+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Wednesday, January 13, 2010

Mimpi Buat iLuvislam

Bismillahirrahmanirrahim..

Ada apa dengan angan-angan? Hinggakan orang Melayu dulu kala mencipta suatu pepatah, "Angan-angan Mat Jenin". Kononnya, kita dilarang berangan-angan. Sia-sia. Apa yang salah dengan angan-angan? Sedangkan bangsa lain 'mengagungkan' mimpi dalam pepatah mereka, contohnya, "Begin with the end in mind" dan "Put your dreams as high as a sky, if u can't reach the sky, at least u get the cloud". Nah! Tak salah pun bermimpi, kan? Mereka boleh, kenapa kita tidak? Asalkan tidak bercanggah dengan perintah Allah, teruskanlah bermimpi.

Sabtu lepas, saya meluang masa bertiga-tigaan dengan emak dan kakak saya. Masa di mana saya 'disekolahkan' oleh kakak saya yang usianya tiga tahun lebih tua dari saya. Saya akui, dari mata kasar, dari sudut harta kekayaan, keluarga dan anak-anak, dia mengatasi saya jauh lebih baik dari saya. Saya tiada apa-apa, kerja sebagai kuli, tiada rumah tiada anak. Tiada apa-apa.

Banyak perkara yang dia bangkitkan, selain daripada masa depan saya, dia ada menegur tentang masa lapang saya yang tidak di isi untuk mantapkan diri untuk masa depan, sebaliknya saya lebih gemar meluangkannya untuk iLuvislam. Dia tahu setiap apa yang saya lakukan, dia tahu betapa cintanya saya terhadap iLuvislam. Dia tahu, bukan sedikit pengorbanan saya untuk iLuvislam. Katanya, usia seperti saya sekarang sepatutnya dimanfaatkan untuk bekerja keras mencari lebih banyak wang, bekalan hari tua.

Dari sudut mata beliau, saya bagaikan lebih banyak 'memberi' kepada iLuvislam, tapi hakikatnya, dari kaca mata saya, saya banyak 'menerima' daripada iLuvislam. Saya mengerti, cara melihat kami jauh berbeza, jadi setiap apa yang dia katakan, saya angguk dan senyum sahaja, sekadar mengiyakan dan sekali sekala menjawab.

Saya diamkan diri, mulut terkunci namun kepala berat memikirkan segala macam persoalan. Ada benarnya dan ada salahnya juga kata-kata beliau. Katakan apa sahaja kak. Saya memang kalah dalam bab 'bertikam lidah' dan selebihnya, saya tahu dia risaukan saya, mengambil berat terhadap diri saya dan saya juga yakin, dia sayangkan saya, satu-satunya adik perempuannya di dunia ini. Terima kasih kak, saya hargai, tapi saya juga ada 'mimpi' saya sendiri.

Kenapa Cinta?

Bulan Mei kelak, genap 2 tahun saya jatuh cinta dengan iluvislam, cinta pandang pertama, jatuh cinta sejak kali pertama mengenalinya. Saya juga hairan, walaupun masa terus berlalu, perasaan kasih dan sayang saya terhadap iluvislam tidak pernah surut, tidak pernah kurang, masih sama seperti dulu, malahan lebih kuat. Ah! Mungkin kerana misteri di dalamnya yang masih belum terungkai atau kenapa? Hanya Allah sahaja yang tahu.

Seiring dengan peredaran masa, iLuvislam juga kian mantap dari semasa ke semasa. Jika dulu saya sekadar melihatnya sebagai sebuah laman web Islamik, sebagai tempat berkongsi ilmu, tapi kini, iluvislam kian melangkah jauh. Dari hari ke hari, ada sahaja pembaikan, pemantapan dan penambahan dilakukan. Subhanallah.

Sehingga ke hari ini, iLuvislam mempunyai lebih daripada 80 ribu pengguna berdaftar, memiliki sub-sub laman web yang mempunyai tarikan tersendiri, dikunjungi oleh pengguna dari pelbagai lapisan masyarakat dan dari serata dunia. Subhanallah. Suatu pencapaian yang luar biasa.

Mungkin, ketika hari pertama mencipta laman web ini, para co-founder iluvislam sendiri tidak pernah membayangkan kejayaan yang sebegini! Dan mungkin juga, ia sekadar mimpi bagi mereka yang kini menjadi realiti. Subhanallah. Hebatnya ketentuan Allah.

Kadang-kadang, saya hairan dengan sikap sesetengah dari mereka yang sering memburuk-burukkan iLuvislam, malahan pernah ada user yang mengugut untuk 'hack' iLuvislam. Ada juga yang menyalahgunakan iLuvislam untuk iklan dan mencari kenalan, tak ketinggalan ada juga yang menggunakan ruangan forum untuk bertanyakan soalan-soalan lucah, untuk memuaskan nafsu barangkali. Pelik. Banyak manfaat yang sepatutnya dikutip, tapi kenapa mereka mensia-siakan ruang yang ada, kenapa mereka tidak bersyukur?

Mungkin.. bukan mata di kepala yang buta, tapi mata di dalam hati. Apapun, tidak pernah saya lupa untuk mendoakan agar mereka dibukakan pintu hati, agar dapat menerima iLuvislam seadanya, insyaAllah.

Mimpi untuk iLuvislam.

Jika Facebook berkembang pesat dalam beberapa tahun, begitu juga google, kenapa tidak iLuvislam? Jika Facebook, dan Google mampu mendapatkan pulangan wang yang lumayan, kenapa tidak iLuvislam? Jika Facebook, You Tube dan Google memiliki pekerjanya sendiri, kenapa tidak iLuvislam? Tiada yang mustahil, dengan izin Allah, kita juga mampu.

Benar, wang bukanlah segala-galanya, tapi segala-galanya memerlukan wang. Untuk menyebarkan syiar Islam, membantu golongan fakir miskin, memantapkan ilmu pengetahuan orang Islam, membangunkan ummah, mewujudkan suatu legasi yang dikagumi, mengembalikan kegemilangan Islam, kita juga perlukan wang.

Saya bermimpi, iLuvislam mampu memberikan peluang kerja kepada ratusan orang Islam, suatu masa nanti. Dan saya tahu, tiada salahnya saya bermimpi. Dan saya optimis, mimpi ini mampu menjadi kenyataan. Dengan izin Allah.

Dan jika selama ini, kehidupan seharian kita berkisar dengan segala ciptaan dan hasil kerja orang bukan Islam, dengan acuan mereka sendiri, kenapa tidak, melalui iLuvislam, kita mencipta suatu acuan baru, acuan kita sendiri, sebagai orang Islam dan seterusnya ia diwarisi hingga ke generasi akan datang, tidakkah kita berbangga? Tidakkah itu lebih baik? Buang tepi My Space yang galakkan pergaulan bebas, tolak tepi Facebook yang melalaikan, sampahkan segala web hiburan yang merosakkan iman! Pantang klik, ada saja gambar-gambar lucah, itukah yang kita mahu anak kita warisi kelak?

Saya optimis, iluvislam mampu pergi lebih jauh. Dan saya juga pasti, kakak saya atau sesiapa sahaja yang pada masa ini tidak dapat melihat iLuvislam sebagai suatu wadah yang bermanfaat, insyaAllah, suatu hari kelak, anak-anak mereka yang akan berterima kasih kepada iLuvislam.

Saya mungkin tiada apa-apa kepakaran, sumbangan saya teramat sedikit untuk iluvislam, tetapi, sokongan saya tidak berbelah bagi untuk iluvislam dan doa saya juga sentiasa mengiringi iluvislam. Ayuh, sahabat sekalian, bermimpilah bersama saya, berikan sokongan kepada iluvislam dan berdoalah.

Semoga Allah menjadikan impian kita ini suatu kenyataan. Amin ya rabb..

3 comments:

miminapis said...

assalamualaikum kak,

yup! tak salah bermimpi. asalkan ada usaha utk mencapainya, kan.

tiba2 saya teringat slide yang ditayangkan oleh co-founder masa KPO ari tu.

dreams - _____ - reality

apa yang ditengah2?
yeah! action! ;)

haykalis hamka said...

assalammualaikum...

sungguh pandai akak menterjemah mimpi menjadi barisan kata-kata yang memudahkan bicara..

insyaAllah,,, apa yang diimpi bakal menjadi realiti berbekal usaha dan keyakinan yang jitu...

aimi
editor iLi

amirahsaryati said...

Salam 'alaik kak,

indah sekali mimpi akak! harap, kita juga dapat berkongsi mimpi yang sama.. <----mahu menyulam mimpi yang indah2 juga~

inshaAllah, kelihatannya kini, hampir menjadi realiti!
Optimis! :)


Love,
mira