+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Wednesday, July 13, 2011

Andrea Hirata



Sudah bertahun lamanya saya mendengar dan membaca coretan sahabat dan teman taulan tentang kehebatan sentuhan penulis dari seberang - Andrea Hirata. Juga tentu sekali, tentang karya ajaib beliau - tetralogi Laskar Pelangi. Ramai benar yang memuji hingga akhirnya novel itu dipersembahkan di layar perak dan turut diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa lain - disebarkan ke seantero dunia. Superb!

Saya ini agak ketinggalan.

Boleh diibaratkan - penumpang keretapi yang duduk digerabak paling belakang. Lambat sungguh saya terdedah dengan penulis yang seorang ini. Allah ada rahsianya, kan? =)

Pada tarikh 1 Julai 2011. Sebagai hadiah untuk diri sendiri sempena ulangtahun kelahiran saya sendiri, saya ke Pesta Buku Selangor di SACC, Shah Alam. Tak banyak gerai di sana - tapi sudah cukup memabukkan bagi pencinta buku seperti saya.

Meninjau seorang diri hampir dua jam lamanya, akhirnya saya pulang bersama Laskar Pelangi, Padang Bulan & Cinta di Dalam Gelas - karya Andrea Hirata. Senyumlah karya Syed Alwi Al Atas dan Kisah Para Nabi - buku terjemahan karya asal Qishashul Anbiyaa' Ibratun li-Ulil Albaab - oleh Abdul Fidaa' Ismail Bin Katsir Al-Quraisy (Ibnu Katsir) dan tiga majalah yang dibeli di gerai (PAS barangkali?) yakni Tarbawi, memperingati Asy Syahid Syeikh Ahmad Yassin dan memperingati Imam Asy Syahid Hasan Al Banna (maaf saya tidak tahu apa nama majalah2 ini cuma itulah, tulisan yang paling besar pada muka surat hadapannya).

Baiklah. Kembali kita ke novel dwilogi.

Padang Bulan merupakan karya pertama Andrea Hirata yang saya baca. Kiranya, saat membaca 'aku' di dalam novel tersebut - saya masih kebingungan - siapa aku dalam cerita ini??? Ini akibatnya kerana terus 'melompat' menjangkaui tetralogi Laskar Pelangi. Namun itu tidaklah mencacatkan pembacaan saya. Hingga ke beberapa bab, akhirnya saya jelas siapa aku yang dimaksudkan - yakni Ikal.

Pada saya. Novel Padang Bulan cuma biasa-biasa sahaja. Tiada apa yang luar biasa kerana kisahnya adalah mengenai seorang lelaki yang mabuk cinta - yang tidak dapat menerima kenyataan bahawa cinta pertamanya telah hilang darinya. Lalu berusaha apa sahaja demi menyelamatkan cintanya itu. Yang agak luar biasa adalah kisah hidup Enong - yang sangat mencintai bahasa Inggeris - bercita-cita ingin menjadi guru bahasa Inggeris. 

Waktu itu Enong baru 14 tahun.  Ayahnya yang menyara kehidupan mereka sekeluarga telah ditemui mati dihempap tanah ketika melombong. Dan segalanya berubah sekelip mata. Sebagai anak sulung, Enong terpaksa berhenti sekolah dan mencari kerja demi memberi sesuap nasi kepada keluarganya.

Bukan mudah menjadi orang susah.

Enong yang belum dewasa dan kurus fizikalnya terpaksa meninggalkan rumah - ke Tanjong Pandan seorang diri memperjudikan nasib. Di sana, dia menghadapi kesukaran demi kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan. Dihalau berkali-kali namun tidak kenal erti mengalah. Dia mencuba dan terus mencuba namun akhirnya sedar - tiada apa yang boleh dia lakukan di sana. Destinasi terakhir - dia tiba disebuah kedai dan bertanyakan peluang kerja. Namun, tuan kedai tersebut menyatakan bahawa tiada kerja kosong di situ kerana perniagaannya sudah tidak maju lagi. Tuan kedai yang baik hati itu lalu menghulurkan sedikit wang dan menyarankan agar Enong menggunakan wang itu untuk kembali ke kampung.

Enong akur dengan takdirnya. Kemudian pulang kembali ke kampung halamannya.

Demi tidak ingin melihat adik-adik dan keluarganya mati kelaparan - pelbagai usaha Enong lakukan dan akhirnya - gadis kecil itu menemui perkerjaan yang sesuai untuknya - pelombong timah.

Dan si jejaka yang kemaruk cinta itu juga - akhirnya mendapatkan cintanya semula.

Selesai membaca Padang Bulan - saya kemudiannya membaca buku Laskar Pelangi. Ternyata, buku yang satu ini ada magisnya yang tersendiri. Lebih 9 jam saya manfaatkan untuk menghabiskan buku kecil itu. Tidak pasti samada saya makin lembab membaca - atau terlalu kerap berhenti bagi mencerna dan mengulang ayat-ayat yang dirasakan indah dan memikat hati, memotivasikan diri dan menyuntik semangat ke dalam diri - atau terlalu kerap berhenti dan ketawa kemudian mengulang ayat yang sama lagi kemudian ketawa lagi - atau terlalu kerap berhenti dan menyapu airmata kemudian membaca ayat yang sama lagi - kemudian cuba meresapkan ayat-ayat itu ke dalam jiwa. 

Entah yang mana satu penyebabnya yang paling utama, namun itulah yang saya lakukan sepanjang membaca buku Laskar Pelangi.

Segalanya indah. 

Selesai membaca Laskar Pelangi - saya menyambung Cinta di Dalam Gelas.

Kira-kira, kisah ini cuma kisah biasa. Tentang catur dan secawan kopi. Namun hebatnya Andrea Hirata - berkisarkan tema ini - beliau dapat mengembangkannya menjadi suatu yang sungguh membina. Tentang semangat juang seorang wanita yang tidak pernah kenal erti mengalah selagi tidak terkalahkan. Tentang seorang wanita yang telah melalui pelbagai kesukaran hidup, dirundung sedih berpanjangan - diuji tidak henti-henti sejak kecilnya - namun sikapnya yang sentiasa positif melayakkan dia - Maryamah - digelar guru kesedihan.

Hingga terdetik. Jika saya pernah merasakan susah - Maryamah jauh lebih susah. Dan apalah sangat kesusahan saya ini jika ingin dibandingkan dengan kesusahan Maryamah?

Entah, saya tidak pasti watak-watak di dalam buku cerita ini benar-benar wujud ataupun tidak, tapi pada saya - ia hidup di dalam jiwa saya ini. Dan mampu membuka mata saya. Subhanallah, hebat sungguh karya Andrea Hirata. Bila-bila masa sahaja boleh ketawa dan menangis. Dan kembali merenung diri. Jangan sekali-kali kita mengalah pada kesukaran hidup!

Sekian dulu perkongsian saya buat kali ini. Maaf kerana terpaksa meminta diri. Jika ingin tahu apa yang saya maksudkan - jangan berlengah lagi. Jom dapatkan buku-buku karya Andrea Hirata di pasaran - sekarang juga! Moga mendapat manfaat darinya, insyaAllah..

Wassalam.


2 comments:

anielurve said...

i have edensor by her..bought by my mummy....weeee

artisticklytouch said...

saya ada semua buku2nya. kena baca mulai dengan laskar pelangi, sang pemimpi dan seterusnya lalu kamu akan rasa seperti sudah kenal seluruh belitung.