+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Wednesday, November 10, 2010

Minta Pada Yang Berhak

"Saya tak nampak Allah."

"Saya tak dengar suara Allah."

"Bagaimana saya boleh berbicara dengan-Nya, sedangkan saya tidak nampak Dia, tidak mendengar suara-Nya?"

"Bagaimana saya boleh berhubung dengan Allah?"

"Apakah benar Dia sentiasa ada untuk saya?"


Mungkin kata-kata itu, atau persoalan sedemikian pernah terlintas dalam sanubari kita tatkala resah gelisah bertandang di jiwa. Mungkin keyakinan yang ditanam tidak cukup utuh, mudah goyah bilamana angin dugaan datang menguji.

Mungkin juga, diri kita yang tidak tahu menghargai dan mensyukuri segala anugerah dan pemberian-Nya, lalu kita sengaja membina benteng, membutakan mata, memekakkan telinga, menafikan segala kebesaran dan keagungan Tuhan yang Esa. Biarpun segalanya terbentang luas di depan mata. Ibarat hamba yang tidak mengenang budi. Menafikan Sang Pencipta. Benar-benar lupa diri.

Bukankah terlalu banyak nikmat Allah buat kita? Bukankah Dia yang mengirimkan kita nabi dan rasul, agar membawa berita baik, membawa cahaya menyuluh kegelapan, menjadi teladan dan contoh terbaik buat kita semua? Dan Dia juga yang menganugerahkan kita Al-Quran, sebagai pedoman dan petunjuk kepada seluruh manusia hingga ke akhir zaman.

Dan bukankah itu sudah memadai buat kita? Lebih daripada cukup untuk membuktikan kebesaran dan kasih sayang-Nya? Lebih daripada cukup untuk kita mengakui keesaan dan keagungan-Nya?

Wahai diri. Insaflah. Bukankah Allah sentiasa dekat dengan kita. Menyayangi kita lebih dari segala-galanya. Dia tidak pernah meninggalkan kita sendirian dan Dia sentiasa ada untuk kita.. Hanya tinggal kita, harus merendah diri, menadah tangan, memohon dan berdoalah kepada Allah.

Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina. [Surah Ghafir : 60]

Dan firman Allah lagi dalam Surah Al-Baqarah;

Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul. [Surah Baqarah : 186]

Layakkah kita untuk sombong dan bersifat angkuh? Enggan menadah tangan dan berdoa? Malu untuk memohon dari-Nya. Segan untuk mengadu dan merintih kepada-Nya? Tergamakkah kita?

Renung-renungkan... Mari muhasabah diri.. Jangan mudah berputus asa, sentiasa bersangka baik kepada Allah, berdoalah.. Sentiasalah mengingati Allah, tidak kira waktu dan tempat. Perbanyakkan zikir dan doa..

Berdoa juga ada adab dan caranya. Ada juga doa yang segera dimakbulkan, ada yang ditangguhkan dan ada juga yang tidak termakbul. Allah Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui atas segalanya. Teruslah bersangka baik dan jangan berhenti berdoa dan memohon kepada Allah SWT.

Saya memetik dari buku "Doa-Doa Kunci Rezeki" karya Ust. Yusuf Mansur dan Amir Kumadin, antara faktor yang menghalang terkabulnya doa adalah;

1- Doa tersebut tidak disenangi Allah swt kerana mengandungi maksiat dan permusuhan di dalamnya.

2- Hati yang lemah dan tidak menghadapkan diri sepenuhnya kepada Allah swt ketika sedang berdoa.

3- Memakan makanan yang haram, berbuat kezaliman dan maksiat sehingga dosa-dosa itu menutupi hati mereka.

4- Berlebihan dalam berdoa, berteriak serta meratap dengan keras.

5- Berdoa memohon keburukan bagi diri, keluarga dan harta.

Manakala, antara syarat termakbulnya doa pula adalah;

1- Memakan makanan yang halal dan baik

2- Tidak terburu-buru minta doa dikabulkan

3- Tidak memamerkan / riak

4- Berdoa bukan bersangkutan dengan dosa dan memutuskan silaturrahim.

5- Bersangka baik terhadap Allah swt.

Oleh itu, ayuhlah kita segera dan perbanyakkan doa kepada Allah swt. Jangan ego, jangan sombong. Bila ternampak iklan promosi atau jualan murah di kaca tv, kita bersungguh-sungguh dan beria-ia mahu membeli belah. Tapi mengapa, 'iklan' Allah di dalam al-Quran sering saja kita endahkan dan sering juga kita tidak menghargainya, malah mensia-siakannya.

Sedangkan kita tahu, hanya janji-janji Allah yang pasti.

Berdoalah penuh keyakinan dan rasa rendah diri. Susurilah doa kita dengan usaha dan iltizam . Sentiasa istiqamah di jalan-Nya. Moga peroleh kejayaan, dunia dan akhirat.


Wallahua'alam.


4 comments:

AhmadNizamuddin said...

Assalamu'alaikum....

"4- Berlebihan dalam berdoa, berteriak serta meratap dengan keras."

apa yang dimaksudkan dengan berlebihan dalam berdoa, berteriak serta meratap dengan keras tu? Doa yang terlebih ka macam mana? hehe....

Mohon dijelaskan....

Wallahu a'lam...

AsNiza said...

wslm wbt..

kita disarankan merendahkan suara, guna suara yang perlahan ketika berdoa. Allah kan maha mendengar, maha mengetahui.

akak tanya semula..

layakkah seorang hamba, menjerit dan menggunakan suara yang kuat, meminta2 daripada tuannya?

kita sendiri, nak minta duit dari emak dan ayah, adakah kita menengking? keraskan suara?

apatah lagi Allah yang maha pencipta lagi maha agung..

wallahua'alam

AsNiza said...

kesimpulannya.. berpada-pada dalam setiap apa yang kita lakukan.. wasathiah =)

AhmadNizamuddin said...

Ok... Faham dah sekerat. Yang sekerat lagi tu tak faham.

Yang berlebihan dalam berdoa tu macam mana? masih tak faham di situ... Kita mintak yang bukan-bukan ka macam mana?? hehe....