+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Friday, September 11, 2009

Malam Seribu Bulan

Bismillahirrahmanirrahim..

Salam Ramadhan buat semua, semoga apa yang dicari dapat ditemu. Amin. Bulan Ramadhan bulan kerahmatan, bulan keampunan. Mulianya bulan Ramadhan kerana al-Quran diturunkan pada bulan mulia ini dan juga di dalam bulan ramadhan, ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan, yakni Malam Lailatul Qadar.

Dimulai dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..

Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar,
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?
Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.
Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);
Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!

[Surah Al-Qadr: Ayat 1-5]

Semoga kita tidak tergolong dalam golongan yang rugi, semoga kita tidak mensia-siakan malam yang penuh keberkatan ini. Amin..


--------------------------------

Astagfirullahalazim.. ampunkanlah aku.. banyaknya khilafku, besarnya dosaku, ampunkanlah aku Ya Tuhan, ampunkanlah dosa kedua ibu bapaku dan seluruh saudaraku, masukkanlah kami ke dalam syurga bersama mereka yang beriman. Aku rindu kekasih-Mu Muhammad, semoga aku dapat bertemu dengannya di syurga kelak Ya Allah.

Ya Allah ya rahman.. terlalu banyak aku merosakkan diri, terlalu banyak aku menzalimi diriku ya Allah.. terlalu banyak aku khianati cinta-Mu dan kasih-Mu ya Allah.

Aku hamba yang hina, aku hamba yang sering leka dan alpa. Aku hamba yang angkuh, aku hamba yang sombong, aku hamba yang berdosa, aku hamba yang tidak tahu bersyukur Ya Allah, ampunkanlah segala dosaku Ya Allah. Sesungguhnya aku takut azab seksa api nerakamu Ya Rahman.

Ya Allah.. ampunkanlah segala dosaku, jadikanlah aku anak yang solehah agar aku dapat membahagiakan kedua ibubapaku, dunia dan akhirat, jadikanlah aku hamba-Mu yang solehah agar aku dapat menjadi penghuni syurga-Mu.

Tingkatkanlah keimananku, tingkatkanlah rasa cintaku hanya pada-Mu, dekatkanlah aku kepada-Mu, tanamkan rasa rinduku hanya pada-Mu. Bimbinglah aku, pimpinlah aku, bantulah aku, berikanlah aku petunjuk, tunjukkanlah aku jalan-Mu yang benar. Jangan Kau biarkan aku terus sesat dan leka. Jangan biarkan aku terus menzalimi diriku sendiri.

Ya Allah, sesungguhnya nikmat-Mu tidak terhitung banyaknya, jadikanlah aku hamba-Mu yang bersyukur, penuh rasa rendah diri, murah hati dan sanggup berjihad ke jalan-Mu. Aku terlalu lemah Ya Allah.. berikanlah aku kekuatan untuk melawan segala godaan. Pandulah aku menuju jalan syurga.

Kasihanilah kedua ibubapaku sebagaimana mereka mengasihi aku semasa aku masih kecil. Ampunkanlah dosa kami.

Semoga aku mendapat cinta dan hidayah dari-Mu.Semoga hari esok lebih baik dari sebelumnya. Semoga syurga destinasi terakhir aku.

Amin ya rabbal alamin..





No comments: