+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Saturday, January 30, 2010

Suatu Penghinaan??? Demi Cintaku, Aku Pertahankan

Suatu Penghinaan.

Alhamdulillah, hampir 3 dekad lamanya saya hidup di atas muka bumi ciptaan Ilahi, akhirnya baru kini saya dikurniakan kesempatan untuk menikmati ‘indahnya’ perasaan itu. Perasaan bagaimana diri ini diperlakukan bagai terlalu hina dan jijik, keji dan kotor. Maha Suci Allah yang menciptakan segalanya. Aku bersyukur seadanya atas segala kurniaan.

Mungkin saya terlalu ‘exaggerate’. Tapi hakikatnya, pengalaman pertama ini bukanlah sesuatu yang mudah bagi saya untuk tafsirkannya. Emosi bercampur baur. Walaupun sudah banyak kali terjatuh dan bangun, banyak kali sesat dan meraba-raba mencari jalan keluar, sudah banyak kali menangis dan ketawa, namun ternyata, perasaan ini suatu perasaan yang ‘unik’, benar-benar lain dari yang lain. Dan hanya Allah jualah yang lebih mengetahui.

Saya bukanlah seorang yang suka mengungkit, apatah lagi berdendam. Syukur kerana Tuhan tidak mengurniakan rasa benci dan dendam itu ke dalam jiwa saya yang serba kekurangan ini. Waima pernah dikhianati setelah ‘berikrar’ dengan nama Allah, sedikit pun saya tidak membenci malahan hingga kini kami bersahabat baik. Pernah dikhianati ditikam dari belakang, namun beberapa hari kemudiannya saya menghubungi dia yang pernah menjadi sahabat baik demi menyatakan rasa rindu dan sayang. Saya tak benci, apatah lagi dendam.

Inikan pula sekadar dia yang terkilas kata tergigit lidah sendiri, sedikit pun tidak memberi apa-apa kesan kepada saya, Cuma malangnya, sikapnya yang berterusan seolah menjadikan saya sebagai musuhnya benar-benar mengecewakan saya. Hampa. Sedih.

Bayangkan bagaimana perasaan anda, jika anda dijadikan sebab untuk dia tidak menghadirkan diri dalam apa-apa majlis. Bagaimana perasaan anda, jika kerana anda hadir di situ, maka dia memberi seribu satu alas an untuk menguzurkan diri? Tidakkah ini suatu penghinaan? Jika sekali mungkin boleh diterima akal, tapi sekiranya berterusan bagaimana? Hinanya diri ini!

Saya bukan sesiapa untuk menghakimi apatah lagi menghukum. Namun sungguh, kesabaran saya juga ada batasnya.

Gara-gara Forum.

Saya lupa bagaimana ‘pertelingkahan’ ini terjadi, siapa pencetus, bagaimana prosesnya, namun saya tetap tidak lupa apa puncanya. Semuanya kerana forum yang saya kasihi dan cintai.

Pernah suatu ketika, ruangan forum dihujani thread-thread yang tidak bermanfaat, thread santai, topic cinta dan kapel hingga menenggelamkan thread-thread lain yang jauh bermanfaat. Bagi kami yang mengawasi forum, ini bukan fenomena luar biasa, malahan kami sering berhadapan dengannya dan sentiasa bermusyawarah tentang bagaimana berhadapan dengannya.

Bukan sedikit tenaga dan usaha yang telah kami curahkan demi mengekalkan ‘kestabilan’ forum. Namun dengan jumlah user yang ternyata jauh lebih ramai jika dibandingkan dengan bilangan moderator, kadang-kadang kami kalah, tidak menang tangan. Tambahan pula, ada masanya, user seolah berpakat beramai-ramai untuk memperlakukan forum bagai ‘rumah sendiri’.

Etika dan peraturan forum diabaikan, merek bertindak sesuka hati mereka. Hendak disalahkan seratus peratus pun tidak boleh kerana kami faham, pengunjung forum terdiri dari pelbagai lapisan umur, jadi selayaknya, bagi remaja yang baru mengenal dunia, maka begitulah cara pemikirannya. Cuma tahu berseronok.

Demi Tuhan, saya mewakili forum team tidak pernah merestui ‘huru-hara’ yang dicetuskan oleh user. Malahan kami sering bermesyuarat bagi membincangkan permasalahan yang timbul dan mencari jalan penyelesaian. Kami tidak berpeluk tubuh sekadar memerhatikan gerak geri user, kami tidak bersikap lepas tangan, sentiasa mencari penyelesaian dan bukan sedikit pengorbanan kami demi forum yang kami cintai.

Dan saya juga tahu, pengunjung setia forum, yang sayangkan forum, juga tidak merestui keadaan itu. Saya percaya, mereka menentang keras sikap pengunjung yang seolah-olah tidak menghormati ruangan forum. Saya yakin, mereka yang sayangkan forum tidak senang hati melihat gejala tidak sihat yang melanda forum waktu itu, apatah lagi dengan status sebagai krew iluvislam, pastinya perasaan tidak senang itu berganda-ganda. Terima kasih saya ucapkan. Saya benar-benar hargai.

Namun, amat mengecewakan tatkala diri dan rakan sepasukan sedang berusaha keras, sana sini terpapar, ungkapan dan kata-kata seolah-olah merendah-rendahkan forum, “forum entah apa-apa, forum tidak bermanfaat”. Di ruangan blog, status Facebook dan status YM, tertulis kata-kata tidak enak mengenai forum. Jujur demi Tuhan, saya yang siang dan malam bertungkus lumus menjaga forum benar-benar rasa terguris, terluka setelah berulang kali kata-kata serupa ditayangkan.

Bukan saya tidak mengerti, kata-katanya ditujukan kepada user yang baru mengenal dunia forum. Namun caranya, seolah-olah menghasut dan mengajak orang lain ikut sama perlekehkan forum dan moderator. Bukan saya tidak tahu tanda protesnya ditujukan kepada mereka yang tidak menghormati etika forum, tapi caranya seolah membayangkan bahawa kami barisan modetor tidak bertindak dan tidak melaksanakan amanah dengan baik.

Bukankah lebih elok, andai kritikan dan teguran itu disertakan dengan cara-cara untuk menanganinya, dengan bantuan dan sokongan, dengan kata-kata motivasi pembakar semangat kepada kami. Bukan kata-kata yang melumpuhkan. Kami juga manusia biasa yang punyai kelemahan, perlu tidur dan makan, perlu belajar dan bekerja. Bukan sepanjang masa menghadap forum, kami juga perlukan ruang.

Bukankah lebih baik, andai teguran sinis itu tidak di jaja sana sini, manfaatkan YM atau PM, kami bersedia menerima teguran seadanya. Kami juga tidak mampu berdiri sendiri tanpa sokongan sahabat krew dan semua pengunjung iluvislam. Dan dalam menegur juga, kita ada adab dan caranya. Apa salahnya belajar untuk beradab?

Cukuplah Allah Sebagai Penolong.

Entahlah, mungkin benar sayalah yang terlampau emosional. Sensitif. Tapi sungguh, cinta dan kasih saya terhadap forum bukan sedikit. Jika dulu Presiden iLuvislam pernah kata, hatinya sakit bilamana banyak orang mengutuk forum, nah, kini baru saya tahu bagaimana rasanya sakit itu.

Kepada dia yang berkenaan, teruskan dengan sikap yang kamu yakini betul itu. Kamu dan Allah lebih mengetahui. Aku hanya pertahankan cintaku, demi forum yang aku kasihi. Suatu penghinaan? Itu antara kau dan Penciptamu. Di dunia ini kita tiada apa apa hutang, tapi di akhirat sana, di hadapan Tuhanmu, kau jawablah.

5 comments:

Suhana Amiril said...

Assalamu'alaikum ya ukhti..

Takpe,
bersabarlah..
Di jalan perjuangan.. Pasti ada yang membantutkan dikalangan umat Islam itu sendiri.

Hasbunallahu wani'mal wakiil!

relax said...

saya nak menangis baca luahan hati akak ni, akak sabar yer saya pun pernah difitnah macam akak, dijaldikan alasan saya faham perasaan akak..harap akak bersabar.

bab yang kedua, selaku user ili saya mohom maaf sekiranya saya selalu buat mod2 di ili susah.. saya akan berhati-hati ketika menulis nanti..

apapun doa saya tetap bersama ili.

Muhammad Naim Abdullah said...

salam... bersbar.. tiada perjuangan yg manis .., ^^

Mujahadah Al-Knight said...

Salam Akak...

Tabahkan diri akak... I will always support you. Adah sendiri pun minta maaf sbb jarang2 msk forum huhu walaupun bukan mod... Taktau pula ramai user yang bersikap semakin dingin terhadap forum ini. Em...

Sepatutnya kita semua berhati2 tak kira kita di mana kan? Kita semuanya patut menjaga kata-kata kita... Tak patut kita buat orang lain marah mahupun cetuskan 'pertelingkahan'... Kita ummah Islam sepatutnya bersatu agar orang2 yg berniat jahat terhadap Islam tak mudah memalingkan kita kepada usaha agama kita...

Taktau la siapa tu yg bertelingkah dgn akak... Moga2 dia cepat sedar dgn kesilapannya. Islam tak ajar kita untuk membenci... Islam adalah agama kasih sayang...

Wallahua'lam bissowab...

-Adawiyah Juzailah-

Mujahadah Al-Knight said...

Asif ada typo di atas... Tak dapat nak delete...

Sepatutnya "memalingkan kita daripada usaha agama kita..."

Asif sekali lagi ya akak...

-Adawiyah Juzailah-