Dimulai dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Yang menguasai hari pembalasan. Selawat dan salam buat nabi junjungan, Muhammad saw. Terima kasih wahai Nabi Kekasih Allah. Berkat usaha dan pengorbananmu, titisan darah dan airmatamu, dengan izin ALLAH swt, alhamdulillah, kami hari ini dapat menikmati keindahan dan kemanisan iman. Alhamdulillah.
Ya Allah ya Tuhanku, ampunkanlah dosaku, dosa kedua ibu bapaku. Kasihanilah mereka sebagai mana mereka mengasihani aku ketika aku masih kecil.
Lillahitaala.. Saya sangat mengasihi keluarga saya.
Keluarga saya, bukanlah keluarga yang besar. Seayah dan seibu, saya cuma mempunyai empat orang adik beradik. Kami membesar bersama-sama kerana jarak usia saya dengan kakak yang sulung adalah 3 tahun manakala jarak usia adik paling bongsu dengan adik lelaki yang ke tiga juga adalah tiga tahun. Pening ya? Begini. Saya anak ke dua. Yang sulung anak perempuan. Dua orang adik saya adalah lelaki.
Ketika kakak sulung saya berumur 3 tahun, emak melahirkan saya. Setahun kemudian, emak melahirkan anak ke tiga. Dan 3 tahun kemudian, emak melahirkan adik yang bongsu. :)
Keluarga saya cuma keluarga yang kecil. Sejak arwah nenek meninggal ketika saya darjah 3, kami jarang berhubung dengan sepupu sepapat belah emak. Arwah datuk meninggal setahun sebelum itu.
Manakala, arwah atuk dan nenek belah ayah pula pergi terlalu awal. Bahkan, ayah saya sendiri tidak sempat mengenali arwah ibunya. Dia kehilangan ibunya ketika masih kecil. Hubungan kami dengan saudara mara sebelah ayah sangat renggang. Seolah-olah, ayah saya hidup sebatang kara.Tiada saudara mara. Tambahan pula, ketika kecil, kami sekeluarga hidup dalam kepayahan. Malu rasanya menjenguk saudara mara yang lain, bimbang dikata meminta belas kasihan. Orang miskin seperti kami, siapalah yang mahu mengaku jadi saudara?
Maka. Waktu itu dapat saya rasakan. Keluarga kami cuma ada emak, ayah dan kami empat beradik. Cuma enam orang! Hanya enam orang! Selain daripada kami berenam, bukan keluarga saya.
Tugas saya ketika kecil biasanya mencuci pinggan. Jika makan beramai-ramai, saya selalunya orang yang terakhir. Mudah untuk memunggah pinggan-pinggan dibawa ke dapir untuk dicuci. Dan selalunya juga, saya yang menghidang makanan. Menceduk nasi ke dalam pinggan setelah kakak atau emak saya penat memasak.
Tak perlu menghitung. Automatik saya akan menyediakan enam biji pinggan. Untuk mek, ayoh, kak, Nija, Mael dan Pokdik. Cuma enam biji pinggan. Inilah keluarga saya satu-satunya. Enam orang sahaja.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Peliharalah
diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka, yang bahan bakarnya
ialah manusia dan batu (berhala). Neraka itu dijaga dan dikawal oleh
malaikat yang keras kasar (layanannya). Mereka tidak menderhaka kepada
Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mereka pula
tetap melakukan segala yang diperintahkan.”
(Surah At-Tahrim, ayat 6)
Masa terus berjalan. Kami terus menginjak dewasa. Kampung halaman juga telah kami tinggalkan. Namun syukurlah, kami masih lagi 'dekat' antara satu sama lain. Bila-bila masa dihubungi, kami boleh duduk berhimpun. Alhamdulillah. Walaupun kini ayah sudah tiada, tapi insyaAllah, ikatan kekeluargaan ini akan terus dipelihara. Selama-lamanya, hingga ke syurga, insyaAllah.
Bukan niat saya sengaja mahu salahkan emak dan ayah.. Tapi sejujurnya saya sedih dengan sikap adik-adik saya yang tidak memandang serius pada solat. Saya sendiri lewat belajar cara-cara bersolat. Maklumlah, waktu itu bukannya ada sekolah fardu ain, tiada juga sekolah agama. Setelah tahu dosa pahala barulah saya menggesa emak ajarkan saya cara-cara untuk bersolat. Syukurlah waktu itu saya belum baligh lagi.
Saya ingat lagi. Saya meninggalkan rumah untuk bersekolah di asrama sejak tingkatan empat. Apabila pulang bercuti, saya sering memaksa adik-adik saya agar mereka menunaikan solat. 'Lucu'. Dan sedih. Mereka tidak pernah serius untuk bersolat. Malah, pernah mereka pernah curi-curi lari apabila saya terlepas pandang. Haihh..
Hingga kini, saya tidak pernah jemu mendoakan mereka. Mengingatkan mereka agar sentiasa menjaga solat. Solat itu tiang agama. Solat itu amalan pertama yang akan dihitung di akhirat kelak. Solat itu yang membezakan kita dengan orang kafir. Segeralah tunaikan solat. Jangan lupa solat.
Saya juga Bberdoa agar mereka dikurniakan nur dan hidayah oleh Allah swt, agar bersungguh-sungguh melakukan segala apa yang diperintahkan oleh Allah swt dan bersungguh-sungguh pula menjauhkan diri dari segala apa yang Allah larang. Kerana saya sayangkan mereka, sepenuh jiwa dan raga saya. Kerana mereka adalah 'lima pinggan' yang saya kasihi dunia dan akhirat.
Jika Allah izinkan saya ke syurga. Saya ingin membawa kesemua 'lima biji pinggan' yang lain-lain itu ke syurga. Dan seandainya saya dimasukkan ke neraka, saya berharap agar 'lima biji pinggan' yang lain itu dapat menarik saya keluar.. Makbulkan doaku ya Allah. Masukkanlah kami ke dalam syurga-Mu. Jauhkanlah kami dari azab api neraka-Mu. Sungguh aku cintakan keluargaku.
Sekarang, kakak saya sudah berumah tangga dan dikurniakan 3 orang cahaya mata. Adik lelaki juga sudah beristeri dan kini isterinya sedang hamil 5 bulan. 'Enam biji pinggan' itu telah bertambah, segala puji bagi Allah swt. Dan semoga, kami semua tergolong dalam golongan yang beriman dan bertakwa. Semoga kami sentiasa dirahmati dan dikasihi Allah swt. Semoga kami sentiasa dipelihara dan dibimbing oleh-Nya. Semoga kami hidup dan mati dalam iman...
" Wahai Tuhan kami!
Anugerahkanlah kepada kami pasangan dan zuriat keturunan kami sebagai
penenang hati kami dan jadikanlah kami pemimpin ikutan bagi orang yang
bertakwa.” (Surah al-Furqan, ayat 74)
Amin ya rabbal alamin.
No comments:
Post a Comment