+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Sunday, August 5, 2012

Drama Kehidupan : Senyawa

 Petang tadi saya kesempatan untuk menonton drama tv, tajuknya Senyawa.

Sementara ada masa, suka saya kongsikan sedikit sebanyak cerita tersebut, moga dapat kita jadikan iktibar, insyaAllah.

Drama tersebut, mengisahkan sepasang suami isteri, maaf, saya lupa nama watak suami tersebut, maaf ya.. Saya namakan sebagai Abdullah sahaja ya.. Isterinya Mas. Mereka telah lama berumah tangga, dan saling menyintai antara satu sama lain. Namun begitu, Mas disahkan tidak dapat mengandung. Demi cintanya kepada Mas, Abdullah tidak kisah samada ada anak ataupun tidak, namun, atas desakan ibunya yang mahukan cucu. Dan kerana cintanya kepada Abdullah juga, Mas sanggup dimadukan.

Kerana terlalu cinta kepada Abdullah, tidak sanggup berkongsi suami dengan perempuan lain, tidak mahu dikhianati oleh madunya sendiri, akhirnya Mas mencarikan sendiri calon isteri untuk suaminya. 'Mangsanya' adalah Aishah yang lemah lembut, gadis yang baik yang juga bekerja dengannya. Aishah dan keluarga telah lama terhutang budi dengan Mas, demi membalas budi, Aishah rela bernikah dengan Abdullah. Namun, dengan beberapa syarat yang telah ditetapkan oleh Mas.

Rahsia hanya mereka bertiga (Abdullah, Mas, Aishah) yang tahu. Aishah sekadar menjadi ibu tumpang, mengandungkan anak untuk Mas dan Abdullah. Sepanjang dia berumahtangga, Abdullah tidak pernah menyentuhnya dan tidak juga pernah melayaninya sebagai isteri. Namun Aishah tetap sabar kerana berpegang pada janji dan Abdullah pula terlalu menyanyangi Mas dan tidak membuka ruang di hatinya untuk wanita lain, biarpun wanita itu adalah isterinya yang sah.

Setelah 9 bulan mengandung. Akhirnya Aishah selamat melahirkan anak lelaki. Sikap Mas berubah kian ketara. Dia lansung tidak memberi peluang kepada Aishah untuk menyentuh anak lelaki itu. Menumpukan sepenuh masa dan perhatian kepada anak lelaki tersebut malah, membawa anak lelaki itu ke tempat kerja semata-mata kerana ingin sentiasa bersama dengannya. Dia juga mula mengabaikan Abdullah. Dek kerana hatinya yang jahat, dia lansung tidak merelakan Aishah menyentuh anaknya itu. Biarpun sekadar menjadi ibu tumpang, namun, bayi itu dikandung olehnya selama 9 bulan. Hati ibu mana yang tidak merintih sedih.

Kerana rasa terabai oleh Mas dan simpati dengan Aishah. Juga kerana sikap Aishah yang sabar dan sentiasa melayan makan minumnya dengan baik, akhirnya Abdullah mula jatuh hati kepada Aishah. Cinta mula berputik di saat Mas leka dengan anaknya, Abdullah dan Aishah memupuk cinta. Kesudahannya, Aishah disahkan mengandung.

Apabila mendapat tahu Aishah mengandung. Mas berang bukan kepalang. Dia tidak dapat menerima kenyataan bahawa Aishah telah mengkhianatinya. Dia tidak dapat menerima kenyataan bahawa suami yang dicintainya itu telah meniduri Aishah, madunya sendiri. Kerana hilang pertimbangan akal, Mas membelasah dan menendang Aishah yang sedang berbadan dua. Hingga dia tumpah darah. Kebetulan ibu mertua mereka datang saat Mas sedang menggila, dia membawa Aishah ke hospital. Meninggalkan Mas yang sedang hilang akal. Kerana hilang kewarasan juga, Mas mengancam untuk membunuh anak lelaki mereka namun sempat diselamatkan oleh Abdullah dan pihak polis. Kesudahan cerita, Mas ditangkap oleh polis.

Tamat.

Baik. Apa pengajaran yang boleh kita ambil dari cerita ini ya? Mana yang buruk kita tolak tepi, yang baik kita ambil untuk sama-sama jadikan pedoman hidup. InsyaAllah. Antara iktibar yang dapat saya cungkil daripada kisah tersebut adalah seperti berikut;

1- Berkat kesabaran kita, insyaAllah, Allah akan gantikan dengan yang lebih baik. 
2- Jangan terlalu angkuh dalam merancang kononnya kita akan dapat setiap apa yang kita mahu kerana sesungguhnya perancangan Allah mengatasi segalanya. 
3- Buat jahat akan dibalas jahat. Hati yang dipenuhi dengan perasaan negatif akan memudaratkan diri sendiri lebih banyak daripad a memudaratkan orang lain. 
4- Cinta yang teramat tanpa dibatasi syariat Islam hanya akan membinasakan diri sendiri.
5- Jangan jadi suami yang dayus, isteri yang derhaka. Suami sebagai ketua keluarga perlu tahu hak dan kuasa yang ada di tangan. Kerana kapal tanpa nakhoda akan karam juga.
6- Berpada-pada dalam membenci. Berpada-pada dalam menyinta. Jangan biarkan cinta mengaburi segalanya.Jangan biarkan benci memakan diri.
7- Dan lain-lain, insyaAllah.

Demikian dulu untuk kali ini. Mohon permisi ya... Sekali lagi, ambil yang baik, buang yang buruk jauh-jauh, yuk!

Wassalam. Selamat berbuka puasa =)

1 comment:

Rozita Ceritaita said...

tv mana ye cerita ni? saya pernah tengok jugak