Klon?
Ketika memandu, biasanya saya suka berfikir. Muhasabah diri, dan mencari 'ruang untuk diri sendiri'. Selain daripada atas sejadah, di dalam kereta juga kita masih boleh mengingati Allah, kan?
Kawan-kawan yang selalu memandu...
Selalunya ketika jalan sesak, 'bump to bump' kata Mat Saleh, kita perlu gandakan perhatian kita terhadap pemanduan. Perlu lebih fokus. Perlu lebih berhati-hati. Kenapa? Kerana mengekori kenderaan di hadapan terlalu rapat adalah membahayakan. Bukan sahaja membahayakan diri kita, malahan juga pengguna jalan raya yang lain.. Kan?
Jika kereta di hadapan brek mengejut, dibimbangi kita tiada ruang untuk berhenti dalam masa dan jarak yang sepatutnya jika kita terlalu rapat mengekori kereta di hadapan. Jika kereta di hadapan kemalangan, kebarangkalian untuk kita terbabit sama adalah 99.9%.
Begitu juga dalam memilih idola.
Melainkan Muhammad saw, manusia lain semuanya cenderung membuat khilaf. Manusia biasa macam kita ini tidak maksum, iman pula ada naik dan turun. Walaupun dibekalkan akal oleh Allah swt, manusia juga punya emosi, ada nafsu.
Tak salah jika kita ada idola. Tak salah jika kita mempunyai 'role model' yang kita sanjungi dan ingin contohi. Tapi, sila pastikan bahawa 'role model' kita yang paling teratas mestilah Muhammad saw. Kerana Allah swt juga ada berfirman, "Jika kamu mencintai Allah, ikutlah Muhammad".
Ada idola tak mengapa tapi jangan terlalu taksub. Hingga sampai membutakan mata dan hati. Ada idola tak mengapa, tapi jangan pula sampai kita menutup hati dan akal kita untuk melihat kebaikan dan keburukannya. Jangan sampai kita menolak kebaikan yang lain hanya semata-mata kerana idola kita itu tidak melakukannya. Jangan sampai kita melihat keburukan menjadi indah hanya kerana idola kita itu melakukannya. Yang salah tetap salah, yang benar tetap benar - kita juga berhak mempunyai prinsip hidup kita sendiri. Bukan hanya sekadar menjadi Pak Turut.
Jika mahu ikut, ikutlah. Tapi, pastikan kita letakkan ruang jarak antara kita dengan idola kita itu. InsyaAllah, ruang itu mampu memberi kita peluang untuk menilai, memilih ikutan lain yang mungkin lebih baik, berfikir sejenak sebelum bertindak , apa pro and cons, tidak terlalu terburu-buru, dan adil dalam membuat penilaian dalam menentukan kebenaran.
Islam itu sempurna. Tapi orang yang mengamalkannya tidak sempurna. Melainkan Muhammad saw.
Jadi. Berhati-hati dalam memilih idola. Selain Muhammad saw, jangan 'mengekori' idola anda terlalu rapat agar kita tidak 'kemalangan'.
Wassalam.
No comments:
Post a Comment