Kata seorang kenalan, Allah swt ciptakan lelaki dan wanita itu, sememangnya berbeza. Kekuatannya juga berbeza. Bayangkanlah bagaimana, jikalau, lelaki dan wanita itu sama kekuatannya.. Asal sahaja ada pertelingkahan atau perbalahan, diajaknya bergaduh sampai bertumbuk. Naya!
Kata teman yang lain pula, sabar lelaki dan wanita ini berbeza. Sabar seorang lelaki, ketika sedang tidur nyenyak, tiba-tiba si anak menangis di tengah malam. Si lelaki boleh bersabar mendengar tangisan si anak lalu terus menyambung tidurnya manakala si wanita, sabar menahan mengantuk lalu bangun dari tidur untuk memastikan si anak berhenti menangis.
Maha Suci Allah Yang Maha Pencipta.
Wanita, di dalam Al-Quran, sering disebut-sebut. Bahkan, ada Surah khas untuk wanita. Islam mengangkat tinggi darjat wanita terutamanya yang bergelar ibu. Malah, dalam khutbah terakhir Nabi saw, baginda juga ada meninggalkan pesan untuk kaum wanita.
Wanita, ternyata istimewa.
Allah swt ciptakan wanita, penuh dengan sifat kasih sayang. Seorang ibu, sanggup pertaruhkan nyawanya demi memastikan bayinya dalam kandungan selamat dilahirkan ke dunia. Naluri dan rasa kasih seorang ibu. Mampu menjadikan sesuatu yang kelihatan mustahil itu menjadi kenyataan yang tanpa disangka-sangka.
Lihat saja bonda Nabi Musa a.s.
Di saat nyawa bayinya terancam. Ketika dia sedang buntu bagaimana lagi cara mahu menyelamatkan anaknya yang dikasihi. Kalau bukan kerana kasih dan naluri, ilham dari Allah swt. Mana mungkin seorang ibu tergamak menghanyutkan seorang bayi yang masih kecil yang sangat dikasihi ke dalam sungai? Tapi, demi keselamatan si anak. Dia gagahkan hatinya.. Musa yang terbuang ke sungai akhirnya menjadi seorang Nabi yang akhirnya memusnahkan Firaun.
[Surah Taha: Ayat 39 : 'Letakkanlah dia (Musa) di dalam peti kemudian hanyutkanlah dia ke sungai Nil, maka biarlah sungai itu membawanya ke tepi, dia akan diambil oleh (Firaun) musuhKu dan musuhnya']
Semak lagi kisah bonda Nabi Isa a.s. Maryam namanya.
Kalau bukan kerana kasih dan naluri ilham dari Allah swt. Seakan mustahil seorang wanita yang disisihkan oleh kaumnya, dapat melahirkan seorang bayi seorang diri di bawah sebatang pohon kurma. Dan Maryam. Demi meneruskan hidupnya, tidak hanya berpeluk tubuh, tunggu buah kurma gugur ke tanah untuk di jadikan makanan. Maryam yang tadinya melahirkan anak sendirian, menggoncang pohon kurma sehingga buahnya gugur untuk dimakan.
[Surah Maryam ayat 25 : Dan goyanglah pangkal pohon kurma itu ke arahmu, niscaya pohon itu akan menggugurkan buah kurma yang masak kepadamu.]
Hayati pula kisah wanita hebat, bonda Nabi Ismail a.s.
Kita kenal dia sebagai Siti Hajar. Setiap tahun, dalam ibadah yang juga rukun Islam ke-5, kita saei dari Bukit Safa ke Bukit Marwah sempena mengingati kisah pengorbanannya. Demi anaknya Ismail, yang menangis kehausan, di tengah padang pasir, Siti Hajar sendirian berlari-lari demi mencari seteguk air. Demi memastikan anaknya terus hidup.
Hebat kegagahan seorang wanita. Anugerah dari Allah swt.. Jangan sekali-kali pandang rendah pada kemampuan dan kekuatan seorang wanita-terutamanya dia yang bergelar seorang ibu.
Dan yang penting sekali. Wanita itu sendiri janganlah merendahkan kemampuan diri sendiri. Jangan merasa lemah. Jangan mudah mengaku kalah. Berjuanglah. Kerana Allah swt beri pada kita, apa yang kita perlu. Dan apa yang seorang ibu perlu - Allah swt tahu.
No comments:
Post a Comment