+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Friday, June 10, 2011

Janganlah Berputus Asa




Bismillahirrahmanirrahim...

Hari ini hari Jumaat sekali lagi. Alhamdulillah. Saya mulakan hari ini dengan muhasabah diri sendiri. Merenung sejenak ke belakang, dengan harapan, hari ini dan esok, saya lebih baik dari sebelumnya. InsyaAllah.

Saya ketika zaman muda, banyak melakukan kesilapan. Jika sepuluh jari ini digunakan untuk menghitung, tentu sekali tidak cukup. Dan saya percaya, saya hari ini adalah kerana apa yang telah saya lakukan pada waktu yang lepas. Bukankah Allah itu Maha Adil. Kebaikan yang kita lakukan, akan dibalas dengan kebaikan dan begitulah sebaliknya. 

Andai sakit yang saya rasakan ketika di dunia, itu belum tentu setimpal dengan dosa yang telah saya lakukan. 'Bakinya' akan di - 'caring forward' ke akhirat, entah bagaimana agaknya sakit yang akan saya tanggung ketika di akhirat kelak, sungguh saya takut.
Jika kalian  melakukan kebaikan, segalanya mungkin kerana ingin menikmati keindahan syurga, ingin menjadi penghuni syurga. Saya pula sebaliknya. Semampu saya, cuba menambah amal dan kebaikan kerana saya takut menjadi penghuni neraka, saya takut diseksa di neraka kelak. Neraka yang digambarkan dalam kitab suci Al-Quran sungguh menakutkan! Mana mungkin saya sanggup menerima semuanya itu andai terkena percikan api di dunia ini pun saya mengaduh tak sudah. Andai digigit semut api pun saya tak rela.

Bukan maksum tidak sepatutnya dijadikan tiket untuk membenarkan kita melakukan dosa dan kesilapan. Benar lumrah manusia tidak lepas dari melakukan kejahatan, saya sendiri biarpun nekad untuk sentiasa berbuat kebaikan, sering juga tergelincir dari landasan yang lurus, apatah lagi mereka yang lansung tidak percaya pada akhirat dan tidak membaca dan menghayati Al-Quran?

Saya menyeru diri sendiri, dan kalian yang sudi membaca celoteh saya kali ini.

Ayuhlah kita kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Berpegang teguhlah kita kepada Al-Quran dan hadis. Manusia sering lupa maka janganlah pentingkan diri sendiri, selalulah amalkan sikap amal makruf nahi mungkar, mengajak orang lain ke arah kebaikan dan saling ingat mengingatkan. Hari ini mungkin hari saya untuk mengingatkan, esok lusa mungkin hari kalian pula.. 

Kepada mereka yang pernah melakukan kesilapan, ingatlah Allah Maha Pengampun, asalkan kita segera bertaubat dan bersungguh-sungguh menjauhi kesilapan yang sama. 
Ingatlah firman Allah..

Mereka menjawab: "Kami mengembirakanmu dengan jalan yang sungguh benar; oleh itu janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang berputus asa". (Al-Hijr 15:55)

Ibrahim berkata, 'Tidak ada orang yang berputus asa dari rahmat Rabb-Nya, kecuali orang-orang yang sesat'." (Al-Hijr: 56).

Allah SWT berfirman, "Dan jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir." (Yusuf: 87).

Katakanlah: “Hai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Surah Az-Zumar : Ayat 53)

Hari ini kita mungkin penat sekali, ujian dan musibah bersilih ganti. Bagai terlupa semalam kita pernah bersenang lenang dalam kesenangan, dan mungkin esok kita akan senang kembali. Langit tidak selalunya cerah, mentari ada kalanya sembunyi di balik awan. Tidak munculkan wajah, memancarkan cahayanya yang terang.


No comments: