+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Saturday, March 12, 2011

Titik Hitam

Saya percaya, setiap dari kita masing-masing punyai 'titik hitam'. Di mana seandainya boleh kita undurkan masa, kita tidak ingin ia terjadi dalam hidup kita. Andai memori kita boleh dipadamkan, kita ingin melupakannya terus dari kehidupan kita. 


Mungkin, kita pernah gagal. Gagal dalam pelajaran mahupun pekerjaan. Gagal dalam percintaan, gagal dalam rumahtangga. Gagal dalam mengejar impian dan cita-cita. Gagal menjadi seorang ibu atau seorang ayah yang baik. Gagal menjadi seorang pemimpin dalam melaksanakan amanah.

Mungkin juga, kita pernah melakukan dosa. Dosa yang sangat besar mahupun dosa yang berulang-ulang. Pernah berzina atau melakukan zina. Mencuri atau mengambil hak orang tanpa izin. Menganiaya orang lain atau melukai hati mereka. Menipu atau mengkhianat.

Dan mungkin juga, kita pernah dianiaya. Dirogol atau dicabul. Dikhianati atau dibohongi. Ditindas atau disisihkan. Difitnah atau diumpat. Disakiti atau dilukai. Diragut atau dirompak. Dimalukan atau dihina. Ditampar atau dipukul. 

Apa pula 'titik hitam' anda?

Setiap manusia pasti mempunyai ujian masing-masing. Dugaan yang menimpa kita, berbeza-beza, setimpal dengan kemampuan kita. Sebagaimana firman Allah, Dia tidak akan memberati kita dengan apa yang kita tidak sanggup memikulnya.

Semua orang juga ada masalah. Besar atau kecil sesuatu masalah itu bergantung kepada bagaimana penerimaan kita terhadap permasalahan tersebut. Jika kita bersifat lemah dan memandangnya sebagai suatu yang sangat berat, maka beratlah ia. Namun jika kita sentiasa optimis dan positif, insyaAllah, yang berat mampu menjadi ringan. Dengan izin ALlah.

Ketahuilah bahawa masa tidak mungkin boleh diundur. Sejarah juga tak mungkin boleh dipadam. Yang berlaku telah berlaku dan pasti akan berlalu jua dan semoga kita dapat mengambil iktibar atas segala kejadian. Menginsafi diri dan memperbaiki diri. 

Lupakan kisah silam andai ia bisa melukakan. Mengguris hati dan menyakiti kita. Teruskan hidup dengan semangat dan azam baru, untuk menjadi orang yang lebih baik dari sebelumnya.

Allah berfirman dalam Surah Ali-Imran, ayat yang ke-139:

"Dan janganlah kamu merasa lemah, dan jangan pula bersedih hati, kerana kamu paling tinggi darjatnya, jika kamu orang yang beriman."

Mulut manusia mungkin sukar untuk ditutup. Tapi kita ada telinga yang boleh kita tutup. Sikap orang memang sukar untuk kita ubah, tapi kita juga ada sikap yang boleh diubah. Membuat orang memahami kita juga mungkin sulit, tapi insyaAllah, membuat kita memahami jauh lebih mudah.. 

Biar dibenci manusia asalkan tidak dibenci Allah. Kerana dari cinta Allah, akan lahir jua cinta manusia.

Jika pernah melakukan dosa, maka bertaubatlah, mohon keampunan dari-Nya. Perbaiki diri dan tingkatkan amal ibadat. Moga-moga titik hitam itu dapat dibersihkan kembali dengan amal ibadat tersebut. Moga-moga dengan keampunan Allah, kita mencapai bahagia yang hakiki.

Jika pernah gagal. Bangkitlah. Ambil iktibar dan berusaha lagi dengan lebih gigih. Dalam berusaha, berikhtiar, berdoa dan tawakal. Harus ada redha. Terima segala apa yang terjadi, baik atau buruk, berjaya atau gagal dengan dada yang lapang.

Sesungguhnya orang yang redha adalah orang yang terpilih, dan orang yang istimewa pada pandangan Allah. Adakah kita orang yang istimewa? Jom muhasabah diri. Moga Allah tunjuki jalan yang lurus. 

Dan titik hitam itu akan hilang jua akhirnya.

Wallahua'alam.


2 comments:

Muhammad Naim Abdullah said...

jom usir titik hitam itu pergi jauh daripada kehidupan ini

selama titik hitam berdamping dengan diri selagi itu kita jauh kian jauh dengan Quran dan Sunnah

Cahaya Pemelihara said...

Artikel yg bermanfaat,Alhamdulillah...
:)
Teruskan menulis artikel yg sebegini,ya kak Asniza.