+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Thursday, February 18, 2010

Mencari Garisan Penamat

Matahari kian meninggi. Kamu sudah penat meredah hutan belantara. Peluh membasahi tubuh. Lutut kian terasa lemah. Kamu penat. Letih. Lelah. Nafas tercungap-cungap bagai ikan dicampak ke darat. Perut menyanyi minta diisi. Kamu mula mengeluh. Hampir berputus asa.

Jalan yang kamu tempuhi beribu batu jauhnya. Titik mulanya sudah jauh kamu tinggalkan. Berpusing ke belakang, berpatah balik ke tempat asal bukanlah suatu tindakan bijak. Mahu atau tidak. Suka atau tidak. Kamu harus teruskan langkahmu ke depan. Mara. Maju. Ke hadapan bukan ke belakang. Hidup seharusnya begitu. Jejak langkah. Bekas tapak kaki tak mungkin bisa dikutip semula. Biarlah. Biarkan ia termaktub dalam lipatan sejarah. Berjalanlah jangan berhenti. Jangan mengalah. Kamu bukan lemah.

Sudah banyak suka duka telah kamu tempuhi. Bukan sedikit air mata yang jatuh. Bukan sedikit waktu yang telah kamu luangkan. Sudah banyak hati yang telah terluka. Telah banyak jiwa yang terdera, jangan berhenti, jangan mengalah, kamu harus tiba ke garisan penamat, sebagai juara. Kerana kamu sememangnya dilahirkan ke dunia ini sebagai juara. Kamu johan sedari awal, tanpa kamu sedari. Benar! Percayalah!

Seketika, cuba kamu pandang ke belakang. Lihatlah! Lurah sudah kamu turuni, bukit bukau sudah kamu tempuhi. Kiri kananmu onak duri ranjau berliku. Kamu pernah terjatuh tapi kamu bangkit. Kamu pernah tersesat tapi kamu akhirnya berjaya temui jalan keluar. Kamu tahu ke mana harus di tuju. Kamu tahu di mana destinasimu. Dan kamu juga tahu, waktumu kian singkat. Apa kamu masih mahu pusing ke belakang? Atau teruskan langkahmu ke depan? Kami pilih. Kamu tentukan.

Oh! Di depan juga jalan berliku. Hutan belantara. Penuh pancaroba. Kamu takut! Binatang buas mengaum kelaparan. Hari kian petang. Matahari mengengsot perlahan-lahan. Kamu keletihan. Keseorangan. Kesempitan waktu. Namun kamu tabahkan jua hatimu. Tidak mampu berjalan kamu kini merangkak, asal tiba ke destinasi. Segala kudratmu kamu kerahkan. Keringat menitik dari setiap liang roma. Jasadmu kian lemah namun tidak semangatmu.. Kamu yakin, kamu percaya, kamu pasti juara.

Destinasi itu kian hampir. Tinggal cuma beberapa langkah. Kamu harus bertahan. Kamu harus tabah. Tinggal sedikit saja lagi.

Kakimu luka, tubuhmu calar balar, lututmu berdarah. Kamu menggigil kelaparan, kepenatan, cuba menggapai destinasimu.

Cuma tinggal beberapa langkah...

Tiba-tiba... pandanganmu menjadi kelam. Kamu tidak sedarkan diri. Hitam. Pitam. Mereka yang kamu cintai, yang sekian lama menanti di destinasi impianmu, melambai-lambai. Cuma tinggal beberapa langkah saja. Juga sirna. Pergi meninggalkanmu. Kamu kini tersungkur di hadapan garis penamat, sebelum tiba ke garis akhir. Cuma tinggal beberapa langkah, namun hampa. Kecewa. Kamu gagal di saat-saat akhir. Kamu tewas setelah penat jerih bersusah payah meredah sengsara. Kamu kalah akhirnya setelah segalanya telah kamu curahkan.

Oh Tuhan... apa yang harus kamu lakukan????

Firman Allah lagi dalam Surah Al-Imran, ayat 142 dan ayat 200:

"Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)? "

"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan). "

Demikian Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 286.

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata):

"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".

Tabahkanlah hati-hati kami Ya Allah. Pimpinlah kami Ya Allah. Berikanlah kami kekuatan dan petunjuk-Mu Ya Rabb. Amin ya rabbal alamin...



1 comment:

Syifa' said...

saya suka entri ini..sangat memotivasikan diri saya..harap2 saya juga boleh menjadi motivator yang baik satu hari nanti...