+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Thursday, November 15, 2012

Hijrah Mudah, Istiqamah Payah?

Petang itu petang yang nyaman. Bumi masih lagi basah disimbah hujan, aku suka bau-bauan selepas hujan. Aku juga suka menghirup udara selepas hujan. Terasa segar. Manakan tidak, hujan yang lebat tadi bukan saja membawa rahmat ke seluruh alam, namun juga membawa pergi segala kotoran yang bertebaran di udara. Aku juga suka, kerana semuanya itu dari Allah.

Buku Biar Bidadari Mencemburui Dirimu karya Salim A. Fillah aku tutup rapat, lalu aku meribanya. Aku menjeling ke arah dia yang sedang duduk di sisi aku. Jauh benar dia mengelamun. Aku senyum. Ah, aku tahu dia. Kalau begitu gayanya, pasti ada sesuatu yang sedang mengganggu fikirannya saat itu.

"Hey... Lama betul kau tenung langit tu, bimbang pula aku. Takut-takut nanti langit runtuh gara-gara kau!" Aku cuba berseloroh. Dia tersentak lantas melontarkan jelingan tajam pada aku. Huhu. Tajam betul.

"Okey-okey. I'm sorry. Now, tell me. Apa yang sedang kau fikir ni?" Aku berlagak serius, cuba mengorek rahsia.

"Aku ada soalan. Kau rasa hijrah ni mudah ke?" Setelah diam sejenak, akhirnya dia bersuara.

Aku anggukkan kepala, kemudian menggelengkannya pula.

"Mudah, apabila hidayah Allah datang, dan kita benar-benar bersedia untuknya. Apa saja yang dilakukan kerana Allah taala, biarpun susah akan terasa mudah. Namun... "

Aku diam seketika. Dia menumpukan perhatiannya penuh kepada aku.

"Mujahadah bukan mudah. Kalaulah betul mudah, dah ramai orang buat, sudah tentu ramai yang masuk syurga dan tak ramai yang masuk neraka kelak.."

Dia menganggukkan kepalanya tanda setuju.

"Kau betul, hijrah daripada keadaan yang tidak baik, kepada keadaan yang lebih baik, hijrah daripada sikap jahiliah kepada sikap seorang muslim sejati itu bukan mudah... Perlukan kekuatan dan sokongan dari orang sekeliling juga.. Tapi, kau tahu tak, apa yang lebih susah daripada itu?" Tambah satu lagi soalan dari bibirnya mengetuk kotak fikiranku.

Aku membisu. Soalannya itu bukannya memerlukan jawapan daripada aku, aku tahu. Lalu aku kembali bertanya.

"Apa yang lebih susah daripada hijrah?"





 "Istiqamah!" Jawabnya ringkas.

"Benar, hijrah itu memerlukan pengorbanan. Memerlukan usaha dan banyak kekuatan. Namun, apabila hidayah Allah datang, manusia boleh berubah sekelip mata sahaja. Contohnya Saidina Umar Al Khattab. Sebelum memeluk agama Islam, dia pernah mengayun senjata ingin membunuh Rasulullah saw.  Namun, setelah dia mengucap kalimah syahadah, sikapnya berubah terus! Dialah yang sentiasa membela Rasulullah saw."

"Kita juga boleh berubah sekelip mata saja. Kun Fayakun. Namun, untuk sentiasa kekal dalam keadaan yang baik ini, perlukan banyak usaha gigih. Sentiasa berjuang!"

"Aku, kadang-kadang penat menjadi orang baik-baik. Kadang-kadang aku goyah. Kadang-kadang aku terlalai dan tergelincir dari jalan yang lurus. Kadang-kadang aku cenderung melakukan dosa. Tak sengaja. Terlupa. Lalu aku tertanya-tanya, sampai bila aku perlu istiqamah? Sampai bila aku perlu menjadi muslimah yang bersungguh-sungguh melakukan suruhanNya dan bersungguh-sungguh pula menjauhi laranganNya? Istiqamah di jalan Allah ini kadang-kadang meletihkan aku.."

Dia berbicara panjang, namun matanya tidak lagi tertumpu pada aku. Dia tunduk merenung tanah, bagai mengakui dan kesal dengan kekhilafannya sendiri. Kami sama-sama diam. Aku simpati pada dia. Kenapa dia perlu merasa begitu sedangkan aku tahu dia tahu, akhirat itu jauh lebih baik.. Ah, barangkali dia terlupa saat ini... Barangkali syaitan berjaya membuatkan dia jadi goyah..




" Allah berfirman dalam Surah Ibrahim, ayat yang ke-3. Orang-orang yang mengutamakan dunia lebih daripada akhirat, dan menghalangi manusia dari jalan agama Allah, serta menghendaki jalan itu menjadi bengkok terpesong, mereka itulah orang-orang yang terjerumus ke dalam kesesatan yang jauh terpesongnya." Aku memulakan bicara.

"Aku berharap agar kau tidak terjerumus dalam kesesatan itu. Naauzubillah.." Aku menyambung. Kelopak matanya mula basah.

"Allah juga berfirman dalam Surah Al-Ankabut, ayat yang ke-64, maksudnya, ""Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat)."

"Bersabarlah.. Sampai bila kau perlu istiqamah? Sampai kau mati. Kau sabarlah. Dunia ini sementara sahaja. Jika dibandingkan dengan akhirat yang kekal abadi, hidup di dunia ini sangat sekejap. Kalau kau sakit. Kalau kau derita. Kalau kau susah. Kalau kau sengsara. Kalau kau terluka. Kau ingatlah. Semuanya itu pasti akan berakhir juga bila mati tiba nanti."

"Tak mengapa kalau kau mati merana sendirian. Asalkan kau beriman. Itu lebih baik daripada kau mati dikelilingi sanak saudara yang ramai, harta yang banyak, tapi kau mati tanpa iman. Sia-sia semuanya! Sia-sia!"

Lidahku sendiri sebenarnya terasa berat untuk mengucapkan semua itu. Bagai suatu bebanan yang sangat berat menghempap bahuku. Itu bukan sekadar ucapan biasa, itu bukan sekadar kata-kata menyedapkan hati. Ia lebih dari itu! Dan aku sendiri bimbang, apakah aku sepenuhnya telah bersedia menghadapi mati. Dalam diam, aku memohon ampunan dari Ilahi.


"Syukurlah kau sudah berhijrah. Sedangkan masih ramai di luar sana yang termanggu-manggu mencari arah. Mereka masih lagi lena di buai mimpi. Masih lagi hanyut dengan keindahan dunia. Allah berfirman dalam Surah Taubah, ayat yang ke-20, maknanya, "(Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah; dan mereka itulah orang-orang yang berjaya."

"Demi Allah. Aku mahu kita jadi orang yang berjaya!" Ujarku lagi. Aku lihat titik-titik jernih mula menitik dari kedua belah matanya yang redup itu.
 
"Benar, hijrah itu lebih mudah jika dibandingkan dengan istiqamah. Tapi, apakah kau lupa, amalan yang sedikit tapi berterusan itu lebih disukai Allah." Aku menyambung lagi.

"Nabi Muhammad saw bersabda;" Amalan yang paling disukai Allah ialah pekerjaan yang berterusan (istiqamah) walaupun sedikit. (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)"

"Allah swt pula berfirman dalam Surah Zalzalah, ayat yang ke-7, maksudnya," Maka barangsiapa yang mengerjakan kebaikan sebesar zarah niscaya ia akan mendapat balasannya" 

"Tak mengapa kalau amalan kebaikan kita sedikit, insyaAllah, Allah tetap juga akan memberi ganjaran untuknya, dan kau tahu? Allah itu sangat pemurah, Dia sangat baik.. Dia berfirman dalam Surah Al-An'aam, ayat ke 160, maksudnya;"Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun)." 

Dia mengalihkan pandangannya ke arah aku. Menatap aku bagai baru pertama kali mendengar semua ucapan itu. Ah. Dia adalah aku. Mustahil dia tidak pernah mendengarnya sebelum ini. 

"Aku suka dengar apa yang kau ucapkan. Teruskan lagi. Kejutkan aku dari mimpi yang melalaikan ini.." Dia bersuara. Cuba mengukir senyum padaku. Bagai diberi lampu hijau, aku terus berhujah.

"Aku juga sedang mengingatkan diriku sendiri. Supaya aku tidak lupa. Dan seandainya aku terlupa, aku harap kau pula sudi mengingatkan.." Aku menyambung. Dia menganggukkan kepala.

"Aku juga pernah merasa letih seperti kamu. Namun, aku terus cuba memujuk diriku ini, dengan firman Allah swt yang berikut, dalam Surah Al-Insyirah ayat 7 dan 8, Allah berfirman," Oleh itu, apabila engkau telah selesai dari sesuatu kerja, maka tumpukanlah dengan sungguh-sungguh kerja yang lain pula. Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaknya engkau tumpukan perhatian."

"Apabila selesai sebarang apa jua tugasan, atau mencapai apa jua matlamat yang kau tetapkan, jangan terus statik di situ. Bergegaslah untuk melakukan tugasan yang lain pula. Pasang matlamat yang baru, agar kau tidak mudah berasa bosan. Dan hidup tak bermakna.."


"Allah juga berfirman, "Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah jalan (wasilah) yang boleh menyampaikan kepadaNya (dengan mematuhi perintahNya dan meninggalkan laranganNya); dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan. Surah Al-Maaidah, ayat ke-35"


"Teruslah bertakwa kepada Allah, dan carilah jalan yang terbaik itu supaya kau beroleh kejayaan di dunia dan di akhirat. Kau boleh juga sertai usrah misalnya. Atau perbanyakkan hadir ke majlis ilmu. Perbanyakkan membaca bahan-bahan ilmiah yang boleh menambahkan lagi keimananmu kepada Allah. Bergaullah dengan orang-orang yang soleh. Perbanyakkanlah mengingati mati. Sentiasa bertaubat dan berusaha untuk memperbaiki kekurangan diri. Sentiasa baca Al-Quran. Rajinkan diri untuk melakukan solat Sunat. Jika solatmu masih lagi tidak mampu mencegah kau dari kemungkaran, semaklah dirimu, pasti ada sesuatu yang tidak kena.. Beristighfarlah... Rajin-rajinlah muhasabah diri.."

"Aku juga insan yang lemah seperti kau. Aku sentiasa berdoa untuk kita. Kau juga, jangan pernah berhenti berdoa dan berharap dari Allah swt.. Dia Maha Mendengar.. Dia Maha Mengetahui.."
Sampai di situ, aku mematikan kata. Seperti biasa, aku diam mencerna dan menghadam segala apa yang aku ucapkan, menyimpan kemas dalam kotak ingatanku, supaya aku sentiasa ingat.

'Aku sayang dia kerana Allah. Aku ingin dia ke syurga!'




[Note : Gambar-gambar di ambil dari internet] 

2 comments:

Muhammad Naim Abdullah said...

lama x mengomen.. hehe

entri terbaik akak. :)

AsNiza said...

Alhamdulillah Naim. Hari ni cuti Allah izinkan menulis :)