+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Thursday, February 11, 2010

Senyum Tak Susah Pun

"Kak, dia sombong, dia lain, dah tak macam dulu lagi, dia tak tegur saya, tak senyum pun, apa dosa saya?" Nisa meluahkan perasaannya dengan nada yang begitu sayu sekali. Mungkin dia benar-benar kecewa, atau bingung kenapa diperlakukan begitu. Mungkin juga 'high expectation' beliau terlalu tinggi lalu kecewa pedih bila apa yang diharapkan tidak menjadi realiti.

"Dia penat kot, tak pun die tak perasan Nisa, banyak benda dia nak fikir tuh, biar dulu, nanti dah selesai program kita belasah dia ramai-ramai, he he.." Saya cuba untuk menyedapkan hati sahabat tersayang, memujuk sekadar termampu sedangkan hati sendiri juga tertanya-tanya. Entahlah, hati dia milik dia, hanya dia dan Allah yang tahu..

Senyumlah

Tak susah pun. Tak perlukan bayaran walau satu sen. Kenapa perlu berkira dalam memberi senyuman? Kenapa harus memilih sebelum menghulurkan senyuman? Ah! Dia cuma orang biasa-biasa, buat apa senyum? Oh! Dia berpangkat besar, harus senyum! Eh! Ni sape pulak? Membazir saja senyum. Adakah wajar mempunyai pemikiran yang sebegini? Anda punyai jawapannya.

Saya masih ingat, waktu itu saya berumur 14 tahun, ibu saya berpesan, "Jangan kedekut senyuman, kalau sentiasa senyum, orang tak lawa pun sedap mata memandang." Hehehe... tips berharga dari seorang ibu. ;)

Senyum kepada bukan muhrim, dengan niat yang tidak baik, sehingga boleh menimbulkan rasa syahwat memang sepatutnya dielakkan. Ketika senyum dengan lain jantina juga, elakkan 'eyes-contact' yang berpanjangan dan senyum yang meleret-leret dibuat-buat. Bersihkan hati, tuluskan niat, senyum untuk sedekah, agar memberi ketenangan kepada orang yang memandang. Boleh, kan?

Percaya atau tidak, ada orang yang tidak boleh melihat orang lain berwajah masam, muram, boleh mengakibatkan stress/tekanan. Saya antara orang yang demikian. Boleh sakit kepala tiba-tiba jika terlihat orang lain berwajah cemberut! Justeru, janganlah jadi penyumbang. Kasihanilah orang-orang yang seperti saya..

Nabi pernah ditegur kerana palingkan wajahnya, jadi kita juga tidak sepatutnya bersikap sombong dan memalingkan wajah kita. Kalaupun perlu berpaling, apalah salahnya, terlebih dahulu hadiahkan senyuman. Kemudian nak pusing 360 darjah pun tak mengapa.

Bayangkan bagaimana, andai itu kali pertama dan kali terakhir kita bertemu dengan sahabat kita itu, dan peluang sedikit yang ada itu kita sia-siakan, apakah kita tidak berasa rugi?

Bayangkan bagaimana, andai waktu itu sahabat kita sedang ditimpa musibah, hatinya penuh duka lara cuma mengharapkan sekuntum senyuman dari kita agar dapat mengurangkan sedikit beban, tapi kita pula palingkan wajah, apatah lagi menghadiahkan senyum, apa agaknya perasaan sahabat kita itu?

Senyumlah...

Bukan susah. Mungkin ada di antara kita yang 'tidak reti' senyum. Kekok. Segan. Etc. Apa kata, mulai hari ini, setiap hari praktis di hadapan cermin, bagaimana senyum kepada orang yang tak dikenali atau ketika sendirian, bagaimana senyum kepada sahabat, bagaimana pula senyum kepada orang tua. Cuba prektis! ^_^

Menutup entri kali ini, saya sudahi dengan kisah, "Puteri Hodoh dan Cincin Ajaib."

Pada suatu masa, dalam sebuah negeri, rakyatnya hidup aman damai di bawah pemerintahan seorang raja yang sangat baik hati. Raja ini disayangi oleh rakyatnya. Namun malangnya, raja tersebut sentiasa susah hati mengenangkan nasib puterinya yang hodoh, tiada anak raja yang mahu melamarnya.

Pelbagai ikhtiar telah baginda lakukan agar puterinya menjadi cantik, hinggalah pada suatu hari, seorang wanita sihir datang ke istana mencuba nasib, untuk mengubati tuan puteri.

Wanita sihir itu menghadiahkan tuan puteri sebentuk cincin ajaib, lalu berpesan kepada puteri itu, agar setiap pagi, tengah hari dan malam, pandang cincin itu dan senyum.

Puteri akur dengan pesanan wanita sihir itu lalu mengulangi perbuatan senyum kepada cincin ajaib itu setiap hari. Hari demi hari, minggu berganti minggu, masuklah tiga purnama. Akhirnya, semua orang dalam istana itu mula menyedari bahawa tuan puteri itu kian cantik dari hari ke hari.

Melihat puterinya itu kian cantik, maka raja negeri itu menjadi begitu gembira lalu memanggil wanita sihir kembali ke istana untuk memberi ganjaran wang emas kerana telah berjaya memulihkan puterinya itu. Ketika wanita sihir itu tiba di istana, raja itu pun bertanya, apa rahsia yang ada dalam cincin ajaib itu hingga berupaya menjadikan puterinya cantik.

Wanita sihir itu menjawab, cincin itu cuma cincin biasa, cuma, puteri itu menjadi cantik kerana senyuman yang diberikan kepada cincin itu setiap masa. Selama ini tuan puteri sememangnya sudah cantik, cuma kecantikannya itu seolah-olah terselindung kerana puteri sentiasa masam dan tidak tersenyum. Tamat.

Selain itu, senyuman yang paling cantik adalah senyuman yang lahir dari hati yang bersih, hati yang ikhlas, hati yang sentiasa berbaik sangka terhadap orang lain, berfikiran positif dan tiada perasaan benci.

Bersihkan hati, ukirlah senyuman yang paling indah, biar menjadi penawar bagi mereka yang sedang berduka, sedekah yang paling bermakna. InsyaAllah. Hanya Allah jualah yang Maha Mengetahui.

Wassalam.

2 comments:

segelasair said...

salam kakniza,
ni first time komen, selalunye just silent reader..=D
senyum sokmo deh!!

AsNiza said...

w'salam segelas air..

teh tarik secawan tkde yer? hehe..
terima kasih byk sudi singgah blog akak, appreciate so much =)