+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Tuesday, March 22, 2011

Ada Naik dan Turun



Benarlah iman kita ini ada musimnya, ada pasang dan surutnya, ada naik dan turunnya. Sekejap di atas, beberapa minitnya mungkin di bawah. Astaghfirullahalazim.


Ada masanya kita sangat suka melakukan kebaikan dan kebajikan, bijaksana dalam mentadbir perasaan dan mengawal hati. Dan ada masanya juga, hati kita menjadi goyah. Mudah terpengaruh dan tergoda dengan hasutan syaitan dan nafsu jahat. 

Seketika kita mungkin tekun dan khusyuk di atas sejadah, membaca Quran, menolak segala bisikan-bisikan yang memudaratkan jasad dan rohani. Dan beberapa ketika kemudiannya, kita mungkin asyik berkumpul bersama sahabat. Mengumpat dan memfitnah tanpa sedikit rasa kesal di dalam jiwa.

Kita mungkin begitu. Saya juga tidak terkecuali. Ada masanya, saya juga tewas! Allah...

Mungkin bagi sesetengah orang, menjaga kelakuan dan pertuturan tidak susah. Apatah lagi menjaga hati. Bukanlah susah sangat kerana apa yang ada dalam hati kita, tiada siapa pun yang tahu. Kita mungkin membenci dan mendendami sahabat kita, tapi selagi kita tidak mengucapkannya dengan bibir kita, atau menunjukkan sebarang kelakuan yang mencurigakan. 

Tiada siapa yang tahu!

Kita mungkin berprasangka negatif terhadap kawan kita. Mencurigai dan sering berburuk sangka padanya. Tidak ikhlas bersahabat dengannya. Tapi selagi kita tidak mengakuinya dengan lidah kita. Tiada siapa yang tahu.

Jadi, bukanlah susah menjaga hati. 
Tapi bagi saya, menjaga hati ini bukanlah suatu yang mudah. Sangat sukar. Kadang masanya, di awal perbuatan dimulakan dengan niat yang baik, namun dipertengahannya sempat hati ini menyeleweng. Terbit perasaan-perasaan negatif cuba mencuri tumpuan. Kadang-kadang mengerti niat sahabat adalah baik, menegur untuk mengingatkan. Tapi hati ini tetap juga negatif, degil untuk menidakkan. Memprotes. Dijentik amarah. Allah..

Ada apa pada sekeping hati ini sebenarnya??

Mungkin saya boleh kata. Apa yang perlu dibimbangi? Hati ini, saya yang punya. Apa yang ada dalam hati saya, saya punya suka. Hak saya, orang peduli apa?  Lagipun, derang bukannya tahu apa yang ada di dalam hati saya. 

Kan?

Ops. Terlupa. Saya khilaf!

Allah berfirman;

 "Jika kamu sembunyikan apa yang ada dalam dada kamu atau kamu melahirkannya, nescaya Allah mengetahuinya; dan Ia mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." (A-li'Imraan 3:29

Ya Allah, aku tahu Kau Maha Mengetahui, tapi mengapakah sukar untuk aku mendidik hati ini? Mengapa sukar aku menjaga imanku ini? Mengapa sukar untuk aku menjadi hamba-Mu yang solehah? 

Ada apa pada seorang insan bergelar aku?

"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir". (Al-Baqarah 2:286)

No comments: