+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Monday, January 4, 2010

Mukhayyam Khoriji 2010

Bismillahirrahmanirrahim..


Apa khabar semuanya? Semoga sihat, selamat dan sentiasa semangat, di bawah naungan kasih dan rahmat Ilahi ^_^

Alhamdulillah, pada tarikh 1-3 Januari 2010, saya antara insan yang terpilih untuk menghadiri Mukhayyam Kharjii, anjuran UIA Gombak. Seramai lebih kurang 140 orang peserta muslimah kesemuanya yang terdiri dari pelbagai universiti, antaranya Uia Nilai, Uia Kuantan, Uniten Kuantan, Usim, HUKM, Politeknik dan sebagainya, Subhanallah. Masih ramai rupanya pemuda-pemudi di negara kita yang masih cakna dengan aktiviti sebegini, Alhamdulillah.

Mengimbas kembali bagaimana saya tergerak hati untuk mengikuti MK '10 adalah mulanya kerana ingin memenuhi permintaan sahabat, adik saya Khairunnisa seorang pelajar UIA. Tautan hati yang terbina setelah perkenalan kami melalui iLuvislam kian kukuh, adalah sukar bagi saya untuk menolaknya, tambahan pula, sempena cuti tahun baru saya tiada apa-apa rancangan.

Terima kasih Nisa kerana membuka peluang buat diri ini untuk menikmati suatu pengalaman baru yang sangat berharga, terima kasih.

Mulanya saya keberatan untuk pergi, memandangkan kem tersebut adalah anjuran pelajar IPTA dan pastinya, peserta yang mengikutinya juga adalah pelajar IPT yang mana, saya sudah lama meninggalkan bangku universiti.

Mungkin kerana kasih dan sayangnya kepada saya, kerana memikirkan manfaat dan pengisian yang bakal kami perolehi daripadanya, kerana ingin meluang lebih banyak masa bersama saya dan mungkin juga kerana dia mengenang kata-kata saya, "rindu zaman universiti kerana tidak memanfaatkannya dengan baik ketika bergelar pelajar dulu," maka dia bersungguh-sungguh mengajak saya, malahan sanggup menginfakkan sebahagian duitnya sebagai deposit. Mana mungkin saya tegar untuk mengecewakannya? Keikhlasannya saya terima baik. Terima kasih sekali lagi. ^_^

Ibrah yang saya perolehi dari kem yang berlansung selama lebih kurang 3 hari di Impiana Resort, Hulu Langat, Selangor bukan sedikit. Alhamdulillah. Walaupun agak canggung mulanya kerana terpaksa bergaul dengan pelajar, tapi Alhamdulillah, saya berjaya menyesuaikan diri. Suatu kelebihan gak kerana saya ni 'awet muda' jadi tak ramai yang sedar kewujudan peserta yang sudah bekerja di kalangan mereka ^_^

Jujurnya saya boleh saja menolak ajakan sahabat saya kerana beliau tidak pernah memaksa. Namun, saya sendiri yang telah membuat keputusan untuk mengikutinya, kerana dalam diri saya sendiri, ada suatu pencarian yang masih belum ketemui jawapannya. Masih mencari dan tercari-cari, mudah-mudahan di sini saya ketemui jawapannya.

Bersama Nami di bilik Nisa


Sebelum bertolak ke Kem.

Sekali saya telah membuat keputusan untuk menyertainya, tanpa paksaan sesiapa jadi saya telah membuat 'mind setting' untuk menerima tidak kira apa jua yang terjadi sepanjang perkemahan sepositif yang mungkin, mengambil ibrah dan iktibar serta manfaat dari setiap apa yang saya lalui di sana, agar masa yang diluang tidak terbuang sia-sia, agar saya tidak merasa menyesal, agar saya pulang dengan kepuasan. 'Kepuasan' mengikut definisi saya. InsyaAllah.


Kenapa saya tergerak untuk menyertainya?


Sebenarnya Mukhayyam ini adalah kali kedua saya ikuti sepanjang hidup saya. Yang pertama adalah lebih kurang 10 tahun yang lepas, ketika di tahun satu pengajian. Mengikuti kakak usrah saya pada waktu itu. Khillaf saya, pelupa, saya tiada kenangan lansung mengenai aktiviti ketika itu, yang saya ingat, kami 'berkampung' di sebuah 'tempat' yg letaknya di dalam ladang kelapa sawit, setiap hari mengikuti Qiammullai dan sepanjang di sana, kami makan di dalam talam dan tidak dibenarkan makan dengan menggunakan tangan sendiri, yakni mesti di suap oleh rakan. Lain-lain aktiviti lansung terus luput dari ingatan saya. Terpadam.

Apabila di ajak menyertai Mukhayyam, saya tiada gambaran mengenainya. Cuma pesan Nisa, yang penting ada pengisian, saya pegang kemas. Pengisian.

ALhamdulillah, keputusan yang saya ambil tidak sia-sia. Di sana, setiap detik dan waktu diisi dengan penuh bermanfaat. Kesemuanya ada 6 slot, pembentangan oleh 'presenter' yang mantap dan tajuk yang dipilih dan disusun dengan teliti, membawa kesinambungan dan kesan yang lebih mendalam.


Mukhayyam Khoriji 2010 (1431M)


Mukhayyam Khoriji 2010 (1431M) adalah merupakan salah satu saranan dalam pentarbiyahan bagi membentuk generasi rabbani yang akan mengembalikan kegemilangan Islam di atas muka bumi ini. Bermula dengan kemurnian ruhaniyah di dalam aspek akidah, ibadah yang benar, wawasan yang luas dan akhlak yang kukuh. Justeru merupakan satu wasilah tarbiyah jasadiyah yang dirangka untuk melatih fizikal, simulasi disiplin serta ketaatan kepada ahli dalam sistem tarbiyah.

Tema Mukhayyam Khoriji kali ini adalah "Pemuda peka iman, pemuda peka zaman."

Antara slot yang dibentangkan adalah "Peka Iman, Peka Zaman," di ikuti slot yang bertajuk "Islah Nafsak", "Amar Makruf Nahi Munkar," "Sahabat Nabi: Salman Al-Farisi" dan lain-lain. Selain itu, slot pembentangan LDK juga tidak ketinggalan. Kami dibahagikan kepada 15 kumpulan yang diberi nama sempena srikandi-srikandi Islam terdahulu seperti Ummu Sulaim, Khadijah, Aisyah, Sumayyah dan sebagainya.

Bagi memantapkan lagi fizikal kami, aktiviti lasak juga direncanakan. Selain kawad kaki, kami bermain permainan yang diberi nama "Obstacle" - Misi menyelamat warga Palestin yang terkepong oleh penjahat Zionis, mendaki tangga, memanjat tembok, meniarap dibawah jaring, mendaki bukit, meredah hutan, meniti batang kayu merentas sungai, menuruni lurah yang cerun, merangkak merentas terowong di dalam air dan sebagainya. Sungguh mencabar dan menyeronokkan.

Kerana keadaan tidak mengizinkan, bagi menggantikan aktiviti Jungle Tracking, kami diberi tugasan baru untuk menyelesaikan misi menyelamat warga Palestin. Setiap kumpulan diberi tugasan tertentu, untuk mencari baran-gbarang tersembunyi di 7 stesen yang telah ditetapkan dalam masa 20 minit. Misi kali ini lebih kepada bagaimana menguruskan tekanan dan bagaimana bekerja dalam berkumpulan dalam masa yang singkat untuk menyelesaikan misi.

Alhamdulillah, kami sekumpulan, yakni kumpulan Ummu Sulaim berjaya melalui setiap misi dengan jayanya tanpa sebarang kecederaan, kami benar-benar seronok dan banyak pengalaman manis dikutip. Selain itu, banyak manfaat yang kami perolehi, insyaAllah, boleh menjadi bekal untuk kami menghadapi hari-hari mendatang. InsyaAllah.

+Ummu Sulaim+

Dari kiri : Azmira, Amirah(Fasi), Asifah, Ada, Aisyah (Bertudung hitam di belakang), Yani, Hasniza, Naimah.

Di depan : Nisa (Bukan Ummu Sulaim, tapi menyibuk je keje, kekeke =p)

Tiada di dalam gambar : Aisyah dan Yana

Selain itu, aktiviti lain seperti Qiammullai setiap malam, solat fardu berjemaah, Solat sunat Dhuha, bacaan mathurat tadarus dan tadabbur quran, hafalan quran dan banyak lagi sentiasa mengisi ruang waktu sepanjang kami di sana. Alhamdulillah. Tidak ketinggalan, ada sesi Curhat dan tafakur alam, tidak kurang hebatnya. Subhanallah. Saya bersyukur kerana menjadi antara insan yang terpilih untuk mengikuti program kali ini.


Apa saya dapat?

Merenung ke dalam diri sendiri, ibarat lalang yang tidak teguh, meliuk lintuk setiap kali ditiup angin, sekejap ke timur, barat utara dan selatan, saya mahu menjadi muslimah yang kental jiwanya. Tapi bagaimana? Diri saya ibarat pantai yang sentiasa berubah setiap kali ombak datang menghempas. Sekejap begitu kemudian begini. Seterusnya kembali begitu kemudian sekali lagi jadi begini. Astgfirullah. Susahnya mahu istiqamah.

Dalam doa saya, tidak pernah saya lupa untuk mendoakan agar diri ini menjadi muslimah yang lebih baik, anak yang solehah yang mampu menarik tangan kedua ibu bapa saya serta keluarga saya ke syurga, tapi saya bagaimana?

Syukur kerana Tuhan masih sayangkan saya, setiap kali saya hanyut dan lalai, Dia menemukan saya dengan mereka yang sudi menarik tangan saya kembali naik ke atas, agar tidak terjatuh selamanya, memimpin tangan saya agar saya tidak sesat. Allah sayangkan saya. Saya tahu. Tapi sebanyak mana pula sayang saya kepada Allah? Sedikit. Bahkan sering berkurang. Astagfirullah.

Kini saya sekali lagi meraba-raba mencari diri. Mencari jalan pulang. Menuju Tuhannya. Merindui Penciptanya. Menagih kasih dan sayang dari-Nya. Memohon perlindungan dan kasih sayang dari hanya dari-Nya. Saya ingin dekat dengan-Nya. Tapi bagaimana? Diri ini tidak sekuat mana! Mudah goyah, lemah.

Besar harapan saya, kali ini semoga hijrah saya ini, ke arah yang lebih baik, dan saya kekal begini, saya mahu istiqamah. Sungguh, saya sudah penat 'hijrah'. Kepada yang mengenali diri ini sejak dari dulu, u know how i am. Doakan aku, agar aku dicintai Allah, doakan aku, agar aku bahagia dengan caraku ini. Doakan aku, agar aku menjadi muslimah yang sejati.

InsyaAllah, semoga pengalaman selama saya menyertai program itu dapat saya manfaatkan sepanjang hayat saya, biar hingga ke syurga, insyaAllah.

Misi utama saya buat masa ini, "Islah Nafsak". InsyaAllah.

Amin ya rabbal alamin.



3 comments:

Anonymous said...

tak ajak...
majuk =(

AsNiza said...

uikks..

akak ajak daa.. tp ina nk start sem baru..huhu..buat2 lupa plak =p

LadyBird said...

Maaf, akak ape maksud "Islah Nafsak"?