+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Tuesday, November 9, 2010

Aku Bukan Layang-Layang

Air tasik berwarna hijau pekat. Tenang di permukaannya, namun di dasarnya tiada siapa yang tahu melainkan Allah. Sekali-sekala terlihat kelibat sekumpulan ikan, mengusik ketenangan tasik. Berenang berkejaran sesama mereka, bebas bagai tiada apa belenggu yang mengikat.

'Owh, indahnya. Andai aku bisa berenang bebas ke sana-sini semahu hatiku.' Sempat aku berbisik sendirian. Sepi.

Suara kanak-kanak sedang bermain-main berjaya mencuri ketenangan. Aku tolehkan kepalaku, mengarahkan pandanganku ke arah sekumpulan kanak-kanak yang sedang ketawa riang. Mereka seronok bermain layang-layang. Riak wajah terukir sejuta kebahagiaan, keriangan. Bagai tiada sebarang masalah tersemat di dalam kepala, tergalas di atas bahu. Indah dunia kanak-kanak. Zaman di mana diri belum kenal erti kehidupan.

"Kau tahu bagaimana caranya membuat layang-layang?" tiba-tiba suara lirih mengejutkan lamunanku. Aku tersentak namun berpura-pura tidak mendengar. Aku tidak menunjukkan sebarang reaksi, sekadar diam membisu.

"Kau tahu bagaimana caranya membuat layang-layang?" dia yang berdiri di sebelahku bertanya lagi. Suaranya ditinggikan lebih sedikit. Cuba menarik perhatianku seadanya. Aku mengerti.

Akhirnya aku menoleh ke arahnya. Mengukir senyuman untuknya.

"Mudah saja membuat layang-layang. Asalkan ada lidi, buluh atau kayu sebagai rangka, kertas, benang, gunting dan gam. Itu saja, kan?" Akhirnya aku membuka mulut. Dia menganggukkan kepalanya.

"Agak-agak kalau main tampal begitu saja, layang-layang tu boleh terbang tinggi ke?" Dia cuba menguji lagi. Tersengih memandang ke arahku.

"Ah kamu ini. Tentulah tidak boleh terbang. Layang-layang mesti seimbang, ringan, teguh ikatan dan tampalannya, barulah boleh terbang tinggi.." Aku menjawab lagi. Sekadar meneka mengikut logika akalku. Dia mengangguk-anggukan kepalanya. Entah apa tersirat di kepalanya, aku juga tidak tahu.

"Kau pernah main layang-layang?" Giliran aku pula bertanya. Jari jemariku mengutip dua ketul anak batu kemudian melontarkan batu-batu tersebut ke dalam tasik. Jauh.

"Mestila. Tengok oranglah.." Dia menjawab riang. Bangga barangkali. Aku mengukir senyuman. Menatapnya penuh minat.

"Andai kau layang-layang, agaknya kau bagaimana?" Soal aku lagi. Senyuman dia mati tiba-tiba. Dahinya berkerut-kerut bagai sedang memikirkan sesuatu. Aku pula yang tersenyum kini, gelihati melihat keletahnya.

"Kalau aku layang-layang?" Dia menyoal aku kembali. Matanya bulat.

"Ya, kalau kau layang-layang." Aku menyambung kata.

Dia di sebelahku memandang jauh ke depan. Mendongak awan. Menarik nafas dalam-dalam kemudian menghembusnya perlahan-lahan.

'Kalau aku layang-layang, aku berdoa agar tali yang mengikat aku kukuh, tidak putus.'

'Kalau aku layang-layang, aku berharap agar tubuhku tidak koyak atau rosak.'

'Kalau aku layang-layang, aku mahu angin sentiasa ada menolak aku ke atas.'

'Kalau aku layang-layang, aku ingin agar pemainku adalah yang terbaik dan terhandal.'

"Ah! Aku tidak mahu jadi layang-layang!" Panjang angannya, namun akhirnya kata-kata itu yang terluncur dari bibirnya. Aku terkesima menatap wajahnya.

"Kenapa?" Bagai si dungu aku bertanya kepada dia.

"Kerana layang-layang tidak mampu berdikari. Layang-layang hidup bergantung kepada yang lain. Layang-layang tiada pendirian dan kehendak. Layang-layang tidak selamanya di atas!" Keras suaranya menyatakan maksud yang tersirat di hati.

"Kau pernah lihat bagaimana keadaan layang-layang bila angin tiada?" Soalnya.

"Pernah kau nampak bagaimana layang-layang tersangkut pada dahan pepohon bila angin menggila atau talinya putus?" Dia bertanya lagi padaku.

"Kau pernah lihat layang-layang bila putus talinya?"

"Atau bagaimana keadaan layang-layang bila ekornya putus atau tubuhnya koyak?" Bertalu-talu soalannya menerjah otak fikiranku. Sepantas itu juga otakku ligat mencari jawapan. Sungguh. Jawapannya menyedihkan. Mengecewakan. Aku tunduk merenung rumput-rumput yang menghijau menghias taman.

Akhirnya aku mengerti.

Menjadi layang-layang bukanlah seindah rupanya.

2 comments:

AhmadNizamuddin said...

"Aku Bukan Burung Layang-layang"

Pernah tengok burung layang-layang? Macam mana sifatnya? Bagaimana pulak aktiviti hariannya? Apa kelebihannya? Apa kekurangannya?

Alhamdulillah... Kita bukan Burung Layang-layang. Apatah lagi Layang-layang. Bersyukurlah kerana kita dipilih sebagai khalifah bumi Allah. Tetapi kebergantungan kita tetap kepada Allah. Bila susah, balik-balik mintak tolong kat Allah. Boleh pulak kita ini mencari dan mencipta alat-alat moden dari hasil bumi Allah. Bermakna kita pandai berdiri atas kaki sendiri.

p/s: Nak berfalasi sebentar. haha... Jangan marah ya...

Wallahu a'lam...

AsNiza said...

Alhamdulillah, syukur kerana kita terpilih sebagai khalifah di muka bumi Allah, dikurniakan akal untuk berfikir dan membuat keputusan, berkeupayaan untuk 'memilih' samada mahu ke syurga atau ke neraka. dengan izin Allah.. Terima kasih Allah.

Btw, burung layang2 cmne pula? Ok apa, sarangnya berkhasiat, kan? :D

Layang-layang putus tali... Naauzubillah..