+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Wednesday, March 10, 2010

Dosa Tidak Terampun

Asap bas memenuhi ruang, entah gas beracun apa yang berjaya masuk ke rongga tekakku juga aku tidak pasti. Kasihan juga mengenangkan nasib paru-paru aku yang telah dinodai, tapi aku juga tiada pilihan. Mahu lari ke mana? Mahu menyorok di mana? Karang leka sekejap tak pasal-pasal aku terlepas bas terakhir pada petang itu.

Pekan ini kecil saja. Penghuninya juga tidak seramai bandar-bandar besar, jauh sekali bezanya dengan bandaraya Kuala Lumpur. Aku memerhati sekelilingku. Melepaskan rindu barangkali. Pekan ini tempat aku membesar. Sudah bertahun aku tidak menjejak kaki ke pekan ini, dek tuntutan ilmu yang memaksa aku keluar dari kepompongku. Oh, benar kata emak aku, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Jadi eloklah kita ke negeri orang, mengutip emas di sana dan membawanya pulang ke negeri kita. Moga aku jadi manusia yang bermanfaat.

Sudah 45 minit aku duduk di situ menanti dan terus menanti kelibat bas mini bernombor 70. Masih tidak menampakkan bayangnya. Sekali sekala aku mendengus kecil, menatap jam di pergelangan tangan kiriku. Puas duduk aku berdiri, puas berdiri aku tergaru-garu meniru gaya sang monyet, menghiburkan hatiku sendiri gamaknya, aha~

"Nak, pakcik jual ubat," tiba-tiba seorang pakcik tua menegur aku dari belakang. Aku tersenyum lega, setidaknya aku ada teman untuk bersembang, berborak, berbicara atau apa sahaja asalkan aku tidak bosan.

"Pakcik jual ubat apa?" aku bertanya buat-buat berminat, apa-apalah asalkan bibir aku tidak beku kerana tidak bercakap sepatah apa sejak lebih 7 jam yang lalu.

"Macam-macam ada, ubat kurap pun ada," pakcik itu menjawab, sambil tangannya membuka beg yang disandangnya. Dalam hati aku terdetik, kantoilah, pakcik itu terlihat gelagat aku tergaru-garu sebentar tadi.

"Takpelah pakcik, saya tak nak ubat, terima kasih ya.." aku cuba menolak lembut, dah memang niat aku tak nak beli, karang penat je pakcik tu bazirkan liur dia memujuk, sia-sia saja.

Diam seketika. Pakcik itu kemudiannya duduk di bangku sebelah aku. Dalam hati aku lega, ada harapan boleh ajak sembang. Hehe..

"Pakcik nak pegi mana?" Aku mulakan bicara setelah kami menyepi beberapa ketika. Sedih juga aku lihat dia, dah tua begitu, patutnya duduk di rumah berehat bersama anak cucu habiskan sisa-sisa kehidupan, tak perlu lagi keluar mencari rezeki. Peluh menitik membasahi dahinya, lagi la buat aku simpati.

"Balik rumah.." jawab dia ringkas. Panas juga hati aku, tapi aku sabarkan diri, mana boleh memaksa orang. Tambah lagi orang tua.

"Rumah pakcik kat mana?" dengan suara lemak merdu aku bertanya lagi. Sungguh aku terasa ingin tahu.

"Oh.. Kampung Deli," untung dia jawab menepati soalan. Niat di hati mahu bertanya soalan selanjutnya, tapi aku batalkan seketika setelah melihat rupa sedih pakcik di sebelahku itu. Dia memandang kehadapan, terlalu jauh kehadapan ibarat menembusi sepuluh dimensi lagaknya.
Matanya berkaca. Aku mula berasa lemah. Bukan apa, sejantan-jantan aku pun, perasaan belas dan simpati juga menebal dalam jiwa aku. Well... Aku juga manusia. Ada perasaan.

"Kau masih ada ayah? Bungkusan tu untuk ayah kau?" sebelum sempat aku bertanya, pakcik tua itu mendahului carta sambil menunjukkan bungkusan hadiah disebelah kanan aku.

"Ada, alhamdulillah, aah, kain pelekat untuk ayah." aku menjawab penuh kesyukuran.

"Beruntung ayah kau ada anak macam kau.." ujar pakcik tua itu sayu, lemah bunyinya.. Dia tunduk merenung tanah yang dipijaknya.

"Ermm.. pakcik tiada anak?" aku beranikan diri bertanya setelah kami sepi beberapa ketika.

"Ada.. tapi derang benci aku, derang buang aku! tak mengaku aku ayah mereka.." jawab pakcik itu dengan nada yang bercampur baur. Ada sedih, ada kesal, ada marah. Entahlah, tak reti pula aku mentafsirkannya.

"Sabarlah pakcik.. dugaan untuk pakcik.. mungkin sekarang mereka begitu, insyaAllah suatu hari nanti bila mereka sedar kesilapan mereka, mereka akan kembali pada pakcik.. banyakkan berdoa ya pakcik.." aku cuba memujuk, skrip sebegitu selalu aku lihat di kebanyakan drama melayu semenjak aku kanak-kanak, tak susah melakonkannya semula.

Tidak semena-mena lelaki tua berambut putih berbaju lusuh itu menangis teresak-esak. Aku menjadi cuak, melihat kanan dan kiri, takut kalau-kalau ada orang lalu lalang yang salah sangka melihat drama sebabak itu.

"Tak mungkin mereka kembali pada aku, mereka benci aku.." dalam sendu pakcik itu bersuara.

"Aku banyak dosa. Tuhan mahu hukum aku..." sambung dia lagi. Aku terkedu, tidak terkata apa sekadar mengusap bahunya perlahan-lahan dengan harapan agar dia lebih tenang.

Belum sempat dia menyambung kata-katanya, kelibat bas mini nombor 71 menghampiri, cepat-cepat aku berdiri lalu menahannya. Bas itu berhenti. Aku persilakan pakcik tua itu naik dahulu kemudian aku mengikut dari belakang. Sepanjang perjalanan, aku diam. Mindaku bergerak. Banyak persoalan bermain di kepala aku. Bagaimana tergamaknya anak-anak memperlakukan ayah sendiri sebegitu. Ayah yang membesarkan, ayah yang bertangungjawab membawanya ke muka bumi Tuhan yang indah ini. Sungguh. Tak terjangkau dek akalku.

Sampai ke destinasi yang ingin di tuju. Aku menekan loceng bas. Serta merta pemandu bas menekan brek. Setelah bas berhenti, aku menyusun langkah turun dari bas. Tersentak, pakcik tua tadi juga turun bersama.

Kami berjalan seiring, tidak jauh dari tempat kami berdiri, kelihatan sekumpulan kanak-kanak sedang bermain sesama mereka. Sebaik sahaja terlihat kami, mereka berhenti bergurau, berseloka, mereka diam seketika kemudian berbisik antara satu sama lain.

"Perogol! Perogol!" berulang kali mereka menjerit ke arah kami, aku bingung tidak mengerti apa-apa. Memandang ke arah lelaki tua yang berdiri sebelahku. Dia membisu, cuba menyembunyikan wajahnya.

" Abang Idham! Jangan dekat dengan lelaki keji itu. Dia jahat!" suara kecil memanggil namaku, aku memandang tepat ke arah empunya suara.

"Kenapa? Tak baik panggil orang begitu... dah.. dah.. mari balik rumah," aku baru perasan kelibat adik bongsuku dalam kumpulan kanak-kanak itu. Aku memimpin tangan adikku lalu kami beriringan berjalan pulang ke rumah.

"Abang tak kenal dia ke?" adik aku bertanya. Aku geleng kepala.

"Dia jahat bang, baru keluar penjara. Dia rogol semua anak dia... Semua orang tahu.." celoteh adikku.

Astagfirullah.. aku bagaikan tersentak. Bumi bagaikan berputar laju. Ya ALlah, betapa nazaknya masyarakat sekitarku ini Ya Tuhan.. Dalam hati aku merintih...


1 comment:

puteri92 said...

mmm....kadangkala anak2 tidak berniat utk menyisihkan ibubapanya tanpa sebab yg tertentu.....kita kesian tgk nasib ibubapa yg diabaikan sebegini rupa tapi jika kita berada di tempat anak mereka, apakah tindakan kita? sudikah kita memaafkan ibubapa yg menghancurkan masa depan anak2 mereka sendiri?..fikir2 kan lah...kisah ini menjadi iktibar dan pengajaran buat kita sebagai anak2 dan juga bakal menjadi ibubapa suatu hari nnti....tahniah asniza =)