+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Friday, January 22, 2010

Seteguh Tandan Kelapa

Saya budak desa, asal dari sebuah kampung di Kelantan. Rumah saya berhampiran Sungai Kelantan. Tak jauh dari rumah saya, sawah padi terbentang luas. Sungai dan sawah tempat saya bermain bersama kawan. Membesar di desa mengajar saya menjadi seorang yang agak lasak.


Tidak serik mandi sungai walaupun beberapa kali nyaris lemas, syukur ajal belum tiba. Berlari-lari berkejaran di sawah. Selesai musim menuai, biasanya musim panas, anginnya kuat, kami bermain layang-layang. Menunggu padi masak kami tangkap ikan. Ada ikan haruan, ada ikan puyu, ikan keli, ikan sembilan dan, erm, lintah dan pacat pun ada. Menjerit-jerit bila digigit lintah. Seronok. Kelakar. Saya rindu zaman itu.


Tapi sungguh, saya sedar, masa berlalu tak mungkin kembali lagi.


Saya ini nama sahaja kanak-kanak perempuan, berbadan kecil. Tapi lasaknya saya tiada beza dengan dua orang adik lelaki saya. Sama culasnya. Lari sama laju. Berendam air sungai sama taknak kalah. Panjat pokok juga saya tak tewas. Pernah bercita-cita mahu bina rumah atas pokok. Impian seorang kanak-kanak. Semuanya yang indah belaka.


Cuma, bezanya saya dengan adik-adik saya ialah mereka boleh panjat pohon kelapa, tapi saya tak mampu. Penakut. Naik mungkin boleh, turun mungkin tidak. Entah, gayat barangkali. Waktu itu tertanya-tanya juga, kenapalah pohon kelapa tiada dahan seperti pohon rambutan, atau pohon manggis? Kalaulah kelapa ada dahan, saya pun boleh panjat sama. Mengangkat bendera putih, saya kalah dengan adik-adik saya. Bagi saya, pohon kelapa adalah pohon yang istimewa, kerana saya tidak pernah mampu memanjatnya seperti pohon-pohon lain.


Pohon kelapa dulu-dulu tinggi-tinggi belaka. Sekarang ini banyak pula yang rendah. Teknologi kian canggih barangkali, kacuk sana kacuk sini. Jadilah pohon kelapa pendek, ada yang berwarna oren. Dulu, selalunya pohon kelapa ditebang bila ada kenduri di kampung, umbuk diambil dimasukkan ke dalam gulai daging.


Pohon kelapa tumbang, kami kanak-kanak juga seronok. Apa yang boleh diguna buat bahan mainan, semuanya kami guna. Ya lah, dulu-dulu mana ada PSP, mana ada gameboy, mana ada komputer. Apa yang ada depan mata, itulah hiburan kami. Kadang-kadang, kumbang kelapa yang tidak berdosa juga jadi mangsa. Diikat kaki dengan benang, dibiarkan terbang kemudian ditarik, haih, nakal juga saya sewaktu kecil. ^_^


Pernah juga saya membelek tandan kelapa yang masih muda. Warnanya putih kehijauan. Banyaknya bunga kelapa melekat pada tandan. Lembut saja. Sekali saya hempas ke tanah, bunga-bunga kelapa yang masih muda bertaburan. Betul. Waktu itu saya benar-benar menyangkakan tandan kelapa benar-benar lemah. Memegang bunga sendiri pun tidak mampu. Sekali hempuk dah kalah.


Kadang-kadang ayah panggil kawan ayah, Pakcik Ghani datang memetik kelapa belakang rumah. Pakcik Ghani tak panjat pohon kelapa sendiri, tapi dia ada monyet. Takut-takut berani, saya suka juga tengok monyet petik kelapa, dari jauh. Saya dan adik-adik suka kelapa muda. Pandai juga monyet itu memilih, pelik juga saya.


Dan saya lihat, bukan mudah monyet itu menggugurkan sebiji kelapa muda. Dipulasnya kelapa itu banyak kali. Pusing-pusing. Dengan kaki dengan tangan bersusah payah. Baru akhirnya kelapa itu jatuh melayang ke tanah. Saya dan adik-adik seronok. Kami dapat minum air kelapa yang manis. Terima kasih monyet!


Dalam waktu itu, sempat juga saya terfikir, kenapa susah sangat monyet tu nak petik buah kelapa? Bukankah ketika buah kelapa itu masih bunga, masih putik, masih kecik, dahannya lemah sahaja. Pelik saya memikirkan, bagaimana dahan yang lemah itu boleh menampung buah kelapa yang makin besar. Susah payah sang monyet memulasnya barulah gugur ke tanah. Buah kelapa bukan saja besar, tapi juga tidak ringan, berat. Saya pernah mencuba mengangkat buah kelapa, berat, lalu terhempas kaki, sakit.


Hairan saya. Saya lagi kuat daripada tandan kelapa ketika ia muda, tapi kenapa sekarang ia lebih kuat dari saya. Saya bersusah payah mengangkat sebiji kelapa, tapi ia tenang menampung setandan buah kelapa, hampir sepuluh biji kelapa semuanya dalam satu tandan, dan kadang-kadang lebih. Saya musykil.


Ketika ia muda, bunganya sangat banyak. Tidak pernah saya mampu mengiranya. Terlalu banyak dan kecil. Makin lama, makin berkurang, putik kelapa gugur dan yang tinggal cuma sedikit. Lebih kurang sepuluh. Mungkin yang tinggal itulah juara. Juara kerana berjaya kekal setelah bersaing sesama mereka bagi meneruskan kelansungan hidup.


Yang masih bertahan di dahan, itulah yang paling hebat. Yang paling kuat, yang paling setia. Yang paling kental dan perkasa. Akhirnya membesar menjadi buah kelapa yang banyak manfaatnya kepada manusia.



Buah Kelapa

Manusia dan Tandan Kelapa





Saya takrifkan, kita juga umpama tandan kelapa. Semakin hebat kita diuji, semakin tabah dan semakin kental jiwa kita. Bukankah Allah memberi dugaan hanya kepada hamba-Nya yang mampu memikulnya?


Semakin hebat dugaan dan bebanan yang ditanggung, semakin tinggi semangat juang kita. Demi mempertahankan kelansungan hidup kita sendiri, tanpa kita sedari, hari demi hari kita menjadi lebih baik dari sebelumnya. Dengan izin Allah. Alhamdulillah.


"When the through get tough, only the tough get through."


Tidak semua putik kelapa membesar menjadi buah kelapa, ada yang gugur sedari awal. Satu persatu. Demi menyelamatkan beberapa biji buah kelapa, putik-putik yang lain digugurkan dan terkorban. Hidup kita juga begitu. Kita sepatutnya tahu membuat keputusan, memilih mana yang lebih penting dan utamakan mana yang lebih utama.


Daya tahan seseorang manusia juga berbeza-beza, ada yang kuat ada yang lemah. Kita harus tahu tahap kekuatan diri kita. Kelebihan dan kekurangan kita. Manfaatkan sebaik yang mungkin, jangan bebani diri kita dengan beban yang tidak sepatutnya.


Jangan memaksa diri untuk melakukan apa yang kita tidak mampu menanggungnya. Ada masanya kita perlu berkongsi bebanan dengan insan lain. Ada waktunya juga kita perlu mengagihkan tugas kepada mereka yang sepatutnya. Jangan pikul semuanya di bahu sendiri.


Dan ada masanya, kita perlu korbankan apa yang paling kita sayangi. Demi menyelamatkan apa yang lebih penting. Itu yang tandan kelapa lakukan. Demi air kelapa yang manis, dan isi kelapa yang banyak manfaatnya. Itulah harga yang perlu dibayar, demi makna sebuah kejayaan.


Jika tandan kelapa yang tidak punyai akal mampu perjuangkan nasibnya, meneruskan kehidupannya, kita manusia yang berakal, punyai dua tangan dan dua kaki, ada dua mata dan dua telinga, apakah kita lebih lemah dari itu?


"Mampukah Kita Menjadi Lebih Hebat daripada Tandan Kelapa?"


Tabahkan hati, kuatkan semangat. Jangan jadikan ujian dan dugaan hidup sebagai alasan untuk kita menjadi semakin lemah. Sebaliknya, jadilah seperti tandan kelapa, semakin berat dugaan yang ditanggung, semakin kuat ia bertahan. Mohonlah pertolongan dari Allah, dan cukuplah Allah bagiku..


InsyaAllah. Moga Allah izinkan.










9 comments:

ijja1912 said...

Assalamualaikum kak..^^

Menarik la gaya penulisan akk kali ni, ringkas, tidak meleret-leret, tapi padat dan lengkap dengan isi juga fakta.

Menariknya, kenangan itu milik pokok kelapa..semuanya tentang kenangan yang dapat sy bayangkan keindahannya^^..

Artikel yang sempoi ttg kelapa, tambah lagi satu ilmu dari entri akk kali ni..Thanx for sharing..

Wassalam..

P/s : Kak, umbuk kelapa, atau umbut kelapa..^^

AsNiza said...

salam ijja..

thnx sudi singgah.. ala kanak2 kan entri kali ni. ^^

erm, umbut kelapa kot.. hihi.. tk sure gak..:D

liyana mujahid said...

assalamualaikum.

seronok baca kisah akk ni.
lg2 bila dikaitkan dgn perjalanan hidup kita.

terima kasih kak.
:)

AsNiza said...

salam liyana..

terima kasih sudi luangkan masa..
moga bermanfaat..^^

relax said...

^_^^_^^_^
saya nak jadi seperti tandan kelapa boleh?...:D

relax said...
This comment has been removed by the author.
nnur_iman said...

salam..
kenangan bersama si pokok kelapa..
kesian si kumbang kelapa..jd mainan..
mcm terbayang2 lak..perkempungan kt tp sungai kelantan 2..(^_^)

syah said...

salam.
wah, entri ini sgt bagus!
:D

LadyBird said...

Semoga putri seteguh tandan kelapa.. aminnn..