+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Saturday, June 25, 2011

Kerana Langit Tak Selalunya Cerah


Kerana kita tidak tahu, apa yang akan terjadi seminit lagi selepas saat ini, apatah lagi sehari selepas hari ini atau setahun dari sekarang. Kerana kita tidak tahu apa-apa. Kerana kita tidak tahu apa yang menanti kita di hadapan. Kerana kita tidak tahu apa yang terjadi pada masa akan datang. 

Kita terus berlari dan mencari. Mengimpikan yang terbaik dan yang tercantik. Mengharapkan yang mudah tiada yang payah. Menginginkan bahagia tanpa derita. Biarpun kita tahu, esok belum tentu lagi milik kita. Dan kita juga tahu, setiap yang berlaku hanya akan berlaku dengan keizinan-Nya semata-mata.

Namun, selagi harapan masih ada.  Selagi impian masih di dada. Kita terus berbaik sangka dan optimis. Mengukir pelbagai cerita versi kita. Melakar mimpi dalam jaga.  Kita berharap dan berdoa. Moga esok akan bertambah baik. Kejayaan mungkin datang pada kemudian hari. Kebahagiaan mungkin akan menghiasi kehidupan mendatang. Kerana sesungguhnya hanya itu yang kita harap-harapkan.

Biarpun sering jatuh dan terluka. Biarpun selalu sakit dan perit. Biarpun langit tak selalunya cerah. Biarpun diri tak selalunya di atas. Biarpun cerita tak selalu indah. Biarpun pelangi tak sentiasa di dada langit.  Kerana tiada siapapun antara kita yang inginkan penderitaan dan penyiksaan. Kerana tiada siapa pun antara kita yang inginkan kegagalan dan kepayahan. Kerana tiada siapa pun antara kita yang inginkan kegelapan dan kesengsaraan.

Hari ini mungkin kita berasa payah hidup sendirian sebatang kara. Lalu kita menadah tangan bermohon kepada Ilahi agar esok kita dikurniakan pasangan dan zuriat yang dapat menemani perjalanan hidup kita. Biarpun kita tidak tahu apa yang menanti di alam berumahtangga . Apakah mungkin hidup bekeluarga lebih sukar daripada hidup sendiri? Kita tidak tahu kerana langit tidak selalunya cerah.

Jangan berasa sedih bila doa kita belum dimakbulkan. Jangan berasa kecewa bila Allah belum kurniakan apa yang kita impikan. Jangan sekali-kali berasa hampa dan beranggapan bahawa Allah itu kejam dan zalim. Ingatlah, mungkin ini sebenarnya lebih baik buat kita. Bukakah Dia memberi ujian hanya kepada hamba-Nya yang mampu. 

Mungkin, kepayahan hidup bersendiri ini jauh lebih ringan jika dibandingkan dengan kepayahan setelah berkeluarga. Kerana kita tidak tahu dan Dia mengetahui segalanya. Dan sungguh, langit tak selalunya cerah.

Analogi yang mudah. Kita mungkin tidak gembira memandu sebuah kereta buruk, lembap dan uzur. Sering rosak sana sini. Lalu kita mengimpikan sebuah kereta baru yang cantik, mantap dan cekap. Dan kita terlupa, langit tidak selalunya cerah. Bilamana kita memiliki kereta yang baru dan cekap, kita mungkin memandu lebih laju dan akan mengakibatkan kemalangan. 

Dan mungkin kaki atau tangan kita akan putus atau patah. Cacatlah kita. Sedangkan dengan kereta buruk kita sempurna kaki dan tangan. Dan mungkin waktu itu barulah kita sedar, alangkah indahnya hidup kita jika kita tidak memiliki kereta baru dan masih lagi memandu kereta buruk.

Sungguh, kerana kita tidak tahu apa-apa.

Maka, nikmatilah setiap kepayahan yang sedang kita galas dengan penuh rasa rendah diri. Hargailah setiap penderitaan yang sedang kita alami dengan penuh rasa kesyukuran. Kerana mungkin, esok lebih payah dari hari ini. Kerana kita tidak tahu apa-apa.

Sebagaimana firman Allah swt dalam surah Al-Hadid pada ayat ke 22 dan 23;

"Tiada suatu bencana pun yang menimpa di muka bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri kecuali telah tertulis dalam kitab(lauh mahfuz) sebelum kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu mudah bagi Allah.(Kami jelaskan yang sedemikianitu) supaya kalian tidak berputus asa atas apa yang luput dari kalian dan supaya kalian tidak terlalu gembira terhadap apa yang diberikan kepada kalian. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri."

Dan Allah juga berfirman dalam Surah At-Taghaabun ayat yang ke-11;

"Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Nikmatilah dan hargailah hari ini. Seolah-olah esok tiada lagi buat kita.

Allah berfirman, “Sesiapa yang bertawakal kepada Allah maka Allah mencukupkan keperluannya.” Surah At-Talaq : Ayat 3

Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. Surah Al-Faatihah : Ayat 5





1 comment:

Lisam said...

makngah dah pakai baju baru..yeay!