Hari ini saya tersenyum sendiri. Terkenangkan ‘gelagat’ emak dan kakak saya. Masih sama tidak berubah. Sejak saya di zaman universiti hingga sekarang, bila mereka berselisih faham, selalunya saya menjadi ‘tempat rujukan’, tempat meluah masalah, tempat mengadu, menyatakan maksud hati.
Walaupun waktu itu saya di Selatan, emak di Timur dan kakak di Barat. Jarang sekali saya tertinggal ‘berita sensasi’ yang terjadi antara mereka. Masakan tidak, bila ada ‘isu’ yang timbul, ke dua-duanya akan mengadu kepada saya, dengan versi cerita masing-masing.
Alhamdulillah, saya bersyukur saya menjadi tempat mengadu mereka, itu tandanya mereka memerlukan saya. Alhamdulillah, saya bersyukur saya menjadi tempat rujukan mereka, itu tandanya mereka percayakan saya dan saya mampu membantu mereka, meringankan beban mereka, setidak-tidaknya hanya sekadar mendengar. Alhamdulillah saya bersyukur saya menjadi adik dan anak kepada mereka, setidak-tidaknya saya tidak pernah melaga-lagakan keduanya.
Simpan yang buruk, tunjuk yang elok. Moga api yang marah menjadi sejuk. InsyaAllah.
Dan Alhamdulillah juga, walaupun selalu berselisih faham, hubungan ke dua-duanya tetap juga baik malah kini, emak saya menetap bersama kakak saya selepas ketiadaan arwah ayah.
Air dicincang tidak akan putus. Melainkan air itu telah dibiarkan menjadi beku pada suhu kurang 0 darjah celcius.
Carik-carik bulu ayam lama-lama bercantum jua. Melainkan bulu itu dicarik menggunakan pisau hingga terlerai dari pelepahnya.
Dengan itu saya bersyukur kerana ‘air’ itu tidak pernah menjadi beku dan ‘bulu ayam’ itu tidak dicarik dengan pisau.
Peranan sebagai orang tengah.
Saya pernah terbaca, kita dikurniakan satu mulut tetapi dua telinga agar kita lebih banyak mendengar dan kurang bercakap. Dengarlah suara hati mereka, luahan mereka andai dengan hanya mendengar, kita mampu meringankan beban mereka.
Lumrah orang perempuan suka berceloteh. Jika boleh, segala apa yang ada di hati dan di kepala semuanya ingin diungkapkan melalui kata-kata. Kadang-kadang berbicara tanpa sempat menggunakan akal. Bercakap sebelum berfikir. Berceloteh sebelum sempat memikirkan apa kesan-kesan yang bakal terjadi kemudian hari. Selalunya orang perempuan memang begini, walaupun tak semuanya sama.
Cuma mendengar. Dan fahamilah, orang yang bila dikuasai emosi, selalunya gagal menggunakan otaknya dengan baik. Bila marah, mereka akan meluahkan kemarahan mereka dengan penuh emosi marah. Bila sedih, mereka akan dikuasai emosi sedih. Logik dan akal tertinggal di belakang. Harus mengerti yang ini. Jadi, sebagai orang tengah kalau boleh, jangan ‘ambil kira’ apa yang di bebelkan ketika mereka dalam keadaan emosi. Eloklah menjadi seperti daun keladi. Jangan sampai berbekas di dalam dada.
Biasanya orang yang sedang beremosi, mereka sendiri tidak sedar apa yang sedang mereka bebelkan. Jika mereka di luar pengaruh emosi, mereka pun tak akan sengaja menuturkan kata-kata itu. Ketika dalam keadaan emosi, mereka tidak mampu berfikir dengan baik. Jadi, waktu ini, tugas kita hanya mendengar. Kata-kata nasihat simpan dulu. Kalau dinasihati makin bercelaru emosi mereka. Kalau dinasihati pun sia-sia saja kerana akal mereka seolah-olah sedang gagal berfungsi.
Tunggu sehingga emosi mereka menjadi reda dan jiwa lebih tenang. Waktu ini, kalau nak marah, nak tegur, nak menasihati. Silakanlah..
Kedua, sebagai orang tengah haruslah menjauhi sifat batu api. Jangan melaga-lagakan dua pihak yang bertelagah. Seharusnya kita menjadi pendamai, mencari penyelesaian untuk menyatukan keduanya. Jauhi permusuhan dan eratkan kembali persaudaraan. Jangan pula kerana kita, percikan api yang tercetus kian menjadi api yang marak menyala.
