+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Tuesday, February 23, 2010

Mutiara Beguguran Di Raudhatus Sakinah

Bismillahirrahmanirrahim..

Peserta DK2 Bergambar Kenangan

Alhamdulillah, pada hari Sabtu yang lepas, bersamaan 20 Februari 2010, saya bersama beberapa orang krew dan user iLuvislam.com antara insan terpilih, untuk menziarah Raudhatus Sakinah (RS).

RS yang ditubuhkan sejak Ogos 1998 di bawah pengendalian wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) bagi membantu remaja yang terlibat dalam masalah gejala sosial meningkatkan keyakinan mereka untuk menjadi individu yang berguna.


Antara matlamat RS ialah membantu remaja menghayati Islam sebagai cara hidup, semula keyakinan diri dan meneruskan kehidupan yang sihat.
RS yang didaftarkan secara rasminya di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga bertanggungjawab untuk merealisasikan nahi mungkar ke arah membanteras gejala sosial.

Program kali ini sebenarnya adalah anjuran Team Event Malaysia, yang juga dikenali sebagai Dialog Krew 2 (DK2). Jika sebelum ini, DK1 kami lebih fokus kepada krew iluvislam.com sahaja, kali ini kami luaskan skop dan turut mengajak beberapa orang user terpilih untuk ikut sama menikmati dan bersama-sama masyarakat bagi menguatkan ikatan ukhuwah di samping mendedahkan peserta DK dengan persekitaran yang mempunyai pelbagai cabaran dan dugaa yang harus ditempuhi.


Kami tiba di Raudhatus Sakinah kira-kira jam 10.30 pagi, disambut mesra oleh Pengarah RS, Rosmawati Zainal, Puan Yusnani Abdul Hamid dan warden-warden bertugas di situ. Sebelum memulakan program, kami bertakruf dan diberikan sedikit taklimat ringkas oleh Puan Yusnani, berkenaan etika dan peraturan yang perlu dipatuhi sepanjang berada di RS.

Aktiviti berjalan lancar seperti apa yang dirancangkan, dengan izin Allah jua adanya. Alhamdulillah, bukan sedikit pengalaman berharga yang dikutip pada hari bersejarah itu. Bermula dengan ucapan kata aluan dari Presiden iLuvislam.com, penyampaian kata-kata amanat dari Pengarah RS, sesi takruf bersama penghuni RS, dan paling tidak dilupakan, sesi 'one to one', krew/user iLuvislam.com bersama penghuni RS.

Taklimat sebelum mula program.

Saya terpilih untuk melalui sesi 'heart to heart' tersebut bersama seorang penghuni yang dikenali sebagai Zue (Bukan nama sebenar) .
Berdua-duaan, kami memilih penjuru rumah sebagai tempat berkongsi cerita.

Banyak yang beliau kongsikan termasuk jadual harian para penghuni di RS. Setiap hari tidur jam 11 malam, bangkit semula jam 3 pagi, zikir pagi kemudian menunaikan Qiamullai. Membaca quran dan beribadat mengabdikan diri kepada Allah sehingga selesai menunaikan solat Subuh.

Terus berzikir, membaca mathurat, kemudian melaksanakan tugasan harian masing-masing seperti mengemas, masak dan sebagainya.
Jam 9 pagi, mereka sekali lagi berkumpul untuk bertadarus dan sekiranya ada sukarelawan datang untuk mengajar, mereka akan meluangkan masa untuk menghadiri kelas. J

am 12 tengah hari mereka dibenarkan rehat selama 3o minit sebelum makan tengah hari. Selepas makan, kira-kira jam 1 tengah hari mereka bersiap-siap untuk tunaikan solat Zohor berjemaah.
Begitulah aktiviti seharian mereka, di isi dengan usrah, taklim, membaca surah-surah pilihan, mengaji tilawah Quran, dan setiap malam sebelum mengakhirkan hari mereka, setiap dari mereka dilatih untuk berucap didepan khalayak ramai. Mereka diwajibkan untuk memberikan tazkirah ringkas, rumusan seharian aktiviti mereka pada hari tersebut.

Subhanallah, kagum saya melihat cara hidup mereka, ternyata, jauh lebih baik dari diri saya sendiri. Mereka mungkin pernah melakukan dosa, namun sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun. Seandainya kita sebagai hamba Allah, tidak kira sebesar mana dosa kita, seandainya kita segera bertaubat yang bersungguh-sungguh setelah menyedari kesilapan kita, insyaAllah, Allah akan ampunkan dosa-dosa kita. Selagi nyawa masih dikandung badan.


Kita mungkin tidak melakukan dosa besar, tidak berzina tapi jangan mudah berasa senang hati. Jangan terlalu yakin bahawa kita lebih baik daripada mereka, barangkali, dosa kecil yang kita lakukan terlalu banyak, tanpa kita sedari, ibarat titik-titik hitam yang akhirnya, lama-kelamaan berjaya menghitamkan diri kita. Naauzubillahiminzalik. Segeralah muhasabah diri, perbaiki segala kelemahan diri.


Ketika sesi 'heart to heart', mulanya saya banyak bertanya kepada Zue, dia banyak bercerita, berkongsi pengalaman hidupnya, bagaimana dia boleh terjebak dengan pergaulan bebas, bagaimana penerimaan keluarga dan saudara maranya setelah mendapat tahu bahawa dia sudah hamil luar nikah sehingga akhirnya, ayahnya sendiri yang menghantar Zue ke RS.


Saya kira, Zue agak bertuah kerana mempunyai keluarga yang tetap terus menyokongnya walaupun hati ibubapa mana yang tidak hancur berkecai melihat si anak yang ditatang bagai minyak yang penuh 'binasa' di tangan lelaki durjana. Walaupun pernah berniat mahu menggugurkan kandungannya, namun oleh kerana keluarganya menentang keras, tidak sanggup melihat si anak menambah dosa membunuh setelah melakukan dosa zina, akhirnya di RS Zue di hantar untuk diberi perlindungan dan melalui sesi pemulihan.
Zue turut mengaku, ketika mula-mula tiba di RS, dia benar-benar memberontak. Waktu itu dia hamil 6 bulan.

Namun ujarnya, akhirnya dia merasa ketenangan yang sebenarnya, seolah-olah hidayah Allah singgah dihatinya setelah 4 bulan berada di RS. Segala puji hanya milik Allah. Kini dia dapat menerima segala ketentuan Ilahi dengan hati yang redha dan berusaha untuk memperbaiki diri menjadi muslimah yang lebih baik.


"Saya tidak mahu, kerana saya ayah dan ibu saya tidak dapat masuk syurga," Luah Zue sambil menitiskan airmata penyesalan.

"Saya takut nanti bila keluar dari sini saya tidak istiqamah, saya takut saya tak cukup kuat, saya takut berhadapan dengan masyarakat," Ujar Zue lagi. Manik-manik jernih mula mengalir dari kelopak matanya.

Saya benar-benar tersentuh, namun cuba untuk memberi kekuatan kepadanya, memberi sedikit kata-kata nasihat di samping mengingatkan diri sendiri, Allah beri dugaan hanya kepada hamba-Nya yang mampu. Lama kami menangis berpelukan. Saya biarkan Zue menangis di bahu saya, meluahkan segala perasaan yang tersimpan di dalam dadanya sambil membisikkan kata-kata semangat.

Sungguh, dia kelihatan tabah cuma luaran, namun hatinya masih serapuh kaca. Paling tidak dapat dilupakan, sebelum mengakhirkan sesi 'heart to heart' kami, dia sempat katakan pada saya.. "Saya sayang akak.." Subhanallah, indahnya perasaan itu, perasaan saling mengasihi sesama hamba Allah, kerana Allah.


Doa dan harapan saya, agar Zue dan seluruh penghuni RS terus istiqamah dalam jalan taubat dan menjadi anak yang solehah, menarik tangan ke dua ibu bapa mereka ke syurga di akhirat kelak, amin ya rabb...


Selesai sesi 'heart to heart', kami sekali lagi berhimpun untuk majlis penutup. Setelah bacaan puisi oleh seorang krew iLuvislam.com, semua user dan krew iluvislam.com berdiri untuk menyanyikan lagu nasyid "Puteriku Sayang", dihadiahkan khas kepada seluruh penghuni RS. Maha suci Allah, sepanjang lagu itu dinyanyikan, bukan sahaja penghuni RS, malahan kebanyakan dari krew dan user turut mengalirkan airmata, dorongan seribu satu perasaan yang bercampur baur.

Selesai menyanyikan lagu tersebut, salah seorang co-founder iLuvislam.com dijemput untuk membacakan doa penutup.
Allah ya rabb, kami menadah tangan, berdoa dan memohon kepada Ilahi... Kini mutiara dari kolam mata kami makin lebat berguguran, mengalir laju di pipi kami tanpa mampu terbendung.

Moga, airmata ini tanda kasih sesama manusia, airmata keinsafan dan airmata yang mampu memadamkan api neraka di akhirat kelak.


Allah menyaksikan segalanya, hati-hati ini telah bersatu di bawah naungan-Nya, moga Dia terus memimpin hati-hati kami ini, agar terus setia di jalan-Nya.


Raudhatus Sakinah menyimpan seribu satu rahsia, menjadi kenangan terindah yang tersimpul kemas dalam ingatan.
Moga segala pengalaman yang diperolehi, memberi seribu satu manfaat dan pengajaran kepada seluruh peserta DK2. Dengan izin Allah.

Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Pengasihani.. Ampunkanlah dosa-dosa kami wahai Tuhan.

Wallahua'alam

2 comments:

Unknown said...

alhamdulillah, moga jadi iktibar kepada kita. sekarang mereka jauh lebih baik dr kia rasanya. jadual harian mereka penuh dengan membesarkan dan mengagungkan Allah swt. rasa kerdil diri ini.

kak, mcm mana nak join aktiviti macam ini?

AsNiza said...

Salam Me..

InsyaAllah, jika ada lagi program macam ini, iluvislam akan iklankan pada web iluvislam.com..

Kena selalu ziarah web kami, update berita terkini, insyaAllah, jika ada kesempatan lagi, dapat kite beraktiviti sama2.. ^_^