+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Wednesday, July 24, 2013

Ya Rasulullah, Kami Rindu Padamu.

"Selangkah ku dekat padaMu. Seribu langkah Kau rapat padaku."

Ayahanda saya kembali ke rahmatullah, beberapa minggu sebelum Ramadhan. 4 September, tahun 2006.

Aturan Allah swt itulah yang terindah. Waktu itu, saya baru tamat pengajian di Universiti. Maka, kesempatan itu saya guna untuk menemani emak saya di kampung. Sepenuh masa di rumah. Tanpa sebarang komitmen.

Seingat saya, ketika arwah ayah meninggal. Kira-kira dua atau tiga hari saja saya mengalirkan air mata di hadapan khalayak ramai. Selain itu, saya hanya menangis ketika di dalam bilik air, sewaktu atau selepas solat dan baca Al Quran.

Seumur hidup saya. Ramadhan itu adalah kali pertama dan terakhir (teruknya aku!) saya sempat khatam Quran dalam tempoh sebulan Ramadhan.

Baca. Sekadar baca. Sebelum itu juga pernah beberapa kali khatam Quran, tapi sekadar baca. Apa intipati, kandungan di dalam Al Quran, saya tidak tahu. Maka, walaupun beberapa kali khatam Quran, saya tetap tidak mengenal Allah, saya tetap jauh denganNya. Dosa pahala masih dipandang enteng.

Namun benarlah. Aturan Allah itulah yang terindah.

Tahun 2007. Seorang sahabat mengetuk akal saya. Tentang peri pentingnya memahami Al Quran. Bermula dari situ, saya mula belajar untuk lebih mendalami Islam. Lucu. Di lahirkan dalam Islam, tapi, pengetahuan tentang Islam sangat cetek. Bahkan, maksud surah Fatihah yang dibaca berulang kali di dalam solat juga saya tidak tahu. Cetek ilmu saya.

Selangkah ku dekat padaMu. Seribu langkah Kau dekat padaku.

Dalam usaha mencari dan mendalami ilmu. Saya bertemu dengan iluvislam.com. Alhamdulillah. Ruang untuk saya berukhwah dengan saudara seagama yang lebih baik terbuka luas. Saya berubah hampir 180 darjah. Sudah sampai masanya saya berhijrah.

Sebagai salah seorang tenaga kerja iluvislam.com, saya dihantar untuk menghadiri latihan ESQ. Alhamdulillah. Bertambah kecintaan saya kepada Allah dan Rasulullah. Ketika latihan ESQ, tahun 2009, saya akhirnya membeli sebuah tafsir Quran. Allah yang menggerakkan hati.

Sejak itu, saya mula membaca Quran berserta dengan tafsirnya. Pertama kali dalam hidup saya, saya baca Quran dan memahami maknanya. Hampir dua tahun lamanya, barulah saya khatam. Biar lambat, tak perlu tergesa-gesa, yang penting, apa yang saya baca melekat dalam ingatan saya. Apa yang saya baca, saya cuba amalkan.

Kerana tahu makna Al Quran jugalah. Saya tahu bagaimana keadaan hari akhirat. Saya tahu bagaimana keadaan di neraka. Saya tahu bagaimana nasib orang yang dicampakkan neraka. Saya takut! Tak apalah tak masuk syurga, tapi saya tak mahu masuk neraka! Kerana Al Quran, saya takut neraka.

Kerana Al Quran, saya berusaha untuk jadi insan yang lebih baik. Walaupun saya tidak sempurna, walaupun saya cenderung untuk melakukan kesilapan, namun, seupaya saya ikhtiar untuk menyelamatkan diri dari azab neraka.

Dengan membaca Al Quran, saya rasa bagai sedang 'berbicara dengan Allah'. Baca ayat ke ayat, dari Surah ke Surah, seolah-olah Al Quran itu ditujukan khas buat kita. Seolah-olah mengetahui isi hati kita. Apa yang sedang saya rasakan.

Pendosa yang banyak melakukan dosa. Pelupa yang sering melupakan. Juga jarang bersyukur.

Lalu, saya secara peribadi mengiktiraf al Quran sebagai warkah cinta dari Ilahi.. Istimewa untuk saya, dan seluruh alam.

Tahun 2011. Dengan izin Allah swt. Akhirnya, saya menjejakkan kaki ke Gua Hira'. Tempat di mana Rasululah saw menerima wahyunya yang pertama.

Allahummasolliala saiyyidina Muhammad. Waalaa alisayyidina Muhammad. Tak pernah ku tatap wajah mu. Ya rasululllah ya habiballah. Ku rindu padamu.


Bekas jejak langkahmu aku jejaki. Gua di mana kamu bertemu dengan Jibril, mendapat wahyu yang pertama, Iqra' -  aku lawati. Puncak bukit tempat kamu bersendirian merenung nasib kaummu aku daki. Di situlah, Al Quran pertama kali diturunkan.. Di atas bukit itu aku berdoa dan berjanji, agar lebih mencintai Al Quran..

Rasulullah.. Alangkah indahnya, andai dapat ku tatap wajahmu.. Menyelusuri bekas langkahmu bagai satu anugerah yang tak mampu terucap dengan kata-kata, entah bagaimana rasanya perasaan ini andai dapat bertemu denganmu.

Rasulullah, terlalu rindu padamu. Junjungan jiwa..

Sahabatmu, Bilal Bin Rabah setelah kewafatanmu, meninggalkan Madinah kerana tidak mampu menahan rindu padamu. Suatu hari, Bilal kembali ke Madinah, menziarahi Makam  Nabi juga kerana rindu...

