+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Monday, April 19, 2010

Kerana Kita Mampu

Bismillahirrahmanirrahim..

Salam sejahtera, semoga sentiasa di bawah rahmat Allah.

"Bila nak kahwin?" Bertalu-talu soalan sebegini, seiras mahupun berbeza tetapi sama maksud sering ditanyakan kepada saya. Sejak mula habis belajar, hingga kini. Jenuh, lali, muak, jemu, geram, bosan, pasrah dan redha segalanya pernah saya rasai. Jika adik-adik dan sahabat-sahabat yang baru berusia awal 20-an sudahpun memasang niat untuk berumah tangga, maka saya berbohong jika saya tiada keinginan tersebut. Namun begitu, hidup saya di muka bumi ini bukanlah semata-mata belajar, bekerja, berkahwin, dapat anak kemudian mati. Selain bernikah, banyak lagi matlamat dan impian lain yang ingin saya tunaikan.

Salahkah saya?

Semalam, 18 April 2010, saya berkesempatan menziarah anak sepupu saya di Institut Jantung Negara, beliau baru berusia 5 tahun. Kini di tahan di ward ICU sejak lebih sebulan yang lalu setelah mengalami komplikasi akibat pembedahan jantung. Sepupu saya dan suaminya, terpaksa bermastautin di IJN sejak hari pertama mereka tiba di situ. Dua minggu pertama berlegar-legar di IJN, sekadar tidur di lobi bangunan dan kemudiannya barulah mendapat tempat penginapan, bilik sewa untuk bermalam yang letaknya agak jauh bagi mereka yang berjalan kaki.

Mendengar cerita mereka, yang bersusah payah datang dari Kedah, terpaksa meninggalkan kerja, sebatang kara di Kuala Lumpur tiada siapa yang membantu, semuanya terpaksa dilakukan berdikari. Ke Chow Kit dengan berjalan kaki untuk membeli susu anak, hingga selipar terputus. Tidur di kaki lima IJN selama dua minggu membuat hati saya terasa sayu. Syukurlah dua minggu yang lepas, kami sekeluarga mendapat tahu tentang mereka, berhubung dengan mereka setidak-tidaknya ada keluarga dekat yang dapat membantu. Boleh mengadu nasib.

Itu nasib si ibu dan si ayah.

Kami tiba di hospital kira-kira jam 6.30 petang, dan kami dibenarkan melawat pesakit cuma dua orang pada satu masa. Kami terpaksa bergilir-gilir kerana jumlah kami yang agak ramai. Tiba giliran saya, sebaik sahaja melangkah masuk ke ICU tersebut, hati saya sebab melihat bayi-bayi lain yang sedang terbaring lemah. Mereka masih kecil. Di beri ujian dan dugaan sebegitu. Mampukah tubuh mereka bertahan?

Tiba di katil anak sepupu. Sudah berusia lima tahun tapi jasadnya sangat kecil ibarat bayi berusia setahun. Kurus cuma tinggal tulang dan kulit. Terbaring dan sekadar minum susu melalui wayar. Bekas jahitan panjang, dari bahagian dada hingga ke perut. Kepala membesar, kaki hitam mungkin kesan ubat. Lemah terbaring tidak bermaya. Tidak cukup dengan itu, paru-parunya juga bermasalah, di bahagian kiri dadanya, juga ditebuk kerana rawatan untuk pari-paru. Hati siapa yang tidak sayu.

Si ibu membelai-belai si anak. Mengusap setiap inci tubuh si anak.

"Cepatlah baik dik, nanti mak dukung, nanti adik main basikal," Suara si ibu memujuk si anak. Air mata saya bergenang menanti masa mahu terjun keluar.

Si anak cuma diam. Mengangkat kelopak mata juga tidak berdaya. Wayar berselirat sekeliling tubuhnya. Suasana di dalam ward ICU memang memilukan. Begitu juga pesakit-pesakit kecil yang kecil yang lain, melihat wajah sayu pelawat membuatkan hati saya hiba. Ada pelawat (mungkin ibu) yang tidak pernah jemu mencium dahi si anak. Ada yang hanya memandang si anak tanpa jemu. Ya Tuhan, sungguh mereka sedang di uji dan semoga mereka tabah.

Tertanya diri sendiri, apakah saya cukup kuat untuk menerima ujian seperti itu?

Pernah beberapa tahun yang lepas, saya menziarah anak sepupu saya, Arwah Amir Shahrir di hospital, waktu itu dia berusia 4 tahun, mengidap penyakit kanser usus dan sempat menjalani rawatan kimoterapi. Sepanjang saya di hospital, melihat keadaan Arwah, airmata saya tidak mahu berhenti mengalir. Saya tidak sanggup melihat keadaannya yang kurus, tanpa sehelai rambut, wayar berselirat. Saya tidak mampu. Hati saya tidak cukup kuat. Saya mudah benar menangis. Apatah lagi sekiranya anak saya sendiri yang sedang terlantar sakit? Tidak mampu saya bayangkan....

Allah yang Maha Pencipta, Dia yang Maha Mengetahui. Kerana Dia tahu apa yang mampu saya pikul, jadi mungkin Dia memilih saya untuk lambat mendirikan rumah tangga, kerana sesungguhnya ini adalah yang terbaik buat saya. Benar, takdir Allah itulah yang terindah.

Kepada sahabat sekalian yang masih belum bertemu jodoh, jangan bersedih, yakinlah pada kekuasaan dan kebesaran Allah, Dia Maha Mengetahui.

Wallahua'alam.

1 comment:

relax said...

saya faham perasaan akak melihat baby2 begitu.. keluarga saya pernah di uji seegitu juga... adik sakit kurus kering .. mak tak sanggup nak tengok adik ...dia langsung tak tengok adik..saya sangkakan mak tak sayangkan adik sebab mak dah tak bagi perhatian kat adik tapi sangkaan saya salah ..mak x sanggup tengok adik... setiap hari dia balik belikan adik makanan kesihatan untuk adik... sampai adik gemuk balik baru mak belai adik.. :D . adik baru sakit keluarga sudah sayu... belum bersirat dengan wayar2 lagi..