Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum wbt..
Apa khabar sahabat? Semoga sentiasa di bawah naungan kasih, limpah rahmat Ilahi.
Senyum pahit, ya, baru-baru ini, kerajaan kita mengumumkan kenaikan harga minyak. Tersenyum, terasa kelat. Beginilah kehidupan, ada-ada sahaja ujian dan pancaroba. Bersabarlah duhai hati. Bertabahlah!
Alhamdulillah. Saya graduan Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Sumber Asli. Cewwahh.. Kiranya, saya tahu, sumber asli seperti minyak suatu hari nanti akan habis, atau, setidak-tidaknya pasti berkurang.
Kenaikan harga minyak adalah suatu yang bukan mustahil. Ia pasti terjadi namun persoalannya, kenapa sekarang? Kenapa tidak sekurang-kurangnya setahun sebelum pilihanraya?
Jika sekarang harganya begini, bagaimana pula 5 tahun akan datang, atau 10 tahun kemudian dan bayangkan, berapa harga minyak yang terpaksa dibayar oleh anak cucu kita?
Saya tahu, kenaikan harga minyak ini perlu, ada kebaikannya sendiri. Tapi persoalannya, kenapa subsidi (naikkan BR1M boleh pula) perlu menjadi sebab yang utama? Come on, kita negara pengeluar minyak kan?
Minyak ini kepala. Jika kepala ini naik, pastinya ekor-ekornya yang lain akan ikut naik sama. Suspen betul. Harga barang, harga tambang, harga itu dan ini tidak dapat tidak, esok lusa akan menyusul!
Saya teringat kisah burung, yang saya baca dari FB seorang tokoh.
Seorang lelaki, suka betul merempuh dengan keretanya, kawanan burung yang sedang berkumpul di atas jalan. Seronok betul dia melihat burung-burung bertempiaran lari apabila keretanya menghampiri.
Hari ini buat. Esok buat lagi. Lusa buat lagi. Seronok dia melihat burung-burung terbang menyelamatkan diri, bertempiaran terbang.
Suatu hari, keretanya merempuh lagi. Namun malangnya, setelah semua burung yang lain terbang, seekor burung didapati mati terpijak.
Mengapa? Sebabnya, setiap burung mempunyai keupayaan yang berbeza-beza. Burung itu mungkin sayapnya patah. Atau matanya rabun. Atau telinganya pekak. Gagal menyelamatkan diri lalu mati terpijak tayar kereta!
Begitulah kita rakyat marhaen. Ada keupayaan dan kemampuan yang berbeza-beza.
Kita mungkin dapat menahan tekanan sehingga tahap M. Orang yang lebih kaya, lebih berkemampuan, dapat menahan sehingga tahap Y. Bagaimana pula dengan mereka yang miskin? Sampai tahap B saja mungkin sudah 'pecah'!
Tidak mustahil nanti rakyat bertambah ramai hidup bergelandangan, mengemis. Atau mencuri merompak melacur! Ah.. Iman senipis kulit bawang. Bila keadaan benar-benar terdesak, manusia boleh bertukar watak. Naauzubillah. Atau mungkin juga nanti, bilangan pemimjam Along pula makin bertambah, hidup bertambah tertekan dan terhimpit. Naauzubillah.
Indahnya hidup ini seandainya pemimpin kita dapat mencontohi Rasulullah saw, atau Abu Bakar atau Umar Al Khattab. Mengutamakan dan mendahulukan rakyat kerana sedar tanggungjawab dan amanah yang dipikul. Kerana takut pada Allah.
Abu Bakar As Siddiq. Menguli tepung membakar roti untuk rakyatnya yang tidak berkemampuan. Umar Al Khattab meninjau rakyatnya di malam hari untuk melihat sendiri bagaimana keadaan rakyatnya. Sendu atau sendawa.
Pemimpin kita?
Entahlah. Kita cuma rakyat marhaen. Suara kita ini cuma suara langau, suara nyamuk. Siapalah yang sudi mendengar. Sekadar sembang-sembang, cakap-cakap namun akan terus juga sembang-sembang dan cakap-cakap. Moga dengan terus bersembang dan bercakap begini, akan bertambah ramai sahabat yang buka mata dan bijak menilai siapa yang layak jadi pemimpin.
Moga dengan bersembang dan bercakap begini, akan bertambah ramai sahabat yang tidak hanya mengenangkan mulut dan perut sendiri, keluarga sendiri. Seharusnya kita, tidak melupakan nasib mereka yang jauh lebih miskin dan tidak berkemampuan.
Mungkin sekarang kita hanya perlu pasrah (tidak bermakna redha, iya ke?). Hidup perlu diteruskan. Harga minyak dan harga barang perlu dibayar. Moga mudarat dapat diminimakan. Moga hidup tidak terhimpit dengan dasyat.
Mulai sekarang. Didik anak-anak kita supaya peka dengan isu semasa. Tambah ilmu biar lebih jangan kurang. Jangan membabi buta terima saja apa yang pemimpin buat. Pun begitu, jangan pula membangkang membabi buta tanpa berfikir pro dan kon. Inilah perlunya ilmu! Agar tidak tersilap pilih siapa yang akan menjadi peneraju, pembawa hala tuju negara (pemimpin).
Apapun.
Allah jualah yang Maha Mengetahui segalanya.
No comments:
Post a Comment