+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Friday, October 8, 2010

Jiwa yang Sakit

Sedar atau tidak, rupanya sudah hampir 5 bulan saya berkhidmat dan mencari rezeki di sini. Beralih bidang pekerjaan secara total bukanlah perkara yang mudah, namun tiada apa yang mustahil selagi ada keinginan, dengan izin Allah tentunya.

Jika dulu kerja saya banyak mengadap komputer. Sekali sekala perlu turun ke 'site' meninjau keadaan kilang dan memastikan semuanya seperti yang diharapkan. Kini keadaan sudah berubah. Di tempat baru ini, saya tetap punyai meja sendiri, kerusi, komputer dan lain-lain kelengkapan yang hampir serupa dengan tempat lama, namun persekitarannya, orang-orang sekeliling, bidang kerja dan peranan saya jauh berbeza. Berputar 180 darjah.

Tidak mungkin saya lupakan tempat kerja lama kerana ketika berada di situ saya telah pelajari banyak perkara. Pengalaman dan ilmu yang tidak mampu saya beli dengan wang. Namun tidak juga saya lupakan, betapa ketika di saat-saat akhir saya berada di sana, hampir setiap hari bibir saya ini merungut, tidak lagi sanggup terus berkerja di situ. Hari ke hari, jiwa semakin kosong, tiada semangat dan keinginan untuk ke tempat kerja. Keyakinan diri merosot begitu teruk. Allahu..

2010 benar-benar menguji kekuatan diri ini.

Bagi mereka yang mengenali diri ini. Mungkin mereka lebih mengerti. Saya bagai mencipta gua dan hanya saya sendirian di dalamnya. Perlahan-lahan saya kian menjauh. Mengasingkan diri dan mengelakkan berhubung dengan sesiapa. YM tidak dionline. SMS para sahabat tidak terbalas. Perjumpaan dan aktiviti bersama dielakkan. Tanggungjawab saya di forum juga kerap terabai. Sesungguhnya saya nyaris lemas dalam gelora yang melanda.

Bukan itu sahaja, dalam kebanyakan masa, saya menjadi 'rimas' dengan kebanyakan orang. Otak saya kian berserabut dan kacau bila mendengar butir bicara, buah pandangan orang. Saya lebih gemar memprotes. Cara pemikiran saya lebih bercorak negatif. Segalanya buruk pada pandangan mata saya. Makin dipujuk, diberi nasihat, makin membuatkan saya tertekan dan memberontak. Allahu, ini bukan mudah untuk saya lalui, tapi malangnya saya sendiri tidak tahu bagaimana untuk menanganinya.

Sudahnya, tiada cara lain yang boleh saya ambil. Terpaksalah saya menjauhkan diri dan mengelak sebelum saya menyakiti lebih banyak orang. Sungguh, saya tidak tahu berpura-pura. Dan menjadi saya seperti ini benar-benar menakutkan.

Takut saya bukan sedikit. Saya seolah-olah bukan lagi saya. Merenung ke dalam diri bagai ada makhluk asing di dalam jiwa dan minda saya. Terlalu mudah makhluk asing itu berprasangka. Berfikiran negatif dan berburuk sangka. Bagai ada suatu bebanan di dalam kepala yang menghalang segala saraf daripada bersambungan dan berfungsi dengan baik. Menjadikan saya manusia yang jahat dan antagonis. Saya jahat!

Mungkin, ini salah satu petanda penghidap penyakit mental. Allahu....

Kau pernah berfirman bahawa tidak masuk syurga seseorang itu selagi dia tidak diuji. Apakah aku juga insan terpilih, yang kini sedang diuji oleh-Mu? Agar di negeri abadi kelak aku bisa memasuki syurgamu yang indah? Sungguh aku takut Ya Allah... Bagaimana kiranya aku gagal dalam ujian ini? Ke manakah agaknya aku akan ditempatkan? Apakah syurga atau neraka?

Ya Allah. Aku benci segala sifat mazmumah yang ada dalam diriku ini. Sungguh aku tidak sanggup memikul dan membawanya ke mana saja pergiku. Jangan sampai aku membenci aku Ya Tuhan...

Hanya kerana aku masih punya Kamu maka aku masih lagi menulis di sini... Hanya kerana aku ada Kamu, aku masih lagi mampu berfikir dengan waras. Hanya kerana aku percaya bahawa Engkau sentiasa ada bersama mereka yang sabar dan beriman, aku akan terus bertahan. Sampai kelak ajalku sampai.



6 comments:

Faarihin said...

saya pernah alami situasi macam tu juga.. bila dah tak tahan nak kerja kat tempat lama tu.. memang dah tak de rasa semangat. dan makin hari banyak sangat buat masalah sampaikan buat orang jadi menyampah. Bila teringat balik, memang sedih.

AsNiza said...

sy fhm perasaan itu. samalah kita. bertahun gak bos bagi semangat, support sampai last2 bost yg nasihatkan sy supaya tukar bidang lain... tukar kerja..perasaan itu sgt susah nak dilupakan.

Rasailul Ashwaq said...

Semua ayat2 kak as itu sama seperti yang saya keluhkan. Semuanya sama. Cuma bezanya kak as mempunyai masalah kerja, saya di tahun akhir pengajian. Bukan masalah tidak minat, bukan masalah tidak suka, cuma ada sesuatu dalam hati yang saya sendiri tidak pasti, apa yang membuatkan saya rasa begini.

Kawan saya bertanya, "Apa yang kita mahu dalam kehidupan?" Dan saya menjadi lebih runsing memikirkan masa depan.

Kaki ingin melangkah daripada terbelenggu seperti ini, entahkan jiwaku sakit, entahkan akalku yang sakit... tapi langkahku tidak tergerak..

Cikgu Aini said...

sabar as. semua org pasti diberikan dugaan yang berbeza mengikut kemampuan masing-masing. kan ALLAH tak akan memberikan dugaan selagi hambaNYA masih mampu menghadapinya. Sayangngi diri kita sendiri dahulu ya.. jgn sesekali membenci walau ada ketikanya kita fed up. Hargai dan sayangi diri yang utama. :)

z said...

sabar kak As...ALLAH bersama org yg bersabar...
Kadangkala Allah sembunyikan matahari, Dia datangkan petir dan kilat. Kita menangis dan tertanya-tanya, kemana menghilangnya sinar. Rupa-rupanya Allah nak hadiahkan kita pelangi ^_^

AsNiza said...

salam wbt..

terima kasih semua, rasailul, puteri cahaya, z.. jzkk..

insyaAllah, semoga masih diberi kekuatan oleh-Nya utk terus melangkah.. insyaAllah...

sis rasailul.. akak pun selalu merintih, tertanya2.. apa sebenarnya suratan yang Allah telah tentukan utk akak.. tidak tahu apa yg menanti di hadapan..

tp, sungguh, walau byk mana masa yg kite ambil, kite tidak akan tahu, selagi kita tidak mencuba dan berusaha.. hanya Dia yang maha tahu.. dan, tak kira apapun yang bakal kita hadapi, percayalah, semuanya ada hikmah yg tersembunyi, biar pedih, biar perit, semuanya hanya dengan izin-Nya..

wallahua'alam.