Khalifah kedua, meminta Bilal untuk melaungkan azan. Bilal menolak. Tak sanggup. Datang pula cucunda Nabi Hasan dan Husin.. Memujuk.

"Pakcik, kami rindu laungan azan pakcik. Mohonlah laungkan azan.."

Bilal tak mampu menolak. Lalu berdiri untuk melaungkan azan..

Sejak Nabi wafat, Bilal tak pernah lagi laungkan azan. Dan saat itu, kali pertama Bilal azan sesudah Nabi wafat.

Seluruh Madinah sunyi sepi. Kali pertama pertama ketika Nabi wafat, kali kedua, ketika Bilal laungkan azan itu..

Bilal tak mampu habiskan azannya. Bilal menangis sebak. Betapa rindunya Bilal kepada kekasih Allah. Seluruh Madinah juga menangis kerinduan..

Allahummasolliala sayyyidina Muhammad.. Wa alaa alisayyidina Muhammad.

Bilal Bin Rabah, seorang sahabat yang dijanjikan syurga. Nabi saw mendengar tapak kaki Bilal Bin Rabah di syurga ketika peristiwa Israk dan Mikraj. Sedangkan waktu itu, Bilal masih hidup di Madinah.

Bilal adalah lelaki berkulit hitam, secara fizikalnya dia tidak rupawan. Dengan izin Allah, dia bernikah dengah wanita yang cantik.

Ketika ajal menghampiri, Bilal tidak bersedih kerana bakal meninggalkan isterinya yang cantik. Bahkan Bilal gembira dan bahagia, kerana dia tahu dan yakin bahawa detik pertemuannya dengan Nabi kekasih Allah kian hampir. Setelah dia mati.

Begitulah kisah betapa hebatnya rindu sahabat kepada Rasulullah saw.

Tapi, tahukah kita bahawa lebih 1400 tahun dahulu, Nabi pernah mengnis kerana merindui  kita (mudah-mudahan).

----

Suasana di majlis pertemuan itu hening sejenak. Semua yang hadir diam membatu. Mereka seperti sedang memikirkan sesuatu. Lebih-lebih lagi Saidina Abu Bakar. Itulah pertama kali dia mendengar orang yang sangat dikasihi melafazkan pengakuan demikian.

Seulas senyuman yang sedia terukir dibibirnya pun terungkai. Wajahnya yang tenang berubah warna. "Apakah maksudmu berkata demikian wahai Rasulullah? Bukankah kami ini saudara-saudaramu?" Saidina Abu Bakar bertanya melepaskan gumpalan teka-teki yang mula menyerabut fikiran.

"Tidak, wahai Abu Bakar. Kamu semua adalah sahabat-sahabatku tetapi bukan saudara-saudaraku (ikhwan)," suara Rasulullah bernada rendah.

"Kami juga ikhwanmu, wahai Rasulullah," kata seorang sahabat yang lain pula. Rasulullah menggeleng-gelangkan kepalanya perlahan-lahan sambil tersenyum. Kemudian baginda bersuara:

"Saudaraku ialah mereka yang belum pernah melihatku tetapi mereka beriman denganku sebagai Rasul Allah dan mereka sangat mencintaiku. Malahan kecintaan mereka kepadaku melebihi cinta mereka kepada anak-anak dan orang tua mereka."

Pada ketika yang lain pula, Rasulullah menceritakan tentang keimanan ‘ikhwan’ baginda:
"Siapakah yang paling ajaib imannya?" tanya Rasulullah.
"Malaikat," jawab sahabat.

"Bagaimana para malaikat tidak beriman kepada Allah sedangkan mereka sentiasa hampir dengan Allah," jelas Rasulullah. Para sahabat terdiam seketika. Kemudian mereka berkata lagi, "Para nabi."
"Bagaimana para nabi tidak beriman, sedangkan wahyu diturunkan kepada mereka."

"Mungkin kami," celah seorang sahabat.
"Bagaimana kamu tidak beriman sedangkan aku berada ditengah-tengah kau," pintas Rasulullah menyangkal hujah sahabatnya itu.

"Kalau begitu, hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih mengetahui," jawab seorang sahabat lagi, mengakui kelemahan mereka.

"Kalau kamu ingin tahu siapa mereka? Mereka ialah umatku yang hidup selepasku. Mereka membaca Al Quran dan beriman dengan semua isinya. Berbahagialah orang yang dapat berjumpa dan beriman denganku. Dan tujuh kali lebih berbahagia orang yang beriman denganku tetapi tidak pernah berjumpa denganku," jelas Rasulullah.

"Aku sungguh rindu hendak bertemu dengan mereka," ucap Rasulullah lagi setelah seketika membisu. Ada berbaur kesayuan pada ucapannya itu.

----


Selawat dan salam buatmu Ya Rasulullah.. Kami rindu padamu. Moga, berkat Ramadhan yang mulia ini, dosa-dosa kami diampunakn Allah swt dan dapatlah kita bertemu di syurga kelak. Amin ya rabbal alamin..

3 comments:

sufenaria said...

Assalamu'alaykum warahmatullahi wabarakatuh....

Salam ukhuwah ukhty...Senang bertemu blog ini. Tulisannya bagus2 dan semoga aku bisa mendapatkan banyak ilmu dan teman dari sini. Insya Allah.

AsNiza said...

Wslm wbt sufenaria.. ahlan wasahlan.. moga bisa bertandang lagi ke sini. mudah-mudahan bermanfaat buat kita.. insyaAllah..

AsNiza said...

Wslm wbt sufenaria.. ahlan wasahlan.. moga bisa bertandang lagi ke sini. mudah-mudahan bermanfaat buat kita.. insyaAllah..