+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Wednesday, April 28, 2010

Kepada-Nya Dia Kembali

Bismillahirrahmanirrahim...

Semoga semuanya di bawah naungan kasih, limpah rahmat Ilahi. Alhamdulillah, panjatkanlah rasa syukur kepada Ilahi, kerana limpah rahmat dan kekuasaan-Nya, kita masih lagi hidup hingga detik ini, nyawa kita masih lagi dipinjamkan oleh-Nya, jasad kita masih lagi berfungsi dengan baik, sungguh nikmat Allah tidak terhitung banyaknya. Biarpun kita menggunakan tujuh lautan air sebagai dakwat, belum lagi mencukupi untuk kita menulis segala nikmat yang Allah berikan kepada kita, maka nikmat Tuhan yang manakah yang telah kita dustai?

Kerana kita masih hidup, kita masih punyai peluang untuk beribadat, berbuat amal kebajikan mengumpul bekalan ke negeri yang abadi.

Kerana kita masih hidup, kita masih mempunyai kesempatan untuk memohon ampun dan bertaubat, agar kita suci dari segala dosa sebelum nyawa berpisah dengan badan.

Kerana kita masih hidup, kita masih diizinkan Allah, untuk berjalan di muka bumi ini, menikmati keindahan alam, menghidu wangian bunga, menatap bulan dan bintang, meluangkan masa bersama insan-insan yang kita kasihi.

Sebelum ajal tiba. Sebelum semuanya terlambat, hargailah segala apa yang kita miliki sebaik yang mungkin.

Saya pernah bercerita di sini "Kerana Kita Mampu" tentang anak sepupu saya yang masih kecil, yang berbulan lamanya terlantar di ward ICU, di IJN. Setelah sekian lama berkelana di tempat orang, akhirnya kedua ibubapanya membuat keputusan untuk pindahkan si anak ke hospital di Alor Setar, Kedah. 27 April, mengikut plan asal, mereka akan bertolak ke Kedah dengan menggunakan ambulan jam 6 pagi kerana keadaan si anak yang masih belum stabil.

Kerana Allah lebih menyayanginya. Dia pinjamkan Muhammad Aiman Bin Muhammad Zain ke dunia ini cuma sehingga tarikh 27 April 2010, jam 6 petang akhirnya dia menghembuskan nafasnya yang terakhir. Dari-Nya Aiman datang, kepada-Nya Aiman kini kembali buat selamanya. Berbahagialah duhai ibu dan ayah, penderitaan anakmu sudah berakhir, moga syurga menanti si anak yang masih suci dari sebarang dosa. Al-fatihah buat semua.

Doakan, agar keluarga Muhammad Aiman tabah dan redha dengan ujian dan dugaan yang diberikan.

Di dunia ini, tiada satu pun milik kita, semuanya hanyalah pinjaman. Dia berhak mengambilnya, bila-bila masa sahaja. Kerana kita cuma seorang hamba.

"Ya Allah, hanya kepada-Mu kami menyerah diri, hanya kepada-Mu kami memohon pertolongan.Selamatkanlah kami di dunia dan di akhirat, jauhkanlah kami dari azab api neraka.. Amin ya Rabb.."

No comments: