+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Wednesday, June 15, 2011

Sambut Tanganku Kawan




"Nak aiskrim tak?" Suaranya muncul tiba-tiba, mengejutkan aku dari lamunan panjang.

Geleng kepala.

"Nak cokelat?" Dia bertanya lagi, bersungguh-sungguh.

Namun aku tetap menggelengkan kepalaku. Kiri dan kanan. Kemudian kembali ke alam khayalan.

"Atau lolipop?" Sekali lagi dia bertanya, cukup untuk membuatkan aku berasa rimas.

"Kau ingat aku kanak-kanak??" Agak tinggi suaraku. Sejujurnya aku memang tidak terniat sedikit pun untuk mengguris hatinya begitu. Dia kelihatan tersentak.

Sepi seketika.

"Maafkan aku, aku tak sengaja.. " Sedar akan kekhilafan sendiri, aku segera meminta kemaafan. Dia diam, bungkam.

"Tak mengapa, aku faham," lemah suaranya mendatar.

"Aku lihat kau murung sejak tadi. Ada orang kata, sekali sekala buat benda pelik di luar kebiasaan kita, boleh mengubah mood kita, aku sekadar mencuba nasib.. Ajak kau kembali ke zaman kanak-kanak, supaya kau kembali senyum" Dia menyambung.

Sungguh hatiku tersentuh. Murni benar niatnya, tapi mudah-mudah saja aku melukai hatinya. Allah. Maafkan aku.

"Okeylah, jom kita makan aiskrim, aku belanja!" Aku bingkas bangun, mengajaknya ke kedai aiskrim yang berhampiran. Aku senyum, dia pun senyum.

Beberapa minit meninjau ke dalam peti aiskrim, akhirnya aku memilih aiskrim lemon di dalamnya susu. Dia pun sama. Kami memang seia sekata. Aiskrim yang berwarna hijau di luarnya dan putih di dalam itu dimakan penuh nikmat. Sekali sekala makan aiskrim, sedap juga rasanya. Terlupa seketika segala persoalan yang mengganggu fikiran, yang mendorong hati merasa hiba dan gundah. Dada merasa lebih lapang. Namun seketika cuma.

"Maaf kalau aku bertanya, kenapa kebelakangan ini aku selalu nampak kau murung saja?" Tiba-tiba pula dia bertanya, akhirnya ingatan aku kembali kepada 'persoalan' itu semula. Aduh.

"Owh. Tak ada apa. Cuma baru-baru ini, aku bermimpi.. Mimpi yang menganggu jaga dan lenaku.." Berat akhirnya aku bersuara.
"Mimpi? Mimpi apa?" Dia bertanya lagi.

"Mimpi sedih. Aku bersama rakan-rakanku yang lain, terperangkap di dalam satu kawah yang besar, dalam pekat malam tanpa cahaya, tak mampu keluar dari situ dengan sendiri. Kami perlukan bantuan dari mereka yang berada di atas sana. Kami kedinginan, ketakutan, kegelisahan, keresahan. Menanti dan terus menanti, menggapai tangan ke atas, berharap agar ada insan yang sudi menghulur tangan, menarik kami naik ke atas.."

"Lama kami menanti, seorang demi seorang kawanku telah ditarik ke atas, seorang demi seorang pergi meninggalkan aku. Akhirnya, di dalam kawah itu, tinggal aku seorang diri.." Suaraku bergetar, aku sebak tidak dapat meneruskan lagi kata-kataku.
"Sabarlah.." Hanya itu yang mampu dia ucapkan.

"Aku cuba, tapi aku takut bila tinggal sendirian." Ujarku lagi, airmata yang mengalir di pipi aku sapu perlahan.

"Kau juga akan ditarik ke atas, bila tiba masanya, andai  itu yang Allah telah tuliskan buatmu. Cepat atau lambat, itu bukan pilihan kita. Itu ketentuan dari-Nya. Allah Maha Mengetahui atas segalanya.." Dia terus cuba untuk mendamaikan hatiku.

Aku senyum.

"Benarlah katamu itu. Setiap apa yang berlaku, hanya berlaku dengan keizinan dariNya. Andai Dia belum mengizinkan, maka siapalah aku untuk mempersoalkan kekuasaanyNya terhadap aku, aku cuma hamba." Ujarku perlahan.

"Dan lagipun, itukan cuma mimpi!" Dia senyum.

Ya. Ia sekadar mimpi. Bagi mereka yang tidak mengerti.




1 comment:

Bibi said...

Assalamu'alaikum wbt, makNgah...

Saya tak tahu. Tapi cerita ini menarik minat dan dekat dihati saya.

Sahabat. Hurmmmm.

Mucha gracias! :)