Ketiga, harus tahu menyimpan amanah, menjaga rahsia dan menjaga maruah mereka yang berkongsi masalah dengan kita. Jangan buka dan dedahkan keaiban orang. Jangan sebar-sebarkan aib orang. Ingatlah bahawa Allah mengira dan menghitung setiap apa yang kita lakukan. Moga-moga Allah membalas perbuatan kita dengan menutup aib kita di akhirat kelak.
Keempat, berkata-kata yang baik atau diam. Bila mereka memerlukan pandangan dari kita, maka berikan kata-kata yang baik, yang positif dan optimis. Yang mendamaikan hati dan mengungkai permasalahan. Panduan yang membina dan membangkitkan semangat. Harus mengambil kira segala aspek permasalahan dan berfikiran luas. Jika tidak mampu melakukan semua itu, maka diam adalah lebih baik.
Kelima, talam dua muka. Fakta, tak semua orang ‘terpilih’ untuk menjadi ‘tempat meluahkan masalah’. Biasanya insan-insan yang terpilih adalah orang yang diyakini boleh menyimpan rahsia dan boleh dipercayai. Jarang orang berkongsi masalah dengan orang yang tidak mereka kenali hati budinya. Melainkan orang tersebut ada niat untuk ‘menyebarkan’ masalah lebih daripada berkongsi masalah. Ada juga segelintir orang yang berkongsi masalah dengan orang asing yang lansung tidak mereka kenali, contohnya sahabat alam maya.
Itu antara kes-kes terpencil.
Itu antara kes-kes terpencil.
Apapun. Menjadi orang tengah kadang-kala mampu membuatkan kita rasa tersepit. Manakan tidak, andai dua pihak bertelagah adalah orang yang rapat dengan kita dan mereka kedua-duanya mengadu kepada kita. Apa kita nak buat? Silap langkah akan dituduh talam dua muka. Tuduhan yang agak berat!
Apapun, mendengar cerita pelbagai versi dari kedua belah pihak adalah perlu agar kita tidak berat sebelah dalam ‘mengadili’. Agar kita lebih jelas asal usul tercetusnya permasalahan tersebut dan seterusnya berusaha untuk mencari jalan keluar. Mendengar dari sebelah pihak kadang-kadang boleh menjadikan kita bersikap bias akibat tidak tahu keseluruhan jalan cerita. Misalannya. Cerita versi mak saya mungkin lebih kepada membela dirinya sendiri dan cerita versi kakak saya pula mungkin sebaliknya. Jika saya hanya mendengar cerita dari emak, saya mungkin menangkan emak saya dan menyalahkan kakak saya seratus peratus. Tak gitu?
Dalam apa jua yang kita lakukan, di mana jua kita berada. Bertakwalah kepada Allah. Takutlah hanya kepada Allah. Andai takwa itu ada dalam jiwa, insyaALlah, ‘tuduhan’ talam dua muka itu tidak akan memberikan apa-apa impak negatif kepada kita. Apalah sangat gelaran talam dua muka jika hendak dibandingkan dengan niat kita untuk menyatukan dua hamba Allah yang sedang berselisih?
Nabi SAW bersabda;
"Bertakwalah kamu kepada Allah walau di mana jua kamu berada. Iringilah kejahatan dengan kebaikan. Sesungguhnya kebaikan dapat menghapus kejahatan. Bergaullah dengan orang-orang lain dengan cara yang terpuji."
Allah SWT pula berfirman;
Nabi SAW bersabda;
"Bertakwalah kamu kepada Allah walau di mana jua kamu berada. Iringilah kejahatan dengan kebaikan. Sesungguhnya kebaikan dapat menghapus kejahatan. Bergaullah dengan orang-orang lain dengan cara yang terpuji."
Allah SWT pula berfirman;
"Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat." (Al-Hujuraat 49:10)
Apatah lagi jikalau ada ikatan dan pertalian darah. Antara ibu bapa dengan anak-anak, sesama adik-beradik dan sebagainya.
Moga diberikan pengampunan dan sebaik-baik ganjaran dari Ilahi.
2 comments:
assalamualaikum....
situasi mcm ni selalu berlaku pd sy..
menjadi org yg tersepit di tgh2 sengketa..
nak mewujudkan perdamaian antara 2 pihak hakikatnya agak susah...perlukan tindakan yg penuh rasional n sgt berhati2...
btw...suka entry ni...=)
salam wbt pelangi senja...
setuju, ia memerlukan tindakan yang penuh rasional dan sangat berhati-hati, tidak terlalu mengikut emosi.. ini yg biasanya payah bagi org perempuan mcm saya nak buat...
apapun, thnx a lot =)
Post a Comment