+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Wednesday, September 30, 2009

Al-Infitaar

Apabila langit terbelah;

Dan apabila bintang-bintang gugur bertaburan;

Dan apabila lautan pecah bercampur-baur;

Dan apabila kubur-kubur dibongkarkan, -

(Setelah semuanya itu berlaku), tiap-tiap orang akan mengetahui apa yang telah dikerjakan dan ditinggalkannya.

Wahai manusia! Apakah yang memperdayakanmu - (berlaku derhaka) kepada Tuhanmu yang Maha Pemurah? -

Tuhan yang telah mencipta dan mengatur kejadianmu, lalu menjadikan anggotamu sesuai (dengan tujuan yang kerananya anggota itu diadakan), serta menjadikan (binaan tubuh badanmu) sama padan dengan kekuatannya;

Dalam bentuk dan rupa apa sahaja yang dikehendakiNya, Ia menyusun kejadianmu.

Sebenarnya tidak ada yang memperdayakan kamu (hai golongan yang ingkar)! Bahkan kamu sendiri tidak percayakan adanya hari pembalasan.

Padahal sesungguhnya, ada malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawas segala bawaan kamu,

(Mereka adalah makhluk) yang mulia (di sisi Allah), lagi ditugaskan menulis (amal-amal kamu);

Mereka mengetahui apa yang kamu lakukan.

(Gunanya catitan malaikat-malaikat itu ialah: untuk menyatakan siapa yang berbakti dan siapa yang bersalah) - kerana sesungguhnya: orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), tetap berada dalam Syurga yang penuh nikmat;

Dan sesungguhnya orang-orang yang bersalah, bertempat dalam neraka yang menjulang-julang.

Mereka menderita bakaran neraka itu pada hari pembalasan,

Dan mereka (sentiasa berada dalam azab seksanya), tidak ghaib daripadanya.

Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari pembalasan itu?

Sekali lagi, apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari pembalasan itu?

Hari itu ialah) hari seseorang tidak dapat memberikan pertolongan sedikitpun kepada orang lain, dan segala urusan pada hari itu tertentu bagi Allah.

Sunday, September 27, 2009

Planet Kita Berbeza

Dia segak berbaju melayu putih. Kulitnya tidak gelap tidak cerah. Langkah kakinya jitu penuh keyakinan, bagaikan begitu pasti dengan hala tujunya. Dia makin menghampiri. Ini kali pertama aku menatapnya dengan lebih dekat. Itu pun sekadar mencuri pandang sekali-sekala.

Aku lebih banyak menundukkan wajah. Dadaku bagaikan mahu pecah. Jantungku berdegup begitu kencang. Sangat sukar untuk aku tafsirkan. Aku diam membisu. Rakan-rakan dan saudara-mara senyum-senyum memandang. Sekali sekala sepupuku Nafisa mencubit lenganku. Aku masih tunduk. Menahan resah di jiwa.

Wajahnya tenang dan jernih. Dia duduk bersila di tengah-tengah majlis. Lagaknya bersahaja bagai tiada apa yang berlaku sedangkan aku yang duduk bersimpuh tidak jauh darinya bagai cacing kepanasan. Jiwa ini bagai dilanda taufan Nargis. Namun ada masanya sedamai Tasik Kenyir. Di saat 'getir' sebegini, berulang-ulang kali aku menyebut nama Allah.

"Ya Allah, semoga keputusanku kali ini terbaik buatku, masa depanku dan agamaku. Lapangkanlah hatiku Ya Tuhan, hanya pada-Mu aku berserah..."

"Aku terima nikahnya Nurul Raudhatul Iman dengan mas kahwin RM 80 tunai.." Suara itu berjaya mengejutkan lamunanku. Di sambut "sah" oleh saksi-saksi yang hadir. Dia tersenyum lega, mencuri pandang ke arahku. Bagaikan tarikan magnet, serentak itu juga aku mengangkat wajahku, menatap si dia yang kini sah bergelar suami.

------------------------------------------------

EDITED: 28/09/2009 (7.40 am)

"Terima kasih kerana sudi mengambil saya sebagai isteri.." Hanya itu yang mampu aku lafazkan. Aneh rasanya berdua-duaan dengan lelaki asing yang sebelum ini tidak pernah aku dekati. Perasaanku bercampur baur. Dia sekadar tersenyum memandang ke arahku. Aku tertunduk malu.

"Terima kasih juga kerana sudi jadi isteri abang.." Balasnya pula sambil meraih tanganku. Aku membiarkan sahaja kerana aku sedar sepastinya aku bahawa aku kini sudah sah menjadi isterinya. Dia berhak ke atasku. Aku juga tidak lupa pesan ibu, syurga isteri di bawah telapak kaki suami. Selagi aku isterinya, dan dia suamiku, akan ku persembahkan yang terbaik untuknya.

Ya Allah, lindungi kami dari godaan syaitan dan azab api neraka. Moga Kau bimbing aku agar aku jadi isteri yang solehah. Agar aku menjadi penawar buat suamiku dikala dia resah, agar aku menjadi bidadari terbaik untuknya di dunia ini, agar aku menjadi sayap kiri untuknya, bersamanya berjuang demi agamamu. Agar kami menjadi hamba-Mu yang soleh dan solehah, taat setia hanya pada-Mu. Ya Allah, moga rumahtangga kami ini berkekalan dalam bahagia, hingga ke syurga. Amin ya rabbal al alamin..

Hari itu mencatat sejarah paling besar buatku. Hari di mana aku melangkah selangkah ke alam baru. Alam berumah tangga. Hari di mana aku kini bergelar isteri kepada Muhammad Firdaus. Sedikit pun tidak pernah terlintas di fikiranku selama ini bahawa aku akan bernikah dengan sahabat karib abangku sendiri.. apa pun, aku percaya, Allah Maha Penentu segalanya. Setiap apa yang berlaku, semuanya hanya dengan izin Allah. Maha suci Allah.

-----------------------------------------------------------

Aku menatap jam di dinding, hampir jam 7 petang. Aku kian lincah, masa untuk berbuka puasa kian suntuk. Sekali sekala aku menjenguk ke ruang tamu, menanti kepulangan suami tersayang. Namun aku hampa, bayangnya tetap juga tidak kelihatan.

7.10 pm, aku dengar suara memberi salam..Aku segera bergegas ke pintu seperti lazimnya menyambut kepulangan sang suami. Sebaik sahaja pintu di buka, dia tersenyum manis. Segera aku salami dan kucupi tangannya.

"Mana santan?" Soalan pertama yang terpacul di bibirku. Muhammad Firdaus yang berdiri di hadapanku mengerutkan keningnya.

"Sayang tak tanya pun khabar abang, santan lagi penting dari abang yer?" Balas suamiku pula. Aku terpana. Aduh, memang silapku..Gelojoh..

"Astagfirullah..Maafkan Iman bang, tapi waktu berbuka dah hampir ni, kari Iman belum masak lagi, Iman tunggu santan.. err.. tunggu abang.."Jawabku pula, tak betah rasanya andai suami yang aku sayangi itu merajuk hati.

"Ye lah, Abang tahu Iman masak pun untuk abang.. Mari sini abang peluk, rindu pulak sehari tak jumpa.." Dia cuba meraih pinggangku, tapi cepat-cepat aku mengelak. Aku gelak kecil.

"Abang puasa, masam pulak tu seharian kat opis tak mandi, lagipun Iman kejar masa ni bang, sorry yer.." Cepat-cepat aku mengatur langkah kembali ke dapur. Menjinjit plastik santan yang di bawa pulang. Suamiku terdiam. Mungkin berkecil hati atau buat-buat merajuk. Aku tak sempat memikirkan dia kerana waktu berbuka puasa tinggal lagi 15 minit.


--------------------------------------

EDITED : 28 September 2009 (12.00 pm)



Selesai solat Isyak berjemaah aku salami suamiku, seperti biasa aku tunduk mengucup tangannya. Dia mengusap-usap lembut kepalaku seperti lazimnya. Terasa kasih dan sayang seorang suami meresap ke jiwaku, membuatkan aku kian bahagia. Hari ini dia kelihatan berbeza, tidak seperti hari-hari biasa, dia tidak banyak bercakap. Sejak berbuka puasa hingga kini, dia lebih banyak mendiamkan diri. Selalunya, dia pantang melihat aku, ada saja yang ingin disakatnya. Suka sangat mengusik aku, katanya dia suka melihat aku merajuk.

Aku tidak berani menegur Muhammad Firdaus, tidak berani untuk bercanda dengannya. Aku biarkan saja dia lansung membaca quran. Aku membaca sekadar dua muka surat, kemudian naskah quran itu aku tutup lalu aku kucup Quran itu sebelum meletakkannya kembali di rak buku. Telekung dan sejadah aku lipat lemah sambil mataku berkali-kali mencuri pandang ke arah suamiku. Mengharap sedikit perhatian darinya. Dia masih kusyuk membaca Quran seolah-olah aku tidak wujud dalam ruang bilik itu. Wahai diri, janganlah berkecil hati. Aku memujuk diri sendiri namun ternyata aku gagal mengawal emosi.

Di sudut dapur, aku sibuk membancuh the buat suami tersayang. Kepalaku berlegar-legar memikirkan kenapa sikap suamiku berubah. Adakah dia benar-benar marahkan aku kerana sikapku petang tadi? Astagfirullahalazim.. ampunkan dosaku Tuhan.. Atau dia sudah tidak perlukan aku? Adakah sayangnya sudah tiada untukku? Atau hatinya sudah beralih arah kepada wanita lain? Sungguh banyak persoalan menerjah kotak fikiranku, bercelaru bercampur aduk. Tanpa sedar airmata mengalir dari kedua kelopak mataku.

“Sayang potong bawang ke?” Tiba-tiba, suara dari belakang mengejutkan lamunanku. Cepat-cepat aku menyapu airmata, lantas menggeleng-gelengkan kepala.

“Eh mana ada, buat air untuk abang..” Kelam kabut aku menjawab, tanganku makin laju mengacau air dalam teko.

“Oh, jadi mata sayang masuk habuk la eh?” Dia makin menghampiri. Sejak bila dia berada di situ sungguh aku sendiri tidak sedar.

“Erm.. haah, masuk habuk..” Aku sekadar mengiyakan, berharap agar dia tidak tahu aku menangis.

“Laa.. yeke, kesian isteri abang, meh sini abang tengok,” Katanya lagi. Belum sempat aku bersuara dia sudah merangkul aku ke dalam pelukannya. Aku sekadar membiarkannya, mengelak tidak, membalas pelukannya pun tidak.

“Abang mintak maaf yer buat sayang kecik hati, abang penat sangat hari ni, banyak kerja kat ofis, dah, jangan nangis lagi yer..” Suaranya menyentuh gegendang telingaku. Mendayu-dayu penuh rasa kasih. Tidak semena-mena airmataku mengalir lagi.

“Iman yang patut minta maaf, Iman yang salah dengan abang, Iman tak layan abang dengan baik petang tadi, maafkan Iman, bang. Bila abang tak pedulikan Iman, Iman takut abang dah tak sayang Iman lagi..”
Aku meminta maaf seikhlasnya lalu meraih tangan suamiku. Aku kucup tangannya berulang kali sebagai tanda penyesalan yang bergunung.

Muhammad Firdaus tergelak kecil, entah apa yang mencuit hatinya pun aku tidak tahu. Aku kehairanan menatapnya.

“Inilah orang perempuan, sensitive sangat. Suka fikir bukan-bukan pulak tu, kan dah membazir airmata,” Ujarnya sambil menyapu airmata yang masih berbaki di pipiku.

“Iman pulak.. abang tak mahu cakap ngan Iman dulu kenapa..” Aku mengomel. Belum sempat aku menyambung kata, dia meletakkan jari telunjuknya di bibirku.

“Shh.. abang haus ni, takkan tak siap lagi sayang buat teh,” Dia sudah menukar topic perbualan. Orang lelaki memang selalu begini. Escapisme. Memang betul kata John Gray, planet kami berbeza, dia tak mungkin fahami aku. Aku tidak jadi menyambung omelan, mengerti bahawa dia tidak mahu panjangkan cerita, namun di dalam hati masih juga bermonolog. Aku tarik muka buat-buat merajuk. Dia masih tersengih memandang ke arahku.

“Dah, tak mau merajuk lagi.. Lainkali kalau abang diam, sayang kena faham abang mungkin penat, dan abang mahu sayang tahu, penawar segala penyakit abang ni satu jer… it is you! Senyuman sayang buat abang bahagia, peluk sayang buat semua masalah abang terbang jauh,” Panjang bicaranya. Satu-persatu butir katanya meresap ke jiwaku. Sungguh aku benar-benar bersyukur di kurniakan suami yang sepertinya, walaupun planet kami berbeza, dia tetap cuba mencari titik persamaannya. Alhamdulillah, aku bersyukur pada-Mu Tuhan.

“Dan Iman pun mahu abang tahu, Iman bukan nujum, Iman tak boleh baca hati abang, Iman tak boleh baca apa yang abang fikir. Iman mohon pada abang, luahkan dan kongsikan semua yang abang fikir, agar Iman tahu, agar Iman dapat berkongsi kegembiraan abang, apatah lagi kedukaan abang, Iman mohon..” Giliran aku pula meminta pengertian. Berkali-kali suamiku menganggukkan kepalanya.

Lelaki dan wanita diciptakan berbeza, bak kata sesetengah orang, man are from mars, women are from venus. Masing-masing punyai kelebihan dan kelemahan agar dapat saling melengkapi antara satu sama lain. Rumahtangga ibarat bahtera yang berlayar di lautan luas. Lautan luas bukan boleh di duga, sekejap tenang sekejap bergelora. Samudera datang menduga bila-bila masa sahaja. Asalkan si nakhoda tahu mengemudi, anak kapal pula tahu memainkan peranannya, dengan izin Allah bahtera itu akan selamat berlabuh. Rumah tangga akan kekal bahagia.

“Abang cintakanmu kerana Allah,” Lafaznya sambil mengucup dahiku.

“Kami juga cintakan abang kerana Allah,” Balasku pula, menyebabkan dia kehairanan. “Kami?” Benar seperti telahanku, dia kembali bertanya kepadaku. Aku Cuma tersipu-sipu malu. Matanya bercahaya menjelajah seluruh jasadku. Aku senyum.

“Tahniah Encik Muhammad Firdaus, insyaAllah 7 bulan dari sekarang anda akan bergelar seorang ayah,” Lagakku bagai seorang doctor di dalam drama tv. Dia hampir melompat kegembiraan. Kedua tangannya di tadah ke langit, lafaz syukur berulang-ulang kali terbit dari bibirnya. Aku senang melihatnya.

Ya Allah, semoga sembilan akalnya dapat membimbing sembilan emosiku. Dan semoga sembilan emosiku dapat melunakkan sembilan akalnya. Ya Allah, hanya pada-Mu kami berserah. Hidupkanlah kami dalam iman, matikanlah kami dalam iman, masukkanlah kami kesyurga bersama iman.

Amin ya rabbal alamin.

------------------

TAMAT



P/S: takleh panjang2 nanti letih akak kena sakat, =p

Saturday, September 26, 2009

Wanita dan Airmata


Wahai wanita..

Sapulah airmatamu..

Bukan tiada yang mendengar..

Bukan tiada yang mengerti..

Bukan tiada yang mengetahui..

Jangan menangis lagi..

Senyumlah..

Percayalah..

Kau tidak sendirian..

Kau tidak pernah sendirian..

Allah sentiasa ada bersama kamu.

Dia Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Jangan bersedih.. ^_~

Friday, September 25, 2009

Erti Hidup Pada Helaian Kertas

Kegemaran saya ketika zaman kanak-kanak dan awal remaja adalah membaca. Hobi saya membaca. Tambahan pula waktu itu, hiburan seperti alat permainan video, komputer atau internet tiada. Jadi, saya ada banyak waktu untuk membaca.

Jika di sekolah rendah, saya suka membaca buku cerita dongeng, antara buku kegemaran saya adalah Buku Cerita Naga Kepala Tujuh dan seangkatan dengannya. Walaupun sudah berada di tingkatan menengah rendah, saya masih lagi membaca buku cerita kanak-kanak. Himpunan fairy tales Enid Blyton, siri penyiasatan Salma dan kawan2, dan banyak lagi. Himpunan buku antologi cerpen, sayembara puisi dan macam2, termasuk novel-novel cinta yang di pinjam dari sahabat.

Pendek kata, cita-cita saya ketika di Sekolah Menengah Kota adalah untuk memastikan saya telah semua buku di dalam perpustakaan sekolah. Pantang ada bahan bacaan, saya akan berhenti seketika untuk membaca, walau cuma sekeping surat khabar lama. Begitulah kegilaan saya dulu kala terhadap buku.

Namun semuanya berubah setelah saya berpindah sekolah ke MRSM. Terlalu fokus dengan SPM hingga saya tidak punyai ruang untuk lakukan perkara lain yang saya minati. Walaupun terpilih (baca: memohon dan terpilih) sebagai Pengawas Perpustakaan selama dua tahun, tak banyak buku yang telah saya baca. Saya di MRSM hanya untuk SPM. Sengkang waktu untuk membaca hanya untuk buku sejarah dan biologi. Pendidikan Islam dan Tasawur Islam. Fizik dan Kimia. Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu. Matematik Moden dan Matematik Tambahan. Itu saja. Lama-kelamaan minat saya terhadap bahan bacaan kian pudar.

Masa terus berjalan. Saya juga menginjak dewasa. Hidup tetap diteruskan.

Jika dulu saya suka membaca, menerima. Sekarang saya lebih gemar menulis, memberi. Walaupun hakikatnya saya sedar, ilmu yang saya miliki sangatlah sedikit atau lansung tiada. Bacalah dengan nama Tuhanmu... Baca! Jadi seharusnya, saya kembali kepada asas utama yakni perbanyakkan membaca, tambah ilmu, mantapkan pemikiran dan idea. Saya sedar.

Atas kesedaran itu juga. Saya cuba membeli dan mengumpul buku-buku. Banyak buku dibeli namun akhirnya, buku itu sekadar perhiasan di rak. Dibaca sehelai dua kemudian terbiar tidak tersentuh. Apa sudah jadi dengan saya? Mana keghairahan dulu?

Sebelum saya kembali mengumpul buku bacaan, di luar sedar saya (sekarang baru perasan) saya gemar mengumpul buku-buku kosong. Saya suka membeli dan menyimpan buku nota yang kosong, buku A4, kertas A4 dan segala yang kosong di dalamnya. Tiada cerita. Tiada kisah.

Apakah erti hidup?

Adakah buku mampu melambangkan erti sebuah kehidupan? Kehidupan seorang insan bergelar Hasniza?

Adakah kerana aku sudah penat menerima? Penat dengan kehidupan ini? Atau aku bosan membaca kisah yang dikarang sesedap hati oleh sang pengarang. Atau aku sudah tidak percaya pada sebuah kehidupan? Atau kenapa? Adakah kerana kehidupan aku yang terlalu berliku-liku tidak diketahui bagaimana penyudahnya maka aku benci novel-novel yang sungguh mudah ditamatkan? Entah.

Kerana aku penat membaca kisah manusia lain. Kerana aku rasa kisah aku jauh lebih tragis. Kerana aku sangka kisah aku jauh lebih 'menarik' untuk di bukukan. Kerana aku ingin menulis kisah-kisah yang tercatit sepanjang jalan kehidupan aku. Maka aku persembahkan helaian-helaian kosong di hadapan mataku. Namun apa yang jadi? Adakah aku menulis? Adakah aku mula menulis? Adakah buku itu tercatit cerita atau nostalgia? Epilog mahupun monolog? Tidak! Buku itu masih kosong.. Masih kosong..

Aduh buku...Aduhai kehidupan..

Alangkah indahnya andai kita mampu karang kehidupan kita, kita tentukan jalan ceritanya, kita tentukan watak-watak yang menemani jalan cerita kita. Kita tentukan penamat kisah kita. Ibarat sebuah buku cerita.

Namun aku sedar, seyakinnya aku. Setiap apa yang sudah terjadi, sedang terjadi mahupun akan terjadi, semuanya atas kehendak Ilahi. Segalanya sudah tertulis buatku. Tercatit untukku sebagai suratan takdir. Ketentuan Qada' dan Qadar. Sebagai hamba Allah yang hina lagi kerdil, aku pasrah dan berserah hanya kepada-Mu ya Allah.

Cuma pintaku ya Allah, berikanlah aku kekuatan, ketabahan dan keyakinan. Teguhkanlah langkahku ya Allah, agar aku dapat tempuhi segalanya dengan penuh redha dan pasrah. Ya Allah, hidupku dan matiku hanya untuk-Mu. Sungguh aku penat dengan dugaan yang menimpa, namun aku mohon ya Tuhan, agar Kau bimbing aku, agar ujian ini menjadikan aku lebih dekat, lebih cinta pada-Mu.

Kau ampunkanlah segala dosaku. Kasihanilah aku ya Tuhan. Hidupkanlah aku dalam iman, matikanlah aku dalam iman, masukkanlah aku ke syurga bersama iman. Berikanlah aku cahaya petunjuk-Mu. Tingkatkan keimanannku dan kecintaanku hanya pada-Mu. Akhirkanlah hidupku dengan kesudahan yang baik, amin ya rabbal alamin.

Tuesday, September 22, 2009

Hakikat Cinta

Pada pagi hari raya ke-tiga, sempat saya luangkan masa untuk membaca akhbar. Diri sendiri sangat jarang membeli surat khabar, kalau pun baca surat khabar perdana, selalunya manfaatkan internet saja. Namun, abang ipar saya yakni suami kakak saya, tak boleh sehari tanpa surat khabar. Sudah menjadi kebiasaan baginya untuk membeli surat khabar dan alang-alang ada di depan mata, maka sempat juga saya jeling-jeling (baca: baca sepintas lalu) surat khabar tersebut.

Lumrah, musim perayaan, surat khabar kita di isi penuh dengan berita mengenai kemalangan jalan raya, sana dan sini. Kemalangan ngeri, ada yang meninggal di tempat kejadian, ada yang meninggal sebaik saja tiba di hospital dan ada yang cuma putus tangan atau kaki. Naauzubillah. Moga dijauhi dari kecelakaan sedemikian. Saya berharap dan berdoa agar kita sentiasa dilindungi Allah, terselamat dari bencana. Selain itu, semoga kita semua sentiasa berhati-hati walau di mana jua berada.

Dalam surat khabar hari ini, dimuatkan kisah sepasang adik beradik yang berjalan kaki ke kedai bapa saudaranya. Si abang berusia 7 tahun dan adiknya berusia 5 tahun. Sudah begitu takdirnya, si adik terlepas tangan si abang lalu entah bagaimana di rempuh sebuah kereta proton saga. Si abang yang melihat si adik di seret meraung-raung memanggil nama si adik sambil mengejar dari belakang. " Adik aku! Adik aku!"..

Sebaik saja kereta tersebut 'melepaskan' adiknya di atas jalan, si abang meriba kepala si adik yg berlumuran darah, meraung-raung memanggil nama si adik.

Bayangkan bagaimana perasaan si abang yang menyaksikan sendiri adiknya dilenyek di hadapan mata. Bayangkan bagaimana sedihnya si abang melihat si adik terkulai tidak bernyawa, berlumuran darah. Dia menangis-nangis sambil memeluk jasad adiknya. Memanggil-manggil nama adiknya. Namun adiknya bisu, kaku tidak bersuara. Kasih seorang abang yang berusia 7 tahun. Naluri semula jadi manusia yang punyai perasaan kasih dan sayang, anugerah Ilahi, apatah lagi terhadap insan yang sedarah dengannya.

Dalam suratkhabar itu juga turut memuatkan kisah si peragut yang jatuh hati kepada mangsanya. Kisahnya, si peragut yang berusia 22 tahun, telah menikam mangsa sebelum meragut mangsa yang juga seorang jururawat berusia 18 tahun. Entah bagaimana, dalam tragedi ragut meragut itu, si jejaka sempat terjatuh hati kepada mangsa. Seminggu kemudian si peragut kembali ke tempat kejadian, menulis nota cinta kepada si gadis, dengan harapan si gadis sudi bertemu dengannya menjalinkan hubungan, malangnya, si gadis hadir di tempat yang dijanjikan bersama sepasukan polis, lalu akhirnya, si jejaka berjaya diberkas oleh pihak polis.

Begitulah hebatnya kuasa cinta. Hinggakan ada yang sanggup berbuat apa saja demi cinta. Entah apa yang menjadi pencetus cinta. Entah apa yang membuahkan rasa cinta. Entah bagaimana rasa cinta hadir. Entah bagaimana rasa cinta itu lahir. Tapi ternyata, dalam diri manusia, sememangnya mempunyai rasa cinta itu. Walaupun tanpa kita sedari, ia muncul begitu saja. Kerana ia suatu perasaan yang sangat istimewa, anugerah terindah dari Sang Pencipta Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Malangnya, ada juga manusia yang dicipta Allah serba sempurna, dikurniakan akal dan naluri namun sering saja alpa dan leka. Tidak memanfaatkan anugerah Allah sebaik mungkin. Tidak saling mengasihi malah berdendam dan saling membenci. Ada keluarga yang berpecah, bercerai berai kerana berebutkan harta, kerana mempunyai kepentingan masing-masing yang sering bercanggah. Ada juga yang berpatah arang hanya kerana perselisihan faham yang kecil, tapi sengaja diperbesar-besarkan.

Sesungguhnya tidak masuk syurga seseorang yang tidak mencintai saudaranya seperti mana dia mencintai dirinya sendiri. Cinta itu perlu. Bukan hanya cinta buat kekasih hati namun cinta sesama manusia, cinta terhadap alam sekitar, cinta terhadap hidupan sekeliling kita, cinta kepada Allah dan rasul, cinta kepada al-quran dan kitab, cinta kepada kedua ibu bapa dan sanak saudara, cinta kepada negara dan tanah air.

Ramai yang suka sempitkan definisi cinta, cinta hanya tertakluk kepada cinta buat pasangan, cinta buat kekasih atau cinta kepada suami atau isteri. Maka sering terjadi, mereka yang jatuh cinta sering hanyut dan leka dalam khayalan cinta. Mabuk cinta hingga lupa segalanya. Lupa diri, lupa dunia dan lupa akhirat. Kerana cinta bagi mereka adalah buah hati pengarang jantung. 100 peratus hanya untuk dia.

Maka sering terjadi, bila si dia berubah hati, dunia bagaikan sudah berakhir. Kehidupan jadi tidak bererti. Bila si dia pergi meninggalkan, si kekasih bagaikan hilang pertimbangan, jadilah seperti Laila dan Majnun yang sanggup mati asalkan dapat terus bersama dengan kekasih hati. Begitulah cinta yang suci sering di salah tafsirkan. Cinta yang membuahkan derita sengsara. Cinta yang membinasakan. Cinta yang merosakkan. Cinta yang membunuh.

Walau begitu, saya masih percaya, cinta masih lagi punyai aura, kekuatan dan tenaganya yang tersendiri. Cinta mampu menjadi pendorong bagi seseorang untuk terus berusaha mengejar kejayaan. Cinta mampu menjadi pemangkin untuk terus tabah meneruskan kehidupan. Cinta berkuasa menghidupkan hati yang sekian lama mati.

Cinta yang mampu menjadi cahaya penunjuk jalan. Cinta yang membahagiakan. Cinta yang mempesonakan. Cinta yang membangkitkan rasa yakin diri. Cinta yang menerangi kehidupan. Cinta yang berlandaskan syariat Islam, cinta yang selari dengan tuntutak Islam, cinta yang berada di landasan yang benar. Cinta sebegitu masih ada, namun bukan mudah untuk dimiliki.

Cinta adalah fitrah yang suci. Cinta juga salah satu 'makanan rohani'. Jangan dicemari cinta dengan nafsu dan niat jahat. Jangan dicemari cinta dengan kelakuan yang tidak bermoral lagi tidak berakhlak. Jangan jadikan cinta sebagai senjata untuk membunuh, sebaliknya manfaatkanlah cinta untuk menghidupkan jiwa-jiwa yang sudah mati.


Cinta kepada Allah itulah cinta yang paling hakiki.

Cinta kepada Allah itulah cinta yang pailing sejati.

Hanya aku dan Dia. Hanya Dia tempat aku berserah.

Aku menadah tangan bermohon daripada-Nya.

Aku tundukkan wajah, berbicara dengan-Nya.

Sungguh banyak aku mengadu, merayu dan memohon.

Airmata jatuh laju tidak tertahan lagi.

Ampunkan segala dosaku Ya Tuhan..


Wednesday, September 16, 2009

Salam Aidilfitri.

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamualaikum wbt..

Apa khabar semua sahabat? Tangisi pemergian ramadhan, raikan kemenangan di hari lebaran, semoga kita benar2 peroleh kemenangan, amin.

Saya Hasniza binti Ibrahim aka AsNiza, menyusun sepuluh jari mohon kemaafan dari sahabat semua, dari hujung kaki ke hujung rambut saya, mohon maaf yer..

Selama kita bersua di alam maya dan mungkin alam nyata, saya mungkin telah melakukan kesilapan, melukai, menyakiti, mengasari, menyinggung dan apa jua salah silap saya samada sengaja atau tidak, mohon dimaafkan..mana termakan terminum terguna terpakai, minta di halalkan..

Kepada yg memberi ucapan dan salam hari raya, terima kasih saya ucapkan. Semoga ucapan mulia dan murni kalian 'dikembalikan' atau di balas lebih murni dari Allah swt..

Saya cuma manusia biasa yg punyai byk kelemahan, tidak lepas dari melakukan kesalahan. Ayuh sama2 kita contohi sifat mulia Baginda Nabi Muhammad saw.. Jom sama2 kita saling bermaafan.

Andai saya dan kalian dipanjangkan umur, bumi ini belum kiamat, insyaAllah kita akan bersua lagi.


Wassalam.

Sunday, September 13, 2009

Kisah Gadis Kecil : Episod Akhir




Salam..

Melihat trend pelajar sekolah (lower n upper form) asyik menulis cerpen cinta/kahwin, saya terpanggil utk menulis yg sebaliknya...songsang sikit, semoga dapat mengutip sesuatu bermanfaat di dalamnya, jika ada.. ^_^

_________________________________________________

Episod Satu: Pertemuan Pertama

Februari 1990

Jam menunjukkan pukul 7 pagi. Aku benar-benar pasti kerana berkali-kali aku menatap jam yang terlekat di pergelangan tangan kiriku. Hari ini, aku rasakan jarum panjang dan pendek itu bergerak begitu perlahan. Terkedek-kedek. Ah~!! Mungkin aku dalam keresahan, resah menantikan sebarang kemungkinan yang bakal terjadi pada hari pertamaku ini.

Aku mengatur langkah kakiku menuju masuk ke kawasan sekolah dengan sejuta satu rasa yang bercampur baur. Hari ini hari pertama aku di sini. Bertugas sebagai seorang guru praktikal di sebuah sekolah yang agak terpencil. Sekolah ini cuma ada tiga buah bangunan. Dua bangunan lama setingkat dan satu bangunan baru 4 tingkat yang sememangnya baru disiapkan. Mungkin hadiah daripada kerajaan negeri kerana pilihanraya baru sahaja berlangsung. Aku tersenyum sendirian.

Aku tersenyum lagi melihat sebuah kolam yang letakknya berhampiran pintu pagar sekolah. Di sekelilingnya terhias pohon-pohon rendang. Juga terdapat air terjun yang mengalir tanpa henti. Panorama indah itu sedikit sebanyak mampu memujuk hatiku yang resah. Aku tersenyum lagi. Segala puji hanya bagi-Mu Allah.

Suasana masih sunyi namun kian menjadi hingar. Beberapa orang murid mulai mengisi ruang sekolah. Ada yang memandang aku kehairanan, mungkin aku terlalu asing bagi mereka. Aku mengerti kerana hari ini hari pertama aku menjejakkan kaki ke sini. Setelah aku menghadiahkan senyuman, mereka tidak lokek membalasnya semula, terhibur juga aku melihat telatah mereka di pagi hari.

Aku terus menyusun langkah. Aku terlihat sebuah bangku cokelat berhampiran dengan tempat parking kereta guru, lalu aku terus melabuhkan punggungku di situ. Melepaskan lelah seketika waktu sementara menanti ketibaan guru dan pegawai yang harus aku temui pada hari pertama itu.

Seorang demi seorang murid melintasi pintu pagar sekolah. Aku sekadar menjadi penonton bisu. Ada pelbagai gelagat dan keletah kadang-kala membuatkan aku tergelak kecil sendirian. Gelihati. Tiba-tiba, tidak semena-mena bola mataku tertancap pada seorang gadis kecil.

Di belakangnya tergalas beg sekolah yang kusam dan terkoyak,aku dapat melihatnya dengan jelas. Dia mengatur langkah longlai sambil tangan sebelah kanannya memegang sebekas tupperware. Tubuhnya kecil, rambutnya pendek paras leher, hitam, lurus dan lebat. Bukan saja beg yang koyak, kasutnya juga koyak. Aku tersentuh melihatnya. Perasaanku dirundung hiba tiba-tiba. Sayu aku melihatnya.

Gadis kecil itu terus mengatur langkah, tidak sedar aku sedang memerhatikannya. Dia jalan menunduk. Merenung tanah yang bakal dipijaknya. Pandangan matanya bagaikan kosong, sedang melayang terlalu jauh. Wajahnya suram, bagai ada hirisan di hatiku kala mata kami bertautan.

Mata gadis kecil itu seolah-olah terlalu sarat dengan derita. Terlalu sukar untuk aku membacanya. Apakah yang sedang kau fikirkan wahai anak kecil? Aku bermonolog sendirian.

___________________________________________________

Episod Dua: Hikmah Sebalik Pertemuan

Aku membetulkan tag nama yang tersemat di dada kanan ku. Tag itu tertera namaku "Nora Asyikin". Aku tersenyum menatapnya. Tudung yang sudah elok aku perbetulkan lagi, bimbang kalau-kalau penampilan pada hari pertamaku itu mengakibatkan persepsi yang buruk terbit dari minda anak muridku.

Aku berdiri tegak. Berdehem kecil beberapa kali untuk melegakan tekak. Kedua belah tanganku aku genggam dan lepas berulang kali. Seiring itu juga aku menarik nafas yang dalam beberapa kali. Aku masih berdiri di hadapan kelas 2 Mawar. Masih teragak-agak untuk melangkah masuk. Setelah membaca beberapa doa yang aku hafal, aku meyakinkan diri untuk terus melangkah masuk ke dalam kelas.

Sebaik sahaja aku masuk, suasana kelas yang tadinya bising menjadi senyap tiba-tiba. Seorang pelajar yang duduk di meja paling hadapan berdiri memberi salam padaku. Lalu aku tahu, dialah ketua darjah kelas 2 Mawar. Aku menghadiahkan senyuman kepada semua pelajar lalu menyuruh mereka duduk. Semuanya bagaikan robot, akur dengan kata-kataku.

Bilangan murid kelas 2 Mawar 26 orang semuanya. Sekolah ini tidak besar, jumlah pelajar keseluruhan dari darjah satu hingga darjah enam tidak melebihi 500 orang. Setiap darjah cuma ada 2 kelas dan bilangan murid bagi setiap kelas lebih kurang 30 orang sahaja. Aku berkira-kira di dalam hati. Kesemua 26 pasang mata sedang memandang tepat ke arahku. Ada yang tersengih-sengih menatapku dan ada juga yang sekadar endah tidak endah.

"Apa khabar semuanya? Sihat tak?" Aku memulakan bicara.

"Sihat!!" suara murid bergema menjawab soalanku serentak.

"Alhamdulillah.. siapa tahu sekarang ni waktu untuk subjek apa?" Aku memancing lagi.

"Mathematic!!" sekali lagi suara murid kelas 2 Mawar bergema. Aku senyum lalu menganggukkan kepala.

"Pandai semuanya. Alhamdulillah. Saya cikgu Nora Asyikin, guru pelatih akan mengajar kelas kamu subjek mathematic mulai hari ini, sampailah ke masa yang telah di tentukan, siapa suka matematik? " Aku mula berkeyakinan untuk berhadapan dengan murid-murid di hadapanku, panjang lebar aku berceloteh. Mereka mendengar, ada yang mengangkat tangan dan ada yang cuma tersengih menampakkan giginya yang rongak. Hatiku tercuit.

"Baiklah, hari ini cikgu tak akan terus mula mengajar, cikgu nak kenal-kenal dulu dengan kamu semua. Boleh tak cikgu tahu apa nama kamu sorang demi sorang?" Aku terus menyusun strategi. Murid-murid 2 Mawar mula kelihatan menerimaku dengan senang. Di dalam hati aku bersyukur. Mereka berama-ramai setuju untuk memperkenalkan diri masing-masing.

Seorang demi seorang murid berdiri memperkenalkan nama masing-masing. Ada Amin, Yusri, Helmi, Halimi, Muhammad, Azri, Hanif, Arif, Azmi, Hazizi, Baharom, Faizal, Anuar dan Syukri. Aku cuba sedaya upaya aku untuk menyimpan wajah dan nama mereka kemas-kemas dalam mindaku. Untuk menghafal semuanya dalam masa satu jam bukan mudah, syukur juga kerana mereka turut memakai tag nama, setidak-tidaknya kemudian hari aku tidak perlu bertanya soalan serupa berulang kali.

Baris demi baris berlalu akhirnya tiba giliran murid perempuan yang berambut pendek. Aku agak terkejut melihatnya, entah bagaimana aku tidak sedar kewujudan dia di dalam kelas ini dari tadi. Mungkin kerana fizikalnya yang kecil? Entahlah.. Namun dia tidak asing bagiku. Kali pertama melihatnya aku sudah merasakan bagai ada tarikan magnet antara kami. Tarikan yang misteri yang terlalu sukar untuk aku tafsirkan.

Dialah gadis kecil yang pernah aku lihat sewaktu aku sedang duduk di bangku berhampiran pintu pagar sekolah awal pagi tadi. Dia menarik kerusinya ke belakang lalu berdiri memandang ke arahku. Dia cuma tersenyum. Jantungku berdegup laju sedikit dari sebelumnya. Ada pelbagai persoalan yang sedang bermain dibenakku. Namun aku memujuk diri supaya bersabar dahulu.

Mungkin Tuhan sengaja menemukan aku dengannya. Apakah hikmah yang tersembunyi, hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

_______________________________________

EDITED: 24 Ogos 2009

Episod Tiga: Kian Dekat

Dia masih berdiri dan tersenyum memandang ke arahku. Aku terpaku seketika. Bagai tersedar dari lamunan panjang, aku membalas senyumannya.

"Saya Siti Khadijah Binti Ibrahim, cita-cita saya mahu jadi cikgu" gadis kecil itu berkata-kata. Wajahnya redup memandang ke arahku. Di bibirnya masih terukir senyuman. Aku menganggukkan kepalaku berulang kali. Aku juga senyum padanya.

"Kenapa mahu jadi guru?" Aku bertanya lagi, sengaja menarik perbincangan lebih panjang dengan dia.

"Sebab jadi cikgu nanti dapat banyak hadiah bila hari guru.." Dia menjawab lirih. Aku tergelak kecil mendengarnya. Dia juga tersengih melihat aku. Beberapa ketika kemudiannya, aku mempersilakan dia kembali duduk di tempatnya.

Dia hanya menurut. Dia kembali duduk. Aku beralih kepada murid yang lain pula. Dari hujung mata aku sempat melihat wajahnya kembali suram seperti mana teduhnya wajah itu ketika kali pertama aku melihatnya. Dia melontar pandangannya jauh ke luar tingkap. Melayangkan lamunannya jauh tidak bertepian. Mungkin khayalannya sudah menjejak awan puti. Aku biarkan saja dia dengan lamunannya. Makin hebat perasaanku berperang sesama mereka. Bercampur aduk.

Usai bersuai kenal dengan semua pelajar kelas 2 Mawar, aku kembali ke meja di hadapan kelas. Meja guru. Aku melabuhkan punggung ke kerusi. Melepaskan penat seketika. Jam di pergelangan tanganku aku tatap sekali lagi. Lagi 10 minit masa mengajar akan berakhir. Aku kembali bingkas. Berdiri betul-betul di hadapan kelas. Menghadap ke semua pelajar kelas 2 Mawar. Aku menyambung sepatah dua kata sekali lagi sebelum mengakhirkan kelas pertama pada hari itu. Terasa bagaikan masa berlalu begitu pantas. Tidak terkejar olehku.

Aku mengemas barang milikku di atas meja guru. Lalu aku memeluk buku dan file rapat ke dadaku. Ketua kelas berdiri di ikuti semua murid, mengucapkan terima kasih untukku. Aku sekadar senyum dan menganggukkan kepala.

Sebelum melangkah kaki keluar dari bilik darjah, sekali lagi aku mengerling ke arah Siti Khadijah. Dia sedang mengemas buku di atas mejanya. Tidak sedar aku mencuri pandang terhadapnya. Gadis kecil itu, gadis kecil yang telah berjaya mencuri perhatianku. Aku ingin mendekatinya, aku pasti mendekati dia. Aku harus mencari jalan untuk mendekati dia, aku harus! Bisikku di dalam hati.

______________________________________

UPDATE 25 Ogos

Episod 4: Sekeping Hati yang Suci

Aku menatap jam yang terlekat di pergelangan tanganku sekali lagi. Waktu rehat cuma tinggal 15 minit. Cikgu Sofea Aleeya dan Cikgu Marlina terlebih dahulu ke kantin setelah aku memberitahu mereka bahawa aku bakal menyusul lagi beberapa minit. Namun sakit senggugut kali ini bukan calang-calang sakit. Aku lansung tidak dapat bangkit dari kerusiku. Dahiku berkerut menahan kesakitan. Peluh menitik dari setiap liang romaku. Aduh!

"Cikgu.." tiba-tiba aku terdengar suara kecil menyapaku dari belakang. Suara seorang kanak-kanak, aku boleh mengagaknya. Dengan lemah aku menoleh ke arah suara itu. Aku terkejut melihat Siti Khadijah berdiri di belakangku. Riak wajahnya seakan risau melihat keadaanku. Aku cuba mengukir senyum.

"Khadijah ada apa jumpa cikgu?" aku mengajukan soalan setelah terpaku beberapa detik. Gadis kecil itu masih lagi pegun di tempatnya berdiri.

"Cikgu sakit ke?" dia tidak menjawab soalanku, malahan menyoal aku semula.

"Cikgu tak makan ubat?" bertalu-talu dia bertanya kepadaku. Aku sekadar tersenyum, kemudian menggelengkan kepala.

"Sakit sikit saja, tak perlu makan ubat, sekejap lagi baiklah.." aku menjawab lemah. Senyuman masih terukir di wajahku, cuba menutup kesakitan agar gadis kecil di hadapanku itu tidak berterusan bimbangkan aku. Setelah melihat aku seola-olah tidak apa-apa, akhirnya dia tersenyum. Dia mungkin lega.

"Cikgu, saya belikan karipap untuk cikgu, ambiklah," ujar gadis kecil itu sambil menghulurkan beg plastik yang terisi dengan karipap. Aku menggeleng kepala, cuba menolak lembut. Aku kagum melihat keprihatinannya. Betapa suci hati seorang gadis kecil, namun aku keberatan untuk menerima karipap itu. Aku tahu dia bukanlah dari keluarga berada, dia lebih memerlukan karipap itu daripada aku.

"Takpe Khadijah, cikgu tak lapar, kamu makanlah.." aku cuba menolak, kata-kata itu terluncur keluar dari bibirku. Gadis kecil itu masih berkeras. Dia masih menghulurkan karipap itu kepadaku, tidak berganjak.

"Cikgu, saya beli karipap tiga. Saya dah makan satu, cikgu ambiklah dua. Saya lalu bilik guru tadi saya nampak cikgu sakit perut, saya takut cikgu lapar," gadis itu berceloteh di hadapan ku. Aku jadi tidak tergamak untuk kecewakan harapannya lalu aku menyambut hulurannya.

"Terima kasih ya, nanti cikgu belanja Khadijah pulak," Aku mengucapkan terima kasih. Dia tersengih memandangku. Mungkin seronok akan dibelanja olehku.

"Cikgu, lain kali kalau cikgu lapar lagi, cikgu jangan risau ye, kalau saya ada duit, saya belikan cikgu kuih," gadis kecil itu berceloteh lagi. Aku sekadar mampu tersenyum. Anak kecil sepertinya bukan tahu kalau pun aku beritahu bahawa aku sakit kerana senggugut. Lalu aku iakan saja. Aku anggukan kepalaku.

"Loceng dah nak bunyi dah..." aku mengingatkan gadis kecil itu setelah menatap jam di dinding bilik guru. Dia ikut sama memandang jam yang terlekat di dinding itu.

"Saya pergi dulu ya cikgu!" dia meminta diri lalu berlari keluar dari bilik guru. Hatiku tercuit melihat telatah gadis kecil itu. Hilang kisah sakit senggugutku. Melayan gelagat gadis kecil itu bagai penawar yang paling mujarab. Saraf-saraf kesakitanku kini berhenti menghantar isyarat ke otak. Sakit itu sudah tiada. Aku mengucapkan syukur kepada Ilahi di dalam hati. Sejenak kemudian, aku teringat karipap di tanganku. Sekali lagi aku tersenyum.


Sudah sebulan aku di sini. Aku panjatkan syukur yang tidak terhingga kepada Allah kerana mempermudahkan segala urusanku sepanjang keberadaan aku di sekolah ini. Allah Maha Mengetahui, Dia memberikan dugaan hanya kepada hamba-Nya yang benar-benar mampu memikulnya. Dan Allah juga tahu bagaimana gejolak perasaanku. Dia tahu segala yang telah aku lalui dan Dia juga tahu apa yang bakal aku tempuhi. Hanya kepada Dia aku berserah dan memohon. Hanya daripada Dia aku meminta pertolongan. Sesungguhnya aku mengaku, aku bukanlah hamba yang sempurna. Aku juga banyak melakukan khilaf. Hanya kepada Dia aku mengadu dan memohon keampunan.

Suasana bilik guru yang sunyi kini kembali riuh, guru-guru kini kembali ke meja masing-masing setelah selesai menjamu selera. Waktu rehat sudah berakhir. Dari jauh aku melihat Cikgu Sofea Aleeya dan Cikgu Marlina berjalan menuju ke arahku. Dari kejauhan aku dapat melihat riak wajah mereka, seolah-olah sarat dengan pertanyaan. Aku bersedia menghadapi mereka. Aku boleh mengagak apa soalan yang bakal ditanya. Aku melemparkan senyuman ke arah mereka. Terbit juga rasa kesal kerana mungkir janji dengan mereka berdua. Mungkin mereka lama menanti kehadiran aku di kantin. Memang aku bersalah kerana tidak menunaikan janji, tapi apakan daya, aku juga tidak bermaya.

Sepintas lalu aku teringatkan karipap di tanganku yang masih belum sempat aku jamah. Sekali lagi gelagat si gadis kecil menerjah fikiranku. Hatiku tercuit mengenangkan dia, aku tergelak kecil sendirian. Cikgu Sofea Aleeya dan Cikgu Marlina kini berdiri tepat di hadapanku. Kehairanan barangkali melihat aku tersengih sendirian. Belum sempat mereka mengajukan soalan, aku terlebih dahulu meminta maaf. Lalu aku memaklumkan apa yang terjadi sebentar tadi. Mereka berdua jelas risaukan keadaanku namun dengan segera aku memaklumkan kepada mereka bahawa aku kini sudah tidak sakit lagi.

"Jangan risau, saya tidak apa-apa, dah okey dah.." berkali-kali aku menjelaskan, namun mereka berdua masih lagi risaukan aku.

"Betul ni awak okey? Dah makan 'pain killer' ke?" Cikgu Marlina bertanya lagi.

"Dah.. gadis kecil 'pain killer' saya!" aku menjawab kemudian tergelak. Gelihati melihat wajah kedua-dua guru di hadapanku yang kehairanan semacam lagaknya. Dahi mereka berkerut, mulut mereka terbuka sedikit. Sungguh aku tidak mampu menahan gelak, di situ juga ketawaku berderai.

----------------------------------------------------

UPDATE : 29 Ogos 2009

Episod 5: Hilang Di Mata

Suara unggas memeriahkan suasana malam. Irama yang jauh berbeza dengan keadaan di tempat tinggalku di kota besar, deruman enjin kenderaan memenuhi setiap ruang masa. Di desa ini aku berasa damai. Jiwaku tenang. Aku mengatur langkah menuju ke arah tingkap bilikku. Daun tingkap aku kuak perlahan, serentak itu aku dapat rasakan angin malam menyentuh pipiku. Dingin.


Malam ini bulan mengambang penuh. Indah. Spontan bibirku melafazkan Subhanallah. Aku masih berdiri di jendela, melontar pandangan jauh ke langit. Bulan itu cantik namun entah kenapa aku tetap jua mencari bintang-bintang. Sejak aku kanak-kanak, aku sangat gemar merenung langit, mencari bintang. Mengira bintang. Hinggalah akhirnya aku mengenal buruj, membuak-buak cita-citaku untuk menjadi seorang astronomer. Teringat kenangan silam membuatkan aku tersenyum sendirian. Membayangkan teleskop di sekolah lama dan kenangan bersama teman-teman lama. Indahnya zaman kanak-kanak.


Bagai tersedar dari lamunan, aku tiba-tiba teringatkan si gadis kecil, Siti Khadijah. Pernah suatu pagi dia memuji aku. Wajahnya berseri-seri. Katanya aku cantik, aku lawa kerana aku bertudung labuh. Dia juga ingin memakai tudung ke sekolah sama sepertiku, malangnya emak dan ayahnya tidak mampu membelikannya tudung. Teringatkan sesuatu lansung membuat aku terus menutup tingkap. Aku selak tingkap itu rapi. Tergesa-gesa aku berlalu, ingin melihat sekali lagi tudung yang telah aku belikan untuk gadis kecil itu.


Aku membelek-belek sehelai kain tudung putih di atas ribaanku yang aku beli di Bandar Kota Bharu sebaik sahaja pulang dari sekolah siang tadi. Aku ingin hadiahkan tudung ini kepada seseorang yang istimewa. Tidak sabar rasanya menunggu hari esok tiba. Agar aku dapat bertemu dengan gadis kecil itu, agar aku dapat memberikan tudung putih ini kepadanya. Kain tudung itu aku lipat rapi kemudian memasukkanya semula ke dalam beg kertas. Aku harus tidue segera agar masa berlalu tidak terasa lama.


----------------------------------------------------------------


Aku tiba di sekolah awal pagi. Orang pertama yang tiba setelah Pak Mamat jaga sekolah membuka kunci pagar. Aku menanti seseorang. Tidak sabar bertemu dengannya. Seorang demi seorang murid sekolah melintas pintu pagar, kini kian ramai. Namun bayang-bayang si gadis kecil tetap juga tidak menjelma. Sudah setengah jam aku menanti di bangku cokelat, namun dia tetap juga tidak menampakkan wajah.

Loceng sekolah berdering nyaring. Pintu pagar ditutup menandakan waktu pembelajaran sudah bermula. Aku sedar penantianku pagi ini tidak membuahkan hasil. Aku bingkas bangun. Aku tidak boleh terus menunggu kerana aku juga ada tugas yang perlu aku laksanakan. Aku mengorak langkah, menuju ke bilik guru. Aku kecewa namun masih berharap dapat dia tetap akan hadir ke sekolah walaupun lewat sedikit. Jam 9 nanti giliran aku mengajar kelas 2 Mawar, aku berdoa mudah-mudahan dapat melihat dia duduk di kerusinya. Amin.

--------------------------------------------------------------------

UPDATE 4 September 2009

Episod Enam: Terbongkar Rahsia


Hari ini aku tunaikan solat zuhur di surau sekolah. Aku tidak pulang terus ke rumah kerana ada destinasi lain yang ingin ku tuju. Beberapa minit sebelum azan berkumandang, aku siap berwudhuk, menyarung telekung putih yang dihadiahkan oleh arwah ayah ketika ulangtahun kelahiranku 3 tahun lepas. Agak usang, namun aku amat gemar menggunakan telekung ini. Sementara menanti tibanya waktu zuhur, aku mencapai senaskah Quran di atas rak. Masih kelihatan baru, mungkin kerana ianya sangat jarang digunakan. Aku menyelak lembaran Quran itu lalu terus ke surah Ar-Rahman. Aku mulakan bacaan dengan membaca ummul kitab, Al-Fatuhah.

Selesai memberi salam, aku menadah tangan, merendah diri memohon doa kepada Allah Yang Esa. Banyak yang aku adukan. Banyak juga yang aku pinta. Sesungguhnya hanya kepada Dia aku berserah dan bergantung harap. Aku tak lupa mendoakan arwah ayah, ibu, dan seluruh muslimin dan muslimat. Dalam doaku juga aku tidak lupa untuk hadiahkan doa buat gadis kecil. Sungguh aku bimbang akan dia. Hari ini sudah masuk tiga hari dia tidak datang ke sekolah. Aku penasaran ingin tahu keadaannya bagaimana.

Hari ini aku nekad, sebaik sahaja tamat waktu persekolahan, aku ingin menjenguknya di terataknya. Ketika di dalam kelas pagi tadi, aku sempat bertanya rakan sekelasnya mana letaknya rumah Siti Khadijah si gadis kecil. Alhamdulillah, ada juga yang dapat membantu. Aku panjatkan syukur kepada Ilahi.

--------------------------------------------

" Saya Cikgu Nora, Khadijah ada?" Aku bertanya kepada seorang anak kecil sebaik sahaja tiba di teratak usang itu. Puas aku memberi salam, memanggil dari luar, tiada siapa yg keluar kecuali seorang anak kecil tidak berbaju, dalam lingkungan usia 5 tahun. Anak kecil itu menggelengkan kepalanya. Aku juga tidak pasti samada dia benar-benar memahami soalan aku atau tidak.

"Mak ada?" Aku bertanya lagi setelah beberapa ketika berdiri di situ. Anak kecil itu berlari masuk ke dalam rumahnya semula. Dari luar aku mendengar suara kecilnya memanggil ibunya. Aku masih setia menanti di situ. Beberapa minit kemudian anak kecil itu kembali lagi berdiri di muka pintu rumah.

"Mak atiq, mak yuh acuk," Anak kecil itu memaklumkan sesuatu padaku. Masih pelat, tapi aku dapat memahaminya. Aku mengerti, lalu mengatur langkah, memanjat tangga kayu dengan hati-hati. Rumah ini agak usang. Sayu aku melihatnya. Bertambah hiba hatiku melihat seorang wanita sedang terbaring di atas tilam di ruang tamu rumah. Wajahnya cengkung, badannya kurus. Hanya tinggal tulang dan kulit. Aku nyaris menitiskan air mata simpati, namun ku tahan semampu aku.

Aku menghulurkan tangan, bersalam dengan tuan rumah. Wanita itu kelihatan sungguh lemah untuk menyambut salamku, tangannya menggigil. Namun dia masih menghadiahkan aku senyuman yang penuh dengan keikhlasan, iras benar dengan senyuman Siti Khadijah. Mana lagi tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi? Teringatkan Siti Khadijah, aku makin tertanya-tanya. Sudah hampir setengah jam aku di situ namun bayangnya tetap juga tidak muncul.

"Khadijah mana yer? Dari tadi saya tak nampak dia pun.." aku memberanikan diri untuk bertanya. Riak wajah wanita itu menjadi kian sayu. Matanya bergenang air mata. Dia memalingkan wajahnya, melontarkan pandangan jauh entah ke mana. Diam. Aku juga ikut diam, tidak berani untuk bertanya lagi, bimbang menambah racun pada luka yang masih berdarah.

Walaupun jantungku berdegup agak kencang kerana perasaan ingin tahu membuak-buak, namun aku mengunci bibir. Biarkan dia melayani melankoli hatinya, dan aku memujuk hatiku sendiri. Pasti ada jawapannya. Aku optimis. Bersabarlah Nora Asyikin.

--------------------------

UPDATE 7 Sept 2009

Episod Tujuh: Takdir yang Tertulis

Aku sendiri tidak tahu kenapa, di teratak usang ini mudah benar hatiku tersentuh. Dalam hingga ke dasar lubuk hati. Anak kecil tidak berbaju tadi pastinya belum mengerti apa-apa. Saat ibunya berlinangan airmata, dan aku juga, dia bagaikan sedang asyik di alam lain. Sedang mengira biji-biji getah di satu sudut rumah. Kadang-kadang dia ketawa dan ada masanya merungut sendirian. Indahnya dunia seorang kanak-kanak yang belum mengenal erti kehidupan. Ah..

Aku kesat sisa airmata yang berbaki di kedua belah pipiku. Ibu Siti Khadijah juga begitu. Hatiku sayu tidak tertanggung mendengar cerita si ibu yang sedang terbaring sakit. Cerita tentang mereka sekeluarga, terkandung di dalamnya penderitaan yang ditanggung oleh anak-anak yatim itu. Memilukan. Sudah suratan takdir yang tertulis buat mereka sekeluarga, moga mereka tabah mengharungi, dalam hati aku panjatkan doa kepada Ilahi.

Kini aku kian mengerti mengapa gadis kecil itu sering saja termenung dan mengasingkan diri. Dalam diam, aku kian mengkagumi gadis kecil itu, tubuhnya saja kecil tapi jiwanya cekal, kental, semangatnya besar, mungkin lebih besar dari aku. Di dalam kelas akulah guru, namun kini, gadis kecil itu pula yang mengajar aku erti ketabahan yang sebenar. Dia juga guruku. Dalam diam aku memuji.

