Islam itu syumul. Islam bukan bermakna menjaga hubungan hanya dengan Allah. Bukan sekadar solat, puasa, tahajud, zikir atau menunaikan haji dan umrah. Lebih dari itu, kita seharusnya menjaga hubungan sesama manusia, dengan keluarga, dengan jiran tetangga, dengan haiwan peliharaan, pohon-pohon, seluruh hidupan dan segala ciptaan Allah. Islam benar-benar agama yang sempurna dan indah.
Ustaz Hashim sempat memberi satu contoh, kisah Saidina Umar sebagai khalifah ke dua. Sewaktu pemerintahannya, beliau membina jalan khas untuk unta, kambing dan haiwan ternakan pulang ke kandang, lalu ada yang hairan dan bertanya kenapa begitu?
Umar menjawab, "Aku takut nanti bila di akhirat aku akan di persoalkan kerana tidak menjaga kebajikan mereka.." Lihat betapa indahnya Islam, indahnya sikap jika benar-benar memahami ajaran Islam.
Begitu juga kita sebagai manusia, harus berbuat baik dengan semua hidupan. Jangan tahu menternak binatang tapi tidak dijaga, tidak diberi makanan malah disepak terajang. Ingat satu perkara, di akhirat kelak, binatang-binatang tersebut ada hak untuk 'menyaman' kita di hadapan Tuhan.
Jika baik sikap kita terhadap mereka, insyaAllah mereka turut mendoakan kesejahteraan buat kita dan sebaliknya jika kita menzalimi mereka, di akhirat kelak kita juga akan mendapat balasan setimpal atas setiap apa yang kita lakukan. Maka, adab dengan binatang juga harus dijaga. Contohnya, ketika hendak menyembelih mestilah menggunakan pisau yang tajam dan harus dimulakan dengan bismillah. Semuanya sudah diajar dalam Islam yang sempurna.
Malangnya, ada juga yang hanya menjaga hubungan dengan Allah tapi mengabaikan hubungan sesama manusia dan hidupan lain.
"Ustaz, saya ada masalah, suami saya selalu dera saya" seorang makcik menelefon ustaz suatu masa dahulu.
"Suami puan solat ke?" soalan pertama yang keluar dari mulut ustaz kerana tanggapan beliau, orang yang tidak bersolat selalunya panas baran dan suka membuat masalah.
"Alhamdulillah ustaz, suami saya selalu solat di masjid, sekarang ni pun dia di masjid" jawab makcik tersebut. Ustaz Hashim terkejut, kes yang luar biasa dan jarang-jarang berlaku.
"Umah puan ada longkang?" Tanya ustaz lagi setelah terdiam sejenak dan makcik itu menjawab "Ya, ada"
"Kalau begitu, bila suami pulang dari masjid nanti, ajak dia dekat dengan longkang dan tarik serbannya buang ke longkang!" Jelas Ustaz Hashim.
"La, kalau begitu ustaz, malam ni juga saya mati kena belasah.." balas makcik itu pula.
Para hadirin tergelak kecil mendengar cerita Ustaz Hashim. Berpengalaman. Tahu mana nak punch line supaya para hadirin sentiasa memberi perhatian tentang apa yang diucapkan. Dalam cerita ada mesej yang hendak beliau sampaikan.
Kesimpulan dari cerita ustaz Hashim, solat lima waktu semata-mata tidak mencukupi untuk masuk ke syurga. Ada orang yang solat cukup, puasa lengkap dan berulang kali ke mekah, namun itu belum tentu mampu untuk menjamin ke syurga, jika hubungan sesama manusia dan hidupan lain tidak terjaga.
Islam itu syumul dan tidak boleh dipisahkan dalam kehidupan. Semuanya ada dalam Islam, dari sekecil-kecil perkara hingga ke sebesar-besar perkara. Tentang apa yang perlu dilakukan jika minuman dimasuki lalat pun di tunjuki cara, apatah lagi tentang politik dan amalan seharian seperti larangan riba dan rasuah. Semuanya sempurna tiada yang kurang. Ada manusia yang suka memisahkan hidupan seharian dengan Islam. Contoh, bila di masjid, solat dan penuh adab. Di hadapan khaabah menangis sehingga bengkak mata tapi setelah keluar dari ibadah tersebut, langsung lupa dosa pahala. Terima rasuah, melakukan riba dan menganiaya manusia lain. Ini tidak seharusnya terjadi.
Sikap orang Islam yang tidak menggambarkan Islam yang sebenar merupakan suatu fitnah kepada Islam. Cerita Ustaz Hashim lagi, seorang wanita Amerika telah membaca dan mengkaji tentang Islam. Betapa indahnya Islam, sempurnanya Islam. Kerana 'membaca' keindahan itu, beliau akhirnya telah memeluk Agama Islam,Alhamdulillah. Kerana ingin lebih mendekati Islam, beliau berhijrah ke kawasan yang penduduknya Islam, bergaul dengan orang Islam akhirnya menimbulkan rasa kecewa di jiwa muslimah mua'allaf ini.
Katanya.."Syukur saya telah memeluk Islam sebelum ke sini, jika saya ke sini sebelum saya memeluknya, saya tak mungkin akan masuk Islam." Nah..Inilah salah satu keburukan, kesan akibat dari sikap orang Islam yang tidak mengamalkan Islam dengan betul. Hingga menjadikan fitnah kepada Islam.
Kerana sikap orang Islam yang tidak mengamalkan keindahan dan cara hidup (malah lebih teruk dari kafir) akhirnya memberi persepsi yang tidak baik kepada orang bukan Islam. Salah tanggapan sering terjadi. Islam dituduh extermist dan segala macam tuduhan. Kenapa? Salah satu sebab adalah kerana sikap orang Islam itu sendiri yang tidak mencerminkan keperibadian yang sejajar dengan tuntutan Islam.
Ustaz Hashim sempat mengingatkan, Islam itu mudah, semuanya sudah sempurna, asalkan kita tahu 5 hukum, insyaAllah kita tidak akan sesat. Hukum-hukum Islam, haram, wajib, sunat, harus dan makhruh mesti selalu disemat di minda. Tidak kira dalam melakukan apa jua amalan, kita tak mungkin lari dari 5 hukum ini..walaupun ketika makan, ada waktunya hukum menjadi sunat dan ada waktunya hukum menjadi haram.
Makanan yang sama, cara mendapatnya sama, halal. Namun, hukumnya haram makan jika kita makan berlebihan sehingga memudaratkan tubuh badan dan hukumnya sunat jika kita makan dengan niat untuk mendapat tenaga supaya dapat beribadat dan berjuang ke jalan Allah. Begitu juga dengan amalan-amalan lain, pasti tidak akan lepas dari 5 hukum ini. Dan jika kita ingat 5 hukum ini, insyaAllah kita akan sentiasa berhati-hati dan menjaga setiap amalan dan tindakan kita kerana pastinya kita mengharapkan ganjaran pahala dan syurga di akhirat kelak.
Sebelum mengakhirkan majlis, Ustaz Hashim sempat mengingatkan (pesanan Lukman Hakim, jika tak silap saya)
Lupakan kebaikan kita kepada orang dan lupakan kejahatan orang kepada kita.
Sentiasa ingat Allah dan Mati, insyaAllah selamat dunia akhirat.
Demikian sedikit sebanyak perkongsian dan peringatan yang dapat saya ambil dari ceramah pada malam itu. Semoga kita sama-sama mendapat manfaat darinya. Jika ada kekurangan dan salah silap, harap di maafkan yer..
Wallahua'alam.