+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Friday, July 22, 2011

Baik dan Buruk


 

Aku berlindung dengan nama Allah dari syaitan yang direjam.

Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang.
  
"Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang berlaku zalim (kepada diri mereka sendiri); dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendakiNya." [Surah Ibrahim : Ayat 27]

"Maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketakwaannya. Sungguh beruntung orang yang menyucikannya (jiwa itu). Dan sungguh rugi orang yang mengotorinya." [Surah Asy-Syams  : Ayat 8-10]

Alhamdulillah kerana hari ini saya diberi kesempatan oleh-Nya untuk mencoret sepatah dua kata. Benarlah hanya Dia Yang Maha Berkuasa, yang memberikan ilham dan inspirasi kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Bukan selalu ilham itu hadir dan hari ini saya bersyukur kerana dapat berkongsi sedikit sebanyak.  InsyaAllah. Moga-moga bermanfaat hendaknya.

Saya juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk memohon ampun  dan maaf kepada sahabat pengunjung teratak buruk saya ini, kerana dewasa ini saya sangat jarang memberi sebarang perkongsian. Jujur biarlah saya mengaku - saya buntu sebenarnya. Seolah-olah tiada idea untuk menulis, walau cuma beberapa perenggan. Hasrat hati membuak-buak untuk menulis entri blog tapi bilamana saya menatap kotak putih untuk menaip entri blog - jari jemari saya menjadi kaku - otak saya pula menjadi beku. Allah. Ilham itu tiada.... Jika kebiasaannya saya menulis selalunya dari hati atau minda terus ke keyboard - dan bila hati atau minda itu beku - maka itulah yang terjadi. Sungguh saya menginsafi kelemahan diri ini.

InsyaAllah, doakan ya, agar Allah kembali suburkan jiwa saya ini, segarkan minda saya ini, agar saya dapat berkongsi lebih banyak input-input positif. InsyaAllah...

Baiklah, hari ini saya ingin berkongsi tentang perbezaan amalan dan kalimah yang baik dengan amalan dan kalimah yang buruk. Yang telah berjaya menggerakkan hati saya ini untuk berceloteh di sini.

Allah berfirman dalam Surah Ibrahim dalam ayat yang ke-18;

"Bandingan (segala kebaikan amal dan usaha) orang-orang yang kufur ingkar terhadap Tuhannya ialah seperti abu yang diterbangkan angin pada hari ribut yang kencang; mereka tidak memperoleh sesuatu faedah pun dari apa yang mereka telah usahakan itu. Sia-sianya amalan itu ialah kesan kesesatan yang jauh dari dasar kebenaran. " 

Demikianlah Allah telah membuat perumpamaan terhadap orang-orang yang kufur dan ingkar terhadap Allah swt. Segalanya hanyalah sia-sia dan tidak mendatangkan sebarang faedah, serta membuatkan seseorang itu makin jauh dengan Allah swt. Naauzubillah.

Bagaimana pula dengan kalimah, perkataan-perkataan yang baik dan yang buruk?

Allah berfirman lagi, dalam surah Ibrahim ayat yang ke-24 hingga ayat yang ke-26;

"Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. "

"Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran). "

"Dan bandingan Kalimah yang jahat dan buruk samalah seperti sebatang pohon yang tidak berguna yang mudah tercabut akar-akarnya dari muka bumi; tidak ada tapak baginya untuk tetap hidup."

Maha Suci Allah. Begitulah perumpamaan yang telah Allah berikan agar kita dapat mengutip pengajaran darinya. Dan tanyalah diri kita sendiri, apakah kita ingin menjadi pohon yang baik atau pohon yang tidak berguna? Apakah kita ingin menghasilkan buah yang manis atau sekadar mahu menanti masa untuk tumbang? 

Ayuh muhasabah diri kita, bagaimana ucapan kita sehari-harian, bagaimana kalimah yang meluncur dari bibir kita. Mungkin selama ini kita alpa dan meremehkan soal ini. Mungkin selama ini kita sudah sebati dengan perkataan-perkataan yang buruk. Moga-moga selepas ini, kita sama-sama usaha untuk memperbaiki diri sendiri, tutur kata dan perbuatan. Cara pemikiran dan pegangan hidup. InsyaAllah.

Hidup hanya sementara. Akhirat adalah kekal abadi. Setiap yang bernyawa pasti akan mati dan tiada siapapun yang dapat membawa bersama harta kekayaannya ke alam selepas kematian. Yang kita bawa adalah amalan kita, samada baik atau buruk. Dan amalan inilah yang akan disukat, dikira, dihitung dan ditimbang kelak - seterusnya menentukan kita samada ke syurga atau ke neraka.

Jika tanya kepada sesiapa pun, siapa yang ingin ke syurga? Tentulah semua orang yang waras akal fikirannya akan menjawab bahawa mereka ingin ke syurga. Biar penjenayah sekalipun, tentulah ingin ke syurga. Tapi apakah amalan kita melayakkan kita untuk ke syurga? Apakah kita semua bersungguh-sungguh dalam mengerjakan amal ibadat? Apakah kita semua sentiasa ikhlas melakukan amal ibadat hanya kerana Allah semata-mata? Apakah sikap dan keperibadian kita ini menggambarkan kita salah seorang ahli syurga?

Kita tahu jawapannya - dan tentunya Allah paling mengetahui.

Kita manusia biasa tidak lepas dari melakukan kesilapan. Syukurlah seandainya Allah membuka hati kita, memberi kita hidayah untuk menginsafi dan menyesali setiap kesalahan yang telah kita lakukan. Syukurlah kerana Allah memberikan kita peluang untuk bertaubat dan memohon keampunan dari-Nya. Syukurlah kerana peluang untuk memperbetulkan kesilapan masih ada - selagi nyawa masih di jasad.

Yang lalu biarkanlah terus berlalu. Tutup buku silam yang hitam dan bukalah buku baru yang lebih bercahaya warnanya. Padamkan segala dosa yang telah tertulis dengan permohonan ampun dan taubat yang bersungguh-sungguh. Seterusnya, catitkanlah banyak-banyak perbuatan amal dan kebajikan. Umpamanya, gelas yang penuh dengan dakwat yang hitam, bila dialirkan susu yang berwarna putih secara berterusan, insyaAllah, lama kelamaan gelas itu akan bertukar warna menjadi putih.

Jangan mudah berpuas hati dengan apa yang telah kita lakukan. Jangan cepat berasa puas dengan amalan yang telah kita lakukan. Janganlah terlalu cepat merasa selesa - kononnya Allah telah mengampunkan dosa - kononnya diri telah layak ke syurga.

Ingat Nabi junjungan kita, Muhammad SAW, sentiasa bertahajud, melakukan solat sunat sehingga bengkak kakinya sedangkan baginda tahu bahawa baginda telah diberi jaminan syurga oleh Allah swt. Apakah kita tidak malu untuk berasa lebih mulia darinya?

Dan jangan pula mudah berputus asa. Jangan cepat mengaku kalah dengan dosa dan kesilapan masa lalu. Janganlah cepat berasa lelah - kononnya dosa terlalu besar dan tidak mungkin diampunkan Allah - kononnya diri ini rela dibalas dengan api neraka. JANGAN!

Tahukah kita bagaimana keadaan api neraka???

Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan RasulNya, dan melampaui batas-batas SyariatNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekallah dia di dalamnya, dan baginya azab seksa yang amat menghina. (An-Nisaa' 4:14)
Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (An-Nisaa' 4:56)

Disediakan untuk mereka hamparan-hamparan dari api neraka, dan di atas mereka lapisan-lapisan penutup (dari api neraka) dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang zalim (disebabkan keingkarannya). (Al-A'raaf 7:41)

Dan sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah maka dia lah yang sebenar-benarnya berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkanNya maka engkau tidak sekali-kali akan mendapati bagi mereka, penolong-penolong yang lain daripadaNya. Dan Kami akan himpunkan mereka pada hari kiamat (dengan menyeret mereka masing-masing) atas mukanya, dalam keadaan buta, bisu dan pekak; tempat kediaman mereka: neraka Jahannam; tiap-tiap kali malap julangan apinya, Kami tambahi mereka dengan api yang menjulang-julang. (Al-Israa' 17:97)

Naauzubillah.. Itu cuma sedikit gambaran tentang api neraka. Boleh rujuk kepada Al-Quran untuk mendapat gambaran yang lebih jelas mengenainya.

Moga kita dilindungi dari azab api neraka.  Moga kedua ibu bapa kita dan zuriat kita serta sahabat muslimin dan muslimat dijauhi dari azab api neraka.

Percayalah. Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Pengasihani. Pintu taubat sentiasa terbuka untuk hamba-hambaNya. Jangan mudah merasa letih untuk memohon keampunan dariNya. Selalulah berdoa dan memohon keampunan dariNya dan perbanyakkanlah amalan kebaikan. Dia Maha Mengasihi..

"Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun)." (Al-An'aam 6:160

Jom! Sama-samalah kita menjauhi perbuatan yang buruk dan sia-sia. Perbanyakkan amal kebaikan. Moga mendapat sebaik-baik ganjaran dari Allah swt.
"Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. " (Al-Baqarah 2:148)

No comments: