+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Tuesday, January 25, 2011

Daud, Kambing dan Harimau

Alkisah.

Daud tinggal di dalam sebuah kampung. Daud menternak beberapa ekor kambing. Orang-orang di kampung Daud seperti Mamat, Dolah, Taib, Bakar dan Sentul juga menternak kambing. Malah ramai lagi yang ikut sama menternak kambing.




Pagi-pagi selepas subuh, mereka melepaskan kambing-kambing mereka di sebuah kawasan lapang. Di situ, kambing-kambing mereka makan, tidur, nyahtinja, mandi, dan lain-lain sehingga kambing-kambing itu membesar dengan sihat dan kuat. Petang sebelum senja, mereka membawa kambing-kambing ternakan mereka pulang ke kandang. Dan mereka pula bolehlah berehat buat seketika waktu. Sehingga subuh datang lagi.

Itulah rutin harian mereka. Kambing-kambing itu bila dah besar akan dijual, atau diperah susunya atau boleh juga disembelih buat menjamu selera sekampung. Sumber rezeki mereka bergantung kepada kambing-kambing tersebut. Maka, mereka menjaga kambing-kaming mereka dengan baik. Mereka hidup dalam suasana yang aman dan damai.

Akhirnya. Cerah tidak selamanya. Awan mendung datang tidak terduga.

Suatu hari, sedang Daud leka mengawasi kambing-kambingnya sedang meragut dedaunan, tiba-tiba Daud dikejutkan oleh satu bunyi yang agak bising. Daud bingkas bangun dan cuba meninjau keadaan kambing-kambing ternakannya.

Terkejut! Dari kejauhan Daud nampak seekor harimau sedang mengganas, membaham kambing-kambing ternakannya. Darah berserakan. Daud cemas, tidak menduga kemungkinan ini yang akan terjadi, bertindak melarikan diri pulang ke rumah. Lintang pukang larinya. Lupa pada kambing-kambingnya.

Trauma dengan kejadian itu. Beberapa hari Daud tidak berani membawa kambing-kambing ternakannya keluar dari kandang. Setelah beberapa ketika, sesudah memikirkan akibat yang bakal ditanggung jika kambing-kambingnya terus dikurung, akhirnya Daud terpaksa juga membawa kambing-kambingnya ke kawasan lapang itu.

Kali ini, Daud lebih berani dan lebih bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang tiba. Beberapa kelengkapan dan segala apa yang dia miliki, yang difikirnya boleh melindungi dia dan kambing-kambingnya, dibawa bersama. Moga-moga, dia dan kambing-kambingnya terselamat, dalam hati berdoa dan memohon perlindungan dari Ilahi.

Beberapa hari berlalu. Semuanya baik-baik belaka. Daud dan kambing-kambingnya selamat dari ancaman harimau yang ganas.

Namun, yang indah hanya sementara. Harimau datang lagi. Kali ini, biarpun sudah bersedia dengan beberapa senjata, Daud sekali lagi panik dan melarikan diri apabila bukan seekor harimau yang datang, tapi dua ekor. Mana mungkin Daud boleh menanganinya seorang diri. Daud utamakan keselamatan dirinya terlebih dahulu. Dalam hati menangis namun terpaksa redha. Banyaklah kambing-kambingnya menjadi mangsa.

Pulang ke kampung, Daud mengadu masalahnya kepada Mamat. Rupa-rupanya, Mamat juga mengalami masalah yang sama. Kambing-kambing Mamat juga sudah banyak ekor di makan rimau. Akhirnya, mereka sepakat untuk bersatu, memerangi harimau yang ganas itu. Pada hemat mereka, dua lebih baik daripada satu.

Hari-hari seterusnya berlalu dengan aman. Kambing-kambing Daud dan Mamat tidak lagi diserang. Mereka sudah memasang perangkap dan mengatur strategi rapi untuk melindungi kambing-kambing mereka. Mereka berpuas hati. Hinggalah suatu hari, mereka sekali lagi terpaksa berputih mata apabila sekumpulan harimau pula datang menyerang. Mana mungkin mereka berdua mampu melawan harimau-harimau yang ganas itu?

Akhirnya mereka sedar. Benarlah dua lebih baik daripada satu, tapi sesungguhnya sepakat satu kampung jauh lebih baik daripada bertindak melawan hanya berdua. Kudrat mereka kecil. Upaya mereka lemah. Strategi mereka kurang mantap. Sungguh. Banyak kekurangan sana-sini. Akhirnya juga, mereka akui, benarlah kata orang tua-tua. Mematahkan seberkas lidi jauh lebih susah andai dibandingkan dengan sebatang lidi.

----------------------------------------------------------------------------



"Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh". (As-Saff 61:4)



"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya. "(A-li'Imraan 3:103)

-------------------------------------------------------------------

InsyaAllah, ibrah yang cuba kita ambil dari kisah ini.

Sebagai umat Islam, kita haruslah bersatu padu, dan menjauhi perpecahan. Musuh menyerang dari pelbagai penjuru, dalam pelbagai bentuk dan cara. Secara terang-terangan dan sembunyi. Dengan bersatu, boleh menjadikan kita lebih kuat dan tidak mudah ditindas. Namun sebaliknya seandai kita berpecah belah, dengan mudah saja kita akan ditumpaskan oleh musuh-musuh Islam.

Oleh itu, bersatulah. Jangan berpecah-belah.

"Tunjukilah KAMI jalan yang lurus."

Amin ya rabb.

2 comments:

suhana_nur said...

nyahtinja..haha

AsNiza said...

hehe.. nk guna berak takut kasar sgt =p