Setelah berbasa-basi, aku meminta diri untuk pulang. Sebelum terus pulang ke rumah sewa, aku ingin bertemu gadis kecil. Aku ingin menyampaikan sesuatu kepadanya. Aku ingin tahu bagaimana keadaan dirinya. Aku ingin melihat dia. Atau mungkin, aku rindu kepada gadis kecil itu. Segalanya mungkin kerana di sekolah ini, dialah murid yang paling rapat denganku. Pilih kasihkah aku? Ya Allah.. ampunkanlah dosaku.

Ibu Siti Khadijah izinkan aku bertemu anaknya. Aku bertanya bagaimana ke sana, dia menjawab senang. Aku berterima kasih lalu meminta diri. Wanita lemah tidak bermaya itu cuma mampu menghantar aku pulang dengan lirikan matanya. Aku tidak berkecil hati kerana aku benar-benar memahami keuzurannya. Hari ini mungkin harinya, nasib aku kemudian hari hanya Allah yang tahu.

Aku mengatur langkah berhati-hati. Risau juga andai terpijak papan reput. Anak kecil tidak berbaju mengekori aku dari belakang, menghantar aku hingga ke muka pintu, ketika dia menyalami aku, aku hulurkan dia sekeping duit kertas, aku katakan padanya, buat beli jajan. Mulanya dia segan untuk menerima namun setelah aku bersungguh-sungguh menghulur, dengan malu-malu dia mengambilnya.

Dia tersengih menampakkan giginya yang rongak. Dia gembira. Aku juga turut merasai kebahagiaannya itu, erti hidup pada yang memberi. Benarlah, tangan yang memberi itu jauh lebih baik dari tangan yang menerima. Bahagia yang aku rasai meresap ke seluruh jiwaku. Besar hikmahnya pada mereka yang mengeluarkan hartanya kerana Allah, rukun Islam ke empat juga mewajibkan umat Islam yang berkemampuan menunaikan zakat, kerana sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui.

Aku tersenyum senang, menampakkan barisan gigiku yang tidak rongak tetapi putih tersusun lalu terus mengatur langkah. Aku ingin bertemu gadis kecil. Biarpun sekejap cuma. Aku ingin melihat sendiri dengan mata kepalaku bagaimana dia memerah keringat. Aku masuk ke dalam kereta. Sebaik sahaja aku menutup pintu kereta, anak kecil tidak berbaju itu melambai-lambai ke arahku, lambaian selamat tinggal barangkali. Aku melambai kepadanya kembali, aku masih lagi tersenyum, namun hatiku pilu.

----------------------------------

Setelah berjalan lebih kurang lima minit, aku tiba di kawasan sawah bendang. Sayup mata memandang. Mana mungkin untuk aku meredah setiap batas. Mencari gadis kecil itu di setiap penjuru bendang yang luas itu. Aku juga tidak tahu harus bermula dari mana. Terik matahari masih lagi memancarkan sinarnya. Bahangnya sudah terasa menggigit kulitku, namun demi Siti Khadijah, aku masih lagi berdiri di situ. Mencari jalan, memikirkan cara.

"Pakcik.. Pakcik! Assalamualaikum, boleh saya tumpang tanya, pakcik tahu tak mana anak arwah Pakcik Ibrahim berada sekarang?" Aku bertanya kepada seorang petani tua yang kebetulan melintas di hadapanku. Ini petani ketiga yang aku sapa setelah dua orang petani yang aku tanya sebelum ini tidak dapat membantu apa-apa.

"Waalaikumsalam..oh.. budak-budak tu.. tadi pakcik ada nampak mereka masa memindahkan anak padi.. kamu lalu ikut sini.. sampai nampak pohon kelapa kamu belok kanan..dari jauh kalau kamu nampak 3 orang budak dalam bendang,hah, itulah mereka.." petani itu menunjukkan arah kepadaku sambil tangannya digayakan ala-ala polis trafik. Aku sekadar mengangguk-anggukan kepala, sebagai tanda aku mengerti. Aku berterima kasih kepadanya.

"Kamu ni sape?" Petani itu mengusul pula. Aku tersenyum.

"Saya cikgu dia.." Aku menjawab, masih tersenyum.

"Oh cikgu.. bagaimana budak-budak tu kat sekolah? kasihan juga pakcik tengok mereka, kecik-kecik lagi dah kena turun sawah.." Petani itu menyambung lagi. Raut wajahnya mempamerkan rasa simpati itu. Aku tunduk ke tanah. Diam beberapa ketika mencari ayat yang paling sesuai. Aku juga simpati.

----------------------------------

Ini kali pertama aku turun ke bendang. Aku meniti setiap batas dengan hati-hati. Ada batas yang elok dan ada juga yang tidak. Kakiku sudah bersalut selut hingga ke paras betis. Aku gagahkan jua langkahku mencari sebuah destinasi dalam panas terik mentari. Peluh mula membasahi dahiku, namun sedikit pun tidak mematahkan semangatku. Aku terus mara.

Setelah 17 minit meredah bendang, akhirnya dari jauh aku dapat melihat 3 orang kanak-kanak seperti yang diberitahu oleh petani tua sekejap tadi. Aku tersenyum. Pencarianku membuahkan hasil. Alhamdulillah. Syukur pada-Mu Tuhan, sebelum sempat aku berputus asa, Kau berikan aku kejayaan. Aku mempercepatkan lagi langkah kakiku. Destinasi itu kian hampir, aku kian bersemangat.

"Assalamualaikum!" aku meninggikan sedikit suaraku, memberi salam setelah sampai ke petak sawah mereka. Mereka sedang asyik bekerja hinggakan kehadiranku tidak disedari lansung. Mendengar salamku barulah mereka menoleh ke arahku. Gadis kecil itu juga memandang ke arahku. Riak wajahnya mengelirukan, terlalu sukar untuk aku membacanya saat itu. Oh Tuhan, adakah aku tersilap langkah? Adakah kehadiranku tidak disenangi? Harus bagaimana aku memperbetulkan keadaan, berikan aku petunjuk-Mu Tuhan.

----------------------

Episod Lapan : Bertemu untuk Berpisah. [Episod Akhir]

"Khadijah! Jangan lari!" Aku memanggil sebaik sahaja melihat Siti Khadijah mempercepatkan langkah, ingin keluar dari bendang. Siti Khadijah teragak-agak, tidak mahu toleh ke belakang.

"Khadijah, cikgu bukan nak marah kamu.." Aku cuba memujuk lagi. Aku bersyukur kerana akhirnya dia mematikan langkahnya. Dia menoleh ke arahku, aku menghadiahkannya sekuntum senyuman istimewa buatnya.

"Betul cikgu tak marah? Saya dah tiga hari tak pergi sekolah.." Tanya Siti Khadijah lagi, inginkan kepastian, ternyata, dia juga sedar akan kesalahannya. Aku senyum dan anggukkan kepala..

"Betul, cikgu tak marah, cikgu ada hadiah untuk Siti Khadijah," Ujarku sambil menghulurkan sesuatu kepadanya. Dia tersengih-sengih menghampiri aku. Malu-malu.

"Ambiklaa.. hari tu Khadijah hadiahkan cikgu kuih, sekarang cikgu pula bagi hadiah untuk Khadijah, ambiklah," Pujuk ku setelah melihat dia masih ragu.

"Terima kasih, cikgu," ucapan keramat dari seorang murid buat sang guru. Aku senang mendengarnya.

"Tudung baru!! Wah.. seronoknya!! terima kasih cikgu, saya suka tudung nih, dah lama nak tudung tapi mak tak beli, mak takde duit.."Khadijah girang, melompat-lompat di atas batas, sungguh aku terhibur melihat gelagatnya. Maha Suci Allah.

"Esok pergi sekolah tahu.. pakai tudung baru, pasal yuran yang belum di bayar jangan risau ye, nanti cikgu bincang dengan guru besar..yang penting Khadijah, kakak dan adik belajar, ilmu tu penting..untuk kita dunia dan akhirat.."Aku memujuk senang.

"Baik cikgu! esok saya pergi sekolah.. nak pakai tudung baru..seronoknya kak.. Mael.. tengok ni, orang ada tudung baru, yeay yeay!" Dia masih kegirangan, bersemangat!

Ya Allah, moga kebahagiaan milik si gadis kecil itu akan terus berkekalan, dia masih kecil, jalan hidupnya masih jauh, moga Kau ringankanlah bebanannya Ya Allah, moga Kau jadikan dia hamba-Mu yang solehah, moga dia bahagia dunia dan akhirat.

----------------------------------

Hujan turun dengan lebat sejak subuh tadi. Fenomena biasa di musim tengkujuh. Entah kenapa, hatiku sering hiba tatkala hujan turun mencurah-curah. Kali ini perasaan sayu itu sungguh hebat, desak nafasku bagaikan menghimpit. Aku kegelisahan. Jam sudah menunjukkan jam 9.45 pagi, waktu menjagar kelas 2 Mawar juga sudah hampir tamat. Kerusi milik Siti Khadijah tidak berpenghuni, dia tidak hadir. Semalam dia berjanji akan datang ke sekolah hari ini, memakai tudung baru, tapi di manakah dia? Aku benar-benar resah.

Waktu mengajar sudah selesai. Aku mengemas buku milikku lalu kembali ke bilik guru. Sebaik sahaja tiba, aku lihat suasana kecoh di dalam bilik guru. Tidak semena-mena, jantungku berdegup kencang. Aku percepatkan langkah, menghampiri kelompok guru yang sedang berbincang. Atau mungkin berbicara. Atau mungkin, ah, aku sudah tidak mampu berfikir lagi, aku benar-benar resah. Dari jauh aku mendengar mereka menyebut nama Siti Khadijah, gadis kecil yang mencuri hatiku. Darahku mengalir kian laju.

"Cikgu, ada apa?" tanpa salam aku terus bertanya.

"Siti Khadijah, pelajar kelas 2 Mawar, jatuh dalam tali air pagi tadi masa nak datang sekolah.." Suatu suara menjawab pertanyaanku, lututku bagai lemah longlai. Laju saja airmata mengalir dari ke dua kelopak mataku. Tanpa berfikir panjang, aku terus berlari keluar dari bilik guru, wajah si gadis kecil bermain-main di layar fikiranku. Hanya dia.

---------------------------------------

Sebaik tiba di tali air, tidak jauh dari sekolah, bagaikan pesta sedang berlansung. Ramai orang berkumpul sepanjang tali air. Hatiku kecut sekali. Sungguh aku tidak cukup tabah untuk menerima kenyataan bahawa aku akan kehilangan dia untuk selamanya. Sungguh aku tidak cukup kental untuk melepaskan dia pergi untuk selamanya. Sungguh aku cuma hamba yang lemah, ya Tuhan, selamatkanlah Siti Khadijah.

Dengan langkah yang longlai, aku tabahkan hati menghampiri kelompok orang ramai. Aku dapat melihat kakak dan adik Siti Khadijah sedang menangis berpelukan di pinggir tali air. Suasana hiba dan riuh. Tanpa perlu bertanya, aku dengar mereka berbisik sesama mereka. Mayatnya belum dijumpai.

Beberapa barang miliknya sudah ditemui, tapi tidak jasadnya. Aku amati barang yang dijumpai. Sepasang kasut yang koyak rabak, aku tahu itu benar-benar milik gadis kecil, airmataku kian meluncur laju. Di sisi kasut koyak usang itu letaknya sehelai tudung putih yang masih baru, aku juga kenal tudung itu, pemberianku buat si gadis kecil. Ya Allah..Tabahkanlah hatiku ya Allah, selamatkanlah Siti Khadijah.. dalam hati aku masih berdoa, airmataku gugur bersatu dengan lebatnya hujan yang turun.

"Dah jumpa, mayat dah jumpa!" suara itu bagaikan petir menikam ke jantungku. Tiba-tiba suasana kembali riuh. Orang ramai menghurungi punca datangnya suara. Aku menyaksikan dengan kedua mataku, mereka mengusung sekujur jasad yang kaku, tidak lagi bernyawa..

Ya Allah.. Alam bagaikan gelap gelita, aku rebah jatuh ke bumi.

Innalillahiwainnailaihirajiun..

=TAMAT=

Friday, September 11, 2009

Malam Seribu Bulan

Bismillahirrahmanirrahim..

Salam Ramadhan buat semua, semoga apa yang dicari dapat ditemu. Amin. Bulan Ramadhan bulan kerahmatan, bulan keampunan. Mulianya bulan Ramadhan kerana al-Quran diturunkan pada bulan mulia ini dan juga di dalam bulan ramadhan, ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan, yakni Malam Lailatul Qadar.

Dimulai dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..

Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar,
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?
Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.
Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);
Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!

[Surah Al-Qadr: Ayat 1-5]

Semoga kita tidak tergolong dalam golongan yang rugi, semoga kita tidak mensia-siakan malam yang penuh keberkatan ini. Amin..


--------------------------------

Astagfirullahalazim.. ampunkanlah aku.. banyaknya khilafku, besarnya dosaku, ampunkanlah aku Ya Tuhan, ampunkanlah dosa kedua ibu bapaku dan seluruh saudaraku, masukkanlah kami ke dalam syurga bersama mereka yang beriman. Aku rindu kekasih-Mu Muhammad, semoga aku dapat bertemu dengannya di syurga kelak Ya Allah.

Ya Allah ya rahman.. terlalu banyak aku merosakkan diri, terlalu banyak aku menzalimi diriku ya Allah.. terlalu banyak aku khianati cinta-Mu dan kasih-Mu ya Allah.

Aku hamba yang hina, aku hamba yang sering leka dan alpa. Aku hamba yang angkuh, aku hamba yang sombong, aku hamba yang berdosa, aku hamba yang tidak tahu bersyukur Ya Allah, ampunkanlah segala dosaku Ya Allah. Sesungguhnya aku takut azab seksa api nerakamu Ya Rahman.

Ya Allah.. ampunkanlah segala dosaku, jadikanlah aku anak yang solehah agar aku dapat membahagiakan kedua ibubapaku, dunia dan akhirat, jadikanlah aku hamba-Mu yang solehah agar aku dapat menjadi penghuni syurga-Mu.

Tingkatkanlah keimananku, tingkatkanlah rasa cintaku hanya pada-Mu, dekatkanlah aku kepada-Mu, tanamkan rasa rinduku hanya pada-Mu. Bimbinglah aku, pimpinlah aku, bantulah aku, berikanlah aku petunjuk, tunjukkanlah aku jalan-Mu yang benar. Jangan Kau biarkan aku terus sesat dan leka. Jangan biarkan aku terus menzalimi diriku sendiri.

Ya Allah, sesungguhnya nikmat-Mu tidak terhitung banyaknya, jadikanlah aku hamba-Mu yang bersyukur, penuh rasa rendah diri, murah hati dan sanggup berjihad ke jalan-Mu. Aku terlalu lemah Ya Allah.. berikanlah aku kekuatan untuk melawan segala godaan. Pandulah aku menuju jalan syurga.

Kasihanilah kedua ibubapaku sebagaimana mereka mengasihi aku semasa aku masih kecil. Ampunkanlah dosa kami.

Semoga aku mendapat cinta dan hidayah dari-Mu.Semoga hari esok lebih baik dari sebelumnya. Semoga syurga destinasi terakhir aku.

Amin ya rabbal alamin..





Thursday, September 10, 2009

Kegilaan

Dimulai dengan nama ALlah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Kegilaan pada sudut pandangan kaca mata saya, menghasilkan momentum dan impak yang negatif namun ada masanya memberi kesan yang positif, bergantung kepada jenis-jenis kegilaan dan juga individu yang terlibat dengan penyakit gila itu.

Dari sudut perubatan, gila mungkin mempunyai definisinya yang tersendiri. Memandangkan saya bukanlah pakar dalam bidang ini, maka saya tidak mahu menyentuhnya dengan lebih terperinci. Cukup sekadar apa yang saya tahu, gila terbahagi kepada beberapa jenis, ada yang boleh diwarisi melalui susur galur keturunan keluarga dan ada juga yang terjadi kerana faktor-faktor lain seperti tekanan, situasi, kecederaan fizikal pada bahagian otak, kesan akibat pengaruh ubatan atau dadah dalam dos yang tidak sesuai dan lain-lain.

Dari sudut orang kampung pula, gila boleh terjadi akibat dari buatan orang, sihir, santau, rasukan jin atau syaitan dan sebagainya. Namun sekali lagi saya tekankan, saya bukanlah arif dalam hal ini, maka izinkan saya menarik diri dari terus membincangkannya, sama-sama kita serahkan kepada mereka yang lebih pakar.

Kegilaan/Obses.

Gila yang ingin saya kongsikan di sini adalah perasaan/tindakan yang bersungguh-sungguh, kerana terlalu suka atau inginkan sesuatu. Cinta gila-gila. Suka gila-gila. Minat gila-gila. Rindu gila-gila. Mahu gila-gila. Inginkan sungguh-sungguh.

Kegilaan ini adakalanya mampu memberi kesan yang positif kepada penghidapnya. Mampu mejadi mangkin pembakar semangat untuk mencapai apa yang diingininya, asalkan impiannya itu tidak bertentangan dan ajaran agama kita, tidak menyakiti sesama manusia dan tidak memudaratkan. Cara untuk mendapatkannya juga mestilah betul kerana sesungguhnya matlamat tidak menghalalkan cara.

Contoh kegilaan ;

Gila buku >> Suka baca buku >> Bertambah ilmu

Gila bola >> Suka bola dan segala yg berkaitan bola >> Efek berbeza bergantung pada situasi

Gila duit/harta/pangkat >> Suka wang >> Positif kerja sungguh2. Negatif bila sanggup buat apa saja demi wang.

Gila bayang >> Sukakan seseorang >> Hidup jadi tak terurus (makan tak kenyang tidur tak lena)

Ada yang lagi pelik,

Gila ESQ >> tak pernah ketinggalan recharge ESQ >> Misteri dan masih tinggal tanda tanya

Gila blog/internet >> Sentiasa habiskan masa untuk blog/internet >> Tak baik untuk kesihatan, kurang masa untuk beriadah dan beribadah

Dan lain-lain.

Bahaya Kegilaan.

Sejauh manakah kegilaan ini mendatangkan mudarat kepada mangsanya? Pernahkah anda terlibat dengan penyakit ini?

Mohon kerjasama agar dapat berkongsi dan sertakan sekali bagaimana caranya anda menangani masalah kegilaan ini.

Terima kasih, wassalam.




Wednesday, September 9, 2009

Kerana Allah

Dimulai dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..

Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat). Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.

Muhasabah buat diri ini dan teguran untuk sahabat/adik-adik yang saya cintai.. Pentingnya niat dalam kehidupan seharian kita. Betapa pentingnya niat dalam apa jua yang kita lakukan kerana sesungguhnya, Allah itu Maha Mengetahui segala apa yang kita lakukan atau apa yang ada di dada (hati) kita.

Tak mungkin dan mustahil kita dapat menipu Allah, kekuasaan Allah meliputi langit dan bumi, segalanya terjadi dengan izin-Nya, begitu juga dengan apa yang akan kita lakukan atau apa jua yang telah kita lakukan, semuanya hanya dengan izin Allah.

Jagalah hati, lakukanlah kebaikan dan ikhlaskan niat, hanya kerana Allah, hanya kerana mengharapkan ganjaran pahala dari Allah, hanya kerana kita yakin dan percaya kepada rukun iman ke-dua, malaikat sentiasa mencatat amalan kita dan rukun iman ke-lima yakni wujudnya hari kiamat dan kita akan dibangkitkan semula, segala amalan kita, baik atau buruk akan dihitung dan di beri ganjaran yang setimpal dengannya. Mudah-mudahan, baiklah amalan kita, baiklah niat kita dan baiklah ganjaran buat kita. Amin..

Kenapa kita dicipta? Untuk apa? Kenapa kita berada di dunia ini? Kenapa kita di sini? Adakah kita pernah meminta agar kita dilahirkan ke dunia ini? Adakah kita milik kita sepenuhnya? Kita milik siapa? Jasad kita milik siapa? Roh kita milik siapa? Siapa yang berhak? Siapa yang berkuasa untuk segalanya? Siapakah kita sebenarnya? Ke manakah arah tuju kita? Apa matlamat kita? Syurga atau neraka??

Astaghfirullahalazim.. Dalam apa jua yang kita lakukan, lakukanlah kerana Allah. Kerana sesungguhnya Allah Maha Melihat dan Dia Maha Adil. Setiap apa yang kita lakukan, samada baik atau buruk, pasti mendapat ganjaran.

Hebatnya sepotong niat. Ada manusia yang berbuat kebaikan, namun segalanya sia-sia kerana niat yang tidak baik, tidak ikhlas. Berbuat baik untuk mendapat pujian, berbuat baik untuk mendapat nama, berbuat baik untuk menambahkan populariti, berbuat baik untuk di pandang tinggi, berbuat baik agar di pandang mulia, berbuat baik untuk mendapat ganjaran duniawi, astagfirullahalazim, naauzubillahiminzalik..

Saya suka pepatah ini.. Keikhlasan ibarat semut hitam di atas batu hitam di malam yang gelap, sukar untuk dilihat tapi ternyata dia wujud. Biarlah mata manusia tidak dapat melihatnya namun Allah tidak pernah sesaat terlepas daripada melihatnya.

Ayuh, kita 'sibukkan' malaikat di bahu kanan kita, mencatat amalan kebaikan kita. Perbanyakkan amalan, lakukanlah kebaikan dan yang paling penting, ikhlaskan niat, hanya kerana Allah Ta'ala.

Semoga syurga menjadi matlamat dan impian kita semua. Semoga kita sentiasa di jalan yang lurus dan tidak tergelincir walau seinci atau sesaatpun. Cintailah Allah, cintailah kitab Allah, contohilah keperibadian Rasul tercinta Muhammad SAW.. Maha Suci Allah, segala pujian hanya bagi Allah.

Wassalam

Tuesday, September 8, 2009

Muhasabah Cinta

Ketika blog walking, saya sempat singgah di sebuah blog "Pengemis Bisu", dari situ, ada alunan nasyid yang penuh makna, izinkan saya berkongsi di sini: Muhasabah Cinta.



Muhasabah Cinta
Album :
Munsyid : EdCoustic
http://liriknasyid.com


Wahai... Pemilik nyawaku
Betapa lemah diriku ini
Berat ujian dariMu
Kupasrahkan semua padaMu

Tuhan... Baru ku sadar
Indah nikmat sehat itu
Tak pandai aku bersyukur
Kini kuharapkan cintaMu

Reff. :
Kata-kata cinta terucap indah
Mengalun berzikir di kidung doaku
Sakit yang kurasa biar jadi penawar dosaku
Butir-butir cinta air mataku
Teringat semua yang Kau beri untukku
Ampuni khilaf dan salah selama ini
Ya ilahi....
Muhasabah cintaku...

Tuhan... Kuatkan aku
Lindungiku dari putus asa
Jika ku harus mati
Pertemukan aku denganMu


Ifthar Bersama ESQ

5 September 2009, saya mendapat 4 jemputan berbuka puasa. Pertama bersama krew iLuvislam di Masjid Usamah Wangsa Maju, dengan kehadiran Astro Oasis, kedua berama rakan-rakan sepengajian ketika di universiti di restoran steamboat, ke tiga bersama alumni ESQ, program back to back di MATRADE dan ke empat, bersama keluarga di hotel sekitar TAR.

Saya awal-awal menolak untuk menyertai program berbuka puasa bersama krew iLuvislam kerana beberapa hari sebelumnya itu kami telah berbuka puasa bersama-sama di Restoran Kedai Kopi, Dataran Shah Alam. Sebab ke dua saya menolak kerana adanya pihak astro membuat rakaman (benci publisiti =p) dan ke tiga, saya tidak berapa arif memandu ke sana. Malas untuk mengambil risiko.

Saya berhasrat untuk mengikuti program berbuka puasa bersama ESQ, namun mengenangkan sahabat-sahabat lama yang sudah lama tidak bertemu, saya merancang untuk berbuka puasa bersama teman se-universiti. Mai di N9 ingin ikut serta, begitu juga Bed dan Ghan, dan Nane juga ada sebagai pemandu menyebabkan saya tiada alasan utk menolak. Semangat juga nak bertemu Bed yg kini sedang sarat mengandung..

Tiba-tiba mendapat khabar dari Mai, terpaksa tarik diri. Saya mula goyah. Malam sebelum hari berbuka puasa, Nane pula SMS, "mungkin tak pergi ifthar SKK", cepat saja saya reply, "kalu camtu, orang p ESQ laa" dan akhirnya.. dengan izin Tuhan, saya menghadiri training ESQ (Recharge).

Saya bertolak agak lambat dari rumah, hampir jam 8 pagi. Training angkatan ke-39 bermula pada hari Jumaat, memandangkan saya tidak mahu menggunakan annual leave, jadi saya cuma mengikutinya pada hari cuti sahaja.

Trainer kali ini adalah Pak Legisan, di bantu oleh Faizi dan (maaf, lupa nama, adei). Trainee yg hadir lebih dari 300 orang dan 108 orang darinya adalah dari Amanah Ikhtiar Malaysia (jika tak silap). Ramai juga alumni yg hadir, termasuk saya.

Walaupun malam sebelumnya terjaga jam 3 pagi, lansung tidak tidur hingga ke siang, alhamdulillah saya mampu bertahan di tempat latihan sehingga jam 11 malam. Selesai training pada hari itu, kemudian di sambung dengan solat maghrib dan majlis berbuka puasa, banyak sungguh makanan, Alhamdulillah rezeki, tapi sikit saja yg saya makan, kekenyangan.

Selesai menjamu selera, kami solat isyak dan terawih bersama-sama. Kemudian di sambung dengan tazkirah Ramadhan dan seterusnya preview ESQ. Subhanallah, ramai alumni dan keluarga yang datang. Hampir penuh dewan pada malam itu.

Jam 11 malam, Pak Legisan masih bertenaga menerangkan tentang ESQ, namun mata ini sudah tidak mampu menahan. Kepala dah jadi pening kerana terlalu mengantuk, lalu saya mengambil keputusan untuk pulang. Ada terlelap ketika memandu namun saya bersyukur kerana selamat tiba di destinasi, rumah sewa saya. Alhamdulillah.

Hari ke-tiga training (hari ke dua saya), saya pergi agak lewat kerana menyiapkan urusan di rumah, saya tiba di MATRADE kira-kira jam 11 pagi, agak kecewa kerana terlepas 'sesi ketika ajal tiba'. Kecewa sungguh, namun akhirnya saya pasrah, Allah Maha Mengetahui segalanya.

Tiba masa 'closing', para alumni di panggil ke hadapan, sementara menanti waktu berbuka puasa, kami di berikan kejutan yang sangat best. Pak Legisan menjemput seseorang naik ke pentas, soksek soksek kedengaran, Pak Ary (pengasas ESQ datang punahkan suspen daku, isk3). Akhirnya ternyata benar, Pak Ary benar2 hadir pada petang itu bersama Encik Razif, Dato Hushamuddin, Pak Aminul dan lain-lain. Subhanallah. Tak sangka diberi kesempatan ini, apa pun, Allah penentu segalanya.

Sementara tiba waktu berbuka puasa, kami berzikir dan membaca asma husna bersama-sama. Azan berkumandang lalu tiba waktu berbuka puasa.. Alhamdulillah, kemenangan bagi mereka yang menahan diri dari terbit fajar hingga terbenam matahari. Segala pujian hanya bagi Allah.

Wassalam.

Friday, September 4, 2009

Tiga Tahun

Bagaikan baru semalam aku melihat senyuman ayah. Bagaikan baru semalam aku bergurau senda dengan ayah. Bagaikan baru semalam aku memimpin tangan ayah di tepi jalan bandar Kota Bharu juga Pasir Mas.

Bagaikan semalam aku melihat ayah terbaring tidak bermaya. Bagaikan semalam aku melihat ayah terdiam kaku. Bagai semalam aku menangis teresak-esak meratapi pemergian ayah. Bagai semalam aku mengiringi ayah ke kuburan. Bagai semalam aku tersedar, ayahku sudah kembali ke alam barzakh. Dari-Nya ayah datang, kepada-Nya ayah kembali.

Hari ini, 4 September, genap 3 tahun aku hidup tanpa ayah..

Aku menatap wajah bisu ayah. Sekeping potret ayah, berbaju melayu biru, berkopiah. Manisnya senyuman ayah. Dulu aku sering memuji ayah, di depan kawanku juga, aku katakan, ayahku hensem! Memang, memang ayah lelaki paling hensem pada pandangan aku.. tiada yang lain.

Ayah.. ayah sudah pergi.. bagaimana nasib ayah? Ayah..orang rindukan ayah..rindu yang amat-amat..Ayah, di sana ayah terputus segala benda kecuali amal, harta dan anak ayah. Ayah, adakah orang anak yang solehah? Adakah doa orang sampai kepada ayah di sana?

Ya Allah, ampunkanlah dosaku.. jadikan aku anak yang solehah, agar aku dapat hadiahkan ayahku kalungan doa.. Ampunkanlah dosa kedua ibubapaku ya Allah..Aku sayangkan mereka..

Ayah..orang ingin bertemu ayah, biarpun cuma dalam mimpi... kenapa ayah sudah lama tidak mengunjungi mimpi orang? Kali terakhir orang mimpikan ayah, dua minggu selepas pemergian ayah, orang peluk ayah, orang nangis sungguh-sungguh.. dan itu kali terakhir orang mimpikan ayah.. orang rindukan ayah..

Ya Allah.. tempatkanlah ayahku ke dalam syurga bersama mereka yang Engkau kasihi ya Allah.. dan masukkanlah juga aku ke syurga agar aku dapat bertemu ayahku dan juga ibuku di syurga yang abadi.

Amin ya rabbal alamin.

Thursday, September 3, 2009

Bila Kering Idea

Salam..

Susahnya hendak menulis bila tiada idea. Sungguh, bab idea menulis ni bukan suatu benda yang boleh dipaksa-paksa, bukan mudah untuk di seru-seru. Malah, lagi teruk, makin dipaksa, makin idea tuh hilang, terbang melayang-layang ditiup angin. hye2 bye2

Selalunya saya menulis sekadar tulis apa yang ada di kepala, sangat jarang merujuk mana-mana rujukan/buku.. dapat isyarat dari otak, jari terus taip. hah. Camtulah.. tapi kali ni nampaknya otak dah penat. Posmen untuk hantar isyarat pun sedang berehat gamaknya. So, sekian dulu entri saya buat kali ini.

Sekadar tambahan, saya bercuti sebagai moderator tiga minggu sejak minggu lepas, alhamdulillah diluluskan oleh Tuan Presiden iLuvislam, so sekarang banyak berpoya-poya walaupun masih luangkan masa untuk iLuvislam, tapi tidak 'sehebat' biasa. Cuti la kata. ^_^

Dan satu lagi, saya baru saja bukak blog baru, insyaAllah saya akan invite moderators iluvislam sebagai author untuk berkongsi ilmu, merepek atau meraban. Moga kalian dapat mengenal moderator dengan lebih dekat, insyaAllah. Apapun, sekarang ia masih dalam progress, tunggu yer..

Kalau selama ni ramai yang komplem, saya menulis entri blog selalu panjang. Nah, sekarang, terimalah, entri yang paling pendek yang berjaya saya ciptakan.

Sekian, Wassalam.

Tuesday, September 1, 2009

Lelaki Dayus?

Assalamualaikum..

Maaf kepada mereka yang tak berkenan dengan entri kalu ini, sebelum terlambat, anda boleh memilih untuk tidak meneruskan pembacaan. Terima kasih ^_^

Apa definisi lelaki dayus?

Ada yang mentafsirkannya sebagai lelaki yang 'tidak jantan', tiada pendirian tetap, etc etc etc tertakluk kepada individu masing-masing. Ada juga yang kata, lelaki dayus adalah suami yang membenarkan isteri dan anaknya melakukan maksiat dan kemungkaran. Lelaki yang memukul wanita juga dikatakan dayus. Wallahua'alam.

Cerita saya kali ini berkisar kepada lelaki yang memukul wanita.

Lelaki yang dikurniakan kelebihan oleh Allah, mempunyai 9 akal dan mempunyai fizikal yang lebih kuat daripada kaum wanita, antara sebab lain adalah untuk melindungi dan memimpin kaum hawa. Jadi, adakah wajar, lelaki yang sepatutnya memimpin dan melindungi wanita menggunakan kekerasan?

Fitrah wanita, lemah lembut dan kaya dengan airmata walau segelintir darinya ada juga yang 'keras', namun naluri kewanitaan perlukan perhatian dan kasih sayang. Jika pun si wanita melakukan kesalahan, janganlah terus di pukul, dalam Islam juga ada caranya untuk menegur, mendidik isteri yang melakukan kesalahan. dan ternyata, tindakan fizikal yakni memukul adalah jalan yang terakhir. Itupun ada caranya juga, bukan selamba tumbuk tendang, sepak lempang.

Sungguh dayus lelaki yang memukul wanita. Contoh kes lelaki pukul wanita adalah kes antara Rihanna dan bekas kekasihnya Chris Brown.

Ini juga kisah benar. Semalam, ketika kami sekeluarga berkumpul, abang ipar saya membuka cerita, katanya, kawan dia Joe bukan nama sebenar, di tahan reman di lokap kerana mengasari tunangnya Aminah juga bukan nama sebenar. Kami sekeluarga agak terkejut kerana pasangan ini sering menziarahi kami, elok-elok saja, tak lama lagi bakal bernikah, kad jemputan kahwin pun sudah di tempah, tup3.. si gadis menyaman tunangnya.

Puncanya kerana perselisihan faham ketika sedang berbuka puasa. Entah mana silapnya, syaitan dah di rantai, tapi baran dalam diri susahnya nak buang, mungkin. Si gadis mendapat khidmat pesanan ringkas dari seorang lelaki (mungkin kekasih gelap or mungkin silap number), lalu si tunang terus naik minyak dan membelasah si gadis. Gedebak gedebuk!

Dengan bukti kecederaan yang ada pada tubuh si gadis, akhirnya berjaya membawa si lelaki 'dayus' itu ke lokap dan di tahan reman.

Saya bukanlah ingin menghukum siapa bersalah di antara mereka berdua, saya pun tiada di tempat kejadian, tidak tahu kisah sebenar yang sebenar-benarnya, cuma pesan saya, janganlah jadi lelaki dayus dan janganlah mengasari kaum hawa. Kami untuk dilindungi.

Kepada kaum hawa pula.. jika kalian di tempat si Aminah bukan nama sebenar, adakah korang akan meneruskan pernikahan? Persiapan dah siap, kad jemputan pun dah siap.. What will you do?

Wassalam.