+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Tuesday, April 20, 2010

Pohon yang Kita Tanam

Langit tidak selalu cerah, awan tidak selalunya putih. Allah yang Maha Pencipta maha berkuasa atas setiap apa yang dicipta-Nya. Kita cuma seorang hamba, hidup untuk mengabdikan diri kepada penciptanya. Mengumpul bekalan untuk dibawa ke hari akhirat. Moga-moga di negeri abadi itu, syurgalah tempat kita.

Pernah beberapa minggu yang lepas, saya 'YM' dengan seorang sahabat.

"Kak, saya dapat rasa nikmat solat selepas saya baca buku itu, dalamnya banyak diceritakan tentang nikmat-nikmat solat, ganjaran untuk orang-orang bersolat, saya harapkan ganjaran tersebut." Lebih kurang begitulah kata-katanya.

"Manusia kan ada dua jenis, ada yang suka kenikmatan dan ada yang takut azab, saya mungkin yang sukakan kenikmatan." Sambung dia lagi. Saya sependapat. Saya akui kebenarannya. Kerana saya adalah golongan yang kedua, saya takutkan azab Allah.

Alhamdulillah, sejak kecil, saya jujur, tidak menipu, tidak mengambil barang orang tanpa izin waima sekeping syiling dalam rumah sendiri. Kerana apa? Kerana saya takutkan balasan Allah.

Maha Suci Allah. Yang menciptakan syurga dan neraka. Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.

Kerana Dia lebih mengetahui bagaiamana sifat dan fitrah hamba ciptaan-Nya. Ada yang mengidamkan syurga. Berbuat kebaikan kerana mengharapkan ganjaran syurga. Beribadat kepada Allah, melaksanakan suruhan kerana bercita-cita untuk menjadi penghuni syurga. Pokok pangkalnya, mengabdikan diri kepada Allah.

Ada golongan lain pula, tidak melakukan maksiat, menjauhi kemungkaran, tidak menganiaya makhluk-makhluk lain, tidak berbuat kejahatan kerana takutkan balasan azab kubur, azab neraka. Mereka menjaga diri dan tidak mendekati segala yang dilarang kerana tidak ingin dicampak ke neraka. Walaupun agak berbeza dengan mereka yang cintakan syurga, namun pokok pangkalnya masih juga sama, percaya dan yakin kepada Allah. Menginsafi diri, kita cumalah hamba dan Dia berhak ke atas kita sepenuhnya.

Syukurlah andai kita tergolong dalam mana-mana golongan di atas.

Jangan kita termasuk dalam golongan mereka yang tidak percayakan syurga dan neraka. Tiada cita-cita dan tidak berusaha untuk mendapat nikmat syurga. Dan tidak pula berusaha untuk melaksanakan suruhan Allah serta menjauhi larangan-Nya kerana tidak takut azab dan seksa Allah. Naauzubillah. Jangan jadi orang yang rugi. Jangan jadi orang yang menganiaya diri sendiri. Jangan jadi orang yang buta hati. Jangan pula jadi seperti orang kafir yang tidak percayakan Allah. Insafilah diri sendiri.

Jangan hanya berpeluk tubuh tidak berbuat apa-apa, kita dapat hasil daripada apa yang kita usahakan. Tanpa berusaha menanam benih, menyiram dan membajainya, mana mungkin kita dapat nikmati buah yang manis?

Kembalilah kepada Allah, muhasabah diri kita sendiri, apa ada dalam hati kita? Gentarkah kita dengan ancaman Allah? Nyamankah kita dengan ganjaran nikmat dari-Nya?

Selawat dan salam buat nabi junjungan Muhammad saw. Kerana membawa cahaya iman ke dalam jiwa-jiwa kami. Kerana menyampaikan ajaran Allah. Kerana memperkenalkan kami kepada Sang Pencipta. Tanpa mu wahai nabi junjungan, kami buta dalam terang. Wahai Tuhan, bimbinglah kami, kurniakanlah kami limpah rahmat, hidayah dan petunjuk-Mu, jangan jadikan kami orang-orang yang sesat, orang-orang yang rugi. Masukkanlah kami ke dalam syurga dan jauhkanlah kami dari azab api neraka. Amin ya rabb.

Dimulai dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..Hanya pada-Mu kami berserah diri, hanya pada-Mu kami memohon pertolongan.. Tunjukilah kami jalan yang lurus..




No comments: