+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Thursday, March 3, 2011

Selangkah Ku Rapat Dengan-Mu


 Mengemis Kasih

Benarlah, Rasulullah SAW adalah insan terpilih, pesuruh Allah yang membawa cahaya ke seluruh alam hingga ke akhir zaman. Dan benarlah, baginda adalah sebaik-baik manusia, menjadi contoh teladan buat kita semua. Selawat dan salam buat nabi junjungan Muhammad SAW. Salam rindu dari kami semua, terimalah kami sebagai ummatmu, berikanlah kami syafaatmu. Semoga kelak nanti, kita bertemu jua di syurga. Menghapuskan dan meleraikan segala rindu yang terpendam. InsyaAllah.



Kata murabbi saya, makanan ruji kita adalah nasi. Tapi kenapa bila makan nasi, kita selalunya tambah lauk-pauk, sayur-sayur, sambal belacan, budu atau cencaluk? Kenapa tak makan nasi macam tu saja?

Mungkin kita akan menjawab, makan nasi sahaja mana cukup, tak sedap! Kan? Saya juga begitulah jawapannya.

Kemudian dia lanjutkan lagi.

Begitu juga amalan seharian kita. Kenapa kita selalunya mengutamakan yang wajib dan mengabaikan yang sunnat? Malahan memandang remeh amalan-amalan dan ibadat-ibadat sunnat. "Ah. Sunnat je pun, tak buat takpe, bukan berdosa!" Mungkin itulah bisikan hati kecil kita. 

Mari muhasabah diri kita. Kalau makan nasi kita mahu 'perisa tambahan', kenapa tidak dalam beribadat? Kenapa mudah merasa cukup sedangkan kita sendiri belum tahu, amalan yang mana diterima oleh-Nya dan mana pula yang tidak. Jangan 'kedekut' dalam beribadat. Biar 'lebih' asalkan tidak 'kurang'. Manalah tahu, amalan yang sunat itu dapat menampung dan menampal kekurangan yang telah kita lakukan dalam ibadat wajib kita. Kita ingin ke syurga. Bukan calang-calang destinasi.

Berusahalah mengumpul duit untuk membeli tiket penerbangan yang paling 'class', paling mahal. Setidak-tidaknya andai tempat yang mahal itu tidak mampu kita miliki, kita masih berkesempatan dan berkemampuan untuk menaiki penerbangan walaupun di kelas ekonomi.

Setidak-tidaknya kita tidak tercampak ke neraka! 

Bukankah itu lebih baik?

Suatu pandangan yang agak 'ekstrem' dari salah seorang penceramah.

Katanya, bidaah adalah melakukan perkara-perkara yang tidak dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW. Nabi Muhammad SAW selalu bangun untuk melakukan solat malam, jadi, ini bermakna kita melakukan perkara bidaah kerana tidak bangun untuk melakukan solat malam. Hmm. Renung-renungkan. Ambil mana yang baik untuk membuat koreksi diri. InsyaAllah.

Setiap apa yang dilakukan oleh Nabi SAW, adalah merupakan contoh teladan yang terbaik.

Nabi Muhammad SAW juga berhijrah. Dari Kota Mekah ke Kota Madinah.

Pada saya, benarlah ungkapan ini. Selangkah kita mendekati Allah, beribu langkah Dia menghampiri. Alhamdulillah. November 2010, saya telah tergerak hati untuk berpindah rumah. Walaupun masih di sekitar daerah yang sama, tapi tetap berhijrah dari rumah A ke rumah B, rumah yang saya diami sekarang.

Benar saya lebih selesa dengan teman serumah di rumah A. Kami saling mengenali sejak tahun pertama di universiti. Dan ditakdirkan Allah, kami kembali menetap bersama setelah masing-masing mempunyai kerjaya masing-masing. Benar-benar saya selesa dengannya. Dia sangat memahami diri saya, baik buruk, kelebihan dan kekurangan yang ada pada saya. Kami selalu bertolak ansur dan saling melengkapi. Bagai adik beradik kandung.

Kerana terlalu selesa, banyak perkara yang saya terlepas pandang. Saya merasa cukup dengan setiap apa yang saya ada. Saya bagaikan meredhai apa yang saya miliki tanpa berusaha untuk meningkatkan lagi ilmu, amalan, ibadat dan segala yang sedang saya miliki. 

Hinggalah dengan izin Allah. November 2010 saya berhijrah. Ke rumah B. Alhamdulillah. Jika selama ini saya sekadar tercari-cari dan tertanya-tanya, di manakah saya boleh sertai usrah/halaqah/liqo', namun di rumah B, sesuatu yang saya cari-cari itu rupanya sedang menanti di sini. Syukur ke hadrat Ilahi, rupanya salah seorang teman serumah yang baru ada menyertai usrah. Belum sempat saya bertanya, dia dulu yang mengajak saya menyertai usrahnya. Alhamdulillah, Allah permudahkan.

Begitu juga aktiviti seharian. Jika dulu saya dan teman serumah solat, tapi selalunya solat sendiri-sendiri. Maklumlah, sibuk dengan kerja, selalu balik malam dengan tubuh yang penat. Jarang masa bersama, dan kalau ada cukup sekadar untuk berehat-rehat di hadapan televisyen membuang lelah. 

Tapi kini saya syukuri, amalan solat berjemaah diterapkan di rumah B kini. Solat Subuh juga berjemaah dan andai ada yang belum terjaga, ada yang ringan tulang untuk mengetuk pintu, mengejutkan dari tidur. Maha suci Allah. Sungguh, ini yang saya rindu-rindukan selama ini. 

Kerana saya, insan yang lemah, yang perlukan tangan untuk memimpin, menunjukkan jalan yang lurus. 

Kerana saya, insan yang lemah, yang perlukan tangan untuk menarik saya ke atas.

Kerana saya, insan yang lemah, yang perlukan sahabat dan teman, untuk selalu mengingatkan.

Maha Suci Allah, yang Maha Mengetahui. Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Mengemis kasih

Album : Gema Alam
Munsyid : Raihan
http://liriknasyid.com

Tuhan dulu pernah aku menagih simpati
Kepada manusia yang alpa jua buta
Lalu terheretlah aku dilorong gelisah
Luka hati yang berdarah kini jadi parah

Semalam sudah sampai kepenghujungnya
Kisah seribu duka ku harap sudah berlalu
Tak ingin lagi kuulangi kembali
Gerak dosa yang menhiris hati

Tuhan dosa itu menggunung
Tapi rahmat-Mu melangit luas
Harga selautan syukurku
Hanyalah setitis nikmat-Mu di bumi

Tuhan walau taubat sering kumungkir
Namun pengampunan-Mu tak pernah bertepi
Bila selangkah kurapat pada-Mu
Seribu langkah Kau rapat padaku



1 comment:

Muhammad Naim Abdullah said...

Mengemis kasih lagu palin bets kepada diri Naim sendiri.

Lagu yang memberi inspirasi kepada diri Naim

Mengemis kasih-the zikr~