah.



Tempat yang jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bersusah dan berpayah.

Alhamdulillah. Sabtu lepas, saya bersama emak telah selamat menghadiri majlis kenduri kahwin saudara kami yang telah berlansung di rumah pengantin perempuan, di sebuah daerah di Gemas. Kami bertolak pada tengah hari Sabtu, kerana seperti Sabtu yang biasa, saya bertugas separuh hari pada hari itu.

Mengikut perancangan asal, kakak sekeluarga juga ingin menghadiri majlis tersebut, namun takdir Allah berkuasa atas segalanya. Kerana dipanggil melapor diri ke tempat kerja, maka mereka sekeluarga terpaksa membatalkan perancangan untuk ikut serta ke Gemas. Jadi, tinggallah saya bersama emak, memenuhi jemputan saudara seagama.

Memandu dari Shah Alam ke Nilai, mengambil masa kira-kira satu jam. Dari Nilai, kami berkumpul bersama saudara yang lain kemudian bertolak dari Nilai ke Gemas, mengambil masa kira-kira lebih 3 jam. Saya tidak biasa dengan jalan tersebut, sekadar menjadi pengikut yang setia. Beberapa kali juga kami terpaksa berpatah balik kerana memilih jalan yang salah. Tersesat yang akhirnya ketemu jalan pulang.

Ikan di laut, asam di darat. Dalam kuali bikin muafakat. Bakal suami asalnya Kelantan, kini bertandang ke Negeri Sembilan, ingin menyunting permaisuri hati. Kiranya kami adalah rombongan dari pihak pengantin lelaki.

Alhamdulillah. Majlis akad nikah berlansung pada pagi Ahad. Kira-kira jam 11 pagi. Peristiwa bersejarah buat pasangan mempelai telah dilansungkan di salah sebuah masjid yang berdekatan dengan rumah pengantin perempuan. Dengan sekali lafaz, dihadapan tok kadi, wali dan saksi, akhirnya mereka sah sebagai suami dan isteri.

'Lucu' juga, dalam usia yang begini, sebenarnya ini adalah pertama kali saya melihat pasangan lelaki dan wanita di ijab kabulkan oleh Tok Kadi di hadapan mata saya. Kiranya ini adalah pengalaman pertama saya. =)

Usai semuanya. Kami kembali berhimpun di rumah tumpangan. Kira-kira jam 6.00 petang, saya bersama emak, dan beberapa buah kereta yang lain mula beransur pulang ke rumah masing-masing. Saya seperti hari sebelumnya, menjadi pengikut setia di belakang kereta orang yang lebih tahu selok belok jalan di situ.

Kali ini kami tidak melalui jalan yang sama dengan hari sebelumnya. Kononnya jalan ini lebih singkat dan insyaAllah mengambil masa yang lebih pendek.

Sebagai pengikut yang setia, saya hanya mengekori dari belakang tanpa bersoal. Sekali sekala sempat membaca papan tanda di tepi jalan.

"Batu Kikir, Juaseh, Bahau, Ampangan, Kuala Pilah, Seri Menanti" dan macam-macam lagi. Nama-nama itu tidak asing bagi saya.

Hinggalah sampai ke suatu tempat. Emak tiba-tiba menunjukkan sesuatu.

"Stesen keretapi Bahau!" Kata emak.

Bagai sang ibu yang baru bertemu dengan anaknya yang telah berpisah sekian lama. Perasaan itu sukar untuk ditafsirkan, datang tiba-tiba. Meresap ke seluruh jiwa. Kalaulah bukan saya yang memandu waktu itu, mahunya saya terus melayan emosi, membiarkan saja manik-manik jernih mengalir dari kedua kelopak mata ini.

Saya rindu zaman itu. Zaman bergelar remaja yang suci dari dosa dan noda. Zaman bergelar remaja yang semangatnya berkobar-kobar, merantau untuk mencari ilmu, menuai kejayaan. Zaman remaja yang penuh suka dan duka. Dan stesen itu, menjadi persinggahan kami, menjadi saksi anak-anak muda yang meninggalkan keluarganya jauh nun di sana, demi menimba ilmu.

Ya. Itulah Stesen Keretapi Bahau, stesen yang banyak menyimpan kenangan saya dan sahabat-sahabat. Pelajar MRSM Serting.

Sedar atau tidak, rupanya sudah lebih 10 tahun stesen itu tidak saya jejaki. Sungguh cepat masa berlalu. Tanpa saya mampu menahannya. Atau mengundurkannya ke belakang. 10 tahun sudah berlalu.

Dan saya?

Apa yang telah saya capai dalam tempoh 10 tahun itu? Apa perkembangan, dan kejayaan yang telah saya cipta? Bagaimana 'graf kehidupan' saya?

Cemerlang dalam PMR dan SPM bukan jaminan untuk cemerlang selamanya.

Benar di Serting saya cemerlang. Tapi bagaimana kehidupan saya selepas itu? 10 tahun kemudiannya, apa yang telah terjadi kepada diri ini? Adakah saya mampu mengekalkan kecemerlangan atau mencipta lebih banyak kejayaan, atau sebaliknya? Bagaimana diri ini?

Allahu. Saya merenung ke dalam diri. Terasa diri ini sangat hina dan lemah. Tidak upaya mengubah nasib diri ini melainkan hanya mampu berdoa dan berharap, agar Kau mampu mengubahnya. Moga lebih baik.

Tempat jatuh lagi dikenang. Inikan pula tempat menimba ilmu.

'Pulang' ke Bahau perasaanya seperti pulang ke kampung sendiri. Dua tahun saya bermastautin di Serting. Dari Kelantan ke Serting, menaiki keretapi dan turun di Stesen Keretapi Bahau. Tiba di Bahau kira-kira jam 4 pagi. Kadang-kadang pulang ke Maktab dengan menaiki teksi, kadang-kadang bas Maktab sedia menunggu. Selalunya pulang sendiri menaiki teksi dan sampai awal pagi, pagar masih terkunci, terpaksa kami menyelinap masuk ke asrama melalui longkang besar pagi-pagi buta. Untung waktu itu tubuh masih belum mengembang.

Kenangan itu terpahat indah. Biarpun lebih sepuluh tahun telah berlalu.

Apa pula yang menanti pada sepuluh tahun akan datang? Hanya Allah yang Maha Tahu. Andai nyawa masih dikandung jasad, andai bumi belum kiamat, hidup ini akan diteruskan. Dan sepuluh tahun kelak, aku pasti merindui saat ini.

Saat jari jemariku menari-nari, mengatur abjad membentuk perkataan menyusun ayat mencipta bait-bait kata luahan hati. Andai Allah mengizinkan.






2 comments:

aimi nadiah said...

kdg2 kenangan itu perlu direnung utk menila diri sendiri..

AsNiza said...

u r correct aimi,

kadang2 kita perlu menoleh ke belakang, untuk melihat kesan jejak tapak kaki kita.. yang telah kita tinggalkan.. agar dapat kita muhasabah diri kita sendiri..

sungguh rugi seseoarang itu, andai hari semalam lebih baik dari hari ini..