Tandas
Alhamdulillah. Jumaat yang lepas, saya diberi kesempatan untuk muhasabah diri saya sendiri. Tuhan telah berikan saya keizinan untuk 'bersembang kosong' dengan salah seorang sahabat. Antara butir bicara kami adalah seperti berikut.
"As, pagi tadi jiran akak meninggal." Beliau memulakan bicara.
"Owh, Innalillahiwainnailaihirajiun.." Saya kemudiannya menyambut kata-katanya. Dari-Nya kita datang, kepada Dia jua kita dikembalikan. Sungguhlah, ajal maut datang tidak terduga, bila sampai masanya, tidak terlewat atau tercepat walau sesaat, kita semua juga pasti akan mati.
"Untung kan dia, meninggal hari Jumaat." Sahabat itu menyambung, raut wajahnya yang muram kelihatan agak ceria. Dia tersenyum, agak tawar. Namun saya tetap jua membalas senyumannya itu.
"Ya, penghulu segala hari." Sahut saya pula. Mengakui kebenaran kata-katanya jua.
"Kalau meninggal hari Jumaat, dapat masuk syurga kan As?" Sahabat saya menyambung lagi, kini, wajahnya menjadi kian ceria. Senyumannya juga bertambah manis.
Sebenarnya saya tersentak. Terdiam seketika. Otak saya laju berfikir. Kemudian menjawab.
"Tak semestinya kak, amalan-amalan kita yang lain pun dikira juga nanti.." Namun. Hanya itu yang sempat saya ucapkan, terlafaz dari bibir saya. Sedangkan di dalam kepala berlegar-legar pelbagai macam tanda tanya.
Tergantung tanpa jawapan.
Perbualan kami terhenti setakat itu. Masing-masing kembali menyambung tugasan. Dia berhenti bertanya, dan saya pula tidak terdorong untuk menjelaskan lebih lanjut. Sungguhpun perbualan itu terlalu singkat, namun banyak ibrah yang dapat saya kutip daripada dialog ini.
Membuatkan saya berhenti sejenak, berfikir dan muhasabah diri saya sendiri.
Yang pertama. Ajal maut itu di tangan Tuhan. Mungkin esok atau lusa. Atau mungkin selepas saat ini atau minit ini, giliran saya pula yang dijemput menghadap Ilahi. Hanya Dia yang Maha Mengetahui.
Yang kedua. Bukan senang ingin senang. Bukan susah ingin susah.
Bukan mudah ingin ke syurga, bukan susah ingin ke neraka. Melakukan suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya jauh lebih susah daripada meninggalkan suruhan-Nya dan melakukan larangan-Nya.
Banyak orang ingin ke syurga tapi tak banyak orang yang tahu bagaimana caranya untuk ke syurga. Dan sangat sedikit orang yang bersungguh-sungguh berusaha mengumpul secukup bekalan untuk melayakkan diri mereka ke syurga. Saya kategori yang mana?
Syuga telah digambarkan di dalam Al-Quran, begitu indah. Ada sungai yang mengalir, mata air yang jernih, ada pelaminan, taman-taman, ada makanan dan minuman serta buah-buahan yang lazat, bidadar-bidadari syurga yang jelita. Penghuni syurga pula disibukkan dengan kesenangan, memakai pakaian yang serba indah, memperolehi segala apa yang dia inginkan, kekal muda, kacak dan jelita.
Dan Allah itu Maha Adil lagi Maha Bijaksana, sebagaimana syurga digambarkan di dalam Al-Quran, begitu juga Al-Quran turut memberi gambaran dan turut menceritakan tentang keadaan neraka dan penghuni neraka.
Antaranya di dalam Surah Ad-Dukhan ada menceritakan tentang keadaan syurga dan neraka, bermula dari ayat 43 hingga ke seterusnya..
Aku berlindung dengan nama Allah, dari syaitan yang direjam.
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Pengasihani.
(Ingatlah), sesungguhnya pokok Zaqqum, - [43]
(Buahnya) menjadi makanan bagi orang yang berdosa (dalam neraka). [44]
(Makanan ini pula panas) seperti tembaga cair, mendidih dalam perut, - [45]
Seperti mendidihnya air yang meluap-luap panasnya. [46]
(Lalu diperintahkan kepada malaikat penjaga neraka): "Renggutlah orang yang berdosa itu dan seretlah dia ke tengah-tengah neraka. [47]
"Kemudian curahkanlah di atas kepalanya - azab seksa - dari air panas yang menggelegak". [48]
(Serta dikatakan kepadanya secara mengejek): "Rasalah azab seksa, sebenarnya engkau adalah orang yang berpengaruh dan terhormat (dalam kalangan masyarakatmu)" [49]
(Kemudian dikatakan kepada ahli neraka umumnya): "Sesungguhnya inilah dia (azab seksa) yang kamu dahulu ragu-ragu terhadapnya!" [50]
Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa (akan ditempatkan) di tempat tinggal yang aman sentosa. -[51]
Ia itu di dalam beberapa taman Syurga, dengan matair-matair terpancar padanya, [52]
Mereka memakai pakaian dari kain sutera yang halus dan kain sutera tebal yang bersulam; (mereka duduk di tempat perhimpunan) sentiasa berhadap-hadapan (di atas pelamin masing-masing). [53]
Demikianlah keadaannya; dan Kami jadikan kawan teman mereka bidadari-bidadari yang putih melepak, lagi luas cantik matanya. [54]
Mereka meminta - di dalam Syurga itu - tiap-tiap jenis buah-buahan (yang mereka ingini), dalam keadaan aman sentosa. [55]
Mereka tidak merasai kematian dalam Syurga itu selain daripada mati yang mereka rasai (di dunia) dahulu; dan Allah selamatkan mereka dari azab neraka; [56]
(Mereka diberikan semuanya itu) sebagai limpah kurnia dari Tuhanmu (wahai Muhammad); yang demikian itulah kemenangan yang besar.[57]
Benarlah firman Allah swt.
Dan yang ketiga. Syurga itu sangat indah, istimewa, mempesonakan, membahagiakan. Neraka pula sangat mengerikan, menakutkan, menggerunkan.
Kalaupun tidak kempunan ingin ke syurga, dengan gambaran tersebut yang terdapat di dalam Surah Ad-Dukhan dan surah-surah lain, apatah kita kepingin ke neraka?? Terkena air mendidih di dunia pun kita tidak sanggup, apatah lagi air yang mendidih di neraka. Di dalam perut. Naauzubillah.
Fikir-fikirkan.
Antara hotel lima bintang dengan rumah tumpangan murahan, tempat duduk kelas pertama dengan tempat duduk kelas ekonomi di dalam kapal terbang sudahpun ada jurang harga dan perbezaan yang amat ketara, apatah lagi syurga dan neraka.
Jika kita punyai wang cuma RM10, apakah kita layak menginap di hotel bertaraf lima bintang? Jika kita punyai wang cuma RM 10, apakah kita mampu membeli tiket penerbangan kelas pertama ke Paris?
Mungkin kebanyakan dari kita, punya pengalaman menggunakan tandas-tandas awam samada di pusat membeli belah mahupun di tempat rehat dan rawat (RNR). Ayuh muhasabah diri. Masuk ke tempat yang sempit, kotor dan jijik itu pun kita kena bayar, sekurang-kurangnya 20sen.
Agak-agaknya, berapa 'harga' yang perlu dibayar andai kita ingin ke syurga? Apakah harganya percuma saja??
Apakah cukup dengan hanya mati pada hari Jumaat? Atau cukup sekadar menunaikan solat lima waktu namun mengabaikan segala suruhan Allah yang lain? Apakah cukup dengan hanya berbuat baik kepada orang tua namun segala larangan Allah yang lain juga kita tidak jauhkan?
Bukan semudah itu kerana syurga tersangat istimewa.
"Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat). (Al-'Ankabuut 29:64)
Saya juga tidak tahu ke mana destinasi saya nanti.
Mungkin kalian yang membaca sedang berbahagia di syurga, bersama bidadari jelita dan tampan berbahagia menikmati segala keindahan. Dan mungkin juga tempat saya di neraka. Naauzubillahiminzalik.
Moga dilindungi dan dijauhi dari segala azab...
Ya Allah..
Kami tidak layak ke syurga, tapi kami juga tidak mampu menahan azab api neraka. Ampunkan dosa-dosa kami Ya Rabb..
No comments:
Post a Comment