+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Friday, October 15, 2010

Berperang dengan Perasaan

Aku berlindung kepada Allah daripada syaitan yang direjam.

Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang.

(Iblis) menjawab, " Kerana Engkau telah menyesatkan aku, pasti aku akan selalu menghalangi mereka dari jalan-Mu yang lurus, kemudian aku akan mendatangi mereka dari depan, dari belakang, dari kanan, dan dari kiii mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur."

[Surah Al-A'raf : Ayat 16-17]


Ia (Iblis) berkata, "Tuhanku, oleh kerana Engkau telah memutuskan aku sesat, aku pasti akan jadikan (kejahatan) terasa indah bagi mereka di bumi, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba-Mu yang terpilih di antara mereka."

[Surah Al-Hijr : Ayat 39-40]


Demikianlah antara 'dialog' dan kisah mengenai keingkaran Iblis yang telah tercatit dalam kitab suci Al-Quran. Begitulah sumpah yang telah dibuat dan sesungguhnya, ia bukanlah sumpah yang sebarangan. Ini kerana Allah telah memperkenankan dan membenarkan sumpah Sang Penderhaka itu, dan seperti yang dijanjikan oleh-Nya, kita sebagai anak cucu Nabi Adam a.s tidak terkecuali daripada 'terbabit' dalam sumpahan tersebut. Naauzubillahiminzalik..

Mungkin bukan perkara asing bagi kita. Berperang dengan perasaan sendiri. Hati kata ke kanan, akal mahu ke kiri. Hati mahu ke depan, iman mahu ke belakang. Hati meronta-ronta, menjerit dan merintih, namun malangnya akal dan iman sering menghalang dan menidakkan. Maka tercetuslah peperangan dalam diri kita yang hanya kita dan Allah sahaja yang tahu.

Allah berfirman;

"Dan sungguh, Tuhanmu mengetahui apa yang disembunyikan dalam dada mereka dan apa yang mereka nyatakan."

[Surah An-Naml : Ayat 74]

Kemudian Allah menegaskan sekali lagi. Firman Allah SWT;

"Dan Tuhanmu mengetahui apa yang disembunyikan dalam dada mereka dan apa yang mereka nyatakan."

[Surah Al-Qasas : Ayat 69]

Dalam perjuangan dan pertaruhan itu. Ada yang menang dan ada yang tewas. Ada yang terjerat dan terpengaruh dengan godaan dan hasutan syaitan. Dalam persimpangan ketika memilih antara kebaikan dan kejahatan, mereka cenderung untuk memilih kejahatan. Bukan sedikit yang hanyut dan lemas dalam godaan nafsu. Ramai yang terpedaya dan kekal dalam kesesatan dan kemaksiatan. Mereka menjadi tuli dan buta, tidak mendapat cahaya dan petunjuk dari Ilahi.

"Sesungguhnya orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat, Kami jadikan terasa indah bagi mereka perbuatan-perbuatan mereka (yang buruk) sehingga mereka bergelumang dalam kesesatan. Mereka itulah orang-orang yang akan mendapat seksaan buruk dan mereka di akhirat adalah orang-orang yang paling rugi."

[ Surah An-Naml : Ayat 4&5]

Ternyata bukanlah mudah berperang dengan perasaan sendiri.

Lihatlah saja beberapa contoh mudah yang sering terjadi di persekitaran kita, dan mungkin juga turut kita alamai. Kita cenderung kelihatan cantik dan menarik perhatian banyak orang, lalu hati memberontak untuk membuka aurat, memilih pakaian yang ketat dan singkat.

Kita juga berkeinginan untuk mempunyai harta yang banyak lalu hati merayu agar kita berbuat apa sahaja demi mendapatkan kekayaan tanpa mengira halal dan haram.

Kita berkehendakkan seseorang yang dapat kita cintai dan membalas cinta kita lalu hati merelakan diri sendiri agar mengenepikan segala larangan Tuhan, tidak menjaga pergaulan dengan bukan muhrim dan mula mendekati zina.

Ketahuilah bahawa sesungguhnya Iblis sentiasa mencari ruang dan peluang untuk menyesatkan kita anak cucu Nabi Adam, tidak kira peluang itu besar atau kecil. Asalkan dendamnya untuk mengheret kita ke neraka bersama mereka tercapai.

Kita insan yang lemah. Setiap saat dan waktu, kita sering berperang dengan perasaan sendiri. Kerana setiap saat dan detik itu juga, kita sentiasa berdepan dengan keadaan dimana kita harus membuat pilihan dan keputusan yang segera.

Mahu menonton tv atau mahu solat. Mahu tidur atau mengaji Quran. Mahu ke kanan atau ke kiri? Semuanya adalah proses yang sentiasa berterusan. Sehingga kita menghembuskan nafas yang terakhir.

Persoalannya lagi.

Bagaimana ingin menang dalam perjuangan? Tepuk dada tanya iman dan akal.

"Ya Tuhan kami, janganlah Engkau condongkan hati kami kepada kesesatan setelah Engkau memberi petunjuk kepada kami, kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi-Mu. Sesungguhnya Engkau Maha Pemberi."

[Surah Al-Imran : Ayat 8]

Amin ya rabb..


1 comment: