+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Thursday, October 7, 2010

Seimbangkah Kita?

Bayangkan kita sedang berjalan merentasi jambatan Pulau Pinang, atau mana-mana jambatan yang lebarnya beberapa meter. Tentunya kita dapat merentasinya dengan mudah tanpa perlu bimbang terjatuh ke bawah. Dan cuba bayangkan pula, kita sedang merentasi sebuah sungai dengan meniti di atas sebatang kayu yang diletakkan diantara dua tebing.

Saya percaya, tidak semua orang mampu melakukannya dengan mudah. Mungkin banyak orang akan jatuh ke dalam sungai kerana gagal mengimbangi badan atau tersilap langkah atau mungkin tergelincir. Tersilap langkah biarpun sedikit, tentunya memberi impak yang sangat besar!


Dan kini cuba bayangkan pula bagaimana Titian Siratulmustakim. Halusnya lebih halus daripada rambut. Di 'tebing seberang' syurga menanti dan dibawahnya api neraka yang panas menyala menunggu masa mahu menyambar manusia berdosa yang terjatuh ke dalamnya.

Ada orang merangkak-rangkak, ada juga yang mengengsot tidak kurang banyak juga yang terjatuh ke bawah. Ada yang berlari-lari di atas titian tersebut dan ada juga yang terbang seperti kilat, sesuai dengan amalan mereka ketika hidup di bumi yang fana. Siapa yang banyak melakukan kebaikan dipermudahkan perjalanannya menitian titian sirat, dan berbeza dengan mereka yang banyak melakukan kejahatan. Api yang menyambar menantinya di neraka. Naauzubillahiminzalik.

Syurga atau neraka. Di antaranya ada garisan yang membataskan. Banyak orang cenderung memilih kemaksiatan, lalu menjuruskan diri mereka ke neraka. Dan ada juga yang banyak melakukan kebaikan, namun dengan sekelip mata telah melanggar batasan antara syurga dan neraka. Mereka gagal membezakan dosa dan pahala, akhirnya mereka telah menganiaya diri mereka sendiri dengan melakukan kemaksiatan.

Dan sesungguhnya hanya neraka sebaik-baik tempat bagi mereka yang mengingkari perintah Tuhan.

Dunia dan akhirat. Syurga dan neraka. Dosa dan pahala. Kejahatan dan kebaikan. Semoga kita sentiasa jelas, tidak lupa diri dan tidak lupa akan garisan yang membentengi antara keduanya agar kita sentiasa berpijak pada bumi yang nyata, gentar untuk melakukan dosa dan gembira bila dapat berbuat kebaikan.

Ada orang terlalu sibuk mengejar dunia sehingga terlupa untuk mengumpul bekalan untuk dibawa ke negeri abadi. Dan ada juga sesetengah orang yang terlalu sibuk mengejar akhirat sehingga terlupa pada bumi yang sedang dipijaknya. Mereka adalah orang-orang yang tidak tahu menyeimbangkan antara keduanya dan ini adalah bercanggah dengan tuntutan syariat Islam.

Ada orang bahagia di dunia. Dikurniakan harta yang banyak, anak-anak yang bijak dan comel, isteri yang cantik, kereta besar, rumah besar dan segalanya mewah. Namun sayangnya bila di akhirat, mereka dimasukkan ke neraka sebagaimana firman Allah dalam Surah Al -Qasas..

"Maka apakah sama orang yang Kami janjikan kepadanya suatu janji yang baik(syurga) lalu dia memperolehnya, dengan orang yang kami berikan kepadanya kesenangan hidup duniawi, kemudian pada hari kiamat dia termasuk orang2 yang diseret (ke dalam neraka)??" Surah Al-Qasas: Ayat 61.


Mereka adalah golongan yang rugi. Naauzubillahiminzalik. Semoga kita dilindungi dan tidak tergolong dalam golongan yang diseret ke neraka itu. Seharusnya kita berbuat amal kebajiikan dan kebaikan, berusaha untuk mengejar akhirat namun pada masa yang sama, tidak pula melupakan dunia sebagaimana firman Allah dalam ayat berikut;

"Dan carilah (pahala) negeri akhirat dengan apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu, tetapi janganlah kamu melupakan bahagianmu di dunia dengan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi. Sungguh Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan." [Al-Qasas : Ayat 76]

Kebahagiaan dan kesenangan di dunia, kadang kala menjadi barah yang memakan diri, mengundang kecelakaan buat diri kita sendiri di akhirat kelak. Ini kerana lumrah manusia mudah lupa diri bila dilimpahi dengan kesenangan. Oleh itu, tidak kira dalam apa jua yang kita lakukan, haruslah kita sentiasa ingat kepada Allah, selalu ingat mati, ingat dosa dan pahala, juga ingat syurga dan neraka. Jangan biarkan kealpaan dan kelalaian kita membinasakan diri kita di negeri akhirat kelak.

Dan Allah swt juga telah berfirman;

"Barangsiapa mengharap pertemuan dengan Allah, maka sesungguhnya waktu (yang dijanjikan) Allah pasti datang. Dan Dia yang maha mendengar lagi maha mengetahui."
[Al-Ankabut: Ayat 5]

"Barangsiapa datang dgn membawa kebaikan, maka dia akan mendapat pahala yang LEBIH BAIK drp kebaikannya itu; dan barangsiapa yg membawa kejahatan, maka orang2 yg telah mengerjakan kejahatan itu HANYA diberi balasan (seimbang) dengan apa yang dahulu mereka kerjakan. "
[Al-Qasas : 84]


Akal yang waras tentunya tahu memilih syurga. Namun nafsu yang jahat, serta godaan dan hasutan syaitan sering membuat kita cenderung untuk melakukan kemaksiatan dan meninggalkan kebaikan. Andai iman senipis kulit bawang, akhirnya dengan begitu mudah benteng yang membataskan antara syurga dan neraka hancur dan musnah.. Begitu mudah keseimbangan antara dunia dan akhirat juga terkhianati.

Andai iman dan akal gagal berfungsi dengan baik. Batasan dan garisan yang membezakan antara dosa dan pahala seolah-olah tidak kelihatan.

‎"Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku sendiri, maka ampunilah aku." Surah Al-Qasas : Ayat 16

Mari renungkan. Sama-sama kita muhasabah diri. Saling mengingatkan antara satu sama lain kerana lumrah manusia mudah alpa dan leka. Semoga kita dapat mengimbangkan dunia dan akhirat dengan sebaik yang mungkin sebagaimana firman Allah swt..

"Dan carilah (pahala) negeri akhirat dengan apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu, tetapi janganlah kamu melupakan bahagianmu di dunia dengan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi. Sungguh Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan." [Al-Qasas : Ayat 76]

Kita idamkan syurga, dan semoga syurga menjadi milik kita. Berdoalah sebagaimana Musa a.s berdoa dan memohon petunjuk daripada Tuhan,

"Mudah-mudahan Tuhanku memimpin aku ke jalan yang benar."
[Surah Al-Qasas : Ayat 22]

Amin ya rabb..

No